Monday 1 July 2013

JIZYAH : ZAMAN DULU DAN ZAMAN SEKARANG

Kalimah jizyah sudah menjadi satu kalimah yang boleh disifatkan sebagai menggerunkan non Muslim dengan islam. Ini kerana, sudah banyak dari kalangan orang Islam yang tidak bertanggungjawab telah menjadikannya sebagai alat dan cara untuk melakukan penindasan kepada non Muslim. Ekoran itu, lahir pula golongan ekstrim agama yang gagal mempamerkan bahawa Islam adalah agama keadilan dan agama kasih sayang. Semuanya berpunca apabila ia disalah ertikan dari maksudnya yang sebenar.

Dari sudut asasnya, Islam amat menekankan keadilan sejagat. Ia tidak dibataskan berdasarkan kaum, malahan antara agama. Islam mengajar supaya menghormati mereka yang tidak beragama Islam. Malahan, Islam menyeru agar melakukan kebaikan dan keadilan terhadap mereka.

Firman Allah;

لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ * إِنَّمَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ قَاتَلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَأَخْرَجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ وَظَاهَرُوا عَلَى إِخْرَاجِكُمْ أَنْ تَوَلَّوْهُمْ وَمَنْ يَتَوَلَّهُمْ فَأُولَئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ

Maksudnya;
            ” Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu karena agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.* Sesungguhnya Allah hanya melarang kamu menjadikan sebagai kawanmu orang-orang yang memerangimu karena agama dan mengusir kamu dari negerimu, dan membantu (orang lain) untuk mengusirmu. Dan barangsiapa menjadikan mereka sebagai kawan, maka mereka itulah orang-orang yang zalim[1]

Dari ayat ini, Allah SWT sendiri menjelaskan bahawa melakukan keadilan itu tidak terbatas terhadap sesame muslim sahaja, malahan terhadap non Muslim juga wajib dilaksanakan keadilan. Dalam Islam, keadilan bermaksud “memberikan hak kepada mereka yang berhak”. Definisi ini diasaskan kepada satu sabda Nabi Muhammad SAW bahawa Baginda berkata;

إِنَّ اللَّهَ قَدْ أَعْطَى كُلَّ ذِي حَقٍّ حَقَّهُ

Maksudnya;
            “Sesungguhnya Allah telah memberikan hak kepada orang yang berhak[2]

Non Muslim juga mempunyai hak apabila mereka menjadi warganegara dalam sesebuah Negara. Maka hak mereka itu tidak boleh diabaikan, sebaliknya hendaklah diberikan. Menafikan hak mereka, bermakna melakukan kezaliman terhadap mereka, walhal perkara itu dibenci oleh nabi Muhammad SAW.

Sabda Baginda SAW;

أَلَا مَنْ ظَلَمَ مُعَاهِدًا أَوْ انْتَقَصَهُ أَوْ كَلَّفَهُ فَوْقَ طَاقَتِهِ أَوْ أَخَذَ مِنْهُ شَيْئًا بِغَيْرِ طِيبِ نَفْسٍ فَأَنَا حَجِيجُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya;
            “Ketahuilah ! Barangsiapa menzalimi non Muslim, atau mengurangi haknya, atau membebankan kepada mereka melebihi kemampuannya, atau mengambil daripadanya sesuatu dengan cara yang tidak baik, maka aku akan jadi penghujjah untuknya pada hari kiamat kelak[3]

Apabila kita fahami bahawa Islam tidak pernah mengizinkan dari muslim melakukan penindasan, atau menafikan hak terhadap non Muslim, makanya perlu kita fahami dalam bentuk yang sebenar tentang maksud Jizyah seperti yang termaktub dalam Al-Quran.

JIZYAH SEBAGAI ALAT, BUKAN TUJUAN

“Ini ada nas la. Takkan kita nak lawan nas kot?”, seorang anak muda berkopiah putih, berseluar singkat separuh betis agak meninggikan suara.
            “Memang la ada nas, tapi nak tengok nas ni, ada caranya.. bukan pakai tengok, pastu terus keluarkan hukum bahawa ini wajib, dan ini haram”, kedengaran suara membantah pandangan itu. Orangnya berbaju melayu kuning muda, tidak berkopiah dan memakai cermin mata.
Kedengaran juga dia membaca satu firman Allah yang berbunyi;

وَقَاتِلُوهُمْ حَتَّى لَا تَكُونَ فِتْنَةٌ

Maksudnya;
            “dan perangilah mereka hingga tidak berlaku lagi fitnah[4]
“ayat ini, ada wasail dan maqasidnya. Maqasid dari ayat ini adalah, apakah melahirkan fitnah ataupun tidak. Adapun perang, ia adalah wasailnya” suara itu memberi penjelasan lagi.
“Yang pentingnya adalah melahirkan fitnah atau tidak. Perang atau tidak, ia bukan perkara pokok. Perang itu adalah soal teknik dan cara”
            “memang tidak dinafikan bahawa ayat ini menggunakan fi’l Amr (perbuatan berbentuk suruhan) yang mengandungi makna wajib berperang. Pun begitu, perang itu bukan maqasid tetapi wasail”
“Jika nak adaptasikan ayat ini di Malaysia, mesti akan jadi masalah. Jika Kita hendak mengatakan perang itu wajib kerana ia menggunakan kata perbuatan suruhan, pasti ia bukan dapat menghapuskan fitnah, sebaliknya melahirkan fitnah. Jika keadaan ini berlaku, sudah pasti cara pengadaptasian ayat sudah menjadi salah”
Penjelasan ringkas tetapi padat itu ternyata menjadikan pemuda yang memakai kopiah putih itu terdiam. Kelihatan dia memegang telefon bimbitnya sambil menekan-nekan butang papan kekuncinya.

JIZYAH

Jizyah ini termaktub dalam nas. Allah SWT menyatakan dalam ayat 29, dari surah At-Taubah dengan firman-Nya;

قَاتِلُوا الَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَلَا بِالْيَوْمِ الْآَخِرِ وَلَا يُحَرِّمُونَ مَا حَرَّمَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَلَا يَدِينُونَ دِينَ الْحَقِّ مِنَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ
حَتَّى يُعْطُوا الْجِزْيَةَ عَنْ يَدٍ وَهُمْ صَاغِرُونَ

Maksudnya;
            Perangilah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan tidak (pula) kepada hari kemudian, dan mereka tidak mengharamkan apa yang diharamkan oleh Allah dan RasulNya dan tidak beragama dengan agama yang benar (agama Allah), (yaitu orang-orang) yang diberikan Al-Kitab kepada mereka, sampai mereka membayar jizyah dengan patuh sedang mereka dalam keadaan tunduk[5]
Ayat jizyah ini bersifat wasail, bukan maqasid. Ia sama seperti hukum perang; iaitu perang itu adalah wasail, sedangkan maqasidnya adalah untuk menghapuskan fitnah.
Ekoran itu, apabila kita perhatikan kepada umum ayat ini, didapati Allah SWT menyatakan wajib dikenakan jizyah terhadap semua yang tidak beriman dengan Allah dan hari akhirat, juga terhadap mereka yang tidak mengharamkan perkara yang diharamkan oleh Allah dan tidak beragama dengan agama yang sebenar.
Dari sudut ayat ini, Allah menggunakan maksud yang umum, iaitu termasuk lelaki dan perempuan. Tetapi setelah diselidiki, didapati seorang pegawai Saidina Umar bin Al-Khattab bernama ‘Utbah bin Farqad menulis kepada rakyat Azarbaijan yang kandungannya adalah seperti berikut;

كلهم الأمان على أنفسهم وأموالهم ومللهم وشرائعهم، على أن يؤدوا الجزية، على قدر طاقتهم ليس على صبي ولا امرأة

Maksudnya;
            “Semua mereka berada dalam keadaan aman pada nyawa, harta, puak-puak dan pengamalan agama mereka. Iaitu, terhadap mereka yang menunaikan/membayar jizyah. Ia dikenakan mengikut kadar kemampuan mereka, tanpa dikenakan terhadap kanak-kanak dan perempuan[6]
            Juga kandungan surat Umar bin Al-Khattab kepada panglima-panglima perang yang hendak bertolak untuk melakukan sesuatu serangan. Kandungan surat tersebut adalah seperti berikut;

لا تضربوا الجزية على النساء و الصبيان

Maksudnya;
            “Jangan dikenakan jizyah terhadap perempuan dan kanak-kanak[7]
            Ekoran itu, tidak hairan Ibnu Hajar menyatakan;

لا تؤخذ من شيخ فانٍ ولا زمِن ولا امرأة ولا مجنون ولا عاجز عن الكسب ولا أجير
ولا من أصحاب الصوامع والديارات

Maksudnya;
            “(Jizyah) tidak diambil daripada orang yang terlalu tua, dari perempuan, dari orang gila, dari orang yang lemah dari bekerja, lemah untuk mengambil upah. Juga tidak diambil dari ahli-ahli agama yang berada dalam biara ibadat mereka[8]
Jika dilihat pada semua perkataan yang dinukilkan ini, kita dapati bahawa jizyah tidak dikenakan terhadap kanak-kanak dan perempuan. Ia menjadi bukti bahawa jizyah ini dikenakan terhadap mereka yang asalnya menyerang kerajaan Islam, sedangkan kanak-kanak dan perempuan tidak terlibat dalam peperangan. Makanya tidak hairan jizyah tidak dikenakan kepada mereka.

Ekoran itu, jika diteliti kepada tafsiran para ulama-ulama tafsir tentang jizyah, kebanyakkan mereka menyatakan ia dikenakan kepada golongan muqatalah, iaitu orang yang terlibat dengan peperangan.

Antaranya adalah, perkataan Imam Al-Qurtubi yang menyatakan;

قَالَ عُلَمَاؤُنَا رَحْمَةُ اللَّهِ عَلَيْهِمْ: وَالَّذِي دَلَّ عَلَيْهِ الْقُرْآنُ أَنَّ الْجِزْيَةَ تُؤْخَذُ مِنَ الرِّجَالِ الْمُقَاتِلِينَ

Maksudnya;
            “Berkata ulama-ulama kami – Mudah-mudahan Rahmat Allah diturunkan kepada mereka: dan apa yang didalilkan dari Al-Quran bahawa Jizyah itu diambil dari para lelaki yang terlibat dengan peperangan[9]

HUKUM ASAL BAGI JIZYAH

Menjadi kewajipan bagi orang Islam yang berada dalam sesebuah Negara yang diperintah oleh Islam bahawa membayar zakat. Kewajipan ini, tidak sekadar terkena kepada muslim sahaja, tetapi terkena juga terhadap non Muslim. Bayaran yang dikenakan terhadap Muslim itu dinamakan sebagai zakat, sedangkan bayaran yang dikenakan kepada non Muslim itu dikenali sebagai jizyah.

Dalam sejarah Islam, kita dapati bahawa Abu Bakar As-Siddiq ketika menjadi Khalifah, beliau telah bertindak memerangi Muslim yang tidak membayar zakat. Ekoran itu, apabila muslim yang tidak membayar zakat pun dibenarkan untuk diperangi,  maka begitujuga tidak menjadi satu kesalahan bagi sesebuah Negara yang diperintah oleh orang Islam memerangi non Muslim yang tidak membayar jizyah.

Namun begitu, setelah pihak non Muslim telah membayar jizyah, menjadi kewajipan besar bagi kerajaan bahawa memberikan keamanan dan memberikan hak mereka sebagai warganegara, tanpa membedakan antara mereka dengan warganegara yang beragama Islam. Tindakan pemimpin beragama islam yang tidak menunaikan hak non Muslim tersebut mewajarkan ia dikritik dan ditentang.

Malahan, pemerintah Islam yang gagal menunaikan hak non Muslim, ketika itu wajib bagi pemerintah tersebut membayar balik wang bayaran jizyah itu kepada non Muslim. Perkara ini dinukilkan oleh Imam Abu Yusuf dalam kitab Al-Karaj, bahawa beliau menukilkan bahawa Abu Ubaidah ketika menjadi pemerintah telah menulis surat kepada para gabenornya. Antara kandungan surat tersebut adalah;

وَأَنَّكُمُ اشْتَرَطْتُمْ عَلَيْنَا أَنْ نَمْنَعَكُمْ، وَإِنَّا لَا نَقْدِرُ عَلَى ذَلِكَ، وَقَدْ رَدَدْنَا عَلَيْكُمْ مَا أَخَذْنَا مِنْكُمْ وَنَحْنُ لَكُمْ عَلَى الشَّرْطِ وَمَا كَتَبْنَا بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ إِنْ نَصَرَنَا اللَّهُ عَلَيْهِمْ

Maksudnya;
            “Sesungguhnya kamu mensyaratkan kepada kami agar memberi keamanan kepada kamu. Namun kami tidak mampu untuk itu. Sesungguhnya kami pulangkan balik apa yang telah ambil dari kamu. Kami bertindak terhadap kamu tertakluk dengan syarat, dan berdasarkan apa yang kami tuliskan antara kami dan antara kamu bahawa mudah-mudahan Allah membantu kami terhadap kamu (menjaga keamanan kamu)[10]
Malahan, dalam kitab Tarikh Tabari, dinukilkan beberapa perkataan para sahabat terdahulu, antaranya perkataan Khalid Al-Walid yang pernah berkata;

فإن منعناكم فلنا الجزية وإلا فلا حتى نمنعكم

Maksudnya;
            “Sekiranya kami berjaya menjaga kamu, maka kamu hendaklah memberikan jizyah kepada kami. Sekiranya tidak (kami tidak berjaya menjaga kamu), maka tidak (iaitu tidak perlu kamu memberi jizyah kepada kami) sehingga kami berjaya member keamanan kepada kamu[11]
            Malahan, dalam kitab Ahkam Az-Zimmiyin wa Al-Musta’minin fi Dar Al-Islam, Dr Abdul karim Zaidan ada menyatakan bahawa tergugur juga dari kewajipan non Muslim dari membayar jizyah, sekiranya mereka telah bersatu dengan muslim dalam mempertahankan Negara dari sebarang serangan musuh. Perkara ini telah diamalkan pada zaman pemerintahan Umar bin Al-Khattab dahulu[12].

KADAR JIZYAH

Jizyah tidak dikenakan kepada ahli-ahli agama non Muslim. Perkara ini ditegaskan oleh Rahiyyani, seorang fuqaha’ dalam mazhab Hanbali dengan katanya;

(وَلَا) جِزْيَةَ (عَلَى رَاهِبٍ بِصَوْمَعَةٍ دَائِمًا) ، لِأَنَّهُ لَا يُقْتَلُ، فَلَمْ تَجِبْ عَلَيْهِ كَالْمَرْأَةِ وَالصَّبِيِّ،

Maksudnya;
            “Tidak diambil jizyah dari rahib (ahli ibadat) yang berada di rumah ibadat selama-lamanya. Ini kerana, mereka tidak boleh dibunuh, sepertimana tidak wajib atasnya seperti perempuan dan kanak-kanak[13]
            Begitujuga, tidak diambil jizyah dari non Muslim orang yang susah; yang tidak mempunyai kemampuan untuk mencari harta, seperti miskin dan faqir.  Ibnu Hajar Al-Asqalani menyatakan dalam kitab masyhur beliau, Fath Al-bari;

أَنْ لَا يُؤْخَذ مِنْ أَهْل الْجِزْيَة إِلَّا قَدْر مَا يُطِيق الْمَأْخُوذ مِنْهُ

Maksudnya;
            “Bahawa tidak diambil dari ahli jizyah kecuali mengikut kadar yang mampu diambil darinya[14]
            Menurut Dr Yusuf Al-Qaradhawi[15], tidak diambil jizyah dari non Muslim yang faqir miskin kerana melihat kepada firman Allah SWT;

لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا

Maksudnya;
            “Allah SWT tidak akan membebankan kepada individu itu kecuali mengikut kadar kemampuan sahaja[16]
            Namun begitu, terhadap mereka yang berkemampuan, wajib diambil jizyah dari mereka berdasarkan ketetapan kerajaan. Ia dibawah maksud kaedah yang berbunyi;

تصرف الإمام على الرعية منوط بالمصلحة

Maksudnya;
            “pengurusan imam terhadap rakyat itu tertakluk kepada kemaslahatan[17]
            Jika diteropong di zaman pemerintahan Umar bin Al-Khattab, beliau telah mengambil jizyah dari mereka yang kaya sebanyak 48 Dirham; dari mereka yang pertengahan sebarang 24 Dirham; dan dari orang yang bawah dari kadar pertengahan sebanyak 12 Dirham.

BEBERAPA KESAMARAN

Pertama:

Ada sebilangan penulis menganggap bahawa jizyah adalah salah satu cara untuk melakukan penghinaan terhadap non Muslim. Mereka beralasan dengan firman Allah SWT pada ayat jizyah, yang mana di akhir ayat Allah SWT menyatakan;

حَتَّى يُعْطُوا الْجِزْيَةَ عَنْ يَدٍ وَهُمْ صَاغِرُونَ

Maksudnya;
            “sampai mereka membayar jizyah dengan patuh sedang mereka dalam keadaan tunduk[18]
            Mereka menafsirkan kalimah “Saghirun”, yang asal maknanya adalah kecil dengan maksud memperkecilkan. Walhal, makna saghirun dalam ayat ini bukan bermakna sebegitu. Jika tafsiran ini digembar-gemburkan, ia seakan-akan mempamerkan Islam adalah agama yang tidak mengajar unsure keadilan, walhal ia adalah sebaliknya. Sesungguhnya dengan memberi jizyah itu bukan sebagai cara untuk memberi penghinaan terhadap non Muslim. Jika dengan pemberian jizyah itu sebagai cara untuk member gambaran penghinaan, maka apakah dengan kewajipan membayar zakat itu merupakan cara untuk Allah hendak menghina orang islam? Sudah pasti, ia tidak benar sama sekali.
            Walaubagaimana pun, apabila dilihat pada tafsiran yang dikemukakan oleh Ibnu Qayyim dalam kitab Ahkam Ahl Az-Zimmah, beliau menyatakan;

والصواب في الآية أن الصغار هو التزامهم لجريان أحكام الملة عليهم، وإعطاء الجزية، فإن التزام ذلك هو الصغار

Maksudnya;
            “Dan yang sebetulnya pada ayat, sesungguhnya makna “sighar” itu adalah mereka beriltizam dengan hukuman yang wajib mereka tunaikan, membayar jizyah. Maka mereka beriltizam itu merupakan maksud bagi “sighar”[19]

Kedua:

Apakah sama jizyah dengan cukai? Apakah sama zakat dengan cukai?

Komen;

Untuk komen persoalan ini, diulas seperti berikut;

Satu :

Jizyah dan zakat tidak boleh disamakan. Ia adalah dua perkara yang berbeda. Dari sudut kadarnya, zakat adalah satu ketetapan dari Allah. Ia tidak berlaku pada jizyah, kerana ketetapan jizyah tertakluk kepada kemaslahatan yang diperhatikan oleh pemerintah.
            Cuma dalam beberapa perkara yang melibatkan dengan zakat, ada zakat yang diwujudkan berdasarkan kepada qias kepada nas. Ia berasaskan kepada ijtihad insyaie. Seperti ijtihad Dr Yusuf Al-Qaradhawi mengemukakan zakat pendapatan. Ulasan panjang tentang zakat pendapatan tersebut, boleh dibaca dalam buku fiqh zakat tulisan Dr Yusuf Al-Qaradhawi. Atau jika mahu senang sedikit, boleh baca buku bertajuk “zakat” ulasan Dr Mahmood Zuhdi. Dalam buku tersebut, menukilkan penghujjahan Dr Yusuf Al-Qaradhawi tentang ijtihad beliau terhadap zakat pendapatan.
            Adapun jizyah, ia bukan satu ketetapan dari pihak tuhan, tetapi ia diserahkan bulat-bulat kepada pemerintah dalam menentukan kadar bayarannya. Ia dibawah ijtihad pemerintah untuk mencapai sesuatu kemaslahatan dalam pemerintahan.

Dua:

Adapun cukai, hukum Asal pengambilannya dari pihak kerajaan kepada rakyat adalah haram. Ini berasaskan kepada beberapa dalil-dalil, iaitu seperti berikut;

Pertama : surah Al-Baqarah : 188

 وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْإِثْمِ وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya;
 "jangan kamu makan harta kamu sesame kamu dengan batil (salah) dan kamu hulur dengannya kepada pemerintah, supaya makan satu pihak daripada harta manusia dengan dosa dalam keadaan kamu mengetahuinya"
            Dalam ayat ini, Allah melarang memakan harta manusia dengan kebatilan; dengan jalan yang salah. Iaitu, jalan yang tidak bersesuian dengan jalan yang dibenarkan dalam syarak.

Kedua : Surah An-Nisa' : 29

 يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَنْ تَكُونَ تِجَارَةً عَنْ تَرَاضٍ مِنْكُمْ وَلَا تَقْتُلُوا أَنْفُسَكُمْ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا

Maksudnya;
 "Wahai orang yang beriman, jangan kamu makan harta kamu sesame kamu dengan kebatilan, melainkan perniagaan yang kamu redha sesame kamu. Jangan kamu bunuh diri kamu, sesungguhnya Allah amat penyayang terhadap kamu"

Ketiga : Surah Al-Hasyr : 7

 كَيْ لَا يَكُونَ دُولَةً بَيْنَ الْأَغْنِيَاءِ مِنْكُمْ

Maksudnya;
"Supaya perbendaharaan Negara tidak berlegar di kalangan orang-orang kaya di kalangan kamu"

Keempat : Rasulullah SAW bersabda;

 لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ صَاحِبُ مَكْسٍ

Maksudnya;
"Tidak akan masuk syurga orang yang mengenakan cukai[20]
            Dalam kitab Aun Al-Ma'bud, "Maks" ditafsirkan sebagai, "dirham yang diambil daripada peniaga di pasar pada zaman Jahiliyyah[21]"
            Dalam kitab Nail Al-Awtar, "Maks" diterjemah sebagai;

 هُوَ مَنْ يَتَوَلَّى الضَّرَائِبَ الَّتِي تُؤْخَذُ مِنْ النَّاسِ بِغَيْرِ حَقٍّ

Maksudnya;
 "Menentukan cukai yang diambil daripada manusia tanpa hak[22]"

CUKAI DALAM SIYASAH

Secara asasnya, hukum mengambil cukai dari rakyat adalah haram. Pun begitu, jika Negara menghadapi kemelut yang tersangat memerlukan kepada kewangan, seperti kerana keperluan untuk berperang, dan sebagainya, ketika itu hukum mengambil cukai dibenarkan. Keizinan mengambil cukai dari rakyat, dibawah ketagori dharuriyyat dan hajiyat, iaitu dikala kerajaan tidak dapat bertahan melainkan mendapat bantuan kewangan dari rakyat bawahan.

Ini berpegang dengan firman Allah;

 وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya;
"Bantu membantulah kamu atas kebajikan dan ketaqwaan, dan jangan kamu Bantu membantu atas dosa dan permusuhan[23]"
            Cukai yang hendak dikutip, tidak boleh melebihi dari kadar keperluan. Sekiranya mengambil lebih dari kadar keperluan, maka hukumnya adalah haram, kerana konsep Negara islam, bukanlah kerajaan yang berniaga dengan rakyat, tetapi Negara islam adalah Negara yang berkebajikan dengan rakyat.
            Firman Allah;

 قَالُوا يَا ذَا الْقَرْنَيْنِ إِنَّ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ مُفْسِدُونَ فِي الْأَرْضِ فَهَلْ نَجْعَلُ لَكَ خَرْجًا عَلَى أَنْ تَجْعَلَ بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمْ سَدًّا * قَالَ مَا مَكَّنِّي فِيهِ رَبِّي خَيْرٌ فَأَعِينُونِي بِقُوَّةٍ أَجْعَلْ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَهُمْ رَدْمًا

Maksudnya;
"Mereka berkata: "Hai Dzulkarnain, sesungguhnya Ya'juj dan Ma'juj itu orang-orang yang membuat kerusakan di muka bumi, maka dapatkah kami memberikan sesuatu pembayaran kepadamu, supaya kamu membuat dinding antara kami dan mereka?" * Dzulkarnain berkata: "Apa yang telah dikuasakan oleh Tuhanku kepadaku terhadapnya adalah lebih baik, maka tolonglah aku dengan kekuatan (manusia dan alat-alat), agar aku membuatkan dinding antara kamu dan mereka[24]"  
            Dari dua ayat ini, kita dapat melihat bentuk kerajaan islam yang diberikan contoh oleh Zulqarnain, bukan kerajaan jibayah (kerajaan yang mengutip cukai) kepada rakyatnya. Waima dalam usaha hendak menyerang Ya'juj wa Ma'juj, Zulqarnain tidak menerima cukai yang mahu dibayar oleh rakyatnya, sebaliknya hanya meminta mereka membantu dalam usaha melawan ya'juj wa ma'juj.

Khulasahnya, cukai adalah cara yang paling akhir bagi pemerintah untuk kutip dari rakyat. Ia setelah pembayaran zakat atau jizyah, usyur dan sebagainya sudah tidak dapat menampung perbelanjaan Negara, lalu pihak kerajaan memotong gaji mereka terlebih dahulu. Dan akhir sekali, baru boleh kutip cukai dari rakyat. itupun, sekadarnya sahaja, tidak boleh berlebihan.
            Ia dibawah maksud, “dharurat mengikut kadarnya sahaja”.

Ketiga :

Apakah perlu membayar cukai lagi jika dah bayar zakat?

Komen:

Pembayaran zakat adalah satu keperluan ilahi. kadarnya ketetapan dari Allah, sama ada menerusi Al-Quran dan juga hadis. Adapun cukai, ia dikutip dikala kerajaan terlalu kekeringan, sehingga tidak ada cara lain untuk menampung kewangan Negara kecuali dengan cukai.
            Jadi, dalam kerajaan Islam, cukai tidak ada kecuali dalam keadaan dharurat. Sekiranya kita berada dalam keadaan sebegitu, disamping sudah membayar zakat, maka kita juga perlu membayar cukai apabila diminta oleh pihak kerajaan dalam keadaan Dharurat tadi.

Keempat:

Macam mana pula kalau pendatang yang membayar zakat atau jizyah?

Komen:

Ini perkara yang membedakan zaman terdahulu dan zaman kini. Pada zaman dahulu, orang islam adalah satu keluarga dalam sesebuah pemerintahan yang berpayung atas nama khalifah. Tetapi kini, keadaan ini berbeda. Ia dikerat-kerat seperti kek, menyebabkan ada muslim mesir, muslim Malaysia, muslim Indonesia, muslim Pakistan, muslim Bangladesh dan sebagainya.
            Justeru, dalam kerangka kini, ia memerlukan kepada ijtihad baru apabila tertubuhnya sesebuah Negara. Lebih-lebih lagi, apabila kini timbul istilah warganegara (al-Muwatinun), yang tertakluk dengan kelulusan rasmi dari kerajaan sebagai rakyat sesebuah Negara, seperti mendapat kad pengenalan, passport dan sebagainya.
            Jadinya, dalam perkara ini, hendaklah diserahkan kepada pihak pembahas undang-undang dalam menentukan perkara ini, sekiranya islam terlaksana sesebuah Negara; sama ada melalui referendum rakyat, ataupun terserah keputusan dalam sidang Parlimen atau DUN.

PENUTUP

Dari sudut penciptaan manusia itu dianggap mulia disisi Allah dan terbaik, tidak kira ia muslim atau tidak muslim.
            Firman Allah;

وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آَدَمَ

Maksudnya;
            “Sesungguhnya kami muliakan anak adam[25]
            Juga firman Allah;

لَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنْسَانَ فِي أَحْسَنِ تَقْوِيمٍ

Maksudnya;
            “Sesungguhnya kami ciptakan manusia itu adalah sebaik-baik kejadian[26]
            Daripada sunnah kehidupan, manusia itu diciptakan oleh Allah SWT dengan berbilang-bilang bangsa, keturunan, warna kulit dan sebagainya. Pun begitu, hakikat perbedaan ini adalah berasal dari satu, iaitu nabi Adam AS.
            Sabda Nabi SAW dalam satu khutbah pada hari Tasyriq:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ أَلَا إِنَّ رَبَّكُمْ وَاحِدٌ وَإِنَّ أَبَاكُمْ وَاحِدٌ أَلَا لَا فَضْلَ لِعَرَبِيٍّ عَلَى أَعْجَمِيٍّ وَلَا لِعَجَمِيٍّ عَلَى عَرَبِيٍّ وَلَا لِأَحْمَرَ عَلَى أَسْوَدَ وَلَا أَسْوَدَ عَلَى أَحْمَرَ إِلَّا بِالتَّقْوَى

Maksudnya;
            “Wahai Manusia, sesungguhnya tuhan kamu adalah esa. Sesungguhnya ayah kamu adalah satu. Ketahuilah, tiada arab itu lebih mulia berbanding ’ajam, dan tiada ’ajam lebih mulia berbanding arab, tiada kulit merah lebih mulian daripada hitam dan tiada orang kulit hitam itu lebih mulia berbanding mereka melainkan dengan taqwa[27]
            Dan sabda Nabi SAW lagi:

كلكم لآدم ، وآدم من تراب ، وأكرمكم عند الله أتقاكم

Maksudnya;
            ”Setiap kamu dari adam dan adam pula daripada tanah. Dan semulia-mulia kamu disisi Allah adalah orang yang paling bertaqwa dikalangan kamu[28]
            Dari Adam, Allah menciptakan hawa. Dengan penciptaan hawa itulah, bermulalah pembiakan manusia. Dengan pembiakan itu, menyebabkan dunia dipenuhi dengan manusia.

Penciptaan manusia yang bermula dari satu sehingga menjadi banyak, bukanlah semata-mata wujudnya manusia, bahkan disana terdapat arahan dari Allah agar menghubungkan kasih sayang sesama mereka.
            Firman Allah:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

Maksudnya;
“Sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa - bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu, Sesungguhnya Allah maha mengetahui dan maha mengenal[29]
            Dalam ayat ini, Allah menjelaskan kepada kita bahawa manusia itu disuruh kenal mengenali sesama mereka. Suruh kenal mengenal itu, tidak dikhususkan kepada sesame muslim sahaja, bahkan juga bersama dengan mereka yang non muslim juga.
            Dalam keadaan begitu, Islam melarang dari melakukan kezaliman, waima terhadap mereka yang berbeda agama. Sekiranya ada pihak yang mempamerkan sebaliknya, fahamilah bahawa itu bukan dari ajaran islam.
           
Sekian

Wallahu ‘Alam




[1] Al-Mumtahanah : 8 -9
[2] Abu Daud : 2486
[3] Abu Daud : 2654.
[4] Al-Baqarah : 193
[5] At-Taubah : 29
[6] Tarikh At-Tabari : 2/540.
[7] Al-Amwal : 51
[8] Fath Al-Bari : 6/260
[9] Tafsir Al-Qurtubi : 8/112
[10] Al-Karaj : 153.
[11] Tarikh At-Tabari : 2/570
[12] Ahkam Az-Zimmiyyin wa Al-Musta’minin fi Dar Al-Islam : 155.
[13] Matalib Uli An-Nuha : 2/596.
[14] Fath Al-Bari : 9/431.
[16] Al-Baqarah : 286.
[18] Taubah : 29
[19] Ahkam Ahl Az-Zimmah : 9
[20] Abu Daud : 2548
[21] Aun Al-Ma'bud : 6/412
[22] Nail Al-Awtar : 11/251
[23] Al-Maidah : 2
[24] Al-Kahf : 94-95
[25] Al-Isra : 70
[26] At-Tin : 4
[27] Musnad Ahmad : 22391
[28] Akhbar Makkah : 713
[29] Al-Hujurat : 13