Sunday, 27 October 2013

BERGOLAK TAPI TIDAK GADUH (4)


Antara perkara yang mengejutkan aku di awal aku masuk ke jamiah farooqiyyah adalah kedengaran suara-suara yang mengkafirkan Abu 'ala al-Maududi. Semasa di malaysia, bagi mereka yang terlibat dengan gerakan Islam, nama al-Maududi adalah nama yang cukup popular di lidah penggerak gerakan Islam, tidak kira namanya ABIM, JIM dan tidak ketinggalan juga adalah PAS. Nama Maududi di sebut sebagai rujukan dan beberapa ungkapan hikmah beliau Sering dipetik.


Di kalangan mereka yang cenderung dengan aliran deobandi, Maududi dikafirkan. Aku tidak tahu, apa sebab tokoh besar itu dikafirkan oleh mereka dari kalangan Deobandi.

Semasa di Jamiah Farooqiah, aku agak rapat dengan seorang guru bernama Maulana Ilyas. Dia amat baik denganku, menjadikan aku mengambil peluang untuk bertanya kepada beliau tentang hal itu. Peliknya, beliau menafikan perkara itu berkali-kali. Beliau menafikan takfir terhadap Maududi yang dilakukan oleh sebilangan besar ulama deobandi.

Aliran deobandi ini, bukan sekadar bermusuh dengan aliran Maududi, tetapi mereka turut bermusuh dengan Brelvi, syiah ismailiyyah dan wahabi. Wahabi, mereka gelarkan sebagai ghair muqallid.

permusuhan mereka dengan wahabi tidaklah ketara seperti permusuhan mereka dengan syiah ismailiyyah dan brelvi. Boleh dikatakan setiap tahun, pada 10 muharram, permusuhan itu dipamerkan sehingga berlaku bunuh membunuh semasa mereka.

Permusuhan mereka dengan wahabi tidak begitu ketara sangat. Mungkin kerana, kalangan mereka yang beraliran wahabi ini tidak suka menjawab di khalayak terhadap kritikan ulama diobandi berbanding mereka dari syiah ismailiyyah dan brelvi yang menjadikan kritikan deobandi itu dijawab secara terbuka disamping kedua-dua belah pihak suka kutuk mengutuk, cela mencela sesama mereka yang kadangkala menyakitkan hati.
Adapun dengan wahabi, walaupun mereka tidak "sebulu" tetapi di kalangan orang wahabi, ada yang menunaikan solat di tempat deobandi, begitujuga sebaliknya.

Setelah aku masuk jamiah farooqiyyah, ada satu majlis di anjurkan oleh jamiah abu bakar, iaitu majlis khatam bukhari yang di pakistan dipopularkan dengan nama dastarbandi.

Aku turut hadir dalam majlis itu, mendengar bacaan hadis bukhari yang terakhir dan disampaikan sanad hadis kepada mereka yang selesai pengajian bukhari. Aku ke jamiah abu bakar itu bersama fadzl al-Rahman.

ketika sedang asyik melihat penyampaian sijil sanad saheh al-Bukhari, seorang rakan berbangsa Tajikistan telah datang rapat kepadaku. Aku mengenalinya, kerana kami sekelas semasa aku di Jamiah Abu Bakar.
"Mengapa kamu tukar kepada hanafi? Apakah kamu tidak sayangkan salafi?" Soalnya dalam pertuturan bahasa arab.

Dengan spontan aku menjawab, "aku sayangkan salafi, ekoran itu aku belajar mazhab Hanafi kerana Imam Hanafi berada di zaman salaf"

Sebenarnya, aku tidak tahu macam jawapan itu boleh terpancul dari mulutku. Mendengar sahaja soalannya, terus terlintas difikiranku untuk memberi jawapan begitu.

Dia terdiam. Aku pula senyum melihat diamnya itu. Fadzl al-Rahman kelihatan ketawa mendengar jawapan ku itu.

Bersambung lagi. ..

27 okt 2013 | 7:52 malam.

No comments:

Post a Comment