Thursday, 31 October 2013

BERGOLAK TAPI TIDAK GADUH (8)


Di Mesir, pendedahan bacaan cukup banyak dan luas. Perbincangan ilmunya agak menarik dan lebih tersusun. Manhaj al-Azhar adalah manhaj yang aku rasa sangat menarik selama aku belajar agama. Mereka bukan sekadar ada manhaj istinbat, tetapi manhaj penyusunan poin dalam penulisan juga wujud.

Menariknya tentang al-azhar adalah pendedahan terhadap mazhab yang agak luas. Pendedahan tentang kaedah usul fiqh mengikut aliran mazhab-mazhab tertentu mampu mempamerkan perbincangan mereka cukup objektif.

Di al-azhar, aku amat suka kepada mata pelajaran usul al-Fiqh. Aku meminati mata pelajaran itu kerana ia mendedahkan kepada kita punca asal terhadap berlakunya khilaf di kalangan ulama fiqh, khususnya mazhab-mazhab muktabar. Kekhilafan berlaku dengan banyak faktor, seperti faktor bahasa arab, penggunaan sesuatu kalimah di sesuatu daerah tidak sama maksudnya dengan daerah lain walaupun kalimah yang digunakan adalah sama. Ada pula perbedaan berlaku dari sudut setempat, seperti keperluan sesuatu tempat tidak sama dengan tempat yang lain. Ada pula kekhilafan berlaku ekoran kaedah pemikiran setiap mazhab dalam menilai nas, seperti penggunaan mafhum mukhalafah, mengkhususkan nas umum, nasikh dan mansukh dan sebagainya. Malahan berlaku khilaf juga berfaktorkan penentuan status seseorang perawi hadis, apakah diterima atau tidak.

Pemahaman ini lebih membuka minda aku untuk mengambil sikap untuk saling hormat menghormati dalam menanggapi sesuatu fahaman, mazhab atau aliran. Padaku, wahabi atau tidak, itu bukan perkara penting. Yang paling penting adalah, apakah kita berjaya memberi kebaikan kepada umat, jangan kita nafikan hak manusia lain, tidak melahirkan permusuhan sesama kita, bagaimana mahu menumpang kebijaksanaan dari orang yang berbeda dengan kita dan sebagainya.

31 okt 2013 | 4:51 petang

Tuesday, 29 October 2013

BERGOLAK TAPI TIDAK GADUH (7)


Lama kelamaan, aku merasakan bahawa khilaf antara salafi dan khalaf adalah perkara yang tidak perlu diperbesarkan. Aku menilai bahawa sengaja al-Quran itu diturunkan Tuhan dalam bahasa yang sastera. Ia mahu menjadikan manusia itu menggunakan akal untuk berfikir dan mentafsirkan. Kalau sekiranya Tuhan tidak izinkan mentafsirkan al- Quran, sudah pasti semua ayat-ayat al-Quran itu bersifat muhkamat dan sareh, tetapi yang pasti mutasyabihat dan tidak sareh itu lebih banyak.

Kelahiran aliran salafi dan khalaf itu sendiri, berfaktorkan kepada tafsiran terhadap nas wahyu. Makanya dalam perbedaan itu,  tidak perlu digaduhkan, tetapi yang perlu dilakukan adalah usaha mewujudkan kondisi saling hormat menghormati.

Namun, perkara itu aku alpa selepas beberapa ketika. Setelah aku pulang ke Malaysia, aku sudah menjadi seorang yang dilihat ramai sebagai seorang salafi. Aku tidak tahu mengapa gambaran itu dipamerkan kepadaku. Mungkin kerana aku sudah agak kurang hadiri Majlis tahlil arwah dan talqin kematian walaupun aku tidak pernah menghalang orang lain dari melakukannya. Mungkin solat subuh, aku sudah tidak doa qunut walaupun aku akan lakukannya juga ketika solat jemaah di kala menjadi imam solat subuh.

Di kala itu, aku berjumpa dengan seorang guru yang merupakan anak murid kepada syaikh wahid Abd Salam Bali, seorang ulama mesir yang popular tentang ilmu rawatan jin. Anak murid Syaikh wahid Abd Salam itu berasal dari Thailand, tetapi mendapat pendidikan dari al-Azhar dalam bidang hadis. Namanya Syaikh Abd Rahim.

syaikh Abd Rahim adalah seorang guru di salah sebuah pondok di thailand, tetapi cenderung kepada aliran salafi. Aku telah bertalaqqi dengan beliau dalam banyak bidang terutama usul al-fiqh dan qawaed fiqhiyyah. Disamping itu juga, aku sempat khatamkan belajar ilmu rawatan jin dengan beliau dengan bersanadkan syaikh wahid Abd Salam Bali.

Menariknya aku bertalaqqi dengan syaikh Abd Rahim dalam bentuk yang berbeda dari orang lain. Aku hanya seorang diri sahaja belajar dengan beliau dan aku membaca matan kitab dan aku syarahkan kepada beliau, tetapi tugas beliau mendengar dan membenarkan kupasan aku yang betul dan perbetulkan jika ada kesalahan dalam pemahaman aku ketika aku syarahkan itu.

Aku rasa cara talaqqi itu cukup terkesan kepada diriku. Lebih-lebih lagi, aku merasakan aku mendapat kefahaman yang jitu disamping aku cepat khatam kitab. Dalam masa sebulan, aku sudah berjaya khatamkan kitab sebanyak 3 buah kitab.

Syaikh Abd Rahim banyak mendedahkan kepadaku tentang sudut faham Islam menurut aliran salafi. Menariknya, pendedahan beliau Tentang pandangan pro salafi itu dengan terus merujuk kepada rujukan ulama-ulama mazhab seperti syafie, hanafi, maliki dan hanbali, tanpa diabaikan fatwa-fatwa ulama di dalam mazhab, seperti nawawi, abu yusuf, syaibani dan sebagainya.

Juga didedahkan sudut faham pengajian aqidah dalam salafi. Walaupun aku suka dengan perbahasan asyairah kerana banyak berfikir, tetapi pendedahan aqidah mengikut aliran salafi turut menarik perhatian aku.

Aku menganggap, kekhilafan antara salafi dan khalaf hanya sedikit, tetapi elemen kesamaan cukup banyak. Kadangkala sesuatu itu dianggap khilaf, tetapi sebenarnya ia adalah sama apabila dilihat pada substansinya. Ini kerana, kekhilafan itu berlaku ekoran berbeda nama dan istilah yang digunakan sahaja.

contohnya seperti firman Allah yang bermaksud, "Tidaklah Dia (Allah) menyerupai sesuatu pun" (surah al-Syura, ayat 11)

Dalam pengajian khalaf aliran asyairah, ia menggunakan istilah atau nama "mukhalafatuhu taala lil hawadis" iaitu menyalahi atau tidak serupa Allah itu dari perkara-perkara baru.

Dengan itu, kecenderungan aku kepada salafi semakin kuat, disamping menghormati aliran khalaf cukup tinggi. Walaupun dari sudut fiqh ibadat, aku lebih cenderung kepada dalil naqli, tetapi aku tidak pernah abaikan kupasan aqli dalam perbincangan aqidah. Aku menilai, kedua-dua aliran ini tidak perlu digaduh-gaduhkan, tetapi perlu saling kukuh mengukuhkan.

Bersambung...

30 okt 2013 | 1:27 Tenghahari.

TINGGALKAN AKAL?


Seruan agar kembali kepada al-Quran dan al-Sunnah disertai seruan  tinggalkan akal adalah seruan yang ganjil. Ini kerana, al-Quran itu sendiri menyuruh menggunakan akal untuk terus menjadi manusia yang beriman yang sebenar.

Dalam al- Quran, tidak ada larangan dari menggunakan akal, tetapi larangan yang wujud adalah mengikut hawa nafsu. Malahan, al-Quran itu sendiri menyatakan bahawa orang yang tidak menggunakan akal adalah ciri - ciri ahli neraka.

Firman Allah yang bermaksud, "berkata mereka (ahli neraka) kalau kami dengar dan kami guna akal, pasti kami bukan ahli neraka" (surah al-Mulk, ayat 10)

Dalam menilai sumber Islam yang agung, ia hanya menggunakan dua perkara, samada hawa nafsu atau akal. Jika tidak menilai menggunakan akal, maka penilaian itu akan salah. Ini kerana, menilai dengan selain dari akal, sudah pasti dinilai itu dengan hawa nafsu, sama ada sentimen, kecenderungan dan sebagainya.  Sedangkan dalam banyak ayat al-Quran bahawa Allah melarang mengikut kehendak hawa nafsu, kerana ia boleh membawa kepada kerosakan.

Akal bukan sumber hukum, tetapi akal sebagai salah satu alat untuk menilai sumber hukum.

Mutahhari pernah menyatakan dalam sebuah buku yang bertajuk epistemology. Dalam buku itu, beliau mengupas bahawa dalam kajian pengetahuan, alat yang diperlukan dalam mendapatkan pengetahuan ada 3 perkara penting, iaitu akal, indera dan rasa. Rasa yang dimaksudkan bukan rasa jasmani, seperti rada manis dilidah, rasa terguris kulit ekoran pancaran matahari atau kulit merasa tiupan angin, tetapi rasa yang dimaksudkan adalah rasa dari sudut kekuatan rohani, seperti perasaan bertuhan, kasih sayang, benci dan sebagainya.

Dalam maksud rasa rohani juga adalah, apa yang terhasil yang melibatkan gerakan hati. Ekoran itu, dalam perbincangan fiqh, tidak boleh lari dari perbincangan tentang zan, waham, syak dan yakin. Al-Syatibi menilai zan dan yakin sebagai penting. Makanya, beliau mencadangkan pendekatan istiqra maknawi juga berpaksikan kepada asas dua perkara ini.

Ekoran itu, untuk memahami wahyu, ia tidak cukup sekadar membaca teks, tetapi perlu juga kepada memahami konteks. Untuk fahami konteks, ia tidak boleh lepas dari penggunaan akal semaksima mungkin. Namun tidak cukup sekadar itu, perlu juga kepada konsep rasa untuk menilai wahyu agar ia hidup dan boleh menghidupkan hati-hati manusia.

Dilema akal dalam menilai wahyu adalah akal telah terpengaruh dengan hawa nafsu. Maksud dengan terpengaruh dengan hawa nafsu adalah rasional gagal mengawal emosi, makanya ia menjadi emosional.

Hakikat bagi manusia itu, mereka punyai emosi. Emosi adalah perkara fitrah, tetapi emosional membawa fitnah. Marah tidak salah, kerana ia adalah emosi. Yang salah adalah marah yang melampau sehingga rasional tidak boleh mengawal. Apabila emosi marah sudah melampau, ia sudah menjadi emosional.

Begitujuga emosi cinta. Ia tidak salah, malahan secara fitrahnya, perasaan cinta itu wujud, hatta sesama manusia. Yang salah adalah terlalu cinta yang sehingga gagal di kawal oleh rasional. Ia sudah menjadi emosional. Ekoran itu, apabila cinta melampau sehingga gagal dikawal rasional, kegagalan bercinta menyebabkan ia sanggup membunuh diri, jika cinta kesampaian, sanggup seseorang perempuan menyerah tubuhnya kepada lelaki yang dicintai walaupun luar dari kerangka perkahwinan dan sebagainya.

Faktor emosi yang gagal dikawal oleh akal itu menjadi emosional. Ia berasaskan kepada itu hawa nafsu.

Tugas akal adalah mengawal nafsu yang semestinya dengan petunjuk sumber ilmu, iaitu wahyu atau selain wahyu, seperti alam yang dilihat dengan mata, didengar dengan telinga dan dirasa dengan kulit dan lidah. Namun,  apabila nafsu mendominasi, akal pasti akan gagal mengawal. Makanya, jasad manusia akan bergerak ke arah kerosakan.

Akal yang gagal mengawal nafsu, malahan terikut-ikut dengan kehendak nafsu adalah maksud akal yang dikatakan tidak boleh diguna pakai. Bentuk akal sebegini yang dikritik oleh Ibn Taimiyyah seperti terdedah dalam buku beliau yang bertajuk dar' taarudh al-aql wa al-naql. Akal sebegini adalah akal yang tidak jujur. Akal sebegini membawa kepada kepentingan diri, bukan kepentingan orang ramai; membawa kerosakan, bukan kebaikan; permusuhan bukan kedamaian. Ia selaras dengan Firman Allah, "Sesungguhnya nafsu itu menyeru kepada kerosakan" (surah Yusuf, ayat 53)

Jelasnya, akal yang jujur tidak akan bercanggah dengan wahyu. Dalam istilah ibn sina adalah al-aql al-salim, iaitu akal sejahtera. Ia didefinisikan oleh Ibn sina sebagai fitrah. Yang bercanggah dengan wahyu bukan akal, tetapi hawa nafsu.

Wallahu alam

30 okt 2013 | 5:45 pagi

Monday, 28 October 2013

BERGOLAK TAPI TIDAK GADUH (6)


Setelah tinggal di Paisal Abad, aku kembali ke karachi balik.  Tidak lama kemudian, aku ke lahore seorang diri. Tinggal di lahore, aku punyai ramai rakan-rakan berbangsa arab. Rakan-rakan arab terdiri dari berbagai-bagai negara, tetapi yang paling ramai dari saudi dan yaman. Aku tinggal serumah dengan mereka.

Selepas itu, aku ziarah kasymir, sebuah tempat yang didakwa ramai sebagai syurga dunia. Aku tidak nafikan dakwaan itu, kerana ternyata sebilangan tempatnya cukup cantik dan penempatannya cukup menenangkan hati.

Di Kasymir, aku berkawan rapat dengan seorang lelaki arab berbangsa yaman. Abu Abbas namanya.
Secara peribadi, aku mengkagumi beliau kerana melihat beliau, baru aku memahami apa yang dimaksudkan dengan taqwa. Ketika beliau solat, beliau pasti akan menangis. Apabila terlihat gambar wanita di dada akhbar, pasti beliau akan berpaling ke arah lain sambil mulutnya tidak sunyi dari beristighfar kepada Allah.

Pernah satu malam, ketika aku sedang tidur, aku tersedar dalam pukul 3 pagi, aku terdengar esakan tangisan.  Apabila aku membuka mata, aku terlihat di hujung kakiku, Abu Abbas sedang bertahajjud sambil menangis. Kejadian pada malam itu, benar-benar aku kagum dengan ketaqwaan Abu Abbas.

Beliau merupakan anak murid kesayangan syaikh muqbil, seorang guru hadis aliran salafi yang agak keras dari negara Yaman. Abu Abbas selalu menceritakan tentang gurunya itu. Aku hanya mendengar tanpa pandai untuk memberi komen.

Satu hari, ketika kami sedang berehat sambil minum teh yang beliau buat, beliau bertanya kepadaku, siapakah ulama-ulama salafi yang aku kenal. Aku menyebut nama Dr Yusuf al-Qaradawi dan Dr Abdullah Azzam. Dengan lantang, beliau menyebut bahawa al-Qaradawi bukan salafi, tetapi tokoh-tokoh salafi seperti syaikh Albani, Syaikh Usaimin, Ben Baz dan sebagainya.

Itulah pertama kali aku mendengar nama-nama tokoh salafi yang sekarang sudah terbiasa bagi aku dengan nama-nama itu, terutama Syaikh Albani.

Kemudian, beliau terus menceritakan kehebatan syaikh Muqbil, gurunya yang beliau hormati.

sebenarnya, semenjak berkawan dengan Abu Abbas, sudut pandang aku terhadap salafi yang dituduh wahabi itu sudah berbeda dengan keadaan aku semasa belajar di Pondok dahulu.  Aku mula mengambil sikap hormati perbedaan itu, dikeranakan kebimbanganku adalah tuduhan terhadap wahabi dengan tuduhan yang berat, tetapi ketaqwaan itu kadangkala ada pada mereka, tetapi belum tentu wujud dalam hati kita.

Aku berpisah dengan Abu Abbas setelah aku selesai ziarah ke kasymir dan pulang ke Karachi. Sebelum aku meninggalkan beliau, beliau memeluk erat aku dan bertanya, apa yang aku mahu dari beliau. Aku tidak tahu apa yang aku mahu dari beliau. Cuma yang sempat aku bagitahu kepadanya bahawa jangan lupakan aku dalam doanya.

Itulah perpisahan terakhir aku dengan Abu Abbas al-Yamani. Selang hampir setahun kemudian, aku bermimpi berjumpa dengan Abu Abbas, tetapi dalam keadaan yang cukup aneh. Dalam mimpi, aku melihat Abu Abbas dalam wajah yang cukup berseri tetapi tidak bercakap sepertimana biasa aku bersama dengan beliau. Aku mahu mendekatkan diriku kepadanya, tetapi tidak dapat. Apabila aku memanggil namanya, dia berpaling dan hanya melontarkan satu senyuman yang menenangkan jiwa.

Aku bertanya kepadanya, kenapa dia tak mahu mendekatkan diri kepadaku. Dia tidak menjawab kecuali senyuman sahaja yang dilontarkan. Aku pun bertanya, ke mana dia mahu pergi.  Dia mengisyaratkan ke arah satu kawasan. Aku melihat dua buah bukit yang cukup indah yang aku tidak pernah melihatnya. Dia terus menuju ke arah bukit itu. Aku memanggilnya lagi, sekali lagi dia berhenti berjalan dan berpaling ke arahku. Aku cuba untuk mendekatinya, tetapi tidak mampu.  Lalu, aku terus berkata, "la tansani fi duaik" (jangan kamu lupakan aku dalam doamu). Kelihatan dia tersenyum. Kemudian dia hilang dalam cahaya.

aku menangis dalam mimpi itu. Kemudiannya aku pun sedar dari tidur. Aku dapati, mata aku basah.
Aku tidak faham maksud mimpi itu. Namun, lebih kurang dua minggu kemudian, aku diberitahu seorang rakan bahawa Abu Abbas telah syahid dalam satu medan Jihad yang dia terlibat.

Bersambung....

29 okt 2013 | 6:10 pagi.

Sunday, 27 October 2013

BERGOLAK TAPI TIDAK GADUH (5)


Aku ada masalah pada penguasaan bahasa urdu semasa belajar di Pakistan. Aku telah ambil inisiatif untuk belajar bahasa urdu bersama seorang rakan, ust fadhilul Hakimi di Faisal Abad, Pakistan.


Faisal Abad ini amat jauh dari karachi, jika menaiki kenderaan awam, perjalanannya hampir 4 jam untuk sampai ke bandar lahore, pakistan, sedang dari lahore ke karachi mengambil masa berpuluh jam.

menariknya, di bandar Faisal Abad, tiada bank. Ia betul-betul kampung. Kalau aku kehabisan wang poket, aku terpaksa ke lahore yang perlu mengambil masa 4 jam perjalanan itu.

Semasa di Falsal Abad, banyak perkara aku belajar.  Belajar tentang budaya orang kampung di Pakistan, cara bangsa mereka membuat keputusan, cara bergurau mereka dan terutama aku belajar bahasa urdu.

Antara perkara yang menarik aku dapat di faisal abad ialah, di situ aku mengetahui bahawa tahi lembu kering ada kuasa pembakar seperti gas. Ekoran itu, orang Faisal abad bakar roti dalam tempayan menggunakan tahi lembu.

Pernah suatu hari, ketika kami sedang makan roti, kelihatanbada sesuatu yang melekat pada roti itu.  Apabila aku belek, didapati ia kepilan kecil tahi lembu kering.

Aku di Faisal Abad, bukan dua orang dengan Ust fadhilul Hakimi sahaja, tetapi ada ada seorang pelajar dari indonesia yang kami suka bergurau dengannya kerana gayanya yang agak lembut dan seperti keibuan, walhal dia seorang lelaki.

Pada satu hari, aku bermain silat dengan Ust Fadilul Hakimi. Lepas bermain silat, kami berbual-bual di atas bumbung masjid.

"Ana nanti, kalau dapat anak 4 orang, nak minta dorang belajar mazhab 4. Sorang belajar mazhab syafie, sorang lagi mazhab hanbali, sorang lagi mazhab hanafi, sorang lagi mazhab maliki.. baru senang nak rujuk" ujar aku berimejinasi sambil merenung ke arah sawah padi terbentang luas.

Tidak disangka-sangka, Ust fadhilul Hakimi menjawab, "nak buat gapo? Nak suruh bbaloh (nak buat apa? Nak bagi dorang berbalah)"

Hati kecilku tersentap apabila mendengar komen ust fadhilul hakimi. Di situ, menyebabkan hati kecilku berkata, mengapa kita perlu berbalah mazhab sedangkan semua mazhab berasaskan al-Quran dan al-Sunnah.

Dari situ, semangat syafie dan asyairah yang aku belajar di pondok semakin mengendur. Aku mula merasakan, sewajarnya ada budaya saling hormat menghormati dalam perbedaan mazhab.

bersambung....

28 okt 2013 | 1:43 petang

BERGOLAK TAPI TIDAK GADUH (4)


Antara perkara yang mengejutkan aku di awal aku masuk ke jamiah farooqiyyah adalah kedengaran suara-suara yang mengkafirkan Abu 'ala al-Maududi. Semasa di malaysia, bagi mereka yang terlibat dengan gerakan Islam, nama al-Maududi adalah nama yang cukup popular di lidah penggerak gerakan Islam, tidak kira namanya ABIM, JIM dan tidak ketinggalan juga adalah PAS. Nama Maududi di sebut sebagai rujukan dan beberapa ungkapan hikmah beliau Sering dipetik.


Di kalangan mereka yang cenderung dengan aliran deobandi, Maududi dikafirkan. Aku tidak tahu, apa sebab tokoh besar itu dikafirkan oleh mereka dari kalangan Deobandi.

Semasa di Jamiah Farooqiah, aku agak rapat dengan seorang guru bernama Maulana Ilyas. Dia amat baik denganku, menjadikan aku mengambil peluang untuk bertanya kepada beliau tentang hal itu. Peliknya, beliau menafikan perkara itu berkali-kali. Beliau menafikan takfir terhadap Maududi yang dilakukan oleh sebilangan besar ulama deobandi.

Aliran deobandi ini, bukan sekadar bermusuh dengan aliran Maududi, tetapi mereka turut bermusuh dengan Brelvi, syiah ismailiyyah dan wahabi. Wahabi, mereka gelarkan sebagai ghair muqallid.

permusuhan mereka dengan wahabi tidaklah ketara seperti permusuhan mereka dengan syiah ismailiyyah dan brelvi. Boleh dikatakan setiap tahun, pada 10 muharram, permusuhan itu dipamerkan sehingga berlaku bunuh membunuh semasa mereka.

Permusuhan mereka dengan wahabi tidak begitu ketara sangat. Mungkin kerana, kalangan mereka yang beraliran wahabi ini tidak suka menjawab di khalayak terhadap kritikan ulama diobandi berbanding mereka dari syiah ismailiyyah dan brelvi yang menjadikan kritikan deobandi itu dijawab secara terbuka disamping kedua-dua belah pihak suka kutuk mengutuk, cela mencela sesama mereka yang kadangkala menyakitkan hati.
Adapun dengan wahabi, walaupun mereka tidak "sebulu" tetapi di kalangan orang wahabi, ada yang menunaikan solat di tempat deobandi, begitujuga sebaliknya.

Setelah aku masuk jamiah farooqiyyah, ada satu majlis di anjurkan oleh jamiah abu bakar, iaitu majlis khatam bukhari yang di pakistan dipopularkan dengan nama dastarbandi.

Aku turut hadir dalam majlis itu, mendengar bacaan hadis bukhari yang terakhir dan disampaikan sanad hadis kepada mereka yang selesai pengajian bukhari. Aku ke jamiah abu bakar itu bersama fadzl al-Rahman.

ketika sedang asyik melihat penyampaian sijil sanad saheh al-Bukhari, seorang rakan berbangsa Tajikistan telah datang rapat kepadaku. Aku mengenalinya, kerana kami sekelas semasa aku di Jamiah Abu Bakar.
"Mengapa kamu tukar kepada hanafi? Apakah kamu tidak sayangkan salafi?" Soalnya dalam pertuturan bahasa arab.

Dengan spontan aku menjawab, "aku sayangkan salafi, ekoran itu aku belajar mazhab Hanafi kerana Imam Hanafi berada di zaman salaf"

Sebenarnya, aku tidak tahu macam jawapan itu boleh terpancul dari mulutku. Mendengar sahaja soalannya, terus terlintas difikiranku untuk memberi jawapan begitu.

Dia terdiam. Aku pula senyum melihat diamnya itu. Fadzl al-Rahman kelihatan ketawa mendengar jawapan ku itu.

Bersambung lagi. ..

27 okt 2013 | 7:52 malam.

BERGOLAK TAPI TIDAK GADUH (3)


Selepas belajar di pondok, aku ke Pakistan. Sesampai di Pakistan, perkara yang membimbangkan aku adalah penguasaan bahasa urdu. Ini kerana, Pakistan bukan negara yang menggunakan bahasa arab, tetapi menggunakan bahasa urdu.


Dalam keadaan begitu juga, aku sendiri tidak memahami bahasa arab interaksi. Makanya, tidak ada perkara yang lebih penting permulaan aku di Pakistan kecuali perlu menguasai bahasa arab.

Abang-abang lama mencadangkan agar aku belajar di Jamiah Abu Bakar, sebuah universiti salafiah cawangan Madinah di Karachi untuk masuk dalam kelas bahasa arab di sana.


Mendengar sahaja nama jamiah abu bakar, imejinasiku tertumpu dua orang guruku semasa hafal al-Quran dulu. Guru yang didakwa wahabi.
Aku keberatan untuk menerima cadangan itu. Namun, aku tidak ada pilihan lain. Aku pun bersetuju.

Aku pun masuk kelas bahasa arab di jamiah abu bakar. Memang seperti yang dijangka, antara perkara penting yang diajar dalam kelas itu adalah tajuk "aina Allah?", iaitu di mana Allah.

Soalan ini aku pernah dengar semasa hafal al-Quran dahulu. Juga ia merupakan perkara pentint kritikan Tuan Guru Haji Abdullah terhadap Wahabi semasa belajar si pondok dahulu.

Soalan seperti itu menjadikan aku semakin serba salah dengan pengajian di Jamiah Abu Bakar. Namun, bila difikirkan balik, itu sahaja yang boleh aku lakukan untuk mendapat pengajian bahasa arab komunikasi.

Aku terus di Jamiah Abu Bakar. Dalam jangka dua bulan, jamiah Farooqiah telah membuka pendaftaran penerimaan pelajar baru.

Jamiah Farooqiah adalah sebuah universiti islam yang lebih menekankan kepada mazhab Hanafi beraliran diobandi. Deobandi adalah satu sistem pengajian di Pakistan yang terpengaruh dengan pendidikan deoband di India. Cara pendedahan dan pengajiannya seratus peratus dengan cara pengajian deoband di india.

Aku meninggalkan Jamiah Abu Bakar, dan masuk ke Jamiah Farooqiah. Di Jamiah Farooqiah, aku berkawan dengan seorang teman berbangsa Afghanistan bernama Fadhl al-Rahman. Dia banyak mendedahkan dan membantu aku penguasaan bahasa arab.

Bersambung. ..

27 okt 2013 | 6:49 petang

BERGOLAK TAPI TIDAK GADUH (2)


Semasa belajar di pondok, memang ternyata aku berjumpa dengan seorang Tuan Guru yang Alim. Beliau seorang yang cukup berkemahiran dalam pengajian ilmu kalam aliran asyairah. Di pondok, aku terdedah dengan kitab bakurah amani, tulisan Pak Da Ae Fatani. Ini kerana, Allahyarham Tuan Guru Haji Abdullah memang anak murid Pak Da Ae.

Di pondok juga, aku mula mengenali ilmu nahu dan sorof bahasa arab. Abang Harun dari melaka adalah orang yang tidak jemu melayan kerenah aku bertalaqqi dengan beliau untuk ilmu tersebut.

Beliau mencadangkan aku hafal matan al-ajrumiyyah. Kata beliau, kalau nak kuasai baca kitab arab, wajib kena hafal kitab itu.

Ternyata aku ini pemalas untuk hafal kitab tersebut. Namun, aku perlu berfikir secara proaktif untuk nak memastikan dalam kemalasanku, dapat juga aku ingat kitab matan al-ajrumiyyah.

Aku fotokopi kitab yang besar itu dalam saiz yang kecil. Sebesar saiz yang boleh dibubuh dalam poket. Aku membuat jadual ke masjid awal 5 minit sebelum masuk waktu untuk hafal kitab tersebut dan hafal ulangan selepas solat fardu.

Ternyata, jadual sebegitu aku lakukan, aku berjaya menghafal kitab itu tidak sampai dua minggu.
aku belajar juga ilmu sorof mengikut kaedah mudah dari pondok seliau, Negeri Sembilan. Seorang ustaz yang bekas anak murid kesayangan Allahyarham Tuan Guru Haji Ali yang belajar di pondok Lubuk Tapah yang mengajar aku. Kaedahnya cukup mudah, iaitu tidak perlu hafal sampai empat belas wazan, tetapi cukup sekadar empat wazan. Selain dari itu, cukup sekadar ingat kaedah baris sahaja.

Tidak dilupakan, aku belajar kitab-kitab fiqh dalam mazhab syafie yang diajar oleh Tuan Guru Haji Abdullah, juga adik beliau, iaitu Tuan Guru Haji Ahmad. Tetapi sedih, menimba ilmu dari beliau tidak lama, kerana beliau dijemput Tuhan untuk mengadapNya.

Di kawasan pondok itu, ada seorang tokoh agamawan yang agak terkenal juga di sekitar Pasir Mas bernama Ustaz Mat Toif. Di khabarkan bahawa beliau tidak berapa "belaga angin" dengan Tuan Guru Haji Abdullah ekoran didakwa beliau beraliran wahabi. Dikhabarkan juga bahawa start tak "belaga angin" yang  paling ketara adalah apabila beliau memfatwakan bahawa solat di masjid Lubuk Tapah adalah haram, kerana betul-batul dihadapan masjid ada sebuah kubur, iaitu kubur Tuan Guru Haji Abdur Rahman, iaitu ayah kepada Tuan Guru Haji Abdullah. Aku tidak tahu sejauh mana kebenaran cerita fatwa Ust Mat Toif itu, kerana ia berlaku sebelum aku belajar di pondok lagi.

Namun begitu, Ustaz Mat Toif ini meninggal dunia semasa aku masih lagi menuntut di pondok.  menariknya, ketika solat jenazah di lakukan di masjid pondok lubuk tapah,  kelihatan dari jauh Tuan Guru Haji Abdullah turut sama menunaikan solat jenazah terhadap jenazah Ust Mat Toif.

Dalam keadaan begitu, aku bersama beberapa rakan, seperti Fauzi Baba,  Pok Su dan abang saufi, kami berulang alik ke Lati, Pasir Mas untuk menuntut ilmu tajwid dengan Tuan Guru dari Fatani tadi. Kami memanggil Beliau dengan panggilan baba, kerana menurut rakan-rakan, panggilan baba ini digunakan oleh orang Fatani untuk memang seseorang yang bergelar Tuan Guru.

Dengan beliau, aku mula belajar Qiraat warash, sifat huruf dan cara sebutan makhraj huruf dengan betul.

Bersambung lagi.....

27 okt 2013 | 3:26 petang

Saturday, 26 October 2013

BERGOLAK TAPI TIDAK GADUH (1)


Aku berhadapan dengan dilema fahaman agak lama. Sebelum aku hafal al-Quran di institut Pendidikan al-balaghul Mubin, aku selalu dengar ceramah dan kuliah agama di masjid dan di sekitar Selangor yang mengharamkan Wahabi. Ketika itu, aku tidak kenal lagi, apa itu wahabi.


dalam umur aku 13 tahun,  aku menghafal al-Quran.  Semasa menghafal al-Quran di institut Pendidikan al-balaghul mubin, aku belajar dengan dua orang guru lepasan jamiah abu Bakar, karachi. Disamping aku belajar dengan seorang tuan guru dari fatani.

Semasa belajar, seorang rakan yang berasal dari fatani, thailand yang merupakan anak kepada salah seorang guru pondok di fatani menyatakan kepada aku bahawa dua guru yang mengajar aku itu adalah wahabi. Dikatakan juga wahabi itu sesat.

aku kebingungan. Aku berjumpa dengan tuan guru bera
sal dari fatani dan bertanya kepadanya tentang wahabi. Beliau seorang Tuan Guru yang lembut dan rendah suaranya semasa bercakap. Dengan nada yang perlahan, beliau menceritakan tentang wahabi. Dinyatakan wahabi itu menolak tahlil arwah, menolak talkin orang yang sudah meninggal, tidak melakukan qunut subuh dan banyak lagi. Namun, tajuk yang paling bersemangat adalah tajuk bidaah.

Aku hanya mendengar sahaja kupasan Tuan Guru tanpa pandai menyampuk dan bertanya soalan.
Selepas itu, aku mula tidak senang belajar di institut itu. Kedengaran pula, Tuan guru fatani pula mahu berpindah ke tempat lain, tidak mengajar di institut itu, menjadikan aku semakin berkehendak berhenti belajar di institut itu dan mahu menuntut di institusi pengajian islam di tempat lain.

Aku bertanya kepada Tuan Guru, tempat mana yang terbaik untuk aku belajar selepas itu. Tuan Guru itu mencadangkan agar aku belajar di pondok lubuk Tapah, pasir mas, kelantan.  Kata beliau, Tuan Guru Haji Abdullah yang mengajar di pondok Lubuk Tapah adalah seorang yang cukup pakar dalam fiqh syafie dan hebat dalam pengajian ilmu kalam aliran asyairah.

ini ditambah lagi bahawa Tuan Guru dari Fatani itu berpindah ke Lati, pasir Mas. Ia tidak berapa jauh sangat dengan pondok lubuk tapah. Makanya boleh aku berulang alik ke rumah Tuan Guru dari Fatani ituu untuk bertalaqqi kitab dengan beliau.

aku pun berpindah ke pondok lubuk tapah. .....

Bersambung. ..

NEGARA KITA SEPERTI TIADA BERKAT

Dalam al-Quran, Allah Swt ada menyebut "sekiranya ahli sebuah kampung itu beriman dan bertaqwa, pasti kami akan membuka  pintu berkat untuk mereka dari langit dan bumi" (Surah al- a'raf, ayat 96)

Negara yang diturunkan keberkatan oleh Allah adalah negara yang berjaya melaksanakan keadilan, kebajikan, berikan hak kepada yang berhak dan berjaya hindari kerosakan dan kezaliman. Ia selaras dengan firman Allah yang bermaksud, "Sesungguhnya Allah menyuruh melaksanakan keadilan, ihsan (kebajikan), berikan kepada mereka terhampir, mencegah dari fahsyak, mungkar dan kezaliman" (surah al-Nahl, ayat 90)

Di negara ini, banyak keadilan tidak tercapai. Ekoran itu, berlaku penafian hak beragama bagi orang bukan Islam, fahsya atas nama provokasi agama terjadi, mungkar atas nama kebencian tertanam bermula dengan perkauman berputik dan banyak lagi yang berlaku.

keadaan ini mempamerkan keadaan negara ini tidak memenuhi piawaian yang dikehendaki oleh Allah. Sewajarnya, keadilan dan kebajikan ini mendaging dalam pengamalan untuk menghasilkan kejayaan dalam negara.

Apabila perkara ini boleh diamalkan, insya Allah kerajaan itu akan dikenali sebagai baldah toiyyibah wa rabun Ghafur, iaitu negara yang baik dan dipayungi pengampunan dosa dari Allah. Negara bentuk ini, sentiasa dilimpahi berkat yang dapat dimanfaatkan oleh semua rakyat, samada mereka yang muslim atau mereka yang tidak beragama islam.

Keberkatan dalam negara, kadangkala diberikan Tuhan kepada negara yang diperintah oleh orang bukan Islam. Kadangkala keberkatan itu menjauhi dari negara yang diperintahkan oleh orang Islam.
Firman Allah, "Tidak tuhan kamu itu membinasakan sebuah kerajaan secara zalim, sekiranya ahlinya saling melakukan islah". (Surah Hud, ayat 117)

Dalam kitab daur al-Qiyam wa al-akhlak fi al-Iqtisad al-Islami, al-Qaradawi menukilkan kupasan Imam Fahr al-Din al-Razi bahawa yang dimaksudkan dengan kerajaan menerusi ayat di atas merujuk kepada negara musyrikin. (al-Tafsir al-kabir, jld 8, hlmn 486, Daur al-Qiyam wa al-Akhlak fi al-Iqtisad al- Islami, hlmn 355)

Melihat kepada ayat ini, tidak hairan kita akan nampak bagaimana kerajaan bukan Islam, kadangkala kebaikan mereka amat jauh berbanding dengan negara umat Islam.

Negara umat Islam seperti Malaysia antara negara yang rasuahnya teruk dan ketirisannya menyedihkan. Lihat sahaja laporan audit negara, ia mampu mengubankan rambut bagi mereka memikirkannya secara serius. Barangan yang boleh dibeli dengan harga yang murah, tetapi peningkatan harga belian melebihi ratusan kali ganda.

Kesan dari itu, kita dapat lihat bagaimana rakyat menanggung banyak perkara ekoran kelemahan pentadbiran negara. Apabila tiada amanah, maka tunggu saat kerosakan.

Sabda Nabi, "apabila sesuatu urusan tidak diberikan kepada ahlinya (yang tidak layak dan tidak amanah), tunggulah saat kehancuran". (Al-Bukhari, hadis no : 57)

kesan dari itu, iaitu apabila dana negara semakin menipis, keperluan perbelanjaan negara pula semakin menebal, maka di situ mula kerisauan di pihak kerajaan untuk atasinya. Sewajarnya, atasi itu dengan penjimatan dari pihak penguasa, tetapi yang  kedengaran adalah kenaikan harga barang yang sudah pasti memberi kesan yang tidak enak kepada rakyat.

Apabila rakyat tertimpa beban ini, sudah pasti ada sebilangan rakyat akan mahu mencari jalan keluar untuk melepaskan diri mereka. Makanya kesan buruk semakin berlaku seperti rompakan bersenjata yang melibatkan pembunuhan terjadi.

Disamping itu pula, ada di sebilangan yang lain mengambil kesempatan untuk mencapai keuntungan yang tidak wajar, seperti didapati keterlibatan rompakan itu seakan-akan tidak jauh keterlibatannya dengan pihak berkuasa, seperti kedengaran berita pistol pihak polis jatuh dalam sungai, senjata api yang merbahaya tertinggal di tandas, rompakan melibatkan badan keselamatan dan sebagainya.

Sewajarnya kita perlu berfikir untuk menjayakan perlaksanaan keadilan dan kebajikan ini. Ia adalah sumber keberkatan dalam negara. Ia tidak lain, mesti bermula dari pentadbiran yang amanah dan pentadbir yang berkelayakan.

Wallahu alam

26 okt 2013 | 1:32 petang