Saturday 14 December 2013

[catatan politik] MAT SABU BAHAYA

Aku kenali Mat Sabu sejak dari kecil. Masa belajar di pondok, tokoh politik yang menjadi "hubungan semut" yang aku kenal selain Allahyarham Ust Bunyamin Yaaqub, Ust Nasrudin Daud, Abe Jak Abbas dan sebagainya adalah Mat Sabu.

Mat sabu menjadi kegerunan BN. Menariknya, kegerunan pimpinan BN terhadap Mat Sabu, tetapi ada sebilangan ahli UMNO yang berminat dengan ceramah Mat Sabu. Aku pernah mendengar seorang pak cik bermazhab UMNO di kampung aku yang berbicara tentang Mat Sabu, dia menyatakan bahawa dia suka mendengar ceramah Mat Sabu kerana pendedahan dan celoteh Mat Sabu yang agak kelakar.

Aku berpendapat lagi bahawa Mat Sabu adalah bahaya bagi BN, apabila aku melihat bagaimana isu Mat Indera dimainkan sebegitu rupa oleh BN dengan hasrat mahu menutupkan aura BERSIH. Ternyata, aura bersih berjaya ditutupkan dengan isu mat indera yang melibatkan Mat Sabu.

Dalam muktamar PAS baru-baru ini,  tajuk Mat Sabu juga agak kuat. Tuduhan syiah dan liberal kedengaran yang dipopularkan oleh sebilangan ustaz-ustaz PAS. Dilakukan tuduhan melulu kepada individu tertentu sebagai liberal, disamping tuduhan syiah juga dilontarkan kepada Mat Sabu.

Tuduhan yang tidak pernah berjaya dibuktikan itu tersebar, tetapi tidak berjaya mengalahkan Mat Sabu yang bertanding dalam Jawatan Timbalan Presiden Pas.

Selepas kemenangan Mat Sabu sebagai Timbalan Presiden Pas, Mat Sabu bersama rakan-rakan dari PR merancang untuk mengadakan satu himpunan besar untuk hadapi hegemoni BN dalam membebankan rakyat.

ketika itu, tuduhan terhadap mat sabu yang tidak berbukti itu dijangka berhenti selepas muktamar ekoran isu tuduhan wahabi oleh mufti kedah terhadap Bekas Mufti Perlis, Dr MAZA, namun bergema pula ketika rakyat malaysia sudah dibising tentang banyak harga barang bakal naik.

Kebisingan bermula dalam himpunan agung Umno. Kenyataan tuduhan syiah terhadap Mat sabu dari salah seorang menteri yang tersebar satu video wawancara di Indonesia yang membuktikan beliau seorang yang berasal di Indonesia dan masih ada keluarga tinggal di sana. Tuduhan yang tidak punyai bukti, tetapi selepas itu KDN cuba buktikan, namun bukti pula menjadikan ramai rakyat Malaysia ketawa "berguling-guling".

Ekoran tuduhan itu, perbincangan tentang syiah lebih meluas. Ustaz-ustaz yang dianggap pelawan syiah tegar semakin laku. Mereka dijemput berceramah di serata malaysia. Mereka laku melebihi goreng pisang yang masih panas di gerai-gerai makanan ringan.

Dengan kebisingan itu, isu yang melibatkan bebanan rakyat secara melata seperti kenaikan harga barang sudah tenggelam. Di kenduri-kenduri kahwin,  tajuk kebebanan rakyat ini sudah dilupakan.

Difikirkan balik,  mat sabu memang bahaya bagi BN. Mat Sabu harus dihapuskan dari politik Malaysia menurut sudut pandang BN.

Wallahu alam.

14 Dis 2013 | 11:19 malam | Restoran Maulana, serdang.