Wednesday, 8 May 2013

KEMAJUAN KELANTAN ATAU PERLANTIKAN HUSAM ?


Aku tidak berminat dengan perjuangan berasaskan kepada orang, tetapi aku kagumi dan percaya, orang yang baik, rajin dan bijak sahaja mampu membuat perubahan dalam sesebuah pemerintahan.

Orang bodoh yang rajin, pergerakan akan menjadi ketinggalan zaman. Orang bijak yang pemalas, menjadikan pergerakan hanya sekadar idealisma, tanpa gerakan yang realistik. Orang yang bijak dan rajin, tetapi jahat, amat memberi bahaya kepada hasil mahsul Negara atau negeri  yang diperintah

Makanya, aku lebih percaya kepada sistem. Iaitu, sistem yang dikepalai oleh orang baik, bijak dan rajin. Ini kerana, dengan sistem, kerosakan berjaya dikurangkan. Disamping wujudnya orang yang bijak, berjaya memberi kemajuan dari sudut inovasi.

Kepada penyokong Husam, lelaki kaguman anda itu bukan segala-galanya, walaupun memang tidak dinafikan bahawa beliau seorang yang baik, bijak dan rajin. Tetapi, perkara yang paling penting adalah pembentukan sistem yang baik.


Makanya, dari anda berfikir untuk memastikan Husam sebagai exco, adalah lebih baik anda mencadangkan kepada kelantan dibawah kepimpinan MB yang baru perkara berikut;

Satu : Membina negeri yang ada akauntabiliti, kredibliti dan Transparensi.

Kelantan seharusnya menjadi pemerintahan yang punyai sistem yang lebih baik dari pemerintahan PR di Selangor dan di Pulau Pinang. Di Selangor, sejak awal pemerintahan PR, sudah diwujudkan Selcat, iaitu satu badan siasatan bagi mengesan sebarang penyelewengan terhadap urusan kewangan negeri. Keadaan yang sama juga dengan Pulau Pinang. Pengamalan selcat ini, tidak jauh beda dengan konsep hisbah yang pernah dibahas dalam kitab-kitab fiqh politik Islam, juga pernah digubal di negeri terengganu di era pemerintahan PAS dahulu.


Peliknya, kelantan sejak dari tahun 1990 lagi, badan sebegini penting tidak ditubuhkan, sedangkan Selangor dan Pulau Pinang telah menubuhnya tidak sampai setahun selepas penubuhan kerajaan di bawah pemerintahan pakatan rakyat.

Sebagai rakyat kelahiran Kelantan, aku juga ingin tahu bagaimana pengurusan balak di Kelantan? Bagaimana hasil mahsul balak diagihkan? Syarikat mana yang menguruskan balak di Kelantan? Lebih-lebih lagi, apabila berita angin menyatakan kononnya kilang papan telah “tutup kedai” ekoran pengurusan perkayuan di Kelantan diserahkan kepada salah sebuah syarikat kayu dari Singapore. Apakah benar atau tidak, perlu ada badan Hisbah untuk didedahkan kepada rakyat jelata.


Juga, aku mahu mengetahui apakah pengamalan pemberian projek di Kelantan, apakah menggunakan kaedah direct nego atau dengan open tender? Benarkah dakwaan bahawa hospital al-Nisa’ telah rugi hamper 7 tahun? Dan berbagai-bagai lagi yang perlu ditransparensikan.

Kedua : penubuhan perbadanan inovatif negeri

Seorang ahli politik yang hebat, sentiasa mempunyai idea yang baru. Makanya lebih penting bagi sesebuah negeri yang mahu menjadi lebih baik dari negeri lain.

Ramai yang menyanjungi Husam Musa, kerana ramai mendakwa bahawa beliau seorang yang sentiasa punyai idea-idea baru dalam pengurusan ekonomi negeri. Ketiadaan husam di Kelantan, memerlukan sebuah badan yang memikirkan untuk mencipta idea-idea baru untuk memastikan pergerakan negeri sentiasa baru dan segar.  Ini, sama ada penubuhan perbadanan baru, atau dengan perkasakan perbadanan yang sedia ada, seperti perbadanan kemajuan iqtisad negeri Kelantan.


Lebih-lebih lagi, di Kelantan sentiasa mendapat tekanan ekonomi dari kerajaan pusat, seperti Royalti minyak, pampasan taman Negara dan terbaru dikhabarkan bahawa dijumpai pula symptom-simptom kewujudan emas dan timah pula di sebilangan tempat di Kelantan.  Jika tiada idea inovatif, segala hasil mahsul ini tidak akan berjaya diurus dengan baik, juga gagal memberikan pulang baik kepada rakyat Kelantan itu sendiri.

Padaku, jika dua perkara ini berjaya dilaksanakan oleh Kelantan dibawah Pemerintahan MB Kelantan yang baru, insya Allah, Kelantan akan berada di mercu kejayaan yang lebih baik dari Negeri Selangor dan Pulau Pinang.

Wallahu ‘alam.




No comments:

Post a Comment