Monday, 13 May 2013

KISAH AKU DAN JUANDAJAYA (12)


Aku ke masjid al-Salam, Bukit Sentosa untuk sampaikan kuliah maghrib. Di kala itu, isu yang sedang hangat dibincangkan adalah isu kalimah Allah. Dalam kuliah, aku ada mengupas tentang isu penggunaan kalimah Allah kepada orang bukan Islam dari sudut penghujahan nas al-Quran dan al-hadis.


Selesai kuliah, seorang lelaki agak berumur, memakai serban ala-ala Sudan mendekatiku.

“Ustaz, Jadi ke Dr Juanda nak bertanding kat parlimen Kangaq kali ini” soal lelaki itu dalam loghat utara.

Aku terus merenung ke arah muka lelaki itu.

“Isy, tak tau pula.. tapi ana rasa, tak kot..” aku jawab soalan lelaki tersebut.

Lelaki itu senyum dan terus menyatakan, “Saya ni orang Perlis…”

“Ooo.. patut pun tanya soalan tu..” aku membalas.

Apabila aku nak berlalu pergi dari masjid, ada seorang pula lelaki kurus yang agar tinggi datang rapat kepadaku. Dia pun menghulur kepadaku satu risalah yang tebalnya lebih kurang 9 hingga 10 muka surat kepadaku. Aku membuka risalah itu, didapati sebuah risalah dalam bahasa arab yang menerangkan penggunaan kalimah Allah kepada non Muslim.

Aku melihat risalah itu, dan lelaki itu ambil risalah itu dari tanganku, dan dia membelek beberapa helai, sambil dia menunjuk dan membaca beberapa matan arab dalam risalah itu tentang penggunaan kalimah Allah. Aku merenung kepada risalah itu, ternyata kupasnanya cukup ilmiah dan mempunyai sumber rujukan dari kitab-kitab muktabar.

“isu ni ustaz, masalahnya ustaz-ustaz kita pun tak faham” ujar lelaki itu.


Memandangkan dia boleh membaca matan arab yang tidak berbaris itu dengan baik, aku menganggap bahawa lelaki itu bukan sebarangan.

“Ustaz ke yang tulis ni?” soalku.
                                                              
“tak.. ada budak-budak pondok yang tulis benda ni” ujar lelaki itu.

Hati kecilku merasakan bahawa risalah itu kemungkinan besar di tulis lelaki terbabit, tetapi disebabkan merendah diri, menyebabkan dia tidak mengaku. Itu sangkaan aku sahaja.                                                                                                                   

Risalah itu, lelaki itu hadiahkan kepadaku. Aku pun mengucapkan terima kasih kepadanya, dan menerima risalah yang cukup bermakna tersebut. aku pun terus ke arah keretaku, dan memandu pulang ke sungai buloh.


Dalam perjalanan pulang, aku terfikir dengan soalan pak cik yang berasal dari negeri perlis yang bertanya tentang Dr Juandajaya. Makanya aku terus mengambil handphone kecilku, dan terus hantar sms kepada Dr Juandajaya. Aku bertanya kepadanya, benarkah ada berita mengatakan bahawa dia akan bertanding dalam pilihanraya kali ini.

SMS aku itu dibalas agak lambat juga.

Seperti biasa, apabila pulang dari kuliah, jika tidak ada sebarang program, aku akan ke port harianku, iaitu di Sebuah restoran mamak di Tropikana Sungai Buloh untuk membaca, bermain internet dan sebagainya.

Sesampai di situ, ada beberapa rakan yang sedang menunggu, seperti Aiman, Ilhami dan Danial. Sedang galak berbual-bual, tiba-tiba handphoneku berbunyi…

Bersambung…

No comments:

Post a Comment