oleh : Wan Ji bin Wan Hussin
. IMAM MAKSUM DAN AHL AL-BAIT
. IMAM MAKSUM DAN AHL AL-BAIT
Dalam tradisi pengamal al-Quran dan al-Hadis, perbincangan
tentang aliran syiah – sunni adalah perbincangan yang tidak pernah selesai
sejak dahulu sehingga sekarang. Di mana sahaja dan di setiap ketika, tajuk ini
akan bergema. Cuma, perbincangan ini, ada kalanya dibincang secara ilmiah, dan
ada kalanya dibincang secara emosi. Perbincangan secara ilmiah, menghasilkan
natijah damai dan toleransi, tetapi di kalangan pengangkat bendera emosi, perbincangan
ini membawa kepada permusuhan, seterusnya kadangkala membawa kepada pertumpahan
darah.
Walaubagaimana pun, jika dilihat kepada pertembungan
antara dua aliran pemikiran ini; antara perkara dasar adalah berkaitan dengan
konsep imamah. Ini kerana, dalam syiah, imamah adalah perkara amat besar dan
mendasar, sedangkan imamah ini bukan satu perkara dasar dalam Sunni.
Dalam syiah, imamah itu semestinya berasal dari ahl
al-Bait. Ini kerana, mereka merujuk kepada asal mausul kepada kandungan janji Nabi Ibrahim AS dengan Allah bahawa keturunan
Nabi Ibrahim akan dilantik sebagai pemimpin atau imam.
Firman Allah;
وَإِذِ ابْتَلَى إِبْرَاهِيمَ رَبُّهُ
بِكَلِمَاتٍ فَأَتَمَّهُنَّ قَالَ إِنِّي جَاعِلُكَ لِلنَّاسِ إِمَامًا قَالَ
وَمِنْ ذُرِّيَّتِي قَالَ لَا يَنَالُ عَهْدِي الظَّالِمِينَ
Maksudnya;
Dan (ingatlah), ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan
beberapa Kalimah (suruhan dan larangan), maka Nabi Ibrahim pun
menyempurnakannya. (Setelah itu) Allah berfirman: "Sesungguhnya Aku
melantikmu menjadi Imam (Pemimpin ikutan) bagi umat manusia". Nabi Ibrahim
pun memohon dengan berkata: "(Ya Tuhanku!) Jadikanlah juga (apalah jua
kiranya) dari keturunanku (pemimpin-pemimpin ikutan)". Allah berfirman:
"(Permohonanmu diterima, tetapi) janjiKu ini tidak akan didapati oleh
orang-orang yang zalim." “(Surah al-Baqarah, ayat 124)
Dalam
doa Nabi Ibrahim AS ini, didapati janji Allah SWT terhadap Nabi Ibrahim bahawa
konsep imam itu semestinya berasal dari keturunan Nabi Ibrahim AS. Keturunan
Nabi Ibrahim itu, sekali-kali bukan dari kalangan orang yang zalim.
Pada
Sunni, keturunan Nabi Ibrahim yang dipamerkan oleh Allah SWT menerusi ayat ini
merujuk kepada Nabi akhir zaman, iaitu Nabi Muhammad saw. Namun, pada syiah,
imam dari keturunan Nabi Ibrahim itu berlanjutan sehingga kiamat. Dengan maksud
yang lain, ia tidak terbatas kepada Nabi Muhammad saw, malahan terus
berlanjutan sehingga akhir zaman. Kalangan keturunan selepas Nabi Muhammad saw
itu, dikenali sebagai Ahl al-Bait.
Makanya,
pihak syiah, mereka meletakkan bahawa ahl al-Bait itu bermuarakan dari silsilah
Fatimah, iaitu dari suaminya yang bernama Saidina Ali. Ahli al-Bait dari susur
galur Saidina Ali itu pula, dianggap sebagai maksum, kerana merujuk kepada satu
Hadis, riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak;
قَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ: وَكَانَ عَلِيٌّ أَوَّلَ
مَنْ آمَنَ مِنَ النَّاسِ بَعْدَ خَدِيجَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا، قَالَ:
وَأَخَذَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثَوْبَهُ فَوَضَعَهُ
عَلَى عَلِيٍّ وَفَاطِمَةَ وَحَسَنٍ وَحُسَيْنٍ وَقَالَ: " {إِنَّمَا يُرِيدُ
اللَّهُ لِيُذْهِبَ عَنْكُمُ الرِّجْسَ أَهْلَ الْبَيْتِ وَيُطَهِّرَكُمْ
تَطْهِيرًا} [الأحزاب: 33]
Maksudnya; “Berkata Ibn Abbas, Ali adalah orang yang
mula-mula sekali beriman dari kalangan manudia selepas Khadijah. Berkata Ibn
Abbas lagi, Rasulullah saw mengambil pakaiannya, lalu meletakkannya pada Ali,
Fatimah, Hasan dan Husian dan membaca (firman Allah), Sesungguhnya
Allah (perintahkan kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak
menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan diri kamu - wahai
"AhlulBait" dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari
segala perkara yang keji). (surah al-Ahzab, ayat 33)
Dalam sambungan hadis lagi;
وَخَرَجَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي غَزْوَةِ تَبُوكَ وَخَرَجَ بِالنَّاسِ مَعَهُ، قَالَ:
فَقَالَ لَهُ عَلِيٌّ: أَخْرَجُ مَعَكَ؟ قَالَ: فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ «لَا» . فَبَكَى عَلِيٌّ فَقَالَ لَهُ: «أَمَا تَرْضَى أَنْ
تَكُونَ مِنِّي بِمَنْزِلَةِ هَارُونَ مِنْ مُوسَى إِلَّا أَنَّهُ لَيْسَ بَعْدِي
نَبِيٌّ، إِنَّهُ لَا يَنْبَغِي أَنْ أَذْهَبَ إِلَّا وَأَنْتَ خَلِيفَتِي» ،
قَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ: وَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ: «أَنْتَ وَلِيُّ كُلِّ مُؤْمِنٍ بَعْدِي وَمُؤْمِنَةٍ»
Maksudnya
; “Rasulullah saw keluar dalam peperangan tabuk dan Baginda disertai ramai
manusia. Ali berkata kepada Baginda, “Apakah aku keluar bersama dengan kamu?”
Berkata
Nabi saw; “Tidak”.
Lalu,
Ali menangis, seterusnya baginda saw berkata, “Apakah kamu redha bahawa kamj
dari kalanganku setahap (Nabi) Harun jika dinisbahkan kepada (Nabi) Musa. Cuma,
selepasku tidak ada nabi lagi. Tidak sewajarnya aku pergi kecuali kamu adalah
pengganti aku”
Berkata
Rasulullah saw lagi, “Kamu (wahai Ali) adalah wali bagi setiap orang mukmin
selepasku, begitujuga mukminah[1]”
IMAM
MAKSUM
Dalam
al-Quran, ada dinyatakan secara khusus tentang ahl al-Bait. Perkara ini
berdasarkan kepada firman Allah;
إِنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ لِيُذْهِبَ عَنْكُمُ
الرِّجْسَ أَهْلَ الْبَيْتِ وَيُطَهِّرَكُمْ تَطْهِيرًا
Maksudnya; “Sesungguhnya Allah
(perintahkan kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan
perkara-perkara yang mencemarkan diri kamu - wahai "AhlulBait" dan
hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari segala perkara yang keji).
(Surah al-Ahzab, ayat 33)
Pada
sunni, ayat ini merujuk kepada para isteri Nabi Muhammad saw. Ini kerana, ia
merujuk kepada ayat sebelumnya. Iaitu firman Allah;
يَا نِسَاءَ النَّبِيِّ لَسْتُنَّ كَأَحَدٍ
مِنَ النِّسَاءِ إِنِ اتَّقَيْتُنَّ فَلَا تَخْضَعْنَ بِالْقَوْلِ فَيَطْمَعَ
الَّذِي فِي قَلْبِهِ مَرَضٌ وَقُلْنَ قَوْلًا مَعْرُوفًا (32) وَقَرْنَ فِي
بُيُوتِكُنَّ وَلَا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ الْأُولَى وَأَقِمْنَ
الصَّلَاةَ وَآتِينَ الزَّكَاةَ وَأَطِعْنَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ إِنَّمَا يُرِيدُ
اللَّهُ لِيُذْهِبَ عَنْكُمُ الرِّجْسَ أَهْلَ الْبَيْتِ وَيُطَهِّرَكُمْ
تَطْهِيرًا
Maksudnya;
“Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti
mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertaqwa. Oleh itu janganlah
kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing)
kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam
hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan
kata-kata yang baik (sesuai dan sopan). * Dan
hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri
seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu; dan dirikanlah
sembahyang serta berilah zakat; dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya.
Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana
hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan diri kamu - wahai
"AhlulBait" dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari segala
perkara yang keji)” (Surah
al-Ahzab, ayat 32-33)
Namun,
pada syiah, perkataan ahl al-Bait itu merujuk kepada ahli keluarga Nabi saw
dari susur galur Saidina Ali berdasarkan kepada hadis riwayat al-Hakim menerusi
al-Mustadrak yang dinukilkan di atas. Pada ayat ini, kelihatan Allah swt
menyucikan ahl al-Bait, makanya dengan alasan itu timbulnya konsep imam maksum
dalam syiah.
Perbincangan
tentang kemaksuman imam dalam tradisi syiah dipamerkan tidak sama dengan konsep
kemaksuman para Nabi dan Rasul. Kemaksuman Nabi bermuarakan kepada penjagaan
tuhan terhadap baginda saw melalui pengawalan Jibril AS. Namun, pada syiah,
kemaksuman pada imam pula adalah perjalanan spiritual para imam sehingga mereka
dilihat agak mustahil melakukan dosa. Konsep kemaksuman tersebut, disamping
berdasarkan kepada firman Allah menerusi ayat 33 dari surah al-Ahzab, ia juga
merujuk kepada firman Allah;
إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ
اللَّهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ وَإِذَا تُلِيَتْ عَلَيْهِمْ آيَاتُهُ زَادَتْهُمْ
إِيمَانًا وَعَلَى رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ
Maksudnya;
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna
imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya)
gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya,
menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka
berserah.
(Surah al-Anfal, ayat 2)
Pada
logik syiah, jika disebutkan nama Allah swt pun, orang mukmin itu sudah
gementar hati mereka dan bertambah iman mereka, menandakan keimanan tahap
tinggi yang ada pada para imam itu menjadikan mereka agak mustahil melakukan
maksiat. Jika disebut nama Allah pun sudah gementar, kemungkinan besar mereka
akan pingsan jika mereka melakukan maksiat. Lebih-lebih lagi, para imam itu
adalah kalangan yang bersilsilah dari keturunan nabi Muhammad saw yang dijamin
kesucian oleh Allah swt (seperti dalam surah al-Ahzab, ayat 33).
Perkara
ini tidak selaras dengan Sunni, kerana pada sunni, kemaksuman itu hanya
tertumpu kepada para nabi saw, sedangkan selain itu, memungkinkan melakukan
maksiat.
2.
WILAYAH FAQEH
Dari sudut sejarah, kita dapati bahawa kelahiran fahaman
Syiah adalah kesan dari perselisihan politik. Kalangan syiah, menafsirkan
konsep “wali” sebagai pemimpin. Kesan dari itu, mereka menafsirkan wali yang
disandarkan kepada Saidina Ali seperti yang termaktub dalam hadis riwayat al-Hakim
yang dipamerkan di atas memberi maksud, kelayakkan menjadi pemimpin itu
diberikan kepada Saidina Ali dan keturunannya yang dikenali sebagai konsep imam
maksum.
Tafsiran Wali pada sunni, tidak semestinya merujuk kepada
pemimpin. Ini kerana, dalam pemahaman politik dalam sunni, sesebuah kerajaan
itu sudah layak dikira sebagai kerajaan yang diiktiraf dalam islam, jika
sesebuah kerajaan itu sudah capai hasrat kemaslahatan rakyat. Ini didasarkan
kepada firman Allah yang menyatakan bahawa Allah swt tidak akan binasakan ahli
sesebuah kerajaan yang tidak diperintah oleh orang islam, selama isi kerajaan
itu terdiri dari kalangan pemerintah dan rakyat yang saling melakukan pembaik
pulih dan islah.
Firman Allah;
وَمَا كَانَ رَبُّكَ لِيُهْلِكَ الْقُرَى بِظُلْمٍ وَأَهْلُهَا مُصْلِحُونَ
Maksudnya;
“Dan Tuhanmu tidak sekali-kali hendak membinasakan mana-mana
negeri dengan sebab kezaliman (syirik) penduduknya, selagi mereka sentiasa
memperbaiki keadaan sesama sendiri. (Surah Hud, ayat 117)
Dalam menafsirkan
ayat ini, Al-Imam Fakhr al-Din al-Razi menyatakan;
وَالْمَعْنَى أَنَّهُ تَعَالَى لَا يُهْلِكُ أَهْلَ الْقُرَى بِمُجَرَّدِ كَوْنِهِمْ مُشْرِكِينَ إِذَا كَانُوا مُصْلِحِينَ فِي الْمُعَامَلَاتِ فِيمَا بَيْنَهُمْ
Maksudnya; “Maknanya, sesungguhnya Allah SWT tidak akan membinasakan
ahli kerajaan dengan semata-mata mereka adalah musyrikin, jika mereka saling
melakukan islah (pembaik pulih) sesame mereka dalam urusan mereka[2]”
Melihat konsep pemimpin kerajaan dalam Sunni tidak seketat
Syiah, menjadikan tafsiran kalimah Wali dalam sunni tidak semestinya merujuk
kepada pemimpin, malahan kadangkala ia boleh dimaksudkan sebagai ahli keluarga.
Makanya dengan itu, tafsiran maksud Wali yang disandarkan kepada Saidina Ali
menerusi hadis riwayat al-Mustadrak itu merujuk kepada ahli Keluarga Nabi saw,
bukan merujuk kepada konsep al-Imam kepolitikan.
Apabila syiah melihat, konsep imam itu tertakluk kepada ahl
al-Bait, sudah pasti mereka akan meletakkan keimanan pada kelahiran imam pada
setiap kehidupan manusia sehingga kiamat. Namun, kejatuhan Shah Iran di era
fenomena al-Khomaini, menjadikan satu kesukaran bagi syiah untuk membentuk
negara, kerana ketika itu adalah era ketiadaan Imam Maksum yang dikenali
sebagai al-Ghaibah al-Kubra. Ia menjadikan al-Khomaini melakukan satu
pembaharuan bagi mengatasi perkara itu tanpa lari dari doktrin fahaman syiah dengan
mencadangkan idea yang dinamakan sebagai konsep wilayah faqeh. Konsep wilayah
faqeh adalah konsep kepimpinan ulama-ulama fiqh di kalangan ayatollah syiah
sebagai pengganti kepada keghaiban Imam terakhir mereka. Konsep ini, sudah
pasti ia tidak pernah wujud dalam sunni.
3.
IMPLIKASI WILAYAH FAQEH
Apabila disebutkan kelahiran Wilayah Faqeh, sudah pasti ia
tidak pernah wujud sama sekali dalam fahaman sunni, tetapi ia wujud dan
diterima oleh sebilangan penganut fahaman syiah. Apabila ia diterima dalam
syiah, sudah pasti konsepnya amat dekat dengan doktrin syiah, dan amat jauh,
malahan tidak ada kaitan langsung dengan fahaman dari aliran sunni.
Apabila konsep wilayah faqeh ini diterima, sudah pasti
implikasi-implikasi yang lahir amat dekat dengan fahaman syiah, yang ia sudah
pasti tidak wujud sama sekali dalam sunni. Antara doktrin-doktrin yang lahir
dari konsep wilayah faqeh adalah seperti konsep wala’.
Dalam sunni, wala’ kepada pemimpin selain Allah dan Rasul
tidak bersifat mutlak, sebaliknya ia terikat dengan konsep selama ia tidak
bercanggah dengan al-Quran, al-hadis dan tidak mendatangkan kemudharatan kepada
umat.
Perkara ini disandarkan kepada satu hadis saheh;
عَنْ عَلِيٍّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، أَنَّ
رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَعَثَ جَيْشًا وَأَمَّرَ
عَلَيْهِمْ رَجُلًا، وَأَمَرَهُمْ أَنْ يَسْمَعُوا لَهُ وَيُطِيعُوا، فَأَجَّجَ
نَارًا وَأَمَرَهُمْ أَنْ يَقْتَحِمُوا فِيهَا، فَأَبَى قَوْمٌ أَنْ يَدْخُلُوهَا
وَقَالُوا: إِنَّمَا فَرَرْنَا مِنَ النَّارِ، وَأَرَادَ قَوْمٌ أَنْ
يَدْخُلُوهَا، فَبَلَغَ ذَلِكَ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
فَقَالَ: «لَوْ دَخَلُوهَا أَوْ دَخَلُوا فِيهَا لَمْ يَزَالُوا فِيهَا». وَقَالَ:
«لَا طَاعَةَ فِي مَعْصِيَةِ اللَّهِ إِنَّمَا الطَّاعَةُ فِي الْمَعْرُوفِ»
Maksudnya; Dari Ali R.A
bahawa Rasulullah saw menghantar satu tentera dengan dilantik seorang lelaki
sebagai ketua. Nabi saw menyuruh para tentera agar mendengar dan memberi
ketaatan (wala’) kepada lelaki tersebut. Lelaki terbabit telah menyalakan api
dan menyuruh tentera tadi agar masuk ke dalam api tersebut. Setengah dari
kalangan mereka mengingkari dari masuk ke dalam api tersebut. Mereka berkata, kami
(masuk Islam) lari dari Neraka. Setengah dari kalangan mereka yang lain pula
berhasrat untuk masuk dalam api terbabit. Perkara itu sampai kepada Nabi
Muhammad saw. Nabi saw berkata, jika mereka masuk ke dalam api tersebut, sudah
pasti mereka sentiasa berada dalam api terbabit (masuk neraka). Nabi saw
berkata lagi, Tiada ketaatan (wala’) dalam maksiat kepada Allah, tetapi
ketaatan (wala’) dalam perkara ma’ruf[3]”
Hal ini berbeda dengan syiah yang melihat ketaatan kepada
imam adalah satu perkara yang mesti, kerana pada fahaman mereka, imam itu ma’sum
berdasarkan ayat 33 dari surah al-Ahzab. Ini sudah pasti menjadikan para imam
tidak akan melakukan kesalahan dalam membuat keputusan.
Implikasi lain dari konsep wilayah faqeh adalah kekhilafan
terhadap imam akan memberi kesan pada aqidah. Ekoran itu, dalam ajaran syiah
kedengaran istilah kafir terhadap mereka yang tidak melantik Saidina Ali
sebagai pemimpin selepas Nabi Muhammad saw. Kafir terhadap sahabat dalam
fahaman syiah, bukan bermaksud kafir keluar agama. Ia seperti konsep kafir
dalam sunni, ia bukan sekadar memberi maksud kufur yang menjadikan terkeluar
dari agama, tetapi ada satu lagi adalah kafir yang memberi maksud kufur nikmat.
Ia sepertimana Sabda Nabi saw;
العهد الذي بيننا وبينهم الصلاة، فمن تركها فقد كفر
Maksudnya; “Perjanjian
antara kami dengan mereka adalah solat. Barangsiapa yang meninggalkannya (solat),
maka dia telah kafir[4]”
Jika dalam sunni, kufur itu ada dua jenis, iaitu kufur keluar
agama dan satu lagi kufur nikmat, maka dalam syiah ditambah satu lagi, iaitu
kufur wilayah. Konsep kufur wilayah, kebanyakkan dalam fahaman syiah tidak
merujuk kepada kufur keluar agama, sebaliknya ia seperti kufur nikmat kecuali
bagi kalangan syiah yang ekstreme.
Fikrah sebegini tidak wujud dalam sunni. Ekoran itu, dalam
sunni melebelkan kalangan yang tidak wala’ kepada pemimpin dengan pelbagai
lebel berwajah aqidah tidak wujud, seperti munafiq haraki, munafiq atau kafir
itu tidak berlaku sama sekali. Keadaan ini berlaku dalam syiah, kerana konsep
imam itu adalah perkara aqidah dalam syiah, sedangkan dalam sunni, ia bukan
perkara aqidah.
Wallahu ‘alam.
[1] al-Mustadrak ‘Ala Sahihain li
al-Hakim, hadis no : 4652
[2] Abu
Abd Allah Muhammad bin Umar bin al-Hasan bin al-Husain al-Taimi, Fakr al-Din
al-Razi (meninggal 606 H), Mafatih al-Ghaib – al-tafsir al-Kabir, jld 18, hlmn
410, Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, Beirut. Tarikh : 1420
ـ
[3]
Sunan Abi Daud, Bab fi al-Taah, Hadis no : 2625
[4]
Sunan al-Nasai, Bab Ma Ja’ fi man Taraka al-Solat, Hadis no : 1079.
No comments:
Post a Comment