Sunday 27 October 2013

BERGOLAK TAPI TIDAK GADUH (2)


Semasa belajar di pondok, memang ternyata aku berjumpa dengan seorang Tuan Guru yang Alim. Beliau seorang yang cukup berkemahiran dalam pengajian ilmu kalam aliran asyairah. Di pondok, aku terdedah dengan kitab bakurah amani, tulisan Pak Da Ae Fatani. Ini kerana, Allahyarham Tuan Guru Haji Abdullah memang anak murid Pak Da Ae.

Di pondok juga, aku mula mengenali ilmu nahu dan sorof bahasa arab. Abang Harun dari melaka adalah orang yang tidak jemu melayan kerenah aku bertalaqqi dengan beliau untuk ilmu tersebut.

Beliau mencadangkan aku hafal matan al-ajrumiyyah. Kata beliau, kalau nak kuasai baca kitab arab, wajib kena hafal kitab itu.

Ternyata aku ini pemalas untuk hafal kitab tersebut. Namun, aku perlu berfikir secara proaktif untuk nak memastikan dalam kemalasanku, dapat juga aku ingat kitab matan al-ajrumiyyah.

Aku fotokopi kitab yang besar itu dalam saiz yang kecil. Sebesar saiz yang boleh dibubuh dalam poket. Aku membuat jadual ke masjid awal 5 minit sebelum masuk waktu untuk hafal kitab tersebut dan hafal ulangan selepas solat fardu.

Ternyata, jadual sebegitu aku lakukan, aku berjaya menghafal kitab itu tidak sampai dua minggu.
aku belajar juga ilmu sorof mengikut kaedah mudah dari pondok seliau, Negeri Sembilan. Seorang ustaz yang bekas anak murid kesayangan Allahyarham Tuan Guru Haji Ali yang belajar di pondok Lubuk Tapah yang mengajar aku. Kaedahnya cukup mudah, iaitu tidak perlu hafal sampai empat belas wazan, tetapi cukup sekadar empat wazan. Selain dari itu, cukup sekadar ingat kaedah baris sahaja.

Tidak dilupakan, aku belajar kitab-kitab fiqh dalam mazhab syafie yang diajar oleh Tuan Guru Haji Abdullah, juga adik beliau, iaitu Tuan Guru Haji Ahmad. Tetapi sedih, menimba ilmu dari beliau tidak lama, kerana beliau dijemput Tuhan untuk mengadapNya.

Di kawasan pondok itu, ada seorang tokoh agamawan yang agak terkenal juga di sekitar Pasir Mas bernama Ustaz Mat Toif. Di khabarkan bahawa beliau tidak berapa "belaga angin" dengan Tuan Guru Haji Abdullah ekoran didakwa beliau beraliran wahabi. Dikhabarkan juga bahawa start tak "belaga angin" yang  paling ketara adalah apabila beliau memfatwakan bahawa solat di masjid Lubuk Tapah adalah haram, kerana betul-batul dihadapan masjid ada sebuah kubur, iaitu kubur Tuan Guru Haji Abdur Rahman, iaitu ayah kepada Tuan Guru Haji Abdullah. Aku tidak tahu sejauh mana kebenaran cerita fatwa Ust Mat Toif itu, kerana ia berlaku sebelum aku belajar di pondok lagi.

Namun begitu, Ustaz Mat Toif ini meninggal dunia semasa aku masih lagi menuntut di pondok.  menariknya, ketika solat jenazah di lakukan di masjid pondok lubuk tapah,  kelihatan dari jauh Tuan Guru Haji Abdullah turut sama menunaikan solat jenazah terhadap jenazah Ust Mat Toif.

Dalam keadaan begitu, aku bersama beberapa rakan, seperti Fauzi Baba,  Pok Su dan abang saufi, kami berulang alik ke Lati, Pasir Mas untuk menuntut ilmu tajwid dengan Tuan Guru dari Fatani tadi. Kami memanggil Beliau dengan panggilan baba, kerana menurut rakan-rakan, panggilan baba ini digunakan oleh orang Fatani untuk memang seseorang yang bergelar Tuan Guru.

Dengan beliau, aku mula belajar Qiraat warash, sifat huruf dan cara sebutan makhraj huruf dengan betul.

Bersambung lagi.....

27 okt 2013 | 3:26 petang

No comments:

Post a Comment