Dalam syiah, pemimpin itu adalah lantikan tuhan. Makanya tidak
hairan, mereka meletakkan imam 12 dari kalangan ahl al-Bait, merujuk kepada
keluarga Nabi Muhammad SAW dari susur galur Ali dan Fatimah, Hasan dan semua
dari keturunan Husain. Ini membedakan dengan sunni yang meletakkan bahawa
pemimpin itu berdasarkan kepada kelayakkan, bukan lantikan tuhan.
Pada syiah, ahl al-Bait itu sifatnya suci dari sebarang dosa,
atau disebut dalam kata lain adalah ma’sum
berdasarkan kepada firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab, ayat 33;
إِنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ لِيُذْهِبَ عَنْكُمُ الرِّجْسَ
أَهْلَ الْبَيْتِ وَيُطَهِّرَكُمْ تَطْهِيرًا
Maksudnya;
“Sesungguhnya Allah hendak menghilangkan dosa dari kamu, hai ahlul
bait dan membersihkan kamu sebersih-bersihnya” (Surah al-Ahzab, ayat 33)
Ekoran itu tidak hairan, kita dapati bahawa sifat wala’ dalam
syiah dan sunni itu tidak sama. Selain itu, kritikan terhadap pemimpin secara
terbuka, dari sudut pandang syiah dan sunni juga turut tidak sama. Ini semua
kerana, sifat lantikan tuhan sememangnya suci (merujuk kepada Ahl al-Bait dalam
syiah), sedangkan lantikan pemimpin berdasarkan kelayakkan yang beoriantasikan
pilihan manusia, sudah pasti terdapat sebarang kelemahan dan kecacatan. Dengannya,
memerlukan kritikan dan pembaik pulih.
WALA’ PEMIMPIN
Dalam sunni, ketaatan kepada pemimpin itu tidak mutlak,
sebaliknya tertakluk kepada syarat. Dr Bashir Jahsy Maulud menyatakan dalam
buku fi al-Ijtihad al-Tinzili, bahawa antara syarat-syaratnya adalah;
1-
Sama ada tidak bercanggah dengan nas yang saheh dan
sareh, atau dalam kata lain, tidak menyanggahi hukum yang qatie atau pasti,
seperti tidak boleh taat jika pemimpin itu melarang agar tidak solat, agar
tidak berpuasa dan sebagainya.
Sabda Nabi Muhammad SAW;
السَّمْعُ وَالطَّاعَةُ عَلَى الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ فِيمَا
أَحَبَّ وَكَرِهَ مَا لَمْ يُؤْمَرْ بِمَعْصِيَةٍ فَإِنْ أُمِرَ بِمَعْصِيَةٍ فَلَا
سَمْعَ عَلَيْهِ وَلَا طَاعَةَ
Maksudnya;
“Dengar dan
taat menjadi tanggungjawab seseorang muslim pada perkara yang dia suka dan dia
tidak suka, selama ia tidak menyuruh kepada maksiat. Sekiranya dia disuruh
dengan maksiat, maka tiada dengar dan taat kepadanya” (al-Tirmizi, hadis no : 1629)
2-
atau, mentaati
pemimpin itu hendaklah tidak menyanggahi kemaslahatan umum. Dengan maksud, tidak
salah menyalahi pemimpin yang tidak melakukan kezaliman, penipuan, khianat,
fitnah dan sebagainya. ini kerana, tindakan
Sabda Nabi SAW;
لَيْسَ مِنَّا مَنْ دَعَا إِلَى عَصَبِيَّةٍ وَلَيْسَ مِنَّا مَنْ قَاتَلَ عَلَى
عَصَبِيَّةٍ وَلَيْسَ مِنَّا مَنْ مَاتَ عَلَى عَصَبِيَّةٍ
Maksudnya;
“Bukan dari
kalangan kami mereka yang menyeru kepada asobiah; bukan dari kalangan kami yang
berperang atas dasar asobiah; bukan dari kalangan kami orang yang mati atas
dasar asobiah” (Abu Daud, hadis no : 4456)
Dalam riwayat lain, Moyang kepada Wasilah bin al-Asyqa3
bertanya tentang maksud Asobiah. Nabi Muhammad SAW menjawab;
أَنْ تُعِينَ قَوْمَكَ عَلَى الظُّلْمِ
Maksudnya;
“Bahawa kami
membantu kaum kamu atas kezaliman” (Abu Daud, Hadis no : 4454)
Asas bagi keizinan tidak taat dalam kerangka ini adalah
kerana, sifat pemimpin dalam sunni itu adalah berdasarkan kepada kelayakkan
yang dilihat oleh manusia, bukan lantikan tuhan terhadap Ahl al-Bait seperti
yang difahami dalam syiah.
Atas asas lantikan pemimpin dalam sunni adalah dengan
kelayakkan, bukan lantikan Tuhan, makanya dalam sunni, ketaatan kepada pemimpin
itu bersifat rasional. Jika sesuatu keputusan itu mempamerkan kezaliman, atau
menguntungkan kelompok yang kecil berbanding menguntungkan rakyat secara
melata, keputusan yang memberi kerosakan yang lebih besar berbanding mencapai
kebaikan kepada rakyat, maka keputusan pemimpin itu tidak boleh ditaati,
malahan boleh ditolak dan dibantah.
Ini berdasarkan kepada hadis daripada Ali bin Abi Talib
bahawa beliau ada bercerita. Dalam satu peperangan, Nabi Muhammad SAW ada
melantik seorang lelaki dari ansar untuk mengepalai satu angkatan tentera. Nabi
Muhammad SAW mengarahkan agar para sahabat taat dengan perintah lelaki
terbabit. Satu masa, lelaki terbabit telah mengarahkan sahabat mengumpul kayu
dan para sahabat akur tanpa bantah. Kemudian,
disuruh mereka menyalakan api, juga mereka akur tanpa bantah. Lalu, lelaki itu
menyuruh semua para sahabat terjun dalam api yang dinyalakan tersebut.
sebilangan sahabat ada yang mahu terjun, tetapi dihalang sebilangan sahabat
yang lain. Mereka lari meninggalkan api tersebut dan menuju kepada Rasulullah
SAW. Mereka bertanya kepada Nabi Muhammad SAW perkara itu. Mendengar pertanyaan
mereka, nabi Muhammad SAW menjawab;
لَوْ دَخَلُوهَا مَا خَرَجُوا مِنْهَا إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ الطَّاعَةُ
فِي الْمَعْرُوفِ
Maksudnya;
“Kalau
mereka masuk dalam api tersebut, mereka tidak akan keluar dari api itu sampai
hari kiamat (masuk neraka). Ketaatan itu pada perkara ma’ruf” (al-Bukhari,
Hadis no : 3995)
Memahami perkara ini, kita akan dapati bahawa dalam sunni,
ketaatan terhadap pemimpin itu tidak akan lahir beberapa perkara, iaitu;
1-
Tidak akan berlaku asobiah dalam berpolitik
Larangan Asobiah ini, sudah dinyatakan nas larangannya di
atas.
2-
Tidak akan berlaku ghuluw dalam agama.
Larangan Ghuluw dalam agama ini cukup banyak terdapat dalam
nas, antaranya adalah seperti Firman Allah;
وَلَا تَعْتَدُوا إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ
Maksudnya;
“Jangan kamu
melampaui-lampau, sesungguhnya Allah SWT tidak suka kepada orang yang melampaui”
(Surah al-Baqarah, ayat 190)
Juga sabda Nabi SAW;
هَلَكَ الْمُتَنَطِّعُونَ
Maksudnya;
“Telah
binasa orang yang melampau-lampau” (Muslim, hadis no : 4823. Dalam hadis,
disebut bahawa Nabi SAW mengungkapkannya sebanyak 3 kali)
3-
Tidak akan berlaku budaya apa yang dinamakan halalkan
fitnah, khianat dan sebagainya atas nama agama
Larangan memfitnah sememangnya terhalang dalam Islam, juga
dari sudut fitrah manusia. melakukan tuduhan tanpa berasas, dalam beberapa
keadaan boleh dikenakan hukuman qazaf. Fitnah yang melibatkan penzinaan,
dikenakan qazaf yang berbentuk hudud. Adapun fitnah selain itu, dalam beberapa
keadaan boleh dikenakan hukuman ta’zir.
Mengkhianati juga bukan budaya Islam. Ini kerana, sifat Islam
itu mengajar agar menghormati perjanjian.
Firman Allah;
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا أَوْفُوا بِالْعُقُودِ
Maksudnya;
“Wahai orang-orang yang
beriman, sempurnakan janji-janji” (Surah al-Maidah, ayat 1)
Juga sabda Nabi Muhammad SAW;
الْمُسْلِمُونَ
عَلَى شُرُوطِهِمْ
Maksudnya;
“Orang Islam itu
berpegang dengan syarat-syarat mereka” (Abu Daud, hadis no : 3120)
Tindakan menghalalkan khinat dan melanggar perjanjian adalah
perkara yang diharamkan dalam agama. jika pemimpin melakukannya, lalu ada ahli
bawahan mempertahankan tindakan itu, ia sama seperti apa yang Allah SWT
nyatakan tentang Bani Israel.
Firman Allah;
اتَّخَذُوا أَحْبَارَهُمْ وَرُهْبَانَهُمْ أَرْبَابًا مِنْ
دُونِ اللَّهِ
Maksudnya;
“Mereka menjadikan para
ahbar dan para rahib sembahan selain dari Allah” (Surah al-taubah, ayat 31)
dalam menafsirkan ayat ini, Imam Ibn Kathir mendatangkan satu kisah
tentang seorang lelaki ahli kitab bernama ‘Adi bin Hatim yang datang kepada
Nabi dalam keadaan memakai salib ditengkoknya. Ketika mendengar ayat ini, ‘Adi
bertanya kepada Rasulullah SAW bahawa ahl kitab tidak pernah menyembah para
rahib dan ahbar mereka. Mendengar itu, Nabi Muhammad SAW menyatakan;
بلى،
إنهم حرموا عليهم الحلال، وأحلوا لهم الحرام،
فاتبعوهم، فذلك عبادتهم إياهم
Maksudnya;
“Sememangnya.
Sesungguhnya (para rahib dan para ahbar) mereka haramkan kepada mereka perkara
halal, dan halalkan kepada mereka perkara yang haram, lalu mereka ikut para
rahib dan para ahbar mereka, maka itu adalah sembahan mereka kepada para rahib
ran para ahbar mereka” (Ibn Kathir, jld 4, hlmn 135)
Bersambung….
No comments:
Post a Comment