Aku ke masjid al-Salam, Bukit Sentosa untuk sampaikan kuliah
maghrib. Di kala itu, isu yang sedang hangat dibincangkan adalah isu kalimah
Allah. Dalam kuliah, aku ada mengupas tentang isu penggunaan kalimah Allah
kepada orang bukan Islam dari sudut penghujahan nas al-Quran dan al-hadis.
Selesai kuliah, seorang lelaki agak berumur, memakai serban ala-ala
Sudan mendekatiku.
“Ustaz, Jadi ke Dr Juanda nak bertanding kat parlimen Kangaq kali
ini” soal lelaki itu dalam loghat utara.
Aku terus merenung ke arah muka lelaki itu.
“Isy, tak tau pula.. tapi ana rasa, tak kot..” aku jawab
soalan lelaki tersebut.
Lelaki itu senyum dan terus menyatakan, “Saya ni orang Perlis…”
“Ooo.. patut pun tanya soalan tu..” aku membalas.
Apabila aku nak berlalu pergi dari masjid, ada seorang pula
lelaki kurus yang agar tinggi datang rapat kepadaku. Dia pun menghulur kepadaku
satu risalah yang tebalnya lebih kurang 9 hingga 10 muka surat kepadaku. Aku membuka
risalah itu, didapati sebuah risalah dalam bahasa arab yang menerangkan
penggunaan kalimah Allah kepada non Muslim.
Aku melihat risalah itu, dan lelaki itu ambil risalah itu
dari tanganku, dan dia membelek beberapa helai, sambil dia menunjuk dan membaca
beberapa matan arab dalam risalah itu tentang penggunaan kalimah Allah. Aku merenung
kepada risalah itu, ternyata kupasnanya cukup ilmiah dan mempunyai sumber
rujukan dari kitab-kitab muktabar.
“isu ni ustaz, masalahnya ustaz-ustaz kita pun tak faham”
ujar lelaki itu.
Memandangkan dia boleh membaca matan arab yang tidak berbaris
itu dengan baik, aku menganggap bahawa lelaki itu bukan sebarangan.
“Ustaz ke yang tulis ni?” soalku.
“tak.. ada budak-budak pondok yang tulis benda ni” ujar
lelaki itu.
Hati kecilku merasakan bahawa risalah itu kemungkinan besar
di tulis lelaki terbabit, tetapi disebabkan merendah diri, menyebabkan dia
tidak mengaku. Itu sangkaan aku sahaja.
Risalah itu, lelaki itu hadiahkan kepadaku. Aku pun
mengucapkan terima kasih kepadanya, dan menerima risalah yang cukup bermakna
tersebut. aku pun terus ke arah keretaku, dan memandu pulang ke sungai buloh.
Dalam perjalanan pulang, aku terfikir dengan soalan pak cik
yang berasal dari negeri perlis yang bertanya tentang Dr Juandajaya. Makanya aku
terus mengambil handphone kecilku, dan terus hantar sms kepada Dr Juandajaya.
Aku bertanya kepadanya, benarkah ada berita mengatakan bahawa dia akan
bertanding dalam pilihanraya kali ini.
SMS aku itu dibalas agak lambat juga.
Seperti biasa, apabila pulang dari kuliah, jika tidak ada
sebarang program, aku akan ke port harianku, iaitu di Sebuah restoran mamak di
Tropikana Sungai Buloh untuk membaca, bermain internet dan sebagainya.
Sesampai di situ, ada beberapa rakan yang sedang menunggu,
seperti Aiman, Ilhami dan Danial. Sedang galak berbual-bual, tiba-tiba
handphoneku berbunyi…
Bersambung…
No comments:
Post a Comment