Sunday 16 June 2013

TEGUR PEMIMPIN TERBUKA : TIADA WILAYAH FAQEH DALAM SUNNI (7)

Apabila Imam dari kalangan Ahl al-Bait dalam syiah meletakkan bahawa mereka lantikan tuhan, makanya tidak hairan cara kritikan terhadap imam secara terbuka adalah satu perkara yang cukup dijaga. Perkara ini berbeda dengan Sunni. Ini kerana, perlantikan pemimpin dalam Sunni bukan berasaskan kepada lantikan tuhan, tetapi kelayakkan yang beroreantasikan pilihan manusia yang sudah pasti terdapat kelemahan.

Dalam sunni, perkara politik itu sifatnya adalah mutaghayyirat atau berubah-ubah. Sebarang sebutan nas al-Quran atau hadis dalam perkara politik, ia tidak sawabit atau tetap, tetapi berubah-ubah dengan tertakluk kepada tiga perkara asas; Masa, tempat dan kondisi. Perkara sawabit dalam politik di sisi sunni adalah, hendaklah tercapainya keadilan, menolak kezaliman semampu mungkin, rakyat mendapat kemaslahatan mereka, pentadbiran yang baik dan pemberian hak kepada yang berhak.

Ekoran itu, apabila terdapat hadis yang menceritakan tentang politik, seperti  larangan menegur pemimpin secara terbuka, pemimpin dari kalangan Quraish, larangan menjatuhkan mereka selama mereka menunaikan solat dan sebagainya, hadis-hadis itu hendaklah dilihat kepada kerangkanya yang sebenar, bukan dilihat dari sudut yang literal dan jumud.

Kebiasaan mereka yang melarang mengkritik pemimpin secara terbuka, mereka bersandarkan kepada hadis-hadis berikut;

مَنْ أَرَادَ أَنْ يَنْصَحَ لِسُلْطَانٍ بِأَمْرٍ فَلَا يُبْدِ لَهُ عَلَانِيَةً وَلَكِنْ لِيَأْخُذْ بِيَدِهِ فَيَخْلُوَ بِهِ فَإِنْ قَبِلَ مِنْهُ فَذَاكَ وَإِلَّا كَانَ قَدْ أَدَّى الَّذِي عَلَيْهِ لَهُ

Maksudnya;
            “barangsiapa mahu memberi nasihat kepada pemerintah terhadap sesuatu perkara, maka tidak boleh dia lakukannya secara terbuka, tetapi hendaklah dia pegang tangannya, lalu menyendiri dengannya. Jika dia menerima, maka itu sepatutnya. Jika tidak menerima, dia telah menunaikan perkara yang sewajarnya dia lakukan” (Musnad Ahmad, hadis no : 14792)

Ulasan hadis ini adalah seperti berikut;

Ulasan Pertama;

Hadis ini adalah hadis yang lemah (doif). Alasan-alasannya adalah seperti berikut;


Satu;

Dalam hadis ini didapati Syuraih bin Ubaid al-Hadhrami mengambil hadis dari Iyadh bin Al-Ghanm. Didapati kedua-dua periwayat hadis ini tidak pernah bertemu. Ini kerana, kelahiran Syuraih bin Ubaid ketika Iyadh bin al-Ghanm telah meninggal dunia.

Dari sudut perbahasa satu ini, hadis ini dibawah maksud mursal al-Tabiin, kerana Syuraih adalah tabiin yang tidak pernah berjumpa dengan sahabat bernama Iyyad bin Ghanm. Dalam Mazhab al-Syafie mengamalkan hadis mursal tabiin dengan syarat, tabiin tersebut seorang tabiin yang besar, yang disebut secara khusus adalah Said bin Musayyib, sedangkan dalam mazhab selain syafie, Mursal Tabiin tidak boleh dijadikan sebagai hujjah.

Dua;

Dalam kitab al-Sunnah oleh Abu Asim (1097), dalam sanadnya terdapat seorang perawi bernama Muhammad bin Ismail. Menurut al-Hafiz dalam kitab al-Isobah, beliau adalah seorang yang terlalu lemah.

Tiga;

Dalam al-Mustadrak (5269), dalam sanadnya terdapat seorang perawi bernama Ishaq bin Ibrahim. Menurut Imam Al-Nasaie bahawa dia tidak siqah (tarikh Damsyik), dan imam Abu Daud pula menyatakan bahawa dia tidak ada apa-apa pun (mizan al-iktidal).

Ulasan Kedua;

Jika DIANDAIKAN saheh atau hasan sekalipun hadis ini, perlu diperhatikan bahawa hadis ini bukan bersifat mutlak, tetapi ia bersifat maalat al-Af’al atau perlu diilihat kepada implikasi hadisnya. Ini kerana, hadis ini ada sambungannya, iaitu bahawa Iyyad bin Ghanm berkata kepada Hisyam seperti berikut;

فَهَلَّا خَشِيتَ أَنْ يَقْتُلَكَ السُّلْطَانُ فَتَكُونَ قَتِيلَ سُلْطَانِ اللَّهِ تَبَارَكَ وَتَعَالَى

            Maksudnya;
            “apakah kamu tidak takut bahawa sultan Allah (pemerintah) akan membunuh kamu, maka jadilah kamu orang yang dibunuh oleh Sultan Allah (pemerintah)”


Jadi, merujuk kepada hadis di atas sebagai alasan untuk mengatakan tidak boleh menegur pemerintah secara terbuka seperti yang didakwa oleh kebanyakkan golongan literalis adalah tidak tepat dan tidak benar sama sekali.

kesalahan merujuk kepada hadis ini, sama ada hadis ini adalah hadis yang lemah, ataupun jika di andaikan sahih sekalipun, ia adalah bersifat Maalat al-Af’al, iaitu melibatkan kepada implikasi terhadap sesuatu perbuatan.

Makanya, dalam larangan dalam hadis ini adalah seperti berikut;

Pertama :

Larangan hadis ini adalah dalam kerangka negara monarki, tetapi tidak dalam negara yang mengamalkan demokrasi. Ini kerana, hak kebebasan bersuara dan mengkritik pemimpin secara terbuka merupakan hak yang telah diberikan dalam sistem demokrasi. Malahan, ia selaras dengan Islam itu sendiri. Kerana, Nabi SAW ada menyatakan;

فَإِنَّ لِصَاحِبِ الْحَقِّ مَقَالًا

Maksudnya;
            “Sesungguhnya bagi orang yang ada hak, hendaklah diberikan ruangan bersuara” (al-Bukhari, 2141)

Juga selaras dengan pengamalan dalam pemerintahan empat khalifah selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW, seperti kritikan Ubbadah bin al-Somit terhadap Muawiyah yang merupakan gabenor Sham dalam pemerintahan khilafah Umar bin al-Khattab, teguran seorang muslimat terhadap Umar tentang isu mas kahwin dan sebagainya. Semua ini sudah pasti tidak dijadikan sandaran oleh mereka yang beraliran syiah, kerana kesemua sahabat-sahabat ini ditolak oleh syiah, khususnya sahabat bernama Umar bin al-Khattab.


Kedua :

Jika dalam kerangka negara monarki sekalipun, larangan itu tertakluk kepada maalat al-Af’al atau implikasi terhadap sesuatu perbuatan. Iaitu, larangan itu jika mendatangkan keburukan yang lebih besar, iaitu pembunuhan balik terhadap pihak yang menegur.  Jika teguran secara terbuka itu mendatangkan kebaikan yang lebih besar, seperti pemerintahan yang progresif, perubahan membawa kepada pemberian imej yang baik kepada Islam dan sebagainya,  makanya larangan tidak termasuk dalam maksud hadis di atas.

Bersambung….





No comments:

Post a Comment