Friday, 10 May 2013

SEMUA KERAJAAN KEPUNYAAN ALLAH


Semasa berlaku peperangan khandaq, Nabi SAW meminta pandangan dari sahabat-sahabat tentang apa yang perlu dilakukan. Salman al-Farisi mencadangkan kepada Nabi SAW agar menggali parit, kerana ia merupakan cara budaya orang farsi berperang, sedangkan cara ini tidak penah dilakukan oleh orang arab. Jika ia dilakukan oleh orang Islam dalam peperangan, sudah pasti serangan ahzab (parti-parti arab dan yahudi yang bergabung) akan lumpuh dan mati akal.

Nabi SAW bersetuju untuk menggali parit tersebut. ketika menggali itu sedang berlaku, didapati ada sebuah batu besar yang keras tidak dapat dipecahkan oleh para sahabat. Keadaan itu menjadikan para sahabat lemah semangat. Mereka memaklumkan perkara itu kepada Rasulullah SAW.

Apabila Nabi Saw hadir, baginda SAW melihat. Lalu meminta kapak dari tangan Salman al-Farisi. Apabila diserahkan kepada Nabi SAW, baginda SAW terus memukul batu yang keras itu dengan kapak besi tersebut. Apabila memukul itu, terpancar cahaya dalam kegelapan malam. Melihat cahaya yang terpancar itu, baginda SAW bertakbir, lalu diikuti pula oleh para sahabat. Nabi SAW terus menyatakan bahawa cahaya itu telah menerangi untuk ku sehingga sampai ke istana Farsi. Kemudian dipukul kali ke dua, memancar lagi cahaya. Nabi SAW menyatakan bahawa cahaya itu telah menerangi nabi sehingga ke istana Rum. Dilakukan pada kali ketiga, kelihatan cahaya lagi, menyebabkan nabi SAW menyatakan bahawa cahaya itu telah menerangi baginda sehingga sampai ke istana yaman.

Tindakan nabi SAW itu menaikkan semangat para sahabat. Tindakan Nabi SAW itu dipandang lekeh oleh orang-orang munafiq dengan mereka menyatakan bahawa kononnya Nabi SAW itu telah melakukan penipuan dan kebatilan sehingga di percayai oleh para sahabat. Ini kerana, kelemahan hendak menjaga Madinah sehingga terpaksa keletihan menggali parit, inikan pula mahu menguasai tiga kerajaan besar; yaman, farsi dan rom.

Cakap-cakap orang-orang munafiq itu menyebabkan Allah SWT turunkan ayat;

قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَنْ تَشَاءُ وَتَنْزِعُ الْمُلْكَ مِمَّنْ تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَنْ تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَنْ تَشَاءُ بِيَدِكَ الْخَيْرُ إِنَّكَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

            Maksudnya;
            “Katakanlah: "Wahai Tuhan Yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu.” (Surah ali-Imran, ayat 26)

No comments:

Post a Comment