Monday, 10 June 2013

TIADA WILAYAH FAQEH DALAM SUNNI (6)

Dalam syiah, pemimpin itu adalah lantikan tuhan. Makanya tidak hairan, mereka meletakkan imam 12 dari kalangan ahl al-Bait, merujuk kepada keluarga Nabi Muhammad SAW dari susur galur Ali dan Fatimah, Hasan dan semua dari keturunan Husain. Ini membedakan dengan sunni yang meletakkan bahawa pemimpin itu berdasarkan kepada kelayakkan, bukan lantikan tuhan.

Pada syiah, ahl al-Bait itu sifatnya suci dari sebarang dosa, atau disebut dalam kata lain adalah  ma’sum berdasarkan kepada firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab, ayat 33;

إِنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ لِيُذْهِبَ عَنْكُمُ الرِّجْسَ أَهْلَ الْبَيْتِ وَيُطَهِّرَكُمْ تَطْهِيرًا

Maksudnya;
            “Sesungguhnya Allah hendak menghilangkan dosa dari kamu, hai ahlul bait dan membersihkan kamu sebersih-bersihnya” (Surah al-Ahzab, ayat 33)

Ekoran itu tidak hairan, kita dapati bahawa sifat wala’ dalam syiah dan sunni itu tidak sama. Selain itu, kritikan terhadap pemimpin secara terbuka, dari sudut pandang syiah dan sunni juga turut tidak sama. Ini semua kerana, sifat lantikan tuhan sememangnya suci (merujuk kepada Ahl al-Bait dalam syiah), sedangkan lantikan pemimpin berdasarkan kelayakkan yang beoriantasikan pilihan manusia, sudah pasti terdapat sebarang kelemahan dan kecacatan. Dengannya, memerlukan kritikan dan pembaik pulih.

WALA’ PEMIMPIN

Dalam sunni, ketaatan kepada pemimpin itu tidak mutlak, sebaliknya tertakluk kepada syarat. Dr Bashir Jahsy Maulud menyatakan dalam buku fi al-Ijtihad al-Tinzili, bahawa antara syarat-syaratnya adalah;
1-      Sama ada tidak bercanggah dengan nas yang saheh dan sareh, atau dalam kata lain, tidak menyanggahi hukum yang qatie atau pasti, seperti tidak boleh taat jika pemimpin itu melarang agar tidak solat, agar tidak berpuasa dan sebagainya.

Sabda Nabi Muhammad SAW;

السَّمْعُ وَالطَّاعَةُ عَلَى الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ فِيمَا أَحَبَّ وَكَرِهَ مَا لَمْ يُؤْمَرْ بِمَعْصِيَةٍ فَإِنْ أُمِرَ بِمَعْصِيَةٍ فَلَا سَمْعَ عَلَيْهِ وَلَا طَاعَةَ

Maksudnya;
            “Dengar dan taat menjadi tanggungjawab seseorang muslim pada perkara yang dia suka dan dia tidak suka, selama ia tidak menyuruh kepada maksiat. Sekiranya dia disuruh dengan maksiat, maka tiada dengar dan taat kepadanya”  (al-Tirmizi, hadis no : 1629)

2-       atau, mentaati pemimpin itu hendaklah tidak menyanggahi kemaslahatan umum. Dengan maksud, tidak salah menyalahi pemimpin yang tidak melakukan kezaliman, penipuan, khianat, fitnah dan sebagainya. ini kerana, tindakan

Sabda Nabi SAW;

لَيْسَ مِنَّا مَنْ دَعَا إِلَى عَصَبِيَّةٍ وَلَيْسَ مِنَّا مَنْ قَاتَلَ عَلَى عَصَبِيَّةٍ وَلَيْسَ مِنَّا مَنْ مَاتَ عَلَى عَصَبِيَّةٍ

Maksudnya;
            “Bukan dari kalangan kami mereka yang menyeru kepada asobiah; bukan dari kalangan kami yang berperang atas dasar asobiah; bukan dari kalangan kami orang yang mati atas dasar asobiah” (Abu Daud, hadis no : 4456)

Dalam riwayat lain, Moyang kepada Wasilah bin al-Asyqa3 bertanya tentang maksud Asobiah. Nabi Muhammad SAW menjawab;

أَنْ تُعِينَ قَوْمَكَ عَلَى الظُّلْمِ

Maksudnya;
            “Bahawa kami membantu kaum kamu atas kezaliman” (Abu Daud, Hadis no : 4454)

Asas bagi keizinan tidak taat dalam kerangka ini adalah kerana, sifat pemimpin dalam sunni itu adalah berdasarkan kepada kelayakkan yang dilihat oleh manusia, bukan lantikan tuhan terhadap Ahl al-Bait seperti yang difahami dalam syiah.

Atas asas lantikan pemimpin dalam sunni adalah dengan kelayakkan, bukan lantikan Tuhan, makanya dalam sunni, ketaatan kepada pemimpin itu bersifat rasional. Jika sesuatu keputusan itu mempamerkan kezaliman, atau menguntungkan kelompok yang kecil berbanding menguntungkan rakyat secara melata, keputusan yang memberi kerosakan yang lebih besar berbanding mencapai kebaikan kepada rakyat, maka keputusan pemimpin itu tidak boleh ditaati, malahan boleh ditolak dan dibantah.

Ini berdasarkan kepada hadis daripada Ali bin Abi Talib bahawa beliau ada bercerita. Dalam satu peperangan, Nabi Muhammad SAW ada melantik seorang lelaki dari ansar untuk mengepalai satu angkatan tentera. Nabi Muhammad SAW mengarahkan agar para sahabat taat dengan perintah lelaki terbabit. Satu masa, lelaki terbabit telah mengarahkan sahabat mengumpul kayu dan para sahabat akur tanpa bantah.  Kemudian, disuruh mereka menyalakan api, juga mereka akur tanpa bantah. Lalu, lelaki itu menyuruh semua para sahabat terjun dalam api yang dinyalakan tersebut. sebilangan sahabat ada yang mahu terjun, tetapi dihalang sebilangan sahabat yang lain. Mereka lari meninggalkan api tersebut dan menuju kepada Rasulullah SAW. Mereka bertanya kepada Nabi Muhammad SAW perkara itu. Mendengar pertanyaan mereka, nabi Muhammad SAW menjawab;

لَوْ دَخَلُوهَا مَا خَرَجُوا مِنْهَا إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ الطَّاعَةُ فِي الْمَعْرُوفِ

            Maksudnya;
            “Kalau mereka masuk dalam api tersebut, mereka tidak akan keluar dari api itu sampai hari kiamat (masuk neraka). Ketaatan itu pada perkara ma’ruf” (al-Bukhari, Hadis no : 3995)

Memahami perkara ini, kita akan dapati bahawa dalam sunni, ketaatan terhadap pemimpin itu tidak akan lahir beberapa perkara, iaitu;

1-      Tidak akan berlaku asobiah dalam berpolitik

Larangan Asobiah ini, sudah dinyatakan nas larangannya di atas.

2-      Tidak akan berlaku ghuluw dalam agama.

Larangan Ghuluw dalam agama ini cukup banyak terdapat dalam nas, antaranya adalah seperti  Firman Allah;

وَلَا تَعْتَدُوا إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ

Maksudnya;
            “Jangan kamu melampaui-lampau, sesungguhnya Allah SWT tidak suka kepada orang yang melampaui” (Surah al-Baqarah, ayat 190)

Juga sabda Nabi SAW;

هَلَكَ الْمُتَنَطِّعُونَ

Maksudnya;
            “Telah binasa orang yang melampau-lampau” (Muslim, hadis no : 4823. Dalam hadis, disebut bahawa Nabi SAW mengungkapkannya sebanyak 3 kali)

3-      Tidak akan berlaku budaya apa yang dinamakan halalkan fitnah, khianat dan sebagainya atas nama agama

Larangan memfitnah sememangnya terhalang dalam Islam, juga dari sudut fitrah manusia. melakukan tuduhan tanpa berasas, dalam beberapa keadaan boleh dikenakan hukuman qazaf. Fitnah yang melibatkan penzinaan, dikenakan qazaf yang berbentuk hudud. Adapun fitnah selain itu, dalam beberapa keadaan boleh dikenakan hukuman ta’zir.

Mengkhianati juga bukan budaya Islam. Ini kerana, sifat Islam itu mengajar agar menghormati perjanjian.

Firman Allah;

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا أَوْفُوا بِالْعُقُودِ

Maksudnya;
            “Wahai orang-orang yang beriman, sempurnakan janji-janji” (Surah al-Maidah, ayat 1)

Juga sabda Nabi Muhammad SAW;

الْمُسْلِمُونَ عَلَى شُرُوطِهِمْ

Maksudnya;
            “Orang Islam itu berpegang dengan syarat-syarat mereka” (Abu Daud, hadis no : 3120)

Tindakan menghalalkan khinat dan melanggar perjanjian adalah perkara yang diharamkan dalam agama. jika pemimpin melakukannya, lalu ada ahli bawahan mempertahankan tindakan itu, ia sama seperti apa yang Allah SWT nyatakan tentang Bani Israel.

Firman Allah;

اتَّخَذُوا أَحْبَارَهُمْ وَرُهْبَانَهُمْ أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللَّهِ

Maksudnya;
            “Mereka menjadikan para ahbar dan para rahib sembahan selain dari Allah” (Surah al-taubah, ayat 31)

dalam menafsirkan ayat ini, Imam Ibn Kathir mendatangkan satu kisah tentang seorang lelaki ahli kitab bernama ‘Adi bin Hatim yang datang kepada Nabi dalam keadaan memakai salib ditengkoknya. Ketika mendengar ayat ini, ‘Adi bertanya kepada Rasulullah SAW bahawa ahl kitab tidak pernah menyembah para rahib dan ahbar mereka. Mendengar itu, Nabi Muhammad SAW menyatakan;

بلى، إنهم حرموا عليهم الحلال، وأحلوا  لهم الحرام، فاتبعوهم، فذلك عبادتهم إياهم

Maksudnya;
            “Sememangnya. Sesungguhnya (para rahib dan para ahbar) mereka haramkan kepada mereka perkara halal, dan halalkan kepada mereka perkara yang haram, lalu mereka ikut para rahib dan para ahbar mereka, maka itu adalah sembahan mereka kepada para rahib ran para ahbar mereka” (Ibn Kathir, jld 4, hlmn 135)

Bersambung….



Saturday, 8 June 2013

TIADA WILAYAH FAQEH DALAM SUNNI (5)

Dalam syiah, pemimpin mesti dari kalangan imam. Bila ketiadaan imam (al-Ghaibatul kubra), sebilangan ulama dalam imamiah, seperti al-Khomaini “berijtihad” mencadangkan apa yang dinamakan kepimpinan ulama-ulama syiah yang dikenali wilayah faqeh. Seramai dua belas orang ayatollah yang memegang jawatan ini. dua belas orang ayatollah itu, mempunyai syarat yang cukup ketat, seperti penguasaan terhadap ilmu fiqh politik dalam syiah yang begitu luas,  kepakaran dalam irfan yang cukup mendalam dan mempunyai kemampuan pembacaan yang cukup luas.

Dalam sunni, ulama atau dalam istilah Irannya ayatollah tidak menjadi syarat bagi kepimpinan. Tetapi, pemastiannya adalah tertakluk kepada kejayaan memberikan kemaslahatan kepada rakyat dengan berbekalkan kepada dua perkara asas, iaitu al-Qawi  atau berkemampuan dan al-Amin atau beramanah.

Makanya, dalam sunni, kebijakan pemimpin untuk menjayakan dua perkara ini amat perlu. Lebih-lebih lagi dalam negara atau pengamalan dalam bidang politik yang mengamalkan sistem demokrasi. Ini kerana, dalam demokrasi, wujud apa yang dinamakan sebagai persaingan. Apabila banyak parti atau pihak yang berbeda, persaingan untuk memastikan kemenangan terdiri dari pihak yang berjaya mempengaruhi rakyat. Dengan kebijakan, rakyat akan memilih pemimpin yang al-Qawi dan al-Amin, tetapi tanpa kebijakan pemimpin, dua perkara ini tidak berjaya dilaksanakan, tetapi terlepas kepada orang yang tidak amanah.


Kepentingan kebijakan pemimpin ini boleh menjadi wajib dalam masa, tempat atau kondisi tertentu. Kebijakan pemimpin itu wajib, di kala tiada kebijakan itu akan menyebabkan negara atau negeri diperintah oleh golongan yang tidak ada al-Qawi dan al-Amin.

Melihat keadaan ini, melantik pemimpin yang ada kebijakan ini berasaskan kepada kaedah;

ما لا يتم الواجب الا به فهو واجب

Maksudnya;
            “perkara yang tidak sempurna kewajipan kecuali dengannya, maka melakukannya itu adalah wajib”

Selain kaedah ini, dilihat kepada beberapa athar terhadap pendalilan ini adalah seperti berikut;

            Satu: Firman Allah

وَقَالَ لَهُمْ نَبِيُّهُمْ إِنَّ اللَّهَ قَدْ بَعَثَ لَكُمْ طَالُوتَ مَلِكًا قَالُوا أَنَّى يَكُونُ لَهُ الْمُلْكُ عَلَيْنَا وَنَحْنُ أَحَقُّ بِالْمُلْكِ مِنْهُ وَلَمْ يُؤْتَ سَعَةً مِنَ الْمَالِ قَالَ إِنَّ اللَّهَ اصْطَفَاهُ عَلَيْكُمْ وَزَادَهُ بَسْطَةً فِي الْعِلْمِ وَالْجِسْمِ وَاللَّهُ يُؤْتِي مُلْكَهُ مَنْ يَشَاءُ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya;
            “Nabi mereka mengatakan kepada mereka: "Sesungguhnya Allah telah mengangkat Thalut menjadi rajamu." Mereka menjawab: "Bagaimana Thalut memerintah kami, padahal kami lebih berhak mengendalikan pemerintahan daripadanya, sedang diapun tidak diberi kekayaan yang cukup banyak?" Nabi (mereka) berkata: "Sesungguhnya Allah telah memilih rajamu dan menganugerahinya ilmu yang luas dan tubuh yang perkasa." Allah memberikan pemerintahan kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Luas pemberian-Nya lagi Maha Mengetahui” (Surah al-Baqarah, ayat 247)

Ayat ini, Allah SWT menyatakan kelayakkan Talut untuk memimpin dengan ada dua perkara pada dirinya, iaitu keluasan ilmu dan kekuatan tubuh badan. Keluasan ilmu pada kondisi Talut adalah kepandaian dalam strategi perang dan kekuatan badan dalam berhadapan dengan musuh.

Ibn Asyur dalam mengomentari perkara ini dengan katanya;
            “Ia adalah perkara yang sangat perlu dalam politik atau dalam mentadbir urusan umat. Iaitu, ia mampu kembali kepada pandangan yang tepat dan kekuatan tubuh badan. [ini kerana] dengan pandangan [yang tepat] itu dapat memberi banyak kemaslahatan kepada umat, walau dalam waktu yang sempit sekalipun, atau dikala sukar mendapat keputusan dari pihak yang diminta pandangan atau dikala berlaku perselisihan dalam ahli-ahli mesyuarat. Dengan kekuatan pula, ia mampu melahirkan kekukuhan dalam keyakinan tentera [petugas dan ahli bawahan]” (Tanwir wa Tahrir : 2/405)

            Kedua :
            Umar bin Al-Khattab seorang khalifah yang tidak dinafikan mempunyai kebijakan ajaib ini. ini terbukti, bahawa beliau banyak melakukan ijtihad-ijtihad baru yang ternyata memberi banyak keuntungan kepada Islam.

Namun, beliau juga mempunyai kelemahan-kelemahan sebagai manusia biasa. Ekoran itu, beliau mempunyai penasihat-penasihat yang hebat, yang dapat membantu beliau dalam menajamkan lagi kebijakan ajaib yang ada pada diri beliau.

Diceritakan dalam satu atsar, bahawa seorang perempuan muda telah datang berjumpa dengan Umar yang ketika itu, Kaab bin Sur sedang duduk bersama dengannya.

Perempuan itu berkata, “Wahai Amirul Mu’minin, aku tidak melihat seorang pun lelaki yang lebih baik daripada suamiku. Demi Allah, malamnya sentiasa qiyamullail, dan siangnya sentiasa berpuas”.

Mendengar perkataan perempuan itu, Umar memuji suaminya itu. Perempuan itu merasa malu dan terus pulang dengan wajah yang hampa.

Melihat keadaan itu, Kaab berkata kepada Umar, ”Wahai Amirul Mu’minin, apakah tuan tidak mengira masalah perempuan itu terhadap suaminya?

Umar berkata, “apa sebenarnya? Lalu berkata (kaab), sesungguhnya perempuan itu datang untuk membuat laporan kepada kamu. Apabila suaminya sentiasa dengan ibadat, bilakah masanya suaminya meluangkan masa untuknya (dengan jimak)?”

Mendengar kata-kata kaab, Umar menyuruh suami perempuan itu dipanggil. Ketika suami itu berada di hadapan Umar, Kaab diminta agar menjatuhkan hukuman terhadap suami tersebut.

Kaab terus berkata, ”Sesungguhnya aku melihat, seakan-akan lelaki ini mempunyai tiga orang isteri. Dan isterinya (yang datang) itu adalah isteri yang keempat. Maka aku hukumkan kepadanya, tiga hari dan tiga malam merupakan hari dia beribadat (puasa dan qiyamullail), dan bagi isterinya adalah hari yang keempat pada siang dan malamnya”

Umar bertanya, bagaimana kamu berhukum ini? Kaab menjawab, aku berdalilkan firman Allah SWT;

فَانْكِحُوا مَا طَابَ لَكُمْ مِنَ النِّسَاءِ مَثْنَى وَثُلَاثَ وَرُبَاعَ

”Maka kawinilah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi : dua, tiga atau empat” (Surah An-nisa’, ayat 3)

Mendengar ini, Umar terus berkata; ”Demi Allah, pandangan kamu dalam perkara pertama adalah bersangatan aku kagum berbanding satu lagi. Pergilah kamu menjadi qadi kepada penduduk Basrah” (Al-Mughni : 16/53 – 54)

Makanya, dalam sunni, pemimpin secara asasnya memerlukan kepada dua perkara, iaitu al-Qawi dan al-Amin, tetapi dalam syiah, diperlukan imam yang kemudian digantikan dengan kepimpinan ulama-ulama syiah atau atas lebel wilayah faqeh setelah diijtihadkan di kalangan ulama-ulama syiah imamiah. Namun begitu, di kalangan sunni, kedua-dua perkara ini tidak tercapai kecuali dengan pemimpin yang bijak, sepertimana kehendak dalam sistem demokrasi yang bersaing, makanya melantik pemimpin yang bijak itu adalah satu kewajipan, waima bukan dari kalangan ayatollah atau ulama sekalipun.

Bersambung…



Thursday, 6 June 2013

KISAH AKU DAN JUANDAJAYA (25 : AKHIR)

Bagi orang yang berkawan dengan Dr Juandajaya, pasti akan tahu bahawa beliau seorang yang suka bergurau. Beliau juga pandai menyesuaikan diri dengan siapa yang dia sedang bergurau. Makanya, style gurauan aku difahami Dr Juandajaya. Dia turut bergurau dengan aku dengan style aku.


Selain itu, Dr Juandajaya ini boleh bergurau berbentuk kutuk. Pernah aku kutuk dia berdepan bahawa dia punya epistomologi jumud. Dia ketawa dengan gurauan aku itu.


Makanya, semasa keadaan amat keliru dengan status kerusi Parlimen Kangar, Hishamuddin Rais ada menghantar SMS kepadaku minta bagitau kepada Dr Juandajaya bahawa dia fokus kepada plan B, kerana melihat kepada Plan A sudah gagal. Aku hanya tahu tentang Plan A, iaitu bertanding di parlimen Kangar, tetapi tidak tahu pun tentang Plan B. Aku menjangkakan, bertanding di parlimen Sarawak barangkali.

Aku forwardkan SMS Hishamuddin itu kepada Dr Juandajaya. Dr Juandajaya membalas SMS dengan mendakwa dia tidak faham maksud SMS tersebut. Aku pula forwardkan SMS itu kepada Hishamuddin Rais balik. Hishamuddin Rais nyatakan bahawa seperti yang dibincangkan sebelum ini. Dalam SMS Hishamuddin itu, ada tulis “takkan tak faham kot?”

“ok faham. Cakap kat abang sham jangan marah. Nanti susah pula kena peluk dengan Rosmah. Kalau kena peluk dengan Isteri Taib mahmood, boleh tahan lagi.. hahaha” lebih kurang begitu kandungan SMS gurauan Dr Juandajaya yang menyebabkan aku ketawa besar. Semasa aku membaca SMS itu, aku kat kedai mamak yang selalu aku lepak. Aku ketawa tu sampai orang keliling tengok padaku. Apa lagi, aku pun cover line macam sedang tengok video dalam internet.

Keadaan terus berlanjutan yang aku tidak ambil tahu sangat. Tetapi, satu pagi, tengah aku tidur, aku dapat satu sms dari Ustaz Zulqarnain bertanyakan keadaan Dr Juandajaya yang isytihar mengundi BN. Aku terkejut tetapi masih tidak faham. Apabila aku tengok internet, aku terkejut besar.


Aku pun hantar mesej melalui whatsapp kepada Dr Juandajaya, apakah tindakannya ini adalah plan B. Dia tidak membalas.  Soalan yang sama juga, aku hantar SMS kepada Hishamuddin Rais. Juga turut tidak membalas.


Aku tanya kepada Dr Juandajaya beberapa soalan lain tentang dia sebut tentang undi BN tu. Dia hanya mengelak dengan menyatakan apakah aku percaya dengan utusan. Dia menggunakan word “utusex”.

Aku tidak faham, tetapi tetap mencari maklumat. Bila aku membaca satu berita disertakan gambar beliau dengan Muhyiddin Yasin, aku mula merasakan ada sesuatu yang tak kena. Aku mula hantar mesej dalam whatsapp berbentuk menyerang. Sejak dari itu, dia tak balas langsung mesej aku whatsaap sampai hari ini.


Dari sudut hati kecilku, aku merasa frust sangat-sangat. Ini kerana, harapan aku melihat sudut pandang agama yang progresif yang pernah aku dengar dan baca dari tulisan Dr Juandajaya tidak kesampaian untuk diadaptasikan dalam kerangka politik baru. Ketika itulah, Hishamuddin Rais membalas SMS aku dengan katanya; “Aku pun tak faham. Aku rasa dia marah. Sila beritahu sabar. Jangan buat kenyataan yang kutuk Pakatan atau anti rakyat, dia masih muda dan masa panjang masa. Orang akan ingat kenyataan ini”

Aku tidak tahu, apa sebenarnya yang terjadi. Seorang rakanku ada berkata kepadaku, “aku rasa ini isu psykologi.. tekanan politik kepartian”

Semasa rakan itu bagitau, aku teringat di awal beliau dikhabar anginkan bertanding dalam PRU, aku ada nyatakan kepada beliau bahawa peperangan dalaman parti lebih kuat dari peperangan luaran parti.

Itulah politik…..


Sekian….

Wednesday, 5 June 2013

KISAH AKU DAN JUANDAJAYA (24)

Sebelum PAS mengisytiharkan bahawa PAS akan bertanding di Parlimen Kangar. Aku mendapat gambar kempen Dr Juandajaya sebagai calon PKR di Kangar. Aku angkatkan gambar itu di FB aku. Didapati ramai sangat yang ‘like’ dan ‘share’ gambar tersebut.


Nampak gayanya, dari sudut sokongan, agak ramai yang menyokong Dr Juandajaya sebagai calon PKR. Ada yang memberi komen dengan menyatakan kehadiran Dr Juandajaya dalam politik boleh memberikan satu harapan baru dalam tafsiran agama yang lebih progresif. Tidak terikat dengan pemikiran jumud dan konservatif sepertimana pandangan-pandangan agama dari sebilangan agamawan di Malaysia.

Namun, suasana menjadi berubah di luar jangka. Iaitu, disuatu pagi ketika aku sedang tidur yang tidur selepas subuh adalah “mata pelajaran” yang amat jarang aku tinggalkan. Sejak zaman belajar sehingga kini, ia masih kekal diamalkan. Pada waktu malam pula, amat sukar untuk aku melelapkan mata kecuali jika siangnya terlalu penat dan banyak urusan kerja yang dilakukan.

Satu hari, sedang aku tidur, aku mendapat satu sms dari ustaz Zulqarnain. Aku mengetahui kandungan SMS itu selepas bangun dari tidur. Dilihat SMS yang terlalu banyak. Ada antaranya bertanyakan jadual kuliah. Yang paling banyak adalah bertanyakan hukum-hukum fiqh. Antara SMS yang menjadi tarikan aku adalah SMS dari Ustaz Zul. Beliau bertanyakan status Dr Juandajaya bertanding di Kangar, kerana pada malamnya pihak PAS telah mengisytiharkan bahawa PAS bertanding di Parlimen Kangar.

Aku masih “blur” akibat baru bangun tidur. Terus aku capai hp nokiaku untuk melihat berita di internet. Bila membaca satu berita dari lamanweb Malaysiakini, aku baru faham maksud Ustaz Zul. Keadaan semakin keliru dan hambar.

Aku bertanya khabar dari sebilangan pihak-pihak yang hampir di sana. Makanya aku faham bahawa di pihak PAS telah mengisytiharkan kerusi kangar sebagai mereka bertanding tanpa diputuskan dalam mesyuarat antara PKR dan PAS.

Ketika itu, aku mula teringat balik tentang berita-berita angin yang tersebar, iaitu tuduhan  bahawa Dr Juandajaya itu wahabi dan sebagainya. Aku merasakan ada sesuatu yang tidak kena bakal berlaku.

Apabila aku hubungi Dr Juandajaya, kelihatan beliau tetap dengan pendiriannya yang akan bertanding di Parlimen Kangar atas tiket PKR. Disamping juga, Aku mendapat maklumat dari sebilangan pihak PKR bahawa rundingan itu masih lagi berlaku untuk memastikan PKR akan bertanding di kerusi tersebut.

“betapa tidak patutnya PAS buat macam tu kat Juanda…. Dah la ambil kerusi Kangar, lepas tu bubuh Posmen… macam nak hina Juanda jer” kata seorang rakan dari perlis.

Aku tidak faham maksudnya. Rakan itu menjawab, “Juanda tu mufti. Dia tu ada doktor Phd. Mana patut bubuh posmen sebagai ganti. Itukan macam nak hina dia”


Aku diam dan tidak dapat mengatakan apa-apa. Padaku, posmen bukan alasan yang kukuh, tetapi jika Dr Juandajaya berfikir seperti itu, ia amat berat dan bahaya.

Aku diberitahu juga bahawa kononnya “game” ini dibuat oleh Cikgu Pa. Didakwa juga bahawa kononnya tindakan Cikgu Pa itu untuk nak bagi “padan muka” kepada Dr Juandajaya yang tidak mahu terima tawaran PAS bertanding di Kangar atas tiket PAS. Tidak diketahui status benar atau tidak dakwaan itu. aku harapkan, ia tidak benar sama sekali.

Aku masih lagi berinteraksi dengan Dr Juadajaya..

Bersambung…



[USUL FIQH DALAM FIQH IBADAT]

Dalam fiqh ibadat, aliran ulama-ulama dalam melihat nas adalah seperti berikut;

Satu : pendapat ini agak tegas, iaitu sesuatu perkara ibadat adalah bidaah selama tiada nas secara saheh dan sareh menyatakan keizinannya

Dua : pendapat ini agak longgar, iaitu sesuatu perkara ibadat adalah bidaah, selama tiada nas yang saheh, tetapi tidak dimestikan sareh.


PERBAHASAN SATU: SAHEH DAN SAREH

Maksud saheh adalah, sesuatu nas itu hendaklah dari sudut subutnya adalah boleh diguna pakai. Ia terdiri dari kalangan riwayat seperti berikut;
1-       Riwayat mutawatir, seperti al-Quran dan Hadis yang mutawatir (sama ada mutawatir Lafzi atau mutawatir ma’nawi)
2-      Hadis ahad yang saheh, iaitu riwayat dari orang dhobit, siqah dan sebagainya.
3-      Hadis ahad yang doif, tetapi naik darjat kepada Hasan Lighairih.

Adapun ada sebilangan riwayat-riwayat yang dikhilafkan dikalangan ulama dalam menjadikan hujjah, seperti hadis Mursal Tabiin yang boleh dijadikan hujjah oleh Ulama Mazhab Hanafi, jika tabiin tersebut dari kalangan orang yang adil, tetapi tidak boleh diterima jika tabiin tersebut sebaliknya. Adapun di sisi Ulama Syafie pula, hadis mursal tabiin ini  tidak boleh jadi hujjah.

Adapun makna sareh adalah sesuatu nas yang dinyatakan maksudnya secara jelas, tanpa kepada pemahaman dan tafsiran dari pihak ulama yang pelbagai. Pemahaman dan tafsiran tersebut berasaskan kepada kaedah-kaedah usul fiqh yang mu’tabar.

PERBAHASAN DUA : HUJJAH DUA ALIRAN


            Aliran pertama;
            sesuatu nas yang berkaitan dengan ibadat, hendaklah dipastikan saheh dan sareh. Dengan maksud, dalam perkara ibadat, dari sudut periwayatanya adalah lemah, disamping dari sudut pemahaman nas pula tidak jelas, maka ibadat itu tetap juga dikira sebagai bidaah dan haram dilakukan.
            Makanya aliran ini memandang bahawa amalan yang tidak sareh dari perbuatan nabi Muhammad Saw dikira sebagai bidaah yang tidak boleh diamalkan. Ia seperti pengharaman mengadakan tahlil arwah, mengadakan halaqah zikir tariqat dan sebagainya.
           
Hujjah mereka adalah berdasarkan kepada beberapa dalil-dalil berikut;

Satu : Firman Allah;

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَلَا تُبْطِلُوا أَعْمَالَكُمْ

Maksudnya;
            “Wahai orang yang beriman, taat kamu Akan Allah dan Taat kamu akan al-Rasul, dan jangan kamu batalkan amalan kamu” (Surah Muhammad, ayat 33)

Dua : Hadis Nabi SAW;

وَمَنْ عَمِلَ عَمَلًا لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ

Maksudnya;
            “Barangsiapa yang melakukan sesuatu amalan yang bukan dari urusan kami maka ia tertolak” (Muslim, hadis no : 3243)

Tiga : Hadis Nabi SAW;

وَشَرُّ الْأُمُورِ مُحْدَثَاتُهَا وَكُلُّ بِدْعَةٍ ضَلَالَةٌ

Maksudnya;    
            “Sejahat urusan adalah perkara baru, dan setiap bidaah itu adalah sesat” (Muslim, hadis no : 1435)

            Aliran kedua:
            Dalam fiqh ibadat, walaupun tidak terdapat nas yang sareh, amalan tersebut tetap boleh diamalkan dengan tafsiran dari para ulama berdasarkan kaedah usul yang mu’tabar. Pada mereka, nas itu dilihat pada dua keadaan, iaitu zahir dan khafie (tersembunyi). (3aun Ma3bud, jld 10, hlmn 126)

Makanya tidak hairan, aliran ini amat sukar untuk mengatakan sesuatu amalan itu bidaah yang diharamkan, tetapi mengklasifikasikan kepada bidaah yang diharamkan dilakukan, dan ada yang dibenarkan untuk dilakukan, seperti mereka merujuk tindakan Osman bin Affan yang menambah azan pada hari jumaat dengan dua kali azan, walhal pada zaman Nabi Muhammad SAW, Abu Bakar dan Umar, azan Jumaat hanya sekali sahaja.

Dalil pengamalan mereka adalah seperti berikut;

Satu : Dari Rifa’ah bin Rafi’ al-Zuraqi berkata;

كُنَّا يَوْمًا نُصَلِّي وَرَاءَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَلَمَّا رَفَعَ رَأْسَهُ مِنْ الرَّكْعَةِ قَالَ سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ قَالَ رَجُلٌ وَرَاءَهُ رَبَّنَا وَلَكَ الْحَمْدُ حَمْدًا كَثِيرًا طَيِّبًا مُبَارَكًا فِيهِ فَلَمَّا انْصَرَفَ قَالَ مَنْ الْمُتَكَلِّمُ قَالَ أَنَا قَالَ رَأَيْتُ بِضْعَةً وَثَلَاثِينَ مَلَكًا يَبْتَدِرُونَهَا أَيُّهُمْ يَكْتُبُهَا أَوَّلُ


Maksudnya;
            “Kami solat di belakang Nabi Muhammad SAW. Ketika baginda SAW mengangkat kepala dari rakaat, baginda SAW membaca “sami’ Allah li man hamidahu”. Berkata seorang lelaki di belakang Nabi, “Walaka al-Hamdu Hamdan Kasiran Taiban Mubarakan Fih”. Apabila Nabi SAW berpaling, baginda berkata, “siapa yang berkata?”. Lelaki itu menjawab, “saya”. Nabi Muhammad SAW pun berkata, “Aku melihat lebih 30 malaikat berlumba-lumba siapa yang lebih dahulu mahu menulis (kelebihannya)” (Al-Bukhari, Hadis no : 757)

Hadis ini dipamerkan bahawa amalan membaca tambahan pada tasmi’ ketika I’tidal tidak pernah diamalkan oleh Rasulullah SAW, tetapi dibaca oleh sahabat tersebut dengan diakui sendiri oleh Nabi Muhammad SAW.

Dua : Dari Amru bin al-As bahawa dia telah berjunub. Tetapi dia tidak mandi junub, sebaliknya bertayammum disebabkan terlalu sejuk. Perbuatannya itu diketahui oleh Nabi SAW, menyebabkan baginda bertanya.

Dia menjawab dengan membaca satu firman Allah;

وَلَا تَقْتُلُوا أَنْفُسَكُمْ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا

Maksudnya;
"Jangan kamu bunuh diri kamu. Sesungguhnya Allah amat sayang kepada kamu".

Mendengar jawapan Amru bin Al-As itu, Rasulullah ketawa tanpa berkata apa-apa pun. (Abu Daud, hadis no : 283)

KESIMPULAN

Setiap aliran mempunyai usul masing-masing. Dengan berbeda usul ini, menjadikan keputusan fiqh itu berbeda antara satu mazhab dengan mazhab yang lain; antara aliran dengan aliran yang lain. Perbedaan ini tidak sewajarnya dijadikan alasan untuk berperang, tetapi wajar ditoleransikan.

Wallahu ‘Alam…





Tuesday, 4 June 2013

KISAH AKU DAN JUANDAJAYA (23)

“Sekarang ni, nak bertanding kat mana? Perlis atau sarawak?” soalanku dalam whatsapp kepada Dr Juandajaya.

“Ana dok rasa, kalau bertanding kat sarawak pun ok gak.. situasi politik sekarang ni tak macam sebelum-sebelum ni” sambungku lagi.

Aku menyatakan perkara ini kerana sering kali aku melihat reaksi Dr Juandajaya yang agak berminat bila berbicara tentang politik di sarawak. Bertanding di perlis, tidak la nampak sangat beliau menyengat untuk bertanding. Namun begitu, faktor nama beliau bakal bertanding di Perlis itu sendiri juga amat kuat kedengaran di kalangan pimpinan PKR.

Ternyata respon baik dari beliau untuk bertanding di Sarawak lebih kelihatan. Tetapi, ia tidak menafikan faktor bahawa beliau akan bertanding di perlis seperti menjadi perbualan di kalangan pimpinan PKR. Perkara ini diyakini, kerana kerusi Parlimen Kangar itu adalah kerusi kepunyaan PKR yang juga dipertandingkan juga pada PRU ke 12 yang lalu.


Pernah aku berbual-bual dengan rakan-rakan lepak, seperti Danial, Aiman dan sebagainya. aku menyatakan dalam bual-bual kami bahawa pada jangkaan aku bahawa mungkin Dr Juandajaya nak balik kampungnya di sarawak menyebabkan dia memberikan respon yang baik untuk bertanding di Sarawak berbanding di Perlis.


Namun begitu, ketika hampir-hampir dengan tarikh pembubaran parlimen, banyak perkara pelik dan yang luar dari jangka berlaku. Antaranya adalah sudah tersebar tuduhan dari pihak PAS tentang khabar-khabar angin yang menuduh bahawa Dr Juandajaya itu wahabi. Apabila aku menyatakan perkara itu kepada Juandajaya, beliau tidak la menyengat sangat untuk komen, tetapi sekadar membalas dengan membuat lawak-lawak yang biasa kami melawak dan bergurau.


“Apa barang wahabi…itu semua poyo dan skema... Yang penting, kita mesti liberal..” aku membalas gurauan beliau dengan nada gurauan sama.

Dr Juandajaya juga ada bercerita bahawa beliau selalu di telefon oleh Setiausaha Agong PAS, Dato’ Mustafa Ali, tetapi beliau tidak pernah angkat panggilan telefon itu. Pada aku, mungkin Dr Juandajaya amat tidak berminat untuk bertanding atas tiket PAS. Lebih-lebih lagi, sudah kelihatan kesediaan beliau untuk bertanding pada tiket PKR.

Lebih mengejutkan…

Bersambung….





Monday, 3 June 2013

TIADA WILAYAH FAQEH DALAM SUNNI (4)

Dalam fiqh politik sunni, asas kepada seseorang pemimpin itu perlu kepada dua perkara; al-Qawi dan al-Amin, iaitu kemampuan dan amanah. Berbeda dengan Syiah yang mensyaratkan Imam Ma’sum. Lalu, ketika ketiadaan Imam, maka diijtihadkan oleh al-Khomaini dengan himpunan dua belas ayatollah Syiah yang dikenali kepimpinan Ulama-ulama Syiah atau dalam istilah Irannya Wilayah Faqeh.


Dari sudut pandang sunni, selain syarat al-Qawi dan al-Amin, ia perlu dilihat kepada tiga perkara; Tempat, masa dan kondisi. Ini kerana, keperluan kepimpinan di sesuatu tempat, masa atau kondisi tidak sama antara satu dengan yang lain.

Ibn al-Qayyim ada menyatakan;

ثبت أن التحريم و الإباحة تابعان للمصالح ، و إنما يختلفان بإختلاف الزمان و المكان و الحال ، فيكون الشيء الواحد حراما فى ملة دون ملة ، و فى وقت دون وقت ، و فى مكان دون مكان ، وفى حال دون حال. وهذا معلوم بالإضطرار من الشرائع

            Maksudnya;
            “pengharaman dan mengharuskan itu tertakluk dengan maslahah. Ia berbeza berdasarkan tiga faktor, iaitu perbezaan masa, tempat dan keadaan. Ada sesuatu itu haram pada satu millah, tetapi tidak pada millah yang lain, haram pada satu ketika waktu, tetapi tidak pada ketika waktu yang lain, haram pada di sesuatu tempat, tetapi tidak haram pada tempat yang lain, haram pada kondisi tertentu, tetapi tidak pada kondisi yang lain. Perkara ini diketahui secara pasti dalam syariat. (al-Dau' al-Munir 'ala al-tafasir, jld 2, hlmn 87)

Apabila perkara syariah yang melibatkan halal dan haram pun perlu kepada ketiga-tiga faktor ini, maka sudah pasti dalam perkara yang melibatkan kepimpinan dan politik, tiga faktor ini amat perlu diambil kira.

Melihat kepada keadaan itu, tidak hairan dalam kondisi dinasti Abbasiah, al-Mawardi yang berada dalam pemerintahan tersebut mensyaratkan pemimpin itu dari kalangan Kabilah arab Quraish. (al-Ahkam al-Sultaniah, jld 1, hlmn 5)


Beliau bersandarkan kepada satu hadis bahawa Nabi SAW ada menyatakan;

الْأَئِمَّةُ مِنْ قُرَيْشٍ

Maksudnya;
            “Para pemimpin itu dari kalangan Quraish” (Ahmad, hadis no : 11859)

Juga dia bersandarkan kepada hadis yang lain;

قَدِّمُوا قُرَيْشًا وَلَا تَقَدَّمُوهَا

Maksudnya;
            “Dahulukan Quraiash dan jangan kamu mendahuluinya” (sya’b al-Iman, hadis no : 1557)

Syarat itu dikemukakan oleh al-Mawardi disebabkan beliau seorang ulama kerajaan Abasiah, iaitu pemerintahan yang berasaskan kepada keturunan Abbas yang bermata-airkan keturunan Quraish.

Namun begitu, Quraish tidak menjadi syarat penting bagi seseorang pemimpin disisi Ibn Khaldun. Pada Ibn Khaldun, maksud hadis Nabi SAW yang menyebut tentang pensyaratan Quriash adalah merujuk kepada mengelak dari berlaku perbelahan sahaja. Dengan maksud, jika tidak mendatangkan perbalahan, perlantikan pemimpin selain Quraish sudah sah.


Beliau menyatakan;

فإذا ثبت أن اشتراط القرشية إنما هو لدفع التنازع بما كان لهم من العصبية والغلب

Maksudnya;
            “Syarat Quraish itu adalah untuk mengelak dari perbalahan memandangkan bagi mereka keturunan dan pendominasian” (Muqaddimah, hlmn 100)


Perkara yang sama juga dalam melihat ulama mujtahid sebagai syarat bagi pemimpin disisi al-Mawardi. Disisi sunni, Ulama mujtahid bukan syarat wajib bagi seseorang pemimpin sepertimana tidak menjadi syarat wajib quraish sebagai pemimpin, tetapi ia sekadar keperluan di era Abbasiah dan sewaktu dengan mereka. Namun begitu, syarat ulama tersebut adalah satu kemestian berdasarkan kepada ijtihad al-Khomaini, iaitu dengan himpunan 12 orang ulama-ulama Syiah yang dikenali sebagai wilayah faqeh, iaitu sebagai ganti dengan keghaiban imam mereka.

Bersambung….