Thursday 30 January 2014

Al-Hallaj

SUDUT-SUDUT "ANA AL-HAQ" HALLAJ

Perkataan kontroversi seorang tokoh sufi bernama al-Hallaj mengundang tafsiran buruk dari pihak yang membenci beliau.  Ungkapan "Ana al-Haq" atau aku Tuhan yang benar membawa Hallaj ke medan terbunuh. Didakwa beliau murtad ekoran perkataan itu.

Ada pihak mendakwa bahawa dia diarah bunuh bukan kerana kalimah itu, sebaliknya pemerintah yang tidak senang dengan gerakan melawan penguasa zalim ketika itu. Namun,  ana al-Haq sebagai perkataan yang di kambing-hitamkan untuk menghalalkan darah beliau.

Itu bukan tajuk yang mahu dibincang di sini, sebaliknya fokus perbincangan tertumpu pada perkara yang ada di sebalik ungkapan tersebut.
Secara ringkasnya, sebutan ana al-Haq itu dilihat pada sudut-sudut berikut;

SUDUT SATU : TASYA'UR

Tasya'ur adalah ungkapan sesuatu perkataan yang datang dari perasaan diri ketika pengungkap empatikan dirinya kepada pihak yang diempatikan, atau dalam bahasa lain, tasya'ur itu adalah empati.

Ia umpama seseorang yang mendengar sesuatu ungkapan resah hati rakannya. Semasa rakannya bercerita,  dia meletakkan dirinya seperti berada dalam diri rakannya itu untuk hayati segala kesedihan dan keresahan rakannya itu. Apabila keadaan ini wujud, sudah pasti penghayatan terhadap keresahan tersebut mencapai tahap semaksima mungkin.

Perkara ini pernah  digunakan oleh Nabi saw, makanya lahirlah satu perbincangan yang dinamakan sebagai Hadis Qudsi. Ungkapan itu dari Nabi saw, tetapi diempatikan diri baginda dengan Tuhan, makanya diungkap dalam sebutan "aku".

Contoh hadis Qudsi seperti  Sabda Nabi saw bahawa Allah berfirman,  "Aku haramkan zalim pada diriKu, lalu Aku haramkan ia berlaku di kalangan kamu".

Semasa Nabi Muhammad saw ungkapkan itu, bukan bermaksud Nabi Muhamad itu merasakan atau mendakwa diri baginda sebagai Tuhan, tetapi sebagai empati tentang keadilan Tuhan dan kebencian Tuhan terhadap kezaliman.

Keadaan yang hampir sama dengan ungkapan Hallaj semasa mengungkapkan "Ana al-Haq". Ungkapan itu, bukan bermaksud Hallaj mengakui bahawa dirinya Tuhan, tetapi ungkapan mempamerkan empati terhadap kebenaran Tuhan yang Maha Benar.

SUDUT DUA : TAQRIR WA TAMKIN

Ungkapan ini lahir ekoran ada pertembungan dalam diri Hallaj tentang pengakuan terhadap kebenaran Allah dengan desakan hawa nafsu.

Ia diumpamakan seperti seseorang ahli PAS yang dituduh sebagai Ahli UMNO. Bagi hendak menafikan tuduhan itu, dia berulang - ulang mengatakan "Aku ahli Pas". Apabila kemuncak ulangan, ia tidak lagi diungkap "Aku Ahli Pas", tetapi sudah diungkap "Aku PAS".

Ungkapan itu tidak memberi maksud bahawa dia adalah parti PAS, tetapi ungkapan itu sengaja diulang - ulang untuk menolak desakan yang menuduh dia sebagai ahli UMNO.

Keadaan yang sama berlaku pada Hallaj yang sedang kemabukan dan kefana'an tentang kebenaran Tuhan. Lalu, apabila ada desakan hawa nafsu yang menganggu hatinya yang sedang agungkan kebenaran Ilahi, menjadikan dia mengulang - ulang ungkapan "Ana al-Haq" bagi memastikan desakan hawa nafsunya itu tidak mendominasi hatinya yang sedang keasyikan dengan kebenaran Ilahi.

SUDUT TIGA : TAHQIQ WA TAZHIR

Pada ungkapan syahadah, iaitu "La Ilaha Illa Allah", ia mengandungi maksud penafian segala makhluk sebagai Tuhan kecuali Allah sahaja Tuhan yang layak disembah.

Di kalangan orang-orang sufi, ungkapan itu memberi maksud yang jauh lebih dalam dari kefahaman umum. Antaranya adalah penafian terhadap segala ilusi, tetapi akui terhadap hakikat yang sebenar. Dalam maksud yang mudah, ia seakan-akan ungkapan yang mengatakan "Semua adalah ilusi, kecuali Allah sahaja yang hakikat sebenar".

Pandangan mata terhadap segala makhluk di dunia, dianggap sebagai ilusi yang menghijab untuk melihat hakikat Ilahi. Ekoran itu, bagi orang-orang sufi, kemuncak dalam zikir bukan semata-mata lafaz zikir yang dinyanyikan, tetapi keseragaman jiwa dan raga ketika ungkapan zikir dilantunkan. Keseragaman lantunan zikir itu, menjadikan mereka merasakan bahawa mereka tenggelam dalam hakikat, sehingga merasakan semua selain itu sebagai ilusi.

Ungkapan "Ana al-Haq" oleh Hallaj mengandungi maksud begitu,  iaitu lantunan kalimah ana al-Haq yang menjadikan dirinya terasa sebati dalam kebenaran hakikat Ilahi, sedangkan selain dari Tuhan itu adalah ilusi, bukan kebenaran.

Wallahu alam

30 Jan 2014 | 6 petang | Ulu Kelang