Thursday, 20 June 2013

[BICARA FIQH] PEREMPUAN JADI AMIL ZAKAT

Ulama berkhilaf dan berselisih pendapat dalam menentukan keizinan orang perempuan menjadi amil zakat. Mereka adalah seperti berikut;

Satu :
Orang Perempuan boleh menjadi amil zakat. Pendapat ini didokong oleh kebanyakkan ulama-ulama dalam mazhab Hanbali. (Kasyf al-Qana’, jld 2, hlmn 275)

Dua :
Orang perempuan tidak boleh menjadi amil zakat. Pendapat ini didokong oleh kebanyakkan ulama dalam mazhab Syafie, Maliki dan satu riwayat dalam mazhab Hanbali. (Jawahir al-Iklil, jld 1, hlmn 138; Majmuk, jld 6, hlmn 173)

HUJJAH

Pendapat masing-masing mempunyai hujjah yang mantap. Hujjah-hujjah itu adalah seperti berikut;

Satu :
Firman Allah SWT;

إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا

Maksudnya;
            “Hanya sesungguhnya sedekah (zakat) itu diberikan kepada fakir, Miskin, para amil”  (Surah al-Taubah, ayat 60)

Golongan yang melarang perempuan menjadi amil menggunakan alasan bahawa dalam ayat ini, Allah SWT menyatakan bahawa antara yang boleh menerima zakat adalah amil zakat. Dalam ayat ini, kalimah Amil di sini menggunakan imbangan jamak muzakkar salim, iaitu lelaki.

Golongan yang mengizinkan pula menyatakan, walaupun ayat ini mengggunakan lafaz muzakkar (lelaki), tetapi ia mengandungi maksud yang umum. Ini kerana, tidak ada satu nas secara saheh dan sareh mengkhususkan penggunaan ayat ini untuk lelaki, malahan tiada juga nas secara saheh dan sareh menyatakan mentakhsiskan umum ayat ini dengan melarang perempuan dari menjadi ‘Amil.

Dua :
Nabi SAW ada berkata;

لَنْ يُفْلِحَ قَوْمٌ وَلَّوْا أَمْرَهُمْ امْرَأَةً

Maksudnya;
            “Tidak berjaya kaum yang melantik perempuan uruskan urusan mereka” (al-Bukhari, hadis no : 4073)

Golongan yang melarang menjadikan hadis ini sebagai alasan bahawa maksud dalam hadis ini, Nabi SAW menyatakan bahawa urusan kaum itu tidak boleh diserahkan kepada perempuan. Makanya, orang perempuan tidak boleh menguruskan urusan zakat.

Golongan yang mengizinkan pula menyatakan, larangan dalam hadis ini bersifat wilayah ammah, iaitu kepimpinan yang besar. Iaitu, ia melibatkan membuat keputusan dalam perkara kenegaraan yang bersifat menyendiri. Adapun sebagai pembuat kerja seperti kerja ‘Amil zakat, ia tidak termasuk dalam maksud hadis ini.

Tiga :
Golongan yang melarang perempuan menjadi Amil menyatakan bahawa tidak terdapat satu pengamalan di zaman Nabi Muhammad SAW, juga para sahabat yang menyatakan perlantikan perempuan sebagai ‘Amil zakat.

Namun, golongan yang mengizinkan pula menyatakan bahawa tidak terdapat dalam pengamalan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat terdahulu, tidak memberi maksud atas pengharaman. Ini kerana, soal kutipan wang zakat (Amil), ia bukan perkara ibadat secara khsuus yang memerlukan kepada nas yang saheh dan sareh, tetapi ia tertakluk kepada kemaslahatan. Makanya, larangan atas alasan tidak berlaku pada zaman nabi dan para sahabat adalah tidak tepat.

Wallahu ‘Alam..




No comments:

Post a Comment