Thursday, 13 July 2017

KECELARUAN UMAT APABILA TIDAK MERAIKAN KHILAF MAZHAB

Dalam tahun 2014, saya pernah menyampaikan pandangan dalam mazhab al-Syafie tentang hokum membela anjing. Selepas itu, saya menulis article berkenaan isu tersebut dengan disertakan sama pandangan Ibn Abdil Bar. Ketika itu, saya sudah dikecam, walaupun saya menulis article yang memberikan huraian panjang lebar disertakan rujukan kitab sekali.
 
Namun kali ini, isu ini bergema kembali. Seseorang yang tidak dikenali bertembung dengan saya dalam satu group whatsapp, dan kami berhujah memakan masa berhari-hari. Kelihatan sikap mahu memperlekeh al-Qaradawi dan cuba mengangkat Syaikh Usaimin, sang ustaz berhujah dengan disertakan fitnah label liberal terhadap saya. Akhirnya, saya bertanya soalan, “Apa pakai metode mazhab mana bila tarjih pandangan seseorang ulama?”, lalu dijawab, “Kalau Pakai metode Syafie dan memilih hokum mazhab atas tarjih, apa masalahnya (?)”.
 
Apabila saya bertanya soalan, “Itu metode sapa yang anta guna?”, rupa-rupanya itu soalan yang terakhir yang saya bertanya dan saya diremove dari group tersebut.
 
Saya kira, perbincangan dalam isu ini sehingga lahir satu gambaran; memandang lekeh terhadap ketokohan seorang ulama besar bernama Ibn Abdil Bar. Justeru, perbincangan saya pada kali ini menjurus kepada ketokohan beliau.
 
1.     BIN ABDIL BAR
 
Nama sebenar beliau Abu Umar Yusuf bin Abdillah bin Muhammad bin Abdil Bar bin Asim al-Namari al-Andalusi al-Qurtubi al-Maliki. Dilahirkan pada bulan Rabiul Akhir tahun 368 Hijrah, malahan ada pendapat kata pada bulan Jamadil Awal.
 
Al-Imam al-Zahabi dalam Siyar menyatakan bahawa Bin Abdil Bar adalah seorang yang mempunyai ilmu yang sampai tahap imam-imam mujtahid. Melihat  dari karya-karya beliau, didapati keluasan ilmu, kekuatan kefahaman dan kebijaksaaan beliau. (al-Zahabi, Siyar, jld 17, hlmn 157)
فَإِنَّهُ مِمَّنْ بلغَ رُتْبَة الأَئِمَّة المُجْتَهِدين، وَمَنْ نَظَرَ فِي مُصَنَّفَاتِهِ، بانَ لَهُ مَنْزِلَتُهُ مِنْ سعَة العِلْم، وَقُوَّة الفَهم، وَسَيَلاَن الذّهن
 
Karya beliau bertajuk al-Tamhid, Abu Ali al-Ghassani menyatakan bahawa ia adalah karya yang tidak pernah ditulis seorang semisalnya dari sudut susunan nama-nama guru al-Imam Malik atas huruf mukjam. (ibid, hlmn 158)
وَقَالَ أَبُو عَلِيٍّ الغَسَّانِيّ: أَلَّف أَبُو عُمَرَ فِي (المُوَطَّأِ) كتباً مُفِيْدَة مِنْهَا: كِتَاب (التّمهيد لمَا فِي المُوَطَّأِ مِنَ المَعَانِي وَالأَسَانِيْد) فَرتَّبَهُ عَلَى أَسْمَاء شُيُوْخ مَالِك، عَلَى حُرُوف المُعْجَم، وَهُوَ كِتَابٌ لَمْ يَتَقَدَّمه أَحَدٌ إِلَى مِثْلِهِ
 
Dia meninggal pada tahun 463 hijrah.
 
Dari sudut kredibiliti ilmu Ibn Abdil Bar tidak diragui lagi oleh ramai ulama kecuali mereka yang tidak menelaah pemikiran Ibn Abdil Bar dan mazhab Maliki. Ramai ulama memuji Ibn Abdil Bar. Malahan, terdapat sebuah kitab yang membicarakan pandangan hebat Ibn Abdil Bar dalam fiqh muamalat bertajuk “ikhtiyarat al-Hafiz Ibni Abdil Bar al-Qurtubi Fi Fiqh al-Muamalat min Kitabaih al-Tamhid wa al-Istizkar” karangan Dr Osamah Muhammad al-Salabi, dan sebuah tesis Phd bertajuk “al-Imam Ibni Abdil Bar al-Andalusi wa Ikhtiyaratuhu al-Fiqhiyyah Min Khilal Kitab al-Tamhid” kajian Dr Dalilah Baraf dari Kuliah al-Ulum al-Islamiyyah di Jami’ah al-Jazair.
 
Justeru, agak biadap apabila ada pihak di Malaysia menganggap bahawa pandangan Abdil Bar tidak muktabar dalam fiqh dengan semata-mata berhujah bahawa pandangan tersebut ada kritikan dari sebilangan ulama-ulama lain.
 
2.     PENDAPAT BIN ABDIL BAR ADALAH LEMAH?
 
Ada pihak mendakwa bahawa pandangan Bin Abdil Bar adalah pandangan yang lemah. Persoalannya, apakah benar pandangan bin Abdil bar ini adalah lemah? Apakah semata-mata pandangan itu dikritik, maka pandangan itu boleh dianggap sebagai lemah? Apakah pandangan itu menyalahi jumhur, maka ia boleh dianggap sebagai lemah?
 
Sesuatu pendapat berbeda dengan pendapat majority tidak boleh terus dianggap sebagai pendapat yang lemah. Ini kerana, pendapat yang lemah (al-Qaul al-Doif) bermaksud sesuatu pandangan seseorang ulama yang tidak dapat dikuatkan dengan dalil, dan tidak mempunyai cara pendalilan yang betul. Dengan erti kata lain, bahawa sesuatu pandangan yang menyalahi pandangan ramai tidak boleh dianggap sebagai pendapat yang lemah, selama pendapat itu punyai dalil dan mempunyai cara pendalilan yang betul.
 
Ekoran itu, mendakwa pandangan Bin Abdil Bar sebagai pendapat yang lemah adalah tidak tepat. Terutama, pendapat beliau mempunyai asas pendalilan  mengikut pendalilan dalam mazhab Maliki.
 
3.     CARA PENDALILAN MAZHAB MALIKI
 
Antara metode yang diamalkan oleh Bin Abdil Bar dalam membahaskan hokum adalah melihat kepada sesuatu nas itu, apakah sareh atau tidak sareh. Jika tidak sareh, maka perlu dilihat pada nas-nas yang lain sebelum membuat keputusan. (Dalilah Baraf, al-Imam Ibni Abdil Bar al-Andalusi wa Ikhtiyaratuhu al-Fiqhiyyah Min Khilal Kitab al-Tamhid, hlmn 219)
 
Contohnya, kritikan Bin Abdil Bar terhadap hukum kewajipan tertib ketika berwudu’ yang diwajibkan oleh ulama mazhab al-Syafie. Ini kerana, al-Syafie mewajibkan tertib kerana merujuk kepada huruf “waw” dalam ayat al-Quran, iaitu dalam surah al-Maidah, ayat 6;
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ
 
Dalam ayat ini, Allah swt menyatakan suruhan kepada orang yang beriman yang mahu menunaikan solat bahawa perlu membasuh muka, dan muka mereka dan kedua tangan mereka sampai ke siku dan sapu kepala mereka dan kaki mereka sampai ke buku lali.
 
Dalam ayat ini, digunakan kalimah “waw” yang merujuk kepada terjemahan “dan” (basuh muka kamu “DAN” dua tangan kamu sampai ke siku “DAN” sampulah kepala kamu “DAN” kaki kamu sampai dua buku lali)
 
Ibn Abdil Bar mengkritik pandangan mazhab al-Syafie ini dengan menyatakan bahawa dakwaan wajib kepada tertib dalam berwudu’ tidak berasaskan kepada yakin, sebaliknya hanya berasaskan kepada zann (sangkaan dan dugaan sahaja). Ini kerana, kalimah “waw” dalam ayat tidak semestinya merujuk kepada tertib.
 
Makanya, Ibn Abdil Bar menolak pandangan al-Syafie itu dengan alasan bahawa al-Imam al-Syafie berhujah berdasarkan sangkaan (zann), dan sudah pasti ia bercanggah dengan al-Quran yang Allah menyatakan bahawa sangkaan ini tidak membawa kepada kebenaran sepertimana dinyatakan dalam surah al-Najm, ayat 28. (ibn Abdil Bar, al-Tamhid, jld 6, hlmn 88)
أَمَّا قَوْلُهُمْ مَنْ فَعَلَ فِعْلَنَا كَانَ مُصَلِّيًا بِإِجْمَاعٍ فَهَذَا أَيْضًا أَصْلٌ لَا يُرَاعِيهِ أَحَدٌ مِنَ الْفُقَهَاءِ مَعَ قِيَامِ الدَّلِيلِ عَلَى مَا ذُهِبَ إِلَيْهِ وَأَمَّا قَوْلُهُمْ إِنَّ وُجُوبَ التَّرْتِيبِ أَوْجَبَ التَّقْدِيمَ وَالتَّأْخِيرَ فِي آيَةِ الْوُضُوءِ فَظَنٌّ وَالظَّنُّ لَا يُغْنِي مِنَ الْحَقِّ شَيْئًا
 
Pendekatan yang sama digunakan oleh imam mazhab beliau, iaitu Imam Malik. Ekoran itu, Imam Maliki menyatakan hukum makruh puasa 6 pada bulan syawal. Pandangan ini lahir, bukan tiada nas dan dalil, ini kerana, terdapat banyak nas yang menyatakan kelebihan dan fadhilat bagi mereka yang menunaikan puasa 6 itu. (Sunan Abi Daud, باب في صوم ستةِ أيامٍ مِن شوال, hadis no : 2433)
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ، ثُمَّ أَتْبَعَهُ بِسِتٍّ مِنْ شَوَّالٍ، كَانَ كَصَوْمِ الدَّهْرِ
 
Namun, memandangkan Imam Maliki melihat kepada ahli Madinah pada zamannya (pada zaman Tabiin yang masih dekat dengan zaman Nabi Saw) yang tidak mengamalkannya, disamping melihat kebimbangan ia dianggap wajib diamalkan bersama dengan Ramadan, menyebabkan beliau memandang sebagai makruh. (Abu Walid al-Baji, al-Muntaqa Syarh Muwatta’, jld 2, hlmn 76)
قَالَ يَحْيَى وَسَمِعْت مَالِكًا يَقُولُ فِي صِيَامِ سِتَّةِ أَيَّامٍ بَعْدَ الْفِطْرِ مِنْ رَمَضَانَ إنِّي لَمْ أَرَ أَحَدًا مِنْ أَهْلِ الْعِلْمِ وَالْفِقْهِ يَصُومُهَا وَلَمْ يَبْلُغْنِي ذَلِكَ عَنْ أَحَدٍ مِنْ السَّلَفِ وَأَنَّ أَهْلَ الْعِلْمِ يَكْرَهُونَ ذَلِكَ وَيَخَافُونَ بِدْعَتَهُ وَأَنْ يُلْحِقَ بِرَمَضَانَ مَا لَيْسَ مِنْهُ أَهْلُ الْجَهَالَةِ وَالْجَفَاءِ لَوْ رَأَوْا فِي ذَلِكَ خِفَّتَهُ عِنْدَ أَهْلِ الْعِلْمِ وَرَأَوْهُمْ يَعْمَلُونَ ذَلِكَ
 
Jelas, bukan tiada nas yang mengatakan amalan puasa enam, tetapi memandangkan dilihat nas-nas tersebut masih tidak jelas ekoran ada beberapa factor, seperti bercanggah dengan umum nas yang lain, atau bercanggah dengan amalan ahli Madinah dan salaf soleh, menyebabkan hukum tersebut ditakwilkan.
 
4.     ANJING TIDAK NAJIS?
 
Mazhab Maliki antara yang berpendapat bahawa anjing tidak dikira sebagai Najis. Perkara ini telah dinyatakan oleh Ibn Abdil Bar dalam kitab al-Istizkar. (jld 1, hlmn 206)
فَجُمْلَةُ مَذْهَبِ مَالِكٍ عِنْدَ أَصْحَابِهِ الْيَوْمَ أَنَّ الْكَلْبَ طَاهِرٌ وَأَنَّ الْإِنَاءَ يُغْسَلُ مِنْهُ سَبْعًا عِبَادَةً
 
Perkara yang sama dinyatakan oleh Bin Bayyah dalam kitab “Sina’ah al-Fatwa” ketika beliau ditanya berkenaan membela anjing dalam karangan masyarakat eropah. Dalam kitab beliau dalam tajuk kecilnya  “Taharah al-Kilab” atau “Cucinya Anjing”, beliau memberi jawapan dengan menyatakan bahawa mazhab Imam Malik bin Anas melihat bersih anjing, dan menyuruh basuh bekas jilatan anjing itu adalah sekadar ta’abbudi tanpa dianggap kenajisan anjing. Malahan, beliau menukilkan perkataan Ibn Rushd al-Kabir yang menyatakan bahawa membersihkan bekas dari jilatan anjing berfaktorkan (llat) kesihatan, bukan disebabkan kenajisannya. Ini dikukuhkan dengan ilmu moden. (Bin Bayyah, Sina’ah al-Fatwa, hlmn 411)
قلت : رطوبة فمها طاهرة عند مالك : لأن غسل الإناء من ولوغ الكلب عنده تعبدي , غير ناشئ عن نجاسة الكلب . وقد قال ابن رشد الكبير : إن غسل الإناء من ولوغ الكلب معلل بعلة صحية وليس بسبب نجاسته , وهذا ما تؤيده العلوم الحديثة
 
Pandangan mazhab maliki ini bukan tidak melihat kepada hadis. Ini kerana, terdapat nas hadis yang saheh menyatakan suruhan membersihkan bekas jilatan anjing sebagai tujuh kali basuh, dan salah satunya dengan air tanah. (Muslim, بَابُ حُكْمِ وُلُوغِ الْكَلْبِ,  hadis no : 279)
طَهُورُ إِنَاءِ أَحَدِكُمْ إِذَا وَلَغَ فِيهِ الْكَلْبُ، أَنْ يَغْسِلَهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ أُولَاهُنَّ بِالتُّرَابِ
 
Namun, memandangkan sesuatu nas perlu dihimpunkan dengan nas-nas yang lain dan perlu diselaraskan, baru dibuat kesimpulan secara bersekali, menyebabkan beliau membuat kesimpulan sebegitu.
 
Jika dilihat dalam ayat al-Quran dan hadis, terdapat hukum berburu dan keizinan makan binatang buruan yang diburu oleh anjing. Seperti Surah al-Maidah, ayat 4 yang menyebut berkenaan anjing buruan yang boleh dimakan binatang buruan anjing tersebut.
يَسْأَلُونَكَ مَاذَا أُحِلَّ لَهُمْ قُلْ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبَاتُ وَمَا عَلَّمْتُمْ مِنَ الْجَوَارِحِ مُكَلِّبِينَ تُعَلِّمُونَهُنَّ مِمَّا عَلَّمَكُمُ اللَّهُ فَكُلُوا مِمَّا أَمْسَكْنَ عَلَيْكُمْ وَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَيْهِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ سَرِيعُ الْحِسَابِ
 
Juga terdapat hadis bahawa Nabi saw menyatakan, jika anjing buruan itu dilepaskan untuk menangkap binatang buruan, perlu dibacakan bismillah. Dan binatang buruan tersebut boleh dimakan. Namun, jika binatang buruan itu dimakan (sikit) oleh anjing buruan tersebut, maka binatang buruan tersebut tidak boleh dimakan, kerana dibimbangi anjing itu tangkap untuk dirinya sendiri. (al-Bukhari, بَابُ إِذَا أَكَلَ الكَلْبُ, hadis no : 5483)
إِذَا أَرْسَلْتَ كِلَابَكَ الْمُعَلَّمَةَ، وَذَكَرْتَ اسْمَ اللَّهِ عَلَيْهَا، فَكُلْ مَا أَمْسَكْنَ عَلَيْكَ، إِنْ قَتَلْنَ، إِلَّا أَنْ يَأْكُلَ الْكَلْبُ، فَإِنْ أَكَلَ الْكَلْبُ، فَلَا تَأْكُلْ، فَإِنِّي أَخَافُ أَنْ يَكُونَ إِنَّمَا أَمْسَكَ، عَلَى نَفْسِهِ، وَإِنْ خَالَطَهَا كِلَابٌ أُخَرُ، فَلَا تَأْكُلْ
 
Jika boleh dimakan binatang buruan anjing, Ibn Abdil Bar bangkitkan pelik kenajisan air liur anjing. (ibn Abdil Bar, al-Istizkar, jld 1, hlmn 206)
وَاحْتَجَّ بِأَنَّهُ يُؤْكَلُ صَيْدُهُ فَكَيْفَ يُكْرَهُ لُعَابُهُ
 
Makanya, dengan menggabungkan semua nas-nas tersebut menyebabkan mazhab maliki menganggap bahawa air liur tidak najis. Makanya, hadis yang menyebut membasuh tujuh kali basuh dianggap sebagai sunat sahaja.
 
Kesimpulannya adalah, pada saat ada mazhab menyatakan anjing adalah najis pada badan dan air liurnya seperti al-Syafie, atau najis pada air liurnya sahaja seperti Hanafi, mazhab maliki menganggap anjing tidak najis, sama ada pada badan, mahupun air liurnya.
 
Perbedaan ini bukan disebabkan mazhab Maliki tidak berjumpa hadis, tetapi hadis-hadis berkenaan najis anjing itu masih dikira sebagai tidak sareh (tidak jelas), yang perlu kepada bandingan antara nas-nas yang memberi kesimpulan begitu.
 
5.     BELA ANJING
 
Hukum membela anjing, bermula dengan hadis bahawa Nabi saw ada menyatakan bahawa barangsiapa yang membela anjing bukan kerana berburu dan bukan untuk perburuan, maka akan dikurangkan pahalanya setiap hari satu qirat (dalam riwayat lain : dua qirat) (al-Bukhari, بَابُ اقْتِنَاءِ الكَلْبِ لِلْحَرْثِ, hadis no : 2323)
مَنِ اقْتَنَى كَلْبًا لاَ يُغْنِي عَنْهُ زَرْعًا، وَلاَ ضَرْعًا نَقَصَ كُلَّ يَوْمٍ مِنْ عَمَلِهِ قِيرَاطٌ
 
Dari hadis ini, semua ulama sepakat menyatakan bahawa membela anjing yang dibenarkan adalah dalam dua perkara, iaitu perburuan dan untuk penjagaan. Namun, ulama fiqh tidak sepakat menyatakan membela anjing selain dua perkara itu sebagai haram, bahkan ada ulama menyatakan makruh sahaja, seperti Ibn Abdil Bar. (Ibn abdil Bar, al-Tamhid, 14, hlmn 219)
وَفِي مَعْنَى هَذَا الْحَدِيثِ تَدْخُلُ عِنْدِي إِبَاحَةُ اقْتِنَاءِ الْكِلَابِ لِلْمَنَافِعِ كُلِّهَا وَدَفْعِ الْمَضَارِّ إِذَا احْتَاجَ الْإِنْسَانُ إِلَى ذَلِكَ إِلَّا أَنَّهُ مَكْرُوهٌ اقْتِنَاؤُهَا فِي غَيْرِ الْوُجُوهِ الْمَذْكُورَةِ فِي هَذِهِ الْآثَارِ لِنُقْصَانِ أَجْرِ مُقْتَنِيهَا
 
Dalam kitab al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, al-Qaradawi ada menyatakan hadis ini menjadi dalil dalam kalangan setengah fuqaha’ bahawa tegahan membela anjing ialah tegahan makruh, bukan haram. Ini kerana, pengharaman itu, sudah pasti dihalang pada semua keadaan, sama ada kurang pahala atau tidak kurang pahala. (al-Halal wa al-haram fi al-Islam, hlmn 107 – 108)
وقد استدل بعض الفقهاء من هذا الحديث علي أن المنع من اتخاذ الكلاب إنما هو منع الكراهه لا منع تحريم , لأن الحرام يمتنع اتخاذه علي كل حال سواء نقص الأجر او لا
 
Pun begitu, dari sudut penjagaan, Ibn Umar dikatakan menganggap larangan membela anjing untuk menjaga tumbuh-tumbuhan. (Ibid)
وَقَدْ أَجَازَ مَالِكٌ وَغَيْرُهُ مِنَ الْفُقَهَاءِ اقْتِنَاءَ الْكِلَابِ لِلزَّرْعِ وَالصَّيْدِ وَالْمَاشِيَةِ وَلَمْ يُجِزِ ابْنُ عُمَرَ اقْتِنَاءَهُ لِلزَّرْعِ
 
Ibn Abdil Bar menyatakan begitu, bukan disebabkan beliau tidak merujuk kepada hadis. Sebaliknya, memandangkan metode mazhab Maliki yang diamalkan oleh Bin Abdil Bar tidak sama dengan imam mazhab lain menyebabkan lahirnya pandangan begitu.
 
Menurut Dr Sa’ad al-Din Hilali pula, pendapat berkenaan membela anjing ini tidak ada pendalilan secara qatie. Ekoran itu, terdapat tiga pandangan;
 
Pertama :  Pendapat majority fuqaha’ yang mengatakan haram,
Kedua : pandangan kecil dalam mazhab Maliki sebagai makruh,
Ketiga : pandangan masyhur dalam mazhab maliki, iaitu halal.
 
Dalam kupasan beliau, beliau menyatakan bahawa hadis di atas tidak boleh dilihat secara menyendiri, tetapi perlu melihat sama dengan hadis-hadis yang lain sama.
 
Antaranya, hadis yang menyebut bahawa Malaikat tidak masuk rumah yang ada anjing dan ada gambar. (al-Bukhari, بَابُ إِذَا قَالَ أَحَدُكُمْ: آمِينَ وَالمَلاَئِكَةُ فِي السَّمَاءِ، آمِينَ فَوَافَقَتْ إِحْدَاهُمَا الأُخْرَى، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ, hadis no : 3226)
لاَ تَدْخُلُ المَلاَئِكَةُ بَيْتًا فِيهِ صُورَةٌ
 
Begitujuga hadis yang menyebut bahawa malaikat tidak berdampingan dengan orang yang bersamanya anjing dan loceng. (Abu Daud, باب ما يؤمَر به مِن القيام على الدوابِّ والبهائم, hadis no : 2555)
لا تصحبُ الملائكةُ رُفْقةً فيها كلبٌ أو جَرسٌ
 
Menurut Hilali, ekoran ada hadis-hadis yang menyebut malaikat tidak masuk rumah yang ada gambar dan loceng, yang dikaitkan dengan anjing, melahirkan kekhilafan dalam kalangan ulama fiqh.  Kekhilafan itu adalah seperti berikut;
 
Pertama; Yang dimaksudkan keizinan membela anjing pada dua keadaan dan dilarang pada selain dua anjing itu adalah merujuk kepada “hasr” iaitu pembatasan. Dengan maksud, malaikat tidak masuk dalam rumah berfaktorkan anjing, gambar dan loceng. Ataupun;
 
Kedua : Ia merujuk larangan dalam maksud memudharatkan. Dengan maksud, jika ia tidak mendatangkan mudharat, maka ia tidak termasuk dalam larangan hadis ini.
 
 Kata Hilali, “kalau kamu nampak – wahai manusia – ada maslahah yang lain (yang lain dari berburu dan penjagaan), maka ia tidak dihalang, walaupun maslahah hiburan” (https://www.youtube.com/watch?v=_EL1ZiKlus8 minit : 6:20 - 6:50)
لو شوفتم أيها الناس مصلحة ثانية, ما فيش مانع..... من ضمن مصالح التسلية
 
Hilali memasukkan maslahah yang dibenarkan itu adalah tasliyah (hiburan : pet), dan maslahah untuk permainan. Beliau mengungkapkan factor hiburan dan permainan sebagai maslahah dengan merujuk kepada ayat al-Quran, bahawa Allah melarang manusia mengharamkan perhiasan yang Allah telah keluarkan kepada manusia. (Surah al-‘Araf, ayat 32) (ibid, minit 654)
قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ اللَّهِ الَّتِي أَخْرَجَ لِعِبَادِهِ وَالطَّيِّبَاتِ مِنَ الرِّزْقِ قُلْ هِيَ لِلَّذِينَ آمَنُوا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا خَالِصَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَذَلِكَ نُفَصِّلُ الْآيَاتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُون
 
Beliau juga menyebut, bahawa dalam hadis itu menyebut bahawa hadis itu tidak menyatakan pengharaman secara jelas (تحريم واضح), hanya sekadar menyatakan kekurangan pahala sahaja.
 
Begitujuga, Hilali menyatakan maksud larangan membela anjing selain anjing berburu dan anjing penjagaan itu, merujuk kepada anjing yang memudharatkan seperti anjing buas. Ini kerana di sana terdapat hadis menyebut lima jenis binatang yang tidak salah untuk dibunuh, antaranya anjing buas. (al-Bukhari, بَابُ مَا يَقْتُلُ المُحْرِمُ مِنَ الدَّوَابِّ, hadis no : 1828)
خَمْسٌ مِنَ الدَّوَابِّ لاَ حَرَجَ عَلَى مَنْ قَتَلَهُنَّ: الغُرَابُ، وَالحِدَأَةُ، وَالفَأْرَةُ، وَالعَقْرَبُ، وَالكَلْبُ العَقُورُ
 
Melihat kepada perbahasan ini, disimpulkan bahawa membela anjing tidak dibenarkan kecuali dengan tujuan perburuan dan penjagaan berdasarkan pandangan majority mazhab. Namun, jika ada yang membela anjing sebab hiburan (pet), tidak perlu dicela dan diherdik tindakan mereka bahkan boleh diraikan, kerana dalam pandangan mazhab Maliki terdapat dua pandangan, iaitu makruh atau halal sepertimana yang dinyatakan oleh Ibn Abdil Bar dan Dr Sa’ad al-Din Hilali.
 
6.     PANDANGAN DIKRITIK
 
Kritikan terhadap sesuatu pandangan adalah perkara biasa. Jika menanganggap sesuatu pandangan boleh dianggap sebagai lemah dan tidak muktabar dengan sebab dikritik, sudah pasti pandangan Imam syafie juga boleh menjadi lemah. Ini kerana, Imam al-nawawi pernah mengkritik pandangan al-Imam Syafie dalam isu air musyammas; Imam syafie menyatakan makruh dengan alasan ia boleh tertimpa penyakit sopak. (Al-Syafie, al-Umm, jld 1, hlmn 16)
(قَالَ الشَّافِعِيُّ) : وَلَا أَكْرَهُ الْمَاءَ الْمُشَمَّسَ إلَّا مِنْ جِهَةِ الطِّبِّ (قَالَ الشَّافِعِيُّ) أَخْبَرَنَا إبْرَاهِيمُ بْنُ مُحَمَّدٍ عَنْ صَدَقَةَ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ عَنْ أَبِي الزُّبَيْرِ عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ أَنَّ عُمَرَ كَانَ يَكْرَهُ الِاغْتِسَالَ بِالْمَاءِ الْمُشَمَّسِ وَقَالَ: إنَّهُ يُورِثُ الْبَرَصَ.
 
Pandangan al-Syafie ini dikritik oleh Imam Nawawi dengan menyatakan ia sebagai harus dengan dakwaan bahawa penyakit sopak yang tertimpa bagi menggunakan air musyammas bersandarkan kepada hadis yang dinilai tidak kuat oleh al-Imam al-Nawawi. (Al-Nawawi, Majmuk Syarh al-Muhazzab, jld 1, hlmn 87)
وَقَدْ رَوَى الشافعي في الامام بِإِسْنَادِهِ عَنْ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّهُ كَانَ يَكْرَهُ الِاغْتِسَالَ بِالْمَاءِ الْمُشَمَّسِ وَقَالَ إنَّهُ يُورِثُ الْبَرَصَ وَهَذَا ضَعِيفٌ أَيْضًا بِاتِّفَاقِ الْمُحَدِّثِينَ فَإِنَّهُ مِنْ رِوَايَةِ إبْرَاهِيمَ بْنِ مُحَمَّدِ بْنِ أَبِي يَحْيَى وَقَدْ اتَّفَقُوا عَلَى تَضْعِيفِهِ وَجَرَّحُوهُ وَبَيَّنُوا أَسْبَابَ الْجَرْحِ إلَّا الشَّافِعِيَّ رَحِمَهُ اللَّهُ فَإِنَّهُ وَثَّقَهُ فَحَصَلَ مِنْ هَذَا أَنَّ الْمُشَمَّسَ لَا أَصْلَ لِكَرَاهَتِه
 
 Bahkan, Ibn Abdil Bar sendiri pernah mengkritik pandangan imam maliki sendiri dalam isu sapu kepala ketika berwudu’. Ini kerana, dalam mazhab Maliki, diwajibkan sapu semua kepala, sedangkan pandangan Syafie, Hanafi dan satu riwayat dalam Hanbali bahawa dibenarkan hanya sapu sedikit dari kepala. Ibn Abdil Bar sendiri mengkritik pandangan mazhab maliki itu dengan menyatakan bahawa sapu sedikit dari kepala. (Dalilah Baraf, al-Imam Ibni Abdil Bar al-Andalusi wa Ikhtiyaratuhu al-Fiqhiyyah Min Khilal Kitab al-Tamhid, hlmn 270)
 
Malahan, dalam isu nyanyian, Ibn Hazm dalam Muhalla terang-terang mengkritik pandangan majority (malahan Ijmak seperti dakwaan Tabari) yang mengharamkan muzik. Ibn Hazm menyatakan bahawa muzik adalah harus.  Pada beliau, semua hadis-hadis yang menyatakan haram muzik tidak kuat. Bahkan, hadis riwayat al-Imam al-Bukhari pun dikritik beliau. Sehinggakan beliau menyatakan hadis tersebut bersifat mungqati’ dengan alasan imam bukhari tidak berhubungan dengan sadaqah bin Khalid. (Ibn Hazm, al-Muhalla bi al-Athar, jld 7, hlmn 565)
وَمِنْ طَرِيقِ الْبُخَارِيِّ قَالَ هِشَامُ بْنُ عَمَّارٍ: أَنَا صَدَقَةُ بْنُ خَالِدٍ أَنَا عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ يَزِيدَ بْنِ جَابِرٍ أَنَا عَطِيَّةُ بْنُ قَيْسٍ الْكِلَابِيُّ حَدَّثَنِي عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ غُنْمٍ الْأَشْعَرِيُّ حَدَّثَنِي أَبُو عَامِرٍ - أَوْ أَبُو مَالِكٍ الْأَشْعَرِيُّ - وَوَاللَّهِ مَا كَذَبَنِي: أَنَّهُ سَمِعَ رَسُولَ اللَّهِ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - يَقُولُ: «لَيَكُونَنَّ مِنْ أُمَّتِي قَوْمٌ يَسْتَحِلُّونَ الْحِرَ وَالْحَرِيرَ، وَالْخَمْرَ، وَالْمَعَازِفَ» . وَهَذَا مُنْقَطِعٌ لَمْ يَتَّصِلْ مَا بَيْنَ الْبُخَارِيِّ وَصَدَقَةَ بْنِ خَالِدٍ - وَلَا يَصِحُّ فِي هَذَا الْبَابِ شَيْءٌ أَبَدًا
 
 
Jika sesame mazhab sendiri pun boleh berlaku kritikan, sudah pasti tidak hairan pandangan Bin Abdil Bar ini boleh dikritik oleh ulama yang berbeda dengan beliau, seperti Imam Ibn Hajar al-Asqalani yang tidak sama mazhab dengan beliau. Terutama, dalam kitab al-Tamhid karangan Ibn Abdil Bar sendiri secara terang-terang menegakkan pandangannya dengan menggunakan pendekatan mazhab Maliki.
 
Setiap mazhab mempunyai metode, usul dan Turuq al-Istinbat tersendiri yang sudah pasti tidak sama dengan metode, usul dan turuq al-Istinbat dengan mazhab yang lain. Dengan itu, tidak pelik sesuatu pandangan mazhab yang berbeza akan dianggap lemah oleh pandangan mazhab yang lain selama mereka menggunakan metode, usul dan turuq al-Istinbat yang tidak sama. Ekoran itu, amat ganjil jika seseorang itu anggap pandangan Bin Abdil Bar terus lemah dalam mazhab maliki hanya disebabkan hanya diungkap kalimah “Qila : قيل” dalam ungkapan Ibn Hajar al-Asqalani yang tidak sama mazhab dengan Ibn Abdil Bar. Sesuatu pandangan itu dianggap lemah dari sudut mazhab Ibn Hajar, tidak semestinya lemah dalam mazhab yang dipegang oleh Ibn Abdil Bar.
 
KESIMPULAN
 
Pertama : isu kenajisan anjing adalah perkara khilafiyyah dalam kalangan ulama islam. Ada sebilangan yang menanggap sebagai najis pada semua anggota badan dan air liur anjing seperti al-Syafie; ada yang anggap hanya pada air liur sahaja seperti Hanafi dan ada yang anggap tidak najis langsung, sebaliknya suruhan basuh itu hanya sunat sahaja, seperti Maliki.
 
Kedua : Khilaf juga berlaku dalam isu melibatkan membela anjing pada selain dari berburu dan penjagaan. Pada majority ulama mazhab anggap membela anjing selain anjing berburu dan anjing penjagaan adalah haram, sedangkan jika ada yang membela anjing bukan sebab dua perkara ini, seperti sebab berhibur (pet), maka tidak wajar diherdik dan dicerca, jauh sekali  boleh menuduh sebagai berdosa besar sehingga perlu disuruh bertaubat, kerana di sana terdapat pandangan yang menganggap ia sebagai makruh seperti yang dikemukakan oleh Bin Abdil Bar dan ada pandangan dalam Maliki anggap sebagai halal sepertimana dakwaan Dr Sa’ad al-Din Hilali.
 
Ketiga : al-Qaradawi dalam kitab al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, mengakui terdapat pandangan ulama fiqh yang menyatakan hokum makruh, bukan haram  membela anjing selain berburu dan penjagaan. Namun, di akhir kesimpulan beliau, dicadangkan agar tidak membela anjing kerana bimbang factor kesihatan dan penyakit yang boleh datang dari anjing.
 
Keempat : Saya kira, Kekeliruan tidak berlaku, kerana mendedahkan pandangan selain mazhab syafie di Malaysia, terutama sikap mendedahkan pandangan yang muktabar adalah salah satu amanah ilmu yang wajib ditunaikan oleh mereka yang mengetahui. Tetapi kekeliruan berlaku, apabila agamawan dan institusi agama mengambil sikap mahu menanamkan sikap agar tidak toleransi dengan kepelbagaian mazhab. Ekoran itu, kekeliruan berlaku bukan disebabkan kewujudan pandangan ibn Abdil Bar, tetapi kekeliruan berlaku ekoran wujud agamawan dan insititusi agama yang memaksa orang memakai pandangan mazhab mereka sahaja.
 
Wallahu ‘Alam.
x

Saturday, 1 July 2017

LIHAT HADIS TANPA SANAD?

Hadis yang ada sanad pun, kadangkala wujud masalah sehingga boleh dinilai sebagai doif. Inikan pula, hadis yang tidak ada sanad.

Namun, ada pihak berhujah menyatakan bahawa ulama apabila menyatakan sesuatu hujah dengan menyebut sesuatu hadis, walaupun tanpa sanad, maka automatik hadis itu dinilai sebagai saheh.

Perkara penting perlu diingat, perkara ini perlu diperincikan, bukan diterima bulat-bulat. Ini kerana, tanpa melihat kepada sanad, makanya agama ini akan akan ada masalah dari sudut sumbernya. Bak kata Ibn Mubarak, Isnad itu dari agama. Andai tanpa sanad, sudah pasti manusia akan bercakap agama sesuka hatinya. (ٍٍSaheh muslim, jld 1, hlmn 15, tarmizi, hadis no : 4053)
الْإِسْنَادُ مِنَ الدِّينِ، وَلَوْلَا الْإِسْنَادُ لَقَالَ مَنْ شَاءَ مَا شَاءَ


Menurut al-Baihaqi sepertimana yang dinukilkan oleh Ibn Hajar al-Asqalani, bahawa seseorang mujtahid, apabila berhujah dengan sesuatu hadis, ia memberi maksud bahawa mereka secara tidak langsung telah mensahehkan hadis tersebut. (Ibn Hajar al-Asqalani, al-Talkhis al-Habir fi Tarikh Ahadis al-Rafi’e al-Kabir, jld 2, hlmn 327)
وَقَدْ احْتَجَّ بِهَذَا الْحَدِيثِ أَحْمَدُ وَابْنُ الْمُنْذِرِ وَفِي جَزْمِهِمَا بِذَلِكَ دَلِيلٌ عَلَى صِحَّتِهِ عِنْدَهُمَا

Juga perlu ditelaah juga, bahawa ulama yang dimaksudkan oleh al-Baihaqi bukan tiada sanad, bahkan Baihaqi menyatakan bahawa jika di bawa hadis yang tidak terdapat dalam kitab hadis, maka ia tidak boleh diterima (al-ٍSakhawi, al-Ghayah fi ٍSyarh al-Hidayah Fi Ilm al-Riwayah, hlmn 133)
قد جمع فِي كتب أئمته بِحَيْثُ لم يفت مجموعهم بشئ مِنْهُ، وَحِينَئِذٍ: فَمن جَاءَ بِحَدِيث لَا يُوجد عِنْد جَمِيعهم لم يقبل مِنْهُ

Begitujuga, jika sesuatu hadis yang dijadikan hujah oleh seseorang mujtahid, sudah pasti perawi terhadap hadis tersebut dianggap adil oleh mujtahid terbabit, sepertimana yang diungkapkan oleh Khatib al-Baghdadi. (al-Kifayah Fi Ilm al-Riwayah, hlmn 92)
فَأَمَّا إِذَا عَمِلَ الْعَالِمُ بِخَبَرِ مَنْ رَوَى عَنْهُ لِأَجْلِهِ , فَإِنَّ ذَلِكَ يَكُونُ تَعْدِيلًا لَهُ يُعْتَمَدُ عَلَيْهِ , لِأَنَّهُ لَمْ يَعْمَلْ بِخَبَرِهِ إِلَّا وَهُوَ رِضًا عِنْدَهُ عَدْلٌ , فَقَامَ عَمَلُهُ بِخَبَرِهِ مَقَامَ قَوْلِهِ: هُوَ عَدْلٌ مَقْبُولُ الْخَبَرِ

Namun, pendekatan ini tidak disetujui oleh Ibn Solah. Pada beliau, amalan seseorang alim terhadap sesuatu hadis, tidak bermakna ia berhukum saheh pada hadis tersebut. Begitujuga, tidak berhujah dengan sesuatu hadis, tidak bermakna ia hukumi hadis itu sebagai tidak saheh atau tercela. (Muqaddimah Ibn Solah, hlmn 111)
إِنَّ عَمَلَ الْعَالِمِ أَوْ فُتْيَاهُ عَلَى وَفْقِ حَدِيثٍ لَيْسَ حُكْمًا مِنْهُ بِصِحَّةِ ذَلِكَ الْحَدِيثِ، وَكَذَلِكَ مُخَالَفَتُهُ لِلْحَدِيثِ لَيْسَتْ قَدْحًا مِنْهُ فِي صِحَّتِهِ وَلَا فِي رَاوِيهِ

Dalam komentar al-Iraqi pula selari dengan Ibn Solah, malahan menyatakan juga, boleh jadi bagi seseorang alim itu berhujah berdasarkan hadis doif yang mereka berpegang (mazhab Hanbali) dengan prinsip hadis doif didahulukan dari qiyas. (al-iraqi, al-Taqyiid wa al-Idah Syarh Muqaddimah Ibn al-Solah, hlmn 145)
وربما كان المفتى أو الحاكم يرى العمل بالحديث الضعيف وتقديمه على القياس كما تقدم حكاية ذلك عن أبى داود أنه كان يرى الحديث الضعيف إذا لم يرد في الباب غيره أولى من رأى الرجال وكما حكى عن الإمام أحمد من أنه يقدم الحديث الضعيف على القياس وحل بعضهم هذا على أنه أريد بالضعيف هنا الحديث الحسن والله أعلم

Ekoran itu, al-Imam al-ghazali yang dianggap ramai sebagai mujtahid, tetapi hadis-hadis yang beliau jadikan hujah dalam Ihya Ulum al-Din ditakhrij oleh oleh al-Iraqi. (45 – 46)

Malahan, Imam Nawawi pernah mengkritik hadis yang dikemukakan oleh al-Syafie yang merupakan mujtahid mutlak dalam isu menggunakan air musyammas.

al-Imam al-Syafie menyatakan dalam al-Umm, bahawa menggunakan air musyammas itu makruh kerana merujuk kepada hadis Umar menyatakan air musyammas boleh membawa kepada penyakit sopak. (Al-Syafie, al-Umm, jld 1, hlmn 16)
(قَالَ الشَّافِعِيُّ) أَخْبَرَنَا إبْرَاهِيمُ بْنُ مُحَمَّدٍ عَنْ صَدَقَةَ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ عَنْ أَبِي الزُّبَيْرِ عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ أَنَّ عُمَرَ كَانَ يَكْرَهُ الِاغْتِسَالَ بِالْمَاءِ الْمُشَمَّسِ وَقَالَ: إنَّهُ يُورِثُ الْبَرَصَ.

Hadis ini, dikritik oleh al-Imam al-Nawawi dengan mendakwa bahawa ittifaq ulama hadis memandang lemah hadis yang diriwayatkan Ibrahim bin Muhammad bin Abi Yahya kecuali imam syafie sahaja yang mensiqahkannya (Al-Nawawi, Majmuk Syarh al-Muhazzab, jld 1, hlmn 87)
وَقَدْ رَوَى الشافعي في الامام بِإِسْنَادِهِ عَنْ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّهُ كَانَ يَكْرَهُ الِاغْتِسَالَ بِالْمَاءِ الْمُشَمَّسِ وَقَالَ إنَّهُ يُورِثُ الْبَرَصَ وَهَذَا ضَعِيفٌ أَيْضًا بِاتِّفَاقِ الْمُحَدِّثِينَ فَإِنَّهُ مِنْ رِوَايَةِ إبْرَاهِيمَ بْنِ مُحَمَّدِ بْنِ أَبِي يَحْيَى وَقَدْ اتَّفَقُوا عَلَى تَضْعِيفِهِ وَجَرَّحُوهُ وَبَيَّنُوا أَسْبَابَ الْجَرْحِ إلَّا الشَّافِعِيَّ رَحِمَهُ اللَّهُ فَإِنَّهُ وَثَّقَهُ

Wallahu ‘alam.