Saturday 26 October 2013

NEGARA KITA SEPERTI TIADA BERKAT

Dalam al-Quran, Allah Swt ada menyebut "sekiranya ahli sebuah kampung itu beriman dan bertaqwa, pasti kami akan membuka  pintu berkat untuk mereka dari langit dan bumi" (Surah al- a'raf, ayat 96)

Negara yang diturunkan keberkatan oleh Allah adalah negara yang berjaya melaksanakan keadilan, kebajikan, berikan hak kepada yang berhak dan berjaya hindari kerosakan dan kezaliman. Ia selaras dengan firman Allah yang bermaksud, "Sesungguhnya Allah menyuruh melaksanakan keadilan, ihsan (kebajikan), berikan kepada mereka terhampir, mencegah dari fahsyak, mungkar dan kezaliman" (surah al-Nahl, ayat 90)

Di negara ini, banyak keadilan tidak tercapai. Ekoran itu, berlaku penafian hak beragama bagi orang bukan Islam, fahsya atas nama provokasi agama terjadi, mungkar atas nama kebencian tertanam bermula dengan perkauman berputik dan banyak lagi yang berlaku.

keadaan ini mempamerkan keadaan negara ini tidak memenuhi piawaian yang dikehendaki oleh Allah. Sewajarnya, keadilan dan kebajikan ini mendaging dalam pengamalan untuk menghasilkan kejayaan dalam negara.

Apabila perkara ini boleh diamalkan, insya Allah kerajaan itu akan dikenali sebagai baldah toiyyibah wa rabun Ghafur, iaitu negara yang baik dan dipayungi pengampunan dosa dari Allah. Negara bentuk ini, sentiasa dilimpahi berkat yang dapat dimanfaatkan oleh semua rakyat, samada mereka yang muslim atau mereka yang tidak beragama islam.

Keberkatan dalam negara, kadangkala diberikan Tuhan kepada negara yang diperintah oleh orang bukan Islam. Kadangkala keberkatan itu menjauhi dari negara yang diperintahkan oleh orang Islam.
Firman Allah, "Tidak tuhan kamu itu membinasakan sebuah kerajaan secara zalim, sekiranya ahlinya saling melakukan islah". (Surah Hud, ayat 117)

Dalam kitab daur al-Qiyam wa al-akhlak fi al-Iqtisad al-Islami, al-Qaradawi menukilkan kupasan Imam Fahr al-Din al-Razi bahawa yang dimaksudkan dengan kerajaan menerusi ayat di atas merujuk kepada negara musyrikin. (al-Tafsir al-kabir, jld 8, hlmn 486, Daur al-Qiyam wa al-Akhlak fi al-Iqtisad al- Islami, hlmn 355)

Melihat kepada ayat ini, tidak hairan kita akan nampak bagaimana kerajaan bukan Islam, kadangkala kebaikan mereka amat jauh berbanding dengan negara umat Islam.

Negara umat Islam seperti Malaysia antara negara yang rasuahnya teruk dan ketirisannya menyedihkan. Lihat sahaja laporan audit negara, ia mampu mengubankan rambut bagi mereka memikirkannya secara serius. Barangan yang boleh dibeli dengan harga yang murah, tetapi peningkatan harga belian melebihi ratusan kali ganda.

Kesan dari itu, kita dapat lihat bagaimana rakyat menanggung banyak perkara ekoran kelemahan pentadbiran negara. Apabila tiada amanah, maka tunggu saat kerosakan.

Sabda Nabi, "apabila sesuatu urusan tidak diberikan kepada ahlinya (yang tidak layak dan tidak amanah), tunggulah saat kehancuran". (Al-Bukhari, hadis no : 57)

kesan dari itu, iaitu apabila dana negara semakin menipis, keperluan perbelanjaan negara pula semakin menebal, maka di situ mula kerisauan di pihak kerajaan untuk atasinya. Sewajarnya, atasi itu dengan penjimatan dari pihak penguasa, tetapi yang  kedengaran adalah kenaikan harga barang yang sudah pasti memberi kesan yang tidak enak kepada rakyat.

Apabila rakyat tertimpa beban ini, sudah pasti ada sebilangan rakyat akan mahu mencari jalan keluar untuk melepaskan diri mereka. Makanya kesan buruk semakin berlaku seperti rompakan bersenjata yang melibatkan pembunuhan terjadi.

Disamping itu pula, ada di sebilangan yang lain mengambil kesempatan untuk mencapai keuntungan yang tidak wajar, seperti didapati keterlibatan rompakan itu seakan-akan tidak jauh keterlibatannya dengan pihak berkuasa, seperti kedengaran berita pistol pihak polis jatuh dalam sungai, senjata api yang merbahaya tertinggal di tandas, rompakan melibatkan badan keselamatan dan sebagainya.

Sewajarnya kita perlu berfikir untuk menjayakan perlaksanaan keadilan dan kebajikan ini. Ia adalah sumber keberkatan dalam negara. Ia tidak lain, mesti bermula dari pentadbiran yang amanah dan pentadbir yang berkelayakan.

Wallahu alam

26 okt 2013 | 1:32 petang

No comments:

Post a Comment