Wednesday 26 August 2015

HADIS DAN PERCANGGAHAN DENGAN AKAL

HADIS DAN PERCANGGAHAN DENGAN AKAL

Oleh :
Wan Ji bin Wan Hussin



MUQADDIMAH

Al-Quran dan Hadis diturunkan untuk kebaikan manusia. Manusia tidak akan mencapai kebaikan menerusi dua sumber utama ini, jika ia tidak menberikan kefahaman kepada manusia.

Apabila disebut kefahaman pada hadis, sudah pasti ia melibatkan kepada beberapa faktor besar dalam syariah; iaitu tidak bercanggah dari sudut Usul bagi syariah, tidak bercanggah dengan wahyu-wahyu yang lain, sebaliknya bersifat saling kuat menguatkan antara satu dengan yang lain, dan tidak bercanggah dari sudut penerimaan pada akal.

Dengan asas ini, kadangkala wujud kalangan manusia yang mudah sangat terus menolak sesuatu hadis dengan alasan ia tidak masuk akal, ia tidak selaras dengan usul syariah dan tidak selaras dengan wahyu-wahyu lain, tanpa ada pemerhatian mendalam terlebih dahulu sebelum mengambil sikap untuk menolak.


1. AKAL DAN WAHYU

Secara dasar, akal tidak bercanggah dengan wahyu. Perkara ini disebut oleh ramai ulama-ulama yang muktabar.

Ibn Taimiyyah menyatakan, "nukilan (wahyu) yang saheh tidak mungkin menyalahi akal yang jelas"[1].

فَإِنَّ الْعَقْلَ الصَّرِيحَ لَا يُخَالِفُ شيئًا من النَّقْلَ الصَّحِيحَ


al-Imam al-Syatibi pula pernah berkata, "dalil-dalil syariah, tidak menyalahi dengan tuntutan akal"[2].

الْأَدِلَّةُ الشَّرْعِيَّةُ لَا تُنَافِي قَضَايَا الْعُقُول


Ibn Qayyim menyatakan bahawa para Rasul itu tidak akan memberitahu perkara yang mustahil bagi akal, walaupun mereka boleh memberitahu perkara yang dijahili oleh akal[3].


ونحن نعلم قطعا أن الرسل لا يخبرون بمحال العقول وإن أخبروا بمحارات العقول


Dari nukilan perkataan ulama-ulama yang muktabar ini, amat nyata bahawa akal tidak bercanggah dengan wahyu, sama ada wahyu itu bernama al-Quran ataupun ia bernama Hadis.

2. MENOLAK HADIS?

Namun begitu, ada beberapa keadaan, di jumpai beberapa hadis Nabi saw yang kandungannya kelihatan bercanggah, malahan kadangkala tidak masuk akal langsung. Ia tidak sepertimana semua kandungan AlQuran yang ayat-ayatnya sememangnya masuk akal, malahan jika ada yang kelihatan seperti tidak masuk akal, ternyata ia hanya dilihat dari sudut literal sahaja. Namun, jika dilihat dari sudut metafora, didapati kandungannya amat masuk akal.

Dari sudut subut, iaitu cara wahyu itu disampaikan kepada kita, ternyata ada perbedaan antara al-Quran dan hadis. Ini kerana, semua kandungan al-Quran adalah mutawatir, sedangkan hadis pula, yang bersifat mutawatir itu hanya sikit sahaja, sebaliknya yang bersifat ahad itu amat banyak. Mengenangkan keadaan itu, tidak hairan wujud perdebatan tentang menerima sesuatu hadis dalam kalangan ulama tertentu dan wujud pula dalam kalangan ulama yang lain menolak sesuatu hadis.

Menolak itu, bukan bermakna mereka anti-hadis, tetapi penolakan itu bersebabkan wujud keraguan pada sanad dan matan hadis. Dengan erti kata lain, jika tidak ada keraguan, sudah pasti hadis tersebut diterima dan diguna pakai. Kesan dari itulah, menyebabkan ada perbincangan tentang status hadis, apakah ia sahih, doif, hasan, palsu dan sebagainya.

Mengenangkan hal itu, tidak hairan Ibn al-Jauzi ada menyatakan, "apabila kamu melihat hadis yang menyalahi akal, tidak selaras dengan manqul (nas-nas yang lain) dan menyanggahi usul, maka ketahuilah bahawa ia adalah palsu"[4].

مَا أَحْسَنَ قَوْلَ الْقَائِلِ: إِذَا رَأَيْتَ الْحَدِيثَ يُبَايِنُ الْمَعْقُولَ أَوْ يُخَالِفُ الْمَنْقُولَ أَوْ يُنَاقِضُ الْأُصُولَ فَاعْلَمْ أَنَّهُ مَوْضُوعٌ


al-Subki juga ada menyatakan sebilangan hadis yang diriwayatkan dari Nabi, perkara yang tidak ditakwil kerana bercanggah dengan dalil akal. Beliau menyatakan juga bahawa apabila hadis itu sememangnya tidak boleh ditakwil, maka hendaklah ia ditegah dari menyatakan ia datang dari Nabi secara Qatie[5].

ان من جملة ما روي عنه صلى الله عليه وسلم ما لا يقبل التأويل إما لمعارضة الدليل العقلي أو غير ذلك مما يوجب عدم قبوله للتأويل فيمتنع صدوره عنه عليه السلام قطعا


Lebih menarik adalah komentar dari Abu Ishaq al-Syirazi yang menyatakan hadis yang dipercayai dari sudut sanadnya boleh ditolak jika kandungan hadis itu menyalahi akal, bercanggah dengan nas yang mutawatir (al Quran atau sunnah) dan menyalahi ijmak[6].

إذا روي الخبر ثقة رد بأمور: أحدها: أن يخالف موجبات العقول فيعلم بطلانه لأن الشرع إنما يرد بمجوزات العقول وأما بخلاف العقول فلا. والثاني: أن يخالف نص كتاب أو سنة متواترة فيعلم أنه لا أصل له أو منسوخ. والثالث: أن يخالف الإجماع فيستدل به على أنه منسوخ أو لا أصل له لأنه لا يجوز أن يكون صحيحا غير منسوخ وتجمع الأمة على خلافه

Malahan, perkara ini ada ditegaskan dalam hadis bahawa Nabi saw ada menyatakan bahawa hadis yang pelik dan jauh dari kebiasaan manusia, maka ia bukan dari Nabi saw[7].

عَنْ أَبِي حُمَيْدٍ، وأَبِي أُسَيْدٍ ، أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: " إِذَا سَمِعْتُمُ الْحَدِيثَ عَنِّي تَعْرِفُهُ قُلُوبُكُمْ، وَتَلِينُ لَهُ أَشْعَارُكُمْ، وَأَبْشَارُكُمْ، وَتَرَوْنَ أَنَّهُ مِنْكُمْ قَرِيبٌ، فَأَنَا أَوْلَاكُمْ بِهِ، وَإِذَا سَمِعْتُمُ الْحَدِيثَ عَنِّي تُنْكِرُهُ قُلُوبُكُمْ، وَتَنْفِرُ أَشْعَارُكُمْ، وَأَبْشَارُكُمْ، وَتَرَوْنَ أَنَّهُ مِنْكُمْ بَعِيدٌ فَأَنَا أَبْعَدُكُمْ مِنْهُ "

Justeru, disamping melihat kepada sanad hadis dan perawi-perawinya, sesuatu hadis itu juga perlu diperhatikan dalam beberapa faktor untuk menjadikannya diterima atau ditolak. Antaranya adalah seperti berikut;

1. Matan hadis tidak mengandungi kalimah-kalimah yang ganjil yang menafikan ketinggian akhlak, menafikan kefasihan, menafikan kejelasan penerangan dan menyalahi kemuliaan dan kemaksuman Nabi Muhammad saw. Contohnya, seperti wujudnya hadis yang Nabi saw melarang membaca Saidina dalam solat. Ini kerana, penggunaan hadis dengan kalimah “la Tusaiyyiduni” iaitu dengan menggunakan huruf “ya” adalah gambaran tidak fushah dalam bahasa arab, sedangkan Nabi Muhammad saw ada manusia yang paling fasih, yang sudah sewajarnya menggunakan huruf “waw”[8].

"لا تسودوني في الصلاة". قال في "المقاصد": لا أصل له، وقال الناجي في أوائل مولده المسمى بـ "كنز العفاة": وأما النقل عن سيد الورى: "لا تسودوني في الصلاة"؛ فكذب مولد مفترى، والعوام مع إيرادهم له يلحنون فيه أيضًا فيقولون: "لا تسيدوني" بالياء؛ وإنما اللفظة بالواو

2. Kandungan hadis itu menyalahi akal sihat, atau sesuatu ungkapan Nabi yang tidak boleh ditakwilkan. Contohnya, seperti hadis Bahtera Nabi Noh. Dalam hadis itu, dipamerkan bahawa bahtera Noh itu tawaf keliling Kaabah sebanyak tujuh kali dan bahtera itu menunaikan solat dua rakaat di Maqam Ibrahim[9].

إن سفينة نوح طافت بالبيت سبعا، وصلت خلف المقام ركعتين.

Hadis ini ternyata palsu, kerana tidak diterima akal bahawa bahtera boleh menunaikan solat di maqam Ibrahim dan bahtera boleh melakukan tawaf keliling kaabah. Lebih-lebih lagi, ketika itu, bangunan Kaabah belum dibina lagi, kerana ia dibina pada era Nabi Ibrahim yang pada masa Nabi Nuh, Nabi Ibrahim belum ada lagi.

3. Kandungan hadis itu menyalahi dengan usul, kebiasaan bagi manusia dan menyalahi akhlak islam. Contohnya seperti hadis menyatakan, "tidak ada kezaliman pada masyarakat Turki. Tidak ada keadilan pada masyarakat arab". Ini kerana, adil dan zalim tidak melibatkan bangsa tertentu, sebaliknya berdasarkan kejahatan yang memang wujud dalam diri manusia itu. Lebih-lebih lagi, dalam hadis yang saheh ada menyatakan bahawa pemimpin dari kalangan Quraish yang sudah pasti kabilah itu berasal dari arab[10].

لا جور الترك, ولا عدل العرب. قال في التمييز: كلام ساقط وليس بحديث، وقال القاري: بل كفر صريح ظاهره, حيث فَضَّلَ ظلم جماعة على عدل آخرين, مع أن أهل العدل أحسن أجناس الناس، وأهل الجور أصلهم الأنجاس، وقال النجم: كلام ساقط مفترًى، وقد جعل الله النبوة والخلافة في قريش, وهم سادات العرب

Atau seperti hadis yang dinilai palsu oleh Albani bahawa Nabi saw kononnya berkata, bahawa orang yang memberi nama kepada anaknya dengan nama Muhammad, dia dan anaknya itu adalah ahli syurga[11].

من ولد له مولود، فسماه محمدا تبركا به، كان هو ومولوده في الجنة


Hadis ini ditolak kerana ia bercanggah dengan usul islam yang meletakkan kelayakkan syurga bukan pada keturunan dan nama, tetapi pasa amalan soleh.

4. Kandungan hadis itu boleh membawa kepada kepada dosa, hawa nafsu dan menyeru kepada kerosakan akhlak dalam masyarakat manusia. Seperti hadis yang menyatakan melihat wajah yang cantik adalah ibadat[12].

ونقل ابن القيم عن شيخه ابن تيمية أنه سئل عن حديث: "النظر إلى الوجه الجميل عبادة"، فأجاب بأنه: كذب باطل على رسول الله صلى الله عليه وسلم، لم يروه أحد بإسناد صحيح، بل هو من "الموضوعات"

5. Kandungan hadis itu menyalahi dengan kajian secara empirikal, seperti hadis yang menyatakan terung adalah ubat segala penyakit[13].

إِنَّمَا الْبَاذِنْجَانُ شِفَاءٌ مِنْ كُلِّ دَاءٍ وَلا دَاءَ فِيهِ ". هَذَا حَدِيثٌ مَوْضُوعٌ عَلَى رَسُول الله صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَلَا سقى الْغَيْث قبر من وَضعه لِأَنَّهُ قصد شين الشَّرِيعَة بِنِسْبَة رَسُول اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَى غير مُقْتَضى الْحِكْمَة والطب، ثُمَّ نسبه إِلَى ترك الْأَدَب فِي أكل باذنجانة فِي لقْمَة، والباذنجان من أردأ المأكولات خلطه يَسْتَحِيل مَرَّةً سَوْدَاء وَيفْسد اللَّوْن ويكلف الْوَجْه وَيُورث البهق والسدد والبواسير وداء السرطان.

6. Kandungan hadis itu menyalahi kandungan al-Quran. Contohnya, hadis yang menyatakan bahawa anak zina tidak akan masuk ke syurga sampai tujuh keturunan[14].

ولد الزنا لا يدخل الجنة. يدور على الألسنة ولا أصل له، وقال صاحب القاموس في سفر السعادة: هو باطل


Hadis ini ternyata palsu, kerana ia bercanggah dengan ayat al-Quran dari surah al-An’am, ayat 164 yang menyatakan seseorang itu tidak menanggung dosa orang lain.

وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَى


Atau tindakan Saidina Umar yang menolak cerita Fatimah binti al-Qais bahawa Nabi saw tidak menyuruh suami yang mentalakkan isterinya bahawa menyediakan nafkah dan tempat tinggal.

Saidina Umar menolak riwayat Fatimah binti Qais kerana ia bercanggah dengan ayat al-Quran yang menyatakan perempuan yang ditalak, perlu disediakan suaminya nafkah dan tempat tinggal. Riwayat dari Fatimah binti Qais itu ditolak oleh Saidina Umar kerana ia bercanggah dengan ayat al-Quran yang menyatakan keperluan suami menyediakan tempat tinggal dan nafkah kepada isteri yang ditalak[15].

عَنْ أَبِي إِسْحَاقَ، قَالَ: كُنْتُ مَعَ الْأَسْوَدِ بْنِ يَزِيدَ جَالِسًا فِي الْمَسْجِدِ الْأَعْظَمِ، وَمَعَنَا الشَّعْبِيُّ، فَحَدَّثَ الشَّعْبِيُّ بِحَدِيثِ فَاطِمَةَ بِنْتِ قَيْسٍ، «أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، لَمْ يَجْعَلْ لَهَا سُكْنَى وَلَا نَفَقَةً»، ثُمَّ أَخَذَ الْأَسْوَدُ كَفًّا مِنْ حَصًى، فَحَصَبَهُ بِهِ، فَقَالَ: وَيْلَكَ تُحَدِّثُ بِمِثْلِ هَذَا، قَالَ عُمَرُ: لَا نَتْرُكُ كِتَابَ اللهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّنَا صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِقَوْلِ امْرَأَةٍ، لَا نَدْرِي لَعَلَّهَا حَفِظَتْ، أَوْ نَسِيَتْ، لَهَا السُّكْنَى وَالنَّفَقَةُ، قَالَ اللهُ عَزَّ وَجَلَّ: {لَا تُخْرِجُوهُنَّ مِنْ بُيُوتِهِنَّ وَلَا يَخْرُجْنَ إِلَّا أَنْ يَأْتِينَ بِفَاحِشَةٍ مُبَيِّنَةٍ} [الطلاق: 1]

Ibn Hazm juga ada menyatakan bahawa tiada hadis yang saheh menyalahi al-Quran. Diterima hadis, apabila ia selaras dengan al-Quran atau ia tidak menyanggahi al-Quran. Adapun yang menyanggahi al-Quran, maka ia akan ditolak[16].

ما كان في القرآن أخذناه وما لم يكن في القرآن لا ما يوافقه ولا ما يخالفه أخذناه وما كان خلافا للقرآن تركناه فيقال لهم ليس في الحديث الذي صح شيء يخالف القرآن

Ibn Hazm ada juga menukilkan pernyataan Muhammad bin Abd Allah bin Masrah bahawa Hadis itu ada tiga bahagian. Iaitu, hadis yang selaras dengan al-Quran dan hadis sebagai penambahan dari apa yang ada dalam al-Quran. Dua bentuk ini diterima. Adapun yang ditolak adalah yang ketiga, iaitu hadis yang menyalahi al-Quran[17].

وقال محمد بن عبد الله بن مسرة الحديث ثلاثة أقسام فحديث موافق لما في القرآن فالأخذ به فرض وحديث زائد على ما في القرآن فهو مضاف إلى ما في القرآن والأخذ به فرض وحديث مخالف لما في القرآن فهو مطرح

3. TIDAK BERMUDAH UNTUK MENOLAK

Sebilangan sebilangan pihak, dengan alasan tak logik, bercanggah dengan al-Quran dan tidak tepat dengan usul agama menjadikan mereka amat mudah menolak sesuatu hadis atau mendakwa ia sebagai palsu.

Antara contoh dalam hal ini adalah seperti;

Pertama; Hadis Nabi Sulaiman bersumpah dengan nama Allah bahawa baginda akan bersetubuh dengan seratus isterinya (atau Sembilan puluh Sembilan isteri) dalam satu malam[18].

عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ هُرْمُزَ، قَالَ: سَمِعْتُ أَبَا هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: " قَالَ سُلَيْمَانُ بْنُ دَاوُدَ عَلَيْهِمَا السَّلاَمُ: لَأَطُوفَنَّ اللَّيْلَةَ عَلَى مِائَةِ امْرَأَةٍ، أَوْ تِسْعٍ وَتِسْعِينَ كُلُّهُنَّ، يَأْتِي بِفَارِسٍ يُجَاهِدُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ، فَقَالَ لَهُ صَاحِبُهُ: إِنْ شَاءَ اللَّهُ، فَلَمْ يَقُلْ إِنْ شَاءَ اللَّهُ، فَلَمْ يَحْمِلْ مِنْهُنَّ إِلَّا امْرَأَةٌ وَاحِدَةٌ، جَاءَتْ بِشِقِّ رَجُلٍ، وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ، لَوْ قَالَ: إِنْ شَاءَ اللَّهُ، لَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ، فُرْسَانًا أَجْمَعُونَ "

Hadis ini adalah hadis saheh yang diriwayatkan oleh al-Bukhari  dan muslim. Dari sudut matan hadis, kelihatan ia seperti tidak masuk akal. Ini kerana, sukar diterima akal, bagaimana seseorang itu boleh bersetubuh dengan isterinya seramai seratus orang dalam satu malam.

Apabila dilihat dengan selapis, pasti akan ada yang menolak hadis ini dan menganggap ia sebagai palsu, ekoran ia tidak masuk akal. Namun, hadis ini perlu dilihat dalam ungkapan sastera dalam percakapan. Ia sama seperti firman Allah dalam surah al-Taubah, ayat 80,  Allah swt menyatakan bahawa jika diistighfarkan sebanyak 70 kali pun, Allah tidak akan ampun dosa orang munafiq.

اسْتَغْفِرْ لَهُمْ أَوْ لَا تَسْتَغْفِرْ لَهُمْ إِنْ تَسْتَغْفِرْ لَهُمْ سَبْعِينَ مَرَّةً فَلَنْ يَغْفِرَ اللَّهُ لَهُمْ ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ كَفَرُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ

Maksud ayat ini, bukan merujuk kepada bilangan 70 kali, makanya berdoa lebih 70 kali, maka Allah akan ampun dosa orang munafiq. Sebaliknya, Allah swt mahu menyatakan maksud “betapa banyak”. Ekoran itu, apabila Nabi Muhammad mahu mendoakan kepada orang munafiq lebih 70 kali, agar diampun dosa mereka oleh Allah swt, ia ditegur oleh Allah swt[19].

لَمَّا نَزَلَ قَوْلُهُ تَعَالَى: إِنْ تَسْتَغْفِرْ لَهُمْ سَبْعِينَ مَرَّةً فَلَنْ يَغْفِرَ اللَّهُ لَهُمْ قَالَ عَلَيْهِ السَّلَامُ: «وَاللَّهِ لَأَزِيدَنَّ عَلَى السَّبْعِينَ» وَلَمْ يَنْصَرِفْ عَنْهُ حَتَّى نَزَلَ قوله تعالى: سَواءٌ عَلَيْهِمْ أَسْتَغْفَرْتَ لَهُمْ أَمْ لَمْ تَسْتَغْفِرْ لَهُمْ [الْمُنَافِقُونَ: 6] الْآيَةَ فَكَفَّ عَنْهُمْ

Begitujuga tentang hadis al-Bukhari dan Muslim tentang Nabi Sulaiman yang mahu bersetubuh dengan isterinya seramai 100 orang. Ia bukan merujuk bilangan seratus orang, sebaliknya mahu menyatakan usaha yang beliau mahu lakukan terhadap para isteri baginda.

Kedua; Keizinan menuduh orang munafiq berdasarkan kepada hadis al-Baihaqi kerana dikatakan bahawa Saidina Umar menuduh Hatib bin Abi Baltaah sebagai munafiq. Mereka merujuk kepada hadis al-Baihaqi bahawa kononnya Saidina Umar mahu memancung Hatib bin Abi Balta’ah ekoran dakwaan bahawa dia memberikan maklumat kepada Quraysh tentang pergerakan Nabi Muhammad saw dalam sejarah Fath Makkah. Dalam hadis riwayat al-Baihaqi itu, ditonjolkan Saidina Umar berkata, “Ya Rasululah saw, biarkan saya memancung tengkuk si MUNAFIQ ini”[20].  

وَرُوِّينَا فِي قِصَّةِ حَاطِبِ بْنِ أَبِي بَلْتَعَةَ حَيْثُ كَتَبَ إِلَى قُرَيْشٍ بِمَسِيرِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَيْهِمْ عَامَ الْفَتْحِ أَنَّ عُمَرَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: يَا رَسُولَ اللهِ , دَعْنِي أَضْرِبْ عُنُقَ هَذَا الْمُنَافِقِ , فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: " إِنَّهُ قَدْ شَهِدَ بَدْرًا "

Hadis ini, ternyata bercanggah dengan asas bagi ajaran Sunni yang menganggap bahawa sahabat Nabi adalah adil. Malahan, wujud dalam hadis larangan mencela sahabat Nabi saw ekoran keimanan mereka tidak dapat dibandingkan dengan iman manusia lain[21].

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الخُدْرِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ: قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «لاَ تَسُبُّوا أَصْحَابِي، فَلَوْ أَنَّ أَحَدَكُمْ أَنْفَقَ مِثْلَ أُحُدٍ، ذَهَبًا مَا بَلَغَ مُدَّ أَحَدِهِمْ، وَلاَ نَصِيفَهُ»

Jadi, menggunakan alasan hadis ini menjadikan keizinan mencela Hatib bin Abi Balta’ah sebagai munafiq adalah adalah terbatal. Ini kerana, bercanggah dengan hadis yang melarang mencela sahabat. Namun, hadis itu tidak ditolak mentah-mentah, sebaliknya perlu dibandingkan dengan hadis yang lain, iaitu dalam riwayat al-Bukhari, didapati  bahawa setelah Hatib menyatakan kepada Rasulullah saw tentang tindakannya itu, Rasulullah saw berkata, “(Hatib) benar, dan jangan kamu katakan kepadanya kecuali kebaikan”. Saidina Umar pula berkata, “Dia telah mengkhianati Allah dan RasulNya dan terhadap orang mukmin. Serahkan dia kepadaku untuk aku pancung kepalanya”. Lalu, Nabi Muhammad saw menegur dengan berkata, “bukankah dia (Hatib) antara kalangan ahli Badar (yang terlibat dalam perang badar)?”. Saidina Umar bertanya tentang apa kelebihan yang ada pada Ahli Badar. Dijawab oleh Nabi saw, “Lakukan apa yang kamu mahu, sesungguhnya wajib kepada kamu syurga; atau sesungguhnya aku telah ampun dosa kamu”. Mendengar penjelasan Nabi Muhammad saw, menjadikan air mata Saidina Umar mengalir dan berkata, “Allah dan RasulNya lebih mengetahui[22] 

قَالَ حَاطِبٌ: وَاللَّهِ مَا بِي أَنْ لاَ أَكُونَ مُؤْمِنًا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، أَرَدْتُ أَنْ يَكُونَ لِي عِنْدَ القَوْمِ يَدٌ يَدْفَعُ اللَّهُ بِهَا عَنْ أَهْلِي وَمَالِي، وَلَيْسَ أَحَدٌ مِنْ أَصْحَابِكَ إِلَّا لَهُ هُنَاكَ مِنْ عَشِيرَتِهِ مَنْ يَدْفَعُ اللَّهُ بِهِ عَنْ أَهْلِهِ وَمَالِهِ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «صَدَقَ وَلاَ تَقُولُوا لَهُ إِلَّا خَيْرًا» فَقَالَ عُمَرُ: إِنَّهُ قَدْ خَانَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَالمُؤْمِنِينَ، فَدَعْنِي فَلِأَضْرِبَ عُنُقَهُ، فَقَالَ: «أَلَيْسَ مِنْ أَهْلِ بَدْرٍ؟» فَقَالَ: " لَعَلَّ اللَّهَ اطَّلَعَ إِلَى أَهْلِ بَدْرٍ؟ فَقَالَ: اعْمَلُوا مَا شِئْتُمْ، فَقَدْ وَجَبَتْ لَكُمُ الجَنَّةُ، أَوْ: فَقَدْ غَفَرْتُ لَكُمْ " فَدَمَعَتْ عَيْنَا عُمَرَ، وَقَالَ: اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ

Ketiga; Dalam hadis, bahawa Nabi Muhammad saw ada menyatakan bahawa pada saat dengan akhirat nanti, akan berlaku pembunuhan terhadap orang yahudi. Ketika itu, semua yahudi yang mahu dibunuh menyorok di belakang pokok, batu dan sebagainya, tiba-tiba pokok atau batu itu bercakap memberitahu bahawa disebalik mereka terhadap yahudi. Dinyatakan oleh Rasulullah saw bahawa semua boleh bercakap kecuali pokok gharqad[23].

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قَالَ: " لَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يُقَاتِلَ الْمُسْلِمُونَ الْيَهُودَ، فَيَقْتُلُهُمُ الْمُسْلِمُونَ حَتَّى يَخْتَبِئَ الْيَهُودِيُّ مِنْ وَرَاءِ الْحَجَرِ وَالشَّجَرِ، فَيَقُولُ الْحَجَرُ أَوِ الشَّجَرُ: يَا مُسْلِمُ يَا عَبْدَ اللهِ هَذَا يَهُودِيٌّ خَلْفِي، فَتَعَالَ فَاقْتُلْهُ، إِلَّا الْغَرْقَدَ، فَإِنَّهُ مِنْ شَجَرِ الْيَهُودِ "


Dilihat pada hadis ini, kelihatan Nabi saw menceritakan perkara yang bakal berlaku. Ada pihak menolak hadis riwayat Imam Muslim ini dengan mendakwa ia sebagai palsu. Alasan mereka, ia bercanggah dengan ayat al-Quran dari surah al-‘Araf, ayat 188 yang menyatakan bahawa Nabi Muhammad saw tidak mengetahui perkara yang bakal berlaku.

قُلْ لَا أَمْلِكُ لِنَفْسِي نَفْعًا وَلَا ضَرًّا إِلَّا مَا شَاءَ اللَّهُ وَلَوْ كُنْتُ أَعْلَمُ الْغَيْبَ لَاسْتَكْثَرْتُ مِنَ الْخَيْرِ وَمَا مَسَّنِيَ السُّوءُ إِنْ أَنَا إِلَّا نَذِيرٌ وَبَشِيرٌ لِقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ

Dijawab bahawa hadis ini tidak boleh ditolak mentah-mentah dengan alasan bercanggah dengan ayat al-Quran ini. Sebaliknya, ia perlu ditakwilkan bahawa hadis ini umpama propaganda atau strategy masa depan (tawaqqu’) yang dibina oleh Nabi terhadap orang yahudi. Dengan maksud, dengan hadis ini, orang yahudi akan menanam banyak-banyak pokok gharqad untuk menyorok. Ia sudah pasti menyenangkan kepada muslim pada zaman itu untuk mencari yahudi. Iaitu, mencari pokok gharqad sahaja sudah berjumpa dengan yahudi.

PENUTUP


Dari perbahasan ini, disimpulkan seperti berikut;

Pertama : Akal tidak bercanggah dengan wahyu, sama ada wahyu itu bersifat al-Quran atau bersifat hadis.

Kedua : Walaubagaimana pun, terdapat dalam beberapa keadaan berlaku percanggahan hadis dengan akal, dengan al-Quran, dengan usul syariah atau bercanggah dengan hadis-hadis saheh yang lain. Ketika itu, perlu ada penelitian terhadap hadis-hadis tersebut.

Ketiga : Penolakan terhadap beberapa hadis yang bercanggah dengan akal, ia tidak bermakna menolak hadis atau anti-hadis, tetapi ia diragui periwayatannya sahaja.

Keempat : Ada pula sebilangan hadis yang dilihat secara selapis, akan kelihatan seperti bercanggah dengan al-Quran. Dalam keadaan begitu, ia tidak mudah untuk menolak hadis tersebut, sebaliknya perlu ada penakwilan terhadap hadis tersebut.

Wallahu ‘Alam.




BIBLIOGRAFI

Al-Quran


Taqi al-Din Abu al-Abbas bin Abd al-Halim bin taimiyyah (meninggal 728H), Majmuk al-Fatawa, Majmak al-Malik Fahd li Tabaah al-Mashaf al-Syarif, Madinah Munawwarah, al-Mamlakah al-Arabiyyah al-Saudiyyah. Tarikh : 1995

Ibrahim bin Musa bin Muhammad al-Lakhmi al-Gharnati al-Syatibi (meninggal 790 H), al-Muwafaqat Fi Usul al-Syariah, Dar Ibn Affan. Tarikh : 1997.

Muhammad bin Abi Bakar bin Ayub bin Saad Syams al-Din Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751 H), al-Sawaiq al-Mursalah fi al-Rad ‘Ala al-Jahmiyyah wa al-Mua’attilah, Dar al-Asifah, Riyadh, al-Mamlakah al-Arabiyyah al-Saudiyyah. Tarikh : 1408.

Abd al-Rahman bin Abu Bakar Jala al-Din al-Sayuti (meninggal 911H), Tadrib al-Rawi fi Syarh Taqrib al-Nawawi, Dar Tayyibah. Tanpa tarikh.

Taqi al-Din Abu al-Hasan ‘Ali bin Abd al-Kafi bin ‘Ali bin Tamam bin Hamid bin Yahya al-Subki, al-Ibhaj bin Syarh al-Minhaj (minhaj al-Usul ila ilm al-Usul li al-Qadhi al-Baidhawi (meninggal 785 H), Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, Beirut. Tarikh : 1995

Abu Ishaq Ibrahim bin ‘Ali bin Yusuf al-Syirazi (meninggal 476 H), Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, Beirut. Tarikh : 2003

Abu Abd Allah Ahmad bin Muhammad bin Hanbal bin Hilal bin Asad al-Syaibani (meninggal 241 H), Musnad al-Imam Ahmad bin Hambal, Muassasah al-Risalah, Beirut. Tarikh : 2001

Abu Muhammad ‘Ali bin  Ahmad bin Said bin Hazm al-Andalusi al-Zahiri (meninggal 456 H), al-Ihkam fi Usul al-Ahkam, Dar al-Afaq al-Jadidah, Beirut. Tanpa tarikh.

Ismail bin Muhammad bin Abd al-Hadi al-Jirahi al-Ajluni al-Dimasyqi (meninggal 1162 H), Kasyf al-Khafa wa Muzil al-Ilbas, al-Maktabah al-Asriyyah. Tarikh : 2000

‘Ala al-Din ‘Ali bin Hussam al-Din ibn Qadhi Khan al-Qadiri al-Syazli al-Hindi al-Burhanpuri (meninggal 975 H), Kanz al-Ummal fi Sunan al-Aqwal wa al-Af’al, Muassasah al-Risalah, Beirut. Tarikh : 1981.

Abu Abd Al-Rahman Muhammad Nasir al-Din bin al-Haj Nuh bin Najati bin Adam Albani (meninggal 1420H), Silsilah al-Ahadis al-Daifah wa al-Mauduah wa asaruha al-Sayyi’ fi al-Ummah, dar al-Maarif, Riyadh, al-Mamlakah al-Arabiyyah al-Saudiyyah. Tarikh : 1992

Jamal al-Din Abd al-Rahman bin ‘Ali bin Muhammad al-Jauzi (meninggal 597H), al-Mawduat, al-Maktabah al-Salafiyyah, Madinah Munawwarah, tarikh : 1966 : 1968.

Muslim bin al-Hajjaj Abu al-Hasan al-Qusyairi al-Naisaburi (meninggal 261 H), al-Musnad al-Saheh al-Mukhtasar bi Naql al-Adl ‘An al-Adl ila Rasul Allah, Dar Ihya’ al-Turath al-Arabi, Beirut. Tanpa tarikh.

Sulaiman bin Ahmad bin Ayub bin Mutir al-Lukhmi al-Syami Abu al-Qasim al-Tibrani (meninggal 360 H), Maktabah ibn Taimiyyah, Kaherah. Tarikh 1994

Abu Abd Allah Muhammad bin Umar bin al-Hasan bin al-Husain al-taimi al-razi, Fakr al-Din al-Razi (meninggal 606H), Mafatih al-Ghaib (al-Tafsir al-Kabir), Dar Ihya’ al-Turath al-Arabi, Beirut. Tarikh : 1420 H

Ibn Majah Abu Abd Allah Muhammad bin Yazid al-Qazwini (meninggal  273H), Sunan Ibn Majah, Dar Ihya’ al-Kutub al-Arabiyyah, Syria. Tanpa tarikh.



[1] Ibn Taimiyyah, Majmuk al-Fatawa, jld 7, hlmn 665.
[2] Al-Syatibi, al-Muwafaqat, jld 3, hlmn 208.
[3] Ibn Qayyim al-Jauziyyah, al-Sawaiq al-Mursalah ‘Ala Rad al-Jahmiyyah wa al-Mua’ttilah, jld 3, hlmn 829.
[4] Al-Sayuti, Tadrib al-Rawi fi Syarh Taqrib al-Nawawi, jld 1, hlmn 327.
[5] Al-Subki, al-Ibhaj fi Syarh al-Minhaj, jld  2, hlmn 298.
[6] Al-Syirazi, al-Luma’ fi Usul al-Fiqh, hlmn 82.
[7] Musnad Ahmad, hadis no : 16058
[8] Al-Ajluni, Kasyf al-Khafa wa Muzil al-Ilbas, jld 2, hlmn 436
[9] Al-Burhanpuri, Kanz al-Ummal, hadis no : 12025
[10] Al-Ajluni, Kasyf al-Khafa’ wa Muzil al-Ilbas, hadis no : 1085
[11] Albani, Silsilah al-Ahadis al-daifah wa al-Maudu’ah wa asaruha al-Sayyi’ fi al-Ummah, hadis no : 172
[12] Al-Ajluni, Kasyf al-Khafa’ wa Muzil al-Ilbas, hadis no : 2810.
[13] Ibn al-Jawzi, al-Mauduat, jld 2, hlmn 301.
[14] Al’-Ajluni, Kasyf al-Khafa’ wa Muzil al-Ilbas, hadis no ; 2918.
[15] Saheh Muslim, بَابُ الْمُطَلَّقَةِ ثَلَاثًا لَا نَفَقَةَ لَهَا  hadis no :  1480
[16] Ibn Hazm, al-Ihkam fi Usul al-Ahkam, jld 2, hlmn 80.
[17] Ibid, jld 2, hlmn 81
[18] Al-Bukhari, بَابُ مَنْ طَلَبَ الوَلَدَ لِلْجِهَادِ, hadis no : 2819
[19] Fakr al-Din al-Razi, Mafatih al-Ghaib, jld 16, hlmn 112
[20] al-Baihaqi, Sunan kubra, hadis no : 20901
[21] Al-Bukhari, بَابُ قَوْلِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «لَوْ كُنْتُ مُتَّخِذًا خَلِيلًا», hadis no : 3673
[22] al-bukhari, بَابُ فَضْلِ مَنْ شَهِدَ بَدْرًا, hadis no : 3983
[23] Muslim, بَابُ لَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يَمُرَّ الرَّجُلُ بِقَبْرِ الرَّجُلِ، فَيَتَمَنَّى أَنْ يَكُونَ مَكَانَ الْمَيِّتِ مِنَ الْبَلَاءِ, hadis no : 2922