Isu berkenaan menyentuh anjing, pernah didebatkan
pada tahun 1940 bertempat di kelantan. khabarnya, ia melibatkan tokoh ulama
terkemuka tanah melayu ketika itu, seperti Haji Wan Musa yang merupakan mufti
Kelantan ketika itu, Qadhi besar Singapura yang dihadiri Raja Kelantan ketika
itu, Sultan Ibrahim. Selepas
perbincangan tersebut, mereka bergambar dengan disertakan seekor anjing
bersama.
Perbincangan tentang anjing, dianggap agak sensitive
di kalangan umat islam di Malaysia, walhal jika dibaca dalam al-Quran, factor anjing
pernah diceritakan dalam beberapa bentuk. Antaranya adalah, diceritakan tentang
anjing dalam kerangka kisah Ashab al-Kahfi.
Firman Allah;
وَتَحْسَبُهُمْ أَيْقَاظًا وَهُمْ رُقُودٌ
وَنُقَلِّبُهُمْ ذَاتَ الْيَمِينِ وَذَاتَ الشِّمَالِ وَكَلْبُهُمْ بَاسِطٌ
ذِرَاعَيْهِ بِالْوَصِيدِ لَوِ اطَّلَعْتَ عَلَيْهِمْ لَوَلَّيْتَ مِنْهُمْ
فِرَارًا وَلَمُلِئْتَ مِنْهُمْ رُعْبًا
Maksudnya; “Dan engkau sangka mereka sedar, padahal
mereka tidur; dan Kami balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan
dan ke sebelah kiri; sedang anjing mereka menghulurkan dua kaki depannya dekat
pintu gua; jika engkau melihat mereka, tentulah engkau akan berpaling melarikan
diri dari mereka, dan tentulah engkau akan merasa sepenuh-penuh gerun takut
kepada mereka” (Surah al-Kahf, ayat 18)
Dan firman Allah dalam surah yang sama;
سَيَقُولُونَ ثَلَاثَةٌ رَابِعُهُمْ كَلْبُهُمْ
وَيَقُولُونَ خَمْسَةٌ سَادِسُهُمْ كَلْبُهُمْ رَجْمًا بِالْغَيْبِ وَيَقُولُونَ
سَبْعَةٌ وَثَامِنُهُمْ كَلْبُهُمْ قُلْ رَبِّي أَعْلَمُ بِعِدَّتِهِمْ مَا
يَعْلَمُهُمْ إِلَّا قَلِيلٌ فَلَا تُمَارِ فِيهِمْ إِلَّا مِرَاءً ظَاهِرًا وَلَا
تَسْتَفْتِ فِيهِمْ مِنْهُمْ أَحَدًا
Maksudnya; “(Sebahagian dari) mereka akan berkata:
“Bilangan Ashaabul Kahfi itu tiga orang, yang keempatnya ialah anjing mereka “;
dan setengahnya pula berkata:”Bilangan mereka lima orang, yang keenamnya ialah
anjing mereka” – secara meraba-raba dalam gelap akan sesuatu yang tidak
diketahui; dan setengahnya yang lain berkata: “Bilangan mereka tujuh orang, dan
yang kedelapannya ialah anjing mereka”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Tuhanku
lebih mengetahui akan bilangan mereka, tiada yang mengetahui bilangannya
melainkan sedikit”. Oleh itu, janganlah engkau berbahas dengan sesiapapun
mengenai mereka melainkan dengan bahasan (secara sederhana) yang nyata
(keterangannya di dalam Al-Quran), dan janganlah engkau meminta penjelasan
mengenai hal mereka kepada seseorangpun dari golongan (yang membincangkannya). (Surah
al-Kahf, ayat 22)
Dalam al-Quran juga, factor anjing diceritakan
tentang perburuan. Iaitu firman Allah;
يَسْأَلُونَكَ مَاذَا أُحِلَّ لَهُمْ قُلْ
أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبَاتُ وَمَا عَلَّمْتُمْ مِنَ الْجَوَارِحِ مُكَلِّبِينَ
تُعَلِّمُونَهُنَّ مِمَّا عَلَّمَكُمُ اللَّهُ فَكُلُوا مِمَّا أَمْسَكْنَ
عَلَيْكُمْ وَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَيْهِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ
سَرِيعُ الْحِسَابِ
Maksudnya; “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad):
“Apakah (makanan) yang dihalalkan bagi mereka?” Bagi menjawabnya katakanlah:
“Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang lazat-lazat serta baik, dan (buruan yang
ditangkap oleh) binatang-binatang pemburu yang telah kamu ajar (untuk berburu)
mengikut cara pelatih-pelatih binatang pemburu. Kamu mengajar serta melatihnya
(adab peraturan berburu) sebagaimana yang telah diajarkan Allah kepada kamu.
Oleh itu makanlah dari apa yang mereka tangkap untuk kamu dan sebutlah nama
Allah atasnya (ketika kamu melepaskannya berburu); dan bertaqwalah kepada Allah
(dengan memelihara diri dari memakan yang diharamkan Allah); Sesungguhnya Allah
Maha Cepat hitungan hisabNya” (Surah al-Maidah, ayat 4)
Dalam hadis juga, ada dipamerkan tentang
seorang pelaku dosa besar boleh diampunkan dosa oleh Allah disebabkan memberi
minum kepada anjing. Iaitu hadis, daripada
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ؛ أَنَّ رَسُولَ اللهِ صلى الله عليه وسلم
قَالَ: «بَيْنَمَا رَجُلٌ يَمْشِي بِطَرِيقٍ إِذِ اشْتَدَّ عَلَيْهِ الْعَطَشُ،
فَوَجَدَ بِئْراً. فَنَزَلَ فِيهَا ، فَشَرِبَ، وَخَرَجَ. فَإِذَا كَلْبٌ
يَلْهَثُ. يَأْكُلُ الثَّرَى مِنَ الْعَطَشِ. فَقَالَ الرَّجُلُ: لَقَدْ بَلَغَ
هذَا الْكَلْبَ مِنَ الْعَطَشِ مِثْلُ الَّذِي بَلَغَ مِنِّي. فَنَزَلَ الْبِئْرَ فَمَلأَ خُفَّهُ. ثُمَّ أَمْسَكَهُ
بِفِيهِ حَتَّى رَقِيَ فَسَقَى الْكَلْبَ. فَشَكَرَ اللهُ لَهُ فَغَفَرَ لَهُ
Maksudnya; “Daripada Abu Hurairah, Sesungguhnya
Rasulullah saw berkata, ketika seorang lelaki berjalan di satu laluan, dia
merasa kehausan, lalu dia dapati ada sebuah telaga. Dia masuk ke dalamnya, minum
air dan keluar. Dia ternampak seekor anjing tercungap-cingap dan menjilat tanah
lembab ekoran kehausan. Lelaki itu berkata, sesungguhnya anjing ini sampai
kehausan sepertimana aku kehausan tadi. Lalu, lelaki itu turun ke dalam telaga
dan mengisi air pada kasutnya sehingga penuh, kemudian dia mengigit kasutnya
itu dengan mulutnya hingga dia panjat telaga tersebut lalu memberi minum kepada
anjing tersebut. Allah swt berterima kasih kepadanya dan mengampunkan dosanya“
(Muwatta’, : hadis no, 3435, جَامِعُ مَا جَاءَ فِي الطَّعَامِ وَالشَّرَابِ)
Dari ini, kita akan dapati bahawa dari sudut
pandang al-Quran dan Hadis, perbincangan tentang anjing bukan perkara yang
sentisitif. Namun, dianggap sensitive di kalangan orang melayu.
Tidak diketahui, apa penyebab perasaan sensitive
ini sebegini berlaku. Mungkin terlalu terikat dengan penekanan terhadap mazhab
Syafie yang rata-ratanya menyatakan hukum anjing adalah najis mughalazah (najis
berat), menjadikan ia dianggap cukup jijik dan amat sensitive.
MENYENTUH ANJING
Perbincangan pertama adalah menyentuh anjing. Dari
sudut pengajian usul al-fiqh, sesuatu perkara itu tidak boleh dijatuhkan hukum
haram selama tiada nas yang saheh dan sareh (jelas) menyatakan pengharamannya.
Kewujudan nas yang saheh, tetapi tidak sareh (tidak jelas) pun tidak boleh
menjadikan sesuatu itu haram, seperti hadis yang menyatakan larangan ma’azif
yang diterjemah sebagai muzik. Tidak dinafikan, hadis itu riwayat al-Bukhari,
sudah pasti ia saheh, tetapi kalimah Ma’azif yang ada dalam hadis itu tidak
sareh. Makanya, menafsirkannya sebagai bermaksud muzik, lalu diharamkan muzik
adalah tidak tepat. (Sila lihat perbahasan panjang lebar di sini : muzik : satu kupasan)
Tidak pernah terdapat satu nas yang saheh dan
jelas menyatakan larangan terhadap memegang anjing. Ekoran itu, ia tidak boleh
dinyatakan sebagai hukum haram. Ini kerana, dalam fiqh islam, sesuatu yang mahu
dikatakan haram, hendaklah dari sumber nas (al-Quran atau al-hadis) yang saheh
dan sareh (jelas). Dalam kes muzik, dalam keadaan wujud hadis yang saheh pun,
tidak boleh nak dikatakan muzik haram kerana hadis itu tidak sareh. Inikan pula
dalam hukum menyentuh anjing, yang tiada satu nas yang saheh dan sareh menyatakan
larangan tersebut.
BASUH APABILA KENA ANJING
Terdapat kekhilafan fiqh tentang status
kenajisan anjing. Dalam mazhab al-Syafie, anjing dikira sebagai najis. Dengan maksud,
apabila menyentuh anjing, maka wajar dibasuh dengan tujuh kali basuh, dan salah
satunya dengan air tanah.
Kata al-Imam al-nawawi;
وفيه وجوب غسل نجاسة ولوغ الكلب سبع مرات
Maksudnya; “Padanya, wajib basuh najis jilatan anjing
sebanyak tujuh kali”
Sambung beliau lagi;
واعلم أنه لا فرق عندنا بين ولوغ الكلب وغيره
من أجزائه فإذا أصاب بوله أو روثه أو دمه أو عرقه أو شعره أو لعابه أو عضو من
أعضائه شيئا طاهرا في حال رطوبة أحدهما وجب غسله سبع مرات إحداهن بالتراب
Maksudnya; “Ketahuilah, tidak ada perbedaan
di kalangan kami antara jilatan anjing dengan selainnya; daripada
anggota-anggota anjing. Apabila kena kencingnya, taiknya, darahnya, peluhnya,
bulunya, air liurnya atau satu satu anggota dari anggota badannya yang bersih ketika ia sedang basing, maka
wajib basuhnya tujuh kali basuh, dan salah satu daripadanya adalah tanah[1]”
Dalam mazhab Hanafi, air liur anjing adalah
najis. Abu Fadhal al-Hanafi menyatakan;
وَأَمَّا الْكَلْبُ فَلِأَنَّ النَّبِيَّ -
عَلَيْهِ الصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ - أَمَرَ بِغَسْلِ الْإِنَاءِ مِنْ وُلُوغِهِ
ثَلَاثًا، وَفِي رِوَايَةٍ سَبْعًا
Maksudnya; “Adapun anjing, maka sesungguhnya Nabi saw
menyuruh membasuh bekas dari jilatannya (anjing) sebanyak tiga kali. Dalam satu
riwayat, tujuh kali” [2]
Adapun badan anjing, pendapat yang kuat dalam mazhab
hanafi, ia tidak dikira sebagai najis. Seorang Ulama dalam Mazhab hanafi bernama Badr al-Din al-‘Aini berkata;
ثم اختلف أصحابنا في الكلب، هل هو نجس العين
كالخنزير أو لا، والأصح أنه ليس بنجس العين كذا في " البدائع "، وفي
" الإيضاح "
Maksudnya; “Kemudian, telah ikhtilah di kalangan kami
(ulama mazhab hanafi) berkenaan anjing, apakah ia najis pada ain (dirinya)
seperti babi atau tidak. Pendapat yang paling saheh, ia tidak najis ain,
sepertimana tersebut dalam kitab al-Badaie dan kitab al-Idah[3]”
Dalam mazhab maliki pula, Abu Umar al-Namiri al-Qurtubi
menyatakan;
دَلَّ ذَلِكَ عَلَى أَنَّ الْكَلْبَ لَيْسَ بِنَجِسٍ وَأَنَّهُ لَا
نَجَاسَةَ فِي عَيْنِهِ لِأَنَّهُ مِنَ الطَّوَّافِينَ عَلَيْنَا وَمَا أُبِيحَ
لَنَا اتِّخَاذُهُ لِلصَّيْدِ وَالزَّرْعِ وَالْمَاشِيَةِ فَيُقَاسُهُ الْهِرُّ وَإِذَا
صَحَّ هَذَا صَحَّ أَنَّ الْأَمْرَ بِغَسْلِ الْإِنَاءِ مِنْ وُلُوغِهِ سَبْعًا
عِبَادَةٌ لَا لِنَجَاسَةٍ
Maksudnya; “Ini menjadi dalil bahawa anjing bukan
najis, iaitu ia bukan najis pada ain (diri anjing itu), kerana ia dari kalangan
binatang yang selalu berlegar di kalangan kita. Dan ia diharuskan untuk kita menjadikannya
binatang buruan, menjaga tumbuh-tumbuhan dan menjaga binatang ternakan, maka ia
dikiaskan dengan kucing. Apabila sah perkara ini, sesungguhnya suruhan basuh
bekas dari jilatan anjing tujuh kali itu sekadar ibadat (untuk mendapatkan
pahala sahaja : sunat) sahaja, bukan kerana ia bernajis[4]”
Di tempat yang lain, beliau menyatakan;
فَجُمْلَةُ مَذْهَبِ مَالِكٍ عِنْدَ أَصْحَابِهِ الْيَوْمَ أَنَّ الْكَلْبَ طَاهِرٌ وَأَنَّ الْإِنَاءَ يُغْسَلُ مِنْهُ سَبْعًا عِبَادَةً
Maksudnya; “Sejumlah mazhab Malik di sisi pandangan ulama-ulama dalam
mazhab itu pada hari ini bahawa anjing adalah suci dan bekas yang dibasuh
dengan tujuh kali basuh itu adalah sekadar ibadat (sunat)”[5]
Dari perbincangan ini, dapat
disimpulkan bahawa dalam mazhab Syafie, semua perkara yang berkaitan dengan
anjing dikira sebagai najis. Makanya, wajib dibasuh tujuh kali basuh dan salah
satunya dengan air tanah. Dalam mazhab Hanafi pula, air liur dikira sebagai
najis, sedangkan badan anjing berlaku kekhilafan di kalangan ulama dalam mazhab
hanafi. Namun, pendapat yang paling kuat dalam mazhab itu, badan anjing tidak
dikira sebagai najis. Berbeda dengan mazhab Maliki yang menganggap bahawa badan
dan air liur anjing tidak dikira sebagai najis. Suruhan basuh dengan tujuh kali
basuh dalam hadis, pada mereka ia adalah suruhan yang sunat, bukan wajib.
Kekhilafan ini bermuarakan kepada hadis bahawa nabi saw ada
berkata;
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ: قَالَ
رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «إِذَا وَلَغَ الْكَلْبُ فِي
إِنَاءِ أَحَدِكُمْ فَلْيُرِقْهُ ثُمَّ لِيَغْسِلْهُ سَبْعَ مِرَارٍ
Maksudnya; “Daripada Abu
Hurairah berkata, bersabda Rasulullah saw, apabila anjing menjilat bekas
seseorang kamu, maka alirkan air padanya kemudian basuhnya sebanyak tujuh kali
basuh” (Muslim, Bab hukum jilatan anjing, hadis no : 279)
Kekhilafan itu kerana, dalam mazhab Syafie, mereka
mengamalkan metode Fahw al-Khitab. Pada mereka, jika air liur anjing pun sudah
wajib di basuh, sudah pasti kewajipan itu lebih lagi dilakukan jika terkena
pada badan anjing. Dalam mazhab hanafi pula, mereka melihat kepada zahir hadis
yang mempamerkan jilatan sahaja. Menandakan, kenajisan itu berlaku pada air
liur sahaja, tidak pada badannya. Namun, dalam mazhab Maliki, mereka meletakkan
tanggapan bahawa mensucikan najis itu, cukup sekadar hilangkan tiga perkara;
bau, rasa dan warna. Untuk menghilangkan tiga perkara ini, tidak semestinya
dengan tujuh kali basuh, malahan dengan sekali atau dua kali basuh pun, kadangkala
sudah tercapai maksud bersihkan najis. Makanya, mereka meletakkan tanggapan
bahawa hukum membasuh itu sunat sahaja.
BELA ANJING
Dalam hadis, dipamerkan keizinan membela anjing pada tujuan
beburu dan penjagaan. Antara hadis itu adalah;
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى
اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: «مَنِ اقْتَنَى كَلْبًا إِلَّا كَلْبًا ضَارِيًا
أَوْ كَلْبَ مَاشِيَةٍ، نَقَصَ مِنْ عَمَلِهِ كُلَّ يَوْمٍ قِيرَاطَانِ»
Maksudnya; “Daripada Abdullah bin Umar, sesungguhnya Rasulullah saw
bersabda, “barangsiapa yang membela anjing kecuali anjing buas (dibuat beburu)
atau anjing menjaga binatang ternakan, mengurangkan daripada amalnnya pada setiap
hari dua qirat” (muwatta’, bab
Menyatakan berkaitan dengan anjing, hadis no : 13)
Dalam hadis yang
lain pula;
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ
عَنْهُ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «مَنْ أَمْسَكَ
كَلْبًا، فَإِنَّهُ يَنْقُصُ كُلَّ يَوْمٍ مِنْ عَمَلِهِ قِيرَاطٌ، إِلَّا كَلْبَ
حَرْثٍ أَوْ مَاشِيَةٍ»
Maksudnya;
“barangsiapa yang bela anjing, maka sesungguhnya mengurangi pada setiap hari
dari amalannya satu qirat, kecuali anjing untuk pengawasan atau anjing menjaga binatang ternakan” (al-Bukhari, bab membela anjing untuk kerja
pembajakan, hadis no : 2322)
Dari hadis-hadis ini, sepakat ulama menyatakan keizinan membela
anjing dengan tujuan untuk perburuan dan penjagaan dan dibawa bersiar-siar dan
berjalan-jalan. Namun, selain dari tujuan-tujuan ini, berlaku kekhilafan di
kalangan ulama. Ada ulama yang menyatakan haram, seperti al-Imam al-Nawawi, dan
ada pula menyatakan makruh sahaja, seperti pendapat ibn Abd al-Bar.
Kata Al-Imam al-Nawawi dalam Syarh Muslim;
وقد اتفق أصحابنا وغيرهم على أنه يحرم اقتناء
الكلب لغير حاجة مثل أن يقتني كلبا إعجابا بصورته أو للمفاخرة به فهذا حرام بلا
خلاف وأما الحاجة التي يجوز الاقتناء لها فقد ورد هذا الحديث بالترخيص لأحد ثلاثة
أشياء وهي الزرع والماشية والصيد وهذا جائز بلا خلاف
Maksudnya; “Telah sepakat kalangan kami (ulama mazhab syafie) dan
selainnya (selain ulama dalam mazhab syafie) bahawa haram membela anjing tanpa
keperluan, sepertimana membela anjing kerana berbangga dengan bentuknya atau
kerana untuk membesar diri dengannya, maka ia adalah haram tanpa khilaf. Adapun
kerana ada keperluan yang mengharuskann membelanya, sesungguhnya telah datang
hadis tetang keizinan pada salah satu dari tiga perkara, iaitu bertanaman, menjaga binatang ternakan. Ia adalah harus, tanpa khilaf lagi[6]”
Di sana ada pendapat menyatakan, membela anjing selain tujuan
berburu dan selain tujuan penjagaan adalah tidak haram, sebaliknya sekadar makruh
sahaja. Ia di dokong oleh Ibn Abd al-Bar. Beliau menyatakan;
وَفِي مَعْنَى هَذَا الْحَدِيثِ
تَدْخُلُ عِنْدِي إِبَاحَةُ اقْتِنَاءِ الْكِلَابِ لِلْمَنَافِعِ كُلِّهَا
وَدَفْعِ الْمَضَارِّ إِذَا احْتَاجَ الْإِنْسَانُ إِلَى ذَلِكَ إِلَّا أَنَّهُ مَكْرُوهٌ
اقْتِنَاؤُهَا فِي غَيْرِ الْوُجُوهِ الْمَذْكُورَةِ فِي هَذِهِ الْآثَارِ
لِنُقْصَانِ أَجْرِ مُقْتَنِيهَا
Maksudnya; “Pada makna hadis
ini, di sisi aku, masuk keharusan membela anjing bagi semua manfaat dan menolak
sebarang mudharat, apabila manusia perlu kepada itu, kecuali ia adalah makruh
membelanya pada selain pada perkara yang disebutkan pada athar-athar ini
disebabkan kekurangan pahala kepada pembelanya[7]”
Kekhilafan
ini berlaku, kerana beberapa sebab, iaitu;
Pertama,
hadis yang menyatakan larangan itu masih dalam kerangka zanni al-Dilalah, bukan
hukum qatie. Ia tidak sama seperti pengharaman zina dan haram makan daging babi.
Ini
dapat dilihat pada lafaz “kekurangan pahala dengan satu qirat (dalam riwayat
lain disebut dengan dua qirat)” itu masih punyai pelbagai tafsiran. Pada Imam
al-nawawi, ia memberi maksud bahawa adalah haram. Namun, pada Ibn Abd al-Bar,
beliau tidak melihat kekurangan pahala itu sebagai hukum haram, sebaliknya ia
masih dibenarkan lagi, tetapi sekadar makruh. Ini kerana, melakukan tindakan
yang boleh mengurangkan pahala, tidak semestinya memberi maksud haram, seperti seseorang
yang tidak menunaikan solat sunat, seseorang yang makan makanan yang berbau busuk
dan banyak lagi.
Kedua,
apabila sesuatu hadis itu berada dalam kerangka zanni, sudah pasti ia sesuatu
larangan itu punyai sebab. Ekoran itu, ada sebilangan ulama berkhilaf tentang
sebab larangan tersebut, seperti yang disenaraikan oleh Ibn Hajar al-Asqalani. Sebilangan
ulama menyatakan, larangan itu mencegah malaikat masuk dalam rumah, sebilangan
lain menyatakan bahawa ia boleh mengganggu jiran tetangga, sebilangan yang lain
menyatakan bahawa sebilangan anjing itu adalah syaitan, setengah yang lain
menyatakan bahawa kebiasaan anjing di dalam rumah akan memungkinkan jilatan
anjing itu terkena pada bekas makanan[8]
dan sebagainya.
Jika
larangan itu menjadi haram, ekoran malaikat tidak masuk rumah, sudah pasti
memasukkan TV dan gambar juga dikira sebagai haram. Ini kerana, dalam hadis ada
mempamerkan bahawa dengan kewujudan gambar dalam rumah, malaikat juga tidak
masuk ke dalam rumah. Dalam hadis, daripada Abi Talhah al-Ansari;
سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ:
« إن الْمَلَائِكَةُ لَا تَدْخُلُ بَيْتًا
فِيهِ كَلْبٌ وَلَا صُورَةٌ تماثيل»
Maksudnya;
“aku dengar Rasulullah saw bersabda, Sesungguhnya malaikat tidak masuk dalam
rumah yang padanya ada anjing dan gambar” (Musnad Ahmad, Bab Hadis Abi
Talhah, hadis no : 16369)
Jika
dikatakan larangan itu kerana ia boleh menggangu jiran tetangga, sudah pasti larangan
itu bukan hukum lizatih, iaitu keharaman pada membela anjing, tetapi larangan
itu pada factor lighairih, iaitu berfaktorkan kebisingan. Dengan maksud, jika
tidak membawa kepada bising, atau duduk dalam rumah yang punyai halangan suara
dari sampai ke rumah orang lain, maka ia tidak menjadi haram.
Jika
dikatakan larangan itu kerana sebilangan anjing adalah syaitan, maka sudah
pasti wujud ada anjing yang tidak syaitan. Ini kerana, definisi syaitan adalah
setiap yang jahat tidak kira ia dari kalangan mana pun.
Al-Imam
al-Tabari menyatakan;
والشيطان، كل متمرِّد من الجن والإنس والدوابِّ
وكل شيء
Maksudnya;
“Setiap yang jahat dari kalangan jin, manusia, binatang dan semua perkara[9]”
Perkara
ini dikukuhkan dengan beberapa firman Allah swt, antaranya seperti Allah
menyatakan ada syaitan dari kalangan manusia dan jin, iaitu Firman Allah;
وَكَذَلِكَ جَعَلْنَا لِكُلِّ نَبِيٍّ عَدُوًّا
شَيَاطِينَ الْإِنْسِ وَالْجِنِّ
Maksudnya;
“Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh
dari Syaitan-syaitan manusia dan jin” (Surah al-An’am, ayat 112)
Dan
firman Allah;
مِنَ الْجِنَّةِ وَالنَّاسِ
Maksudnya;
“(Syaitan al-Khannas itu) dari kalangan jin dan manusia” (Surah al-Nas, ayat 6)
Dan
jika dikatakan bahawa kewujudan anjing dalam rumah akan menyusahkan untuk
mengelak dari jilatan anjing yang kadangkala melibatkan bekas makanan. Sudah pasti,
kelihatan larangan itu berfaktorkan sad al-Zaraie. Hukum dari sudut sad
al-Zaraie, asalnya adalah dibenarkan. Tetapi, jika dapat mengelak dari berlaku
perkara yang dilarang, maka kembali kepada hukum asal, iaitu harus. Ia dimisalkan
seperti keizinan menjual anggur, tetapi dilarang secara sad al-Zaraie, jika
dijualkan kepada pembuat arak. Maka begitujuga dalam hal berkaitan larangan
membela anjing pada selain tiga factor yang disebutkan dalam hadis.
Dari
penjelasan ini, tidak hairan fatwa Ibn Abd al-Bar tidak meletakkan ia sebagai
haram, sebaliknya sekadar makruh sahaja.
PENUTUP
Dari
penjelasan ini, kelihatan bahawa perkara yang berkaitan dengan anjing adalah
perkara yang tidak sewajarnya disensitivekan oleh masyarakat melayu. Namun,
kekurangan dalam penghayatan fiqh yang bersifat luas ini, menjadikan kejumudan
itu pula dilihat seperti kebaikan, sedangkan keluasan itu seperti kejahatan,
sedangkan sifat Islam itu sendiri melebihi keluasan dari pandangan yang dapat
melihat keluasan alam ini.
Moga-moga
tulisan serba ringkas ini dapat memberi penjelasan kepada pembaca tentang polimik
anjing ini dari sudut yang lebih luas, sepertimana keluasan fiqh yang ditekan
dalam Islam.
Wallahu
‘Alam..
[1] Abu
Zakaria Muhy al-Din bin Syarf al-Nawawi, al-Minhaj Syarh Sahih Muslim bin
al-Hajjaj, Jld 3, hlmn 185, Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, Beirut. Tarikh :
1392
[2] Abdullah
bin Mahmood bin Maudud al-Mawsili al-Baldaji, Majd al-Din Abu Fadhal al-hanafi
(meninggal 683H), al-Ikhtiyar li Ta’lil al-Mukhtar, jld 1, hlmn 19, Matbaah
al-halabi, Kaherah. Tarikh : 1937 M
[3] Abu
Muhammad Mahmood bin Ahmad bin Musa bin Ahmad bin Husain al-Ghitani al-Hanafi
Badr al-Din al-‘Aini (meninggal 855 H), al-Binayah Syarh al-Hidayah, jld 1,
hlmn 473, Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, Beirut. Tarikh : 2000 M.
[4]
Abu Umar Yusuf bin Abd Allah bin Muhammad bin Abd al-Bar bin ‘Asim al-Namiri
al-Qurtubi (meninggal 463 Hijrah), al-Istizkar, jld 1, hlmn 164, Dar al-Kutub
al-Ilmiyyah, Beirut, terbitan : 2000M – 1421H
[5]
Ibid, jld 1, hlmn 206
[6] Abu
Zakaria Muhy al-Din bin Syarf al-Nawawi, al-Minhaj Syarh Sahih Muslim bin
al-Hajjaj, Jld 3, hlmn 186, Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, Beirut. Tarikh :
1392
[7]
Abu Umar bin Abd Allah bin Muhammad bin Abd al-Bar bin ‘Asim al-Namiri
al-Qurtubi (meninggal 463 Hijrah), al-Tamhid lima Fi al-Muwataa’ min al-Ma’ani
wa al-Asanid, Jld 14, hlmn 219, Wizarah Umum al-Awqaf wa al-Syu’un
al-Islamiyyah, Maghribi. Tarikh : 1387 H.
[8] Ahmad
bin Ali bin Hajar Abu Fadl al-Asqalani al-Syafie (meninggal 852 hijrah), Fath
al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, jld 5, hlmn 8, cetakan Dar al-Ma’rifah, Beirut
: tarikh : 1379.
[9]
Muhammad bin Jarir bin Yazid bin Kathir bin Ghalib al-Amili, Abu Jaafar
al-Tabari (meniggal 310 H), Jami’ al-Bayan Fi ta’wil al-Quran, jld 1, hlmn 111,
cetakan : Muassasah al-Risalah, Beirut. Tarikh : 2000 M.
Mohon kebenaran untuk share tulisan tuan ini.
ReplyDeleteartikle ini ada sedikit pembetulan. Sebaba ada tersilap terjemahan.. mohon artikle yang telah diedit..
ReplyDeleteMohon kebenaran utk kongsi bersama artikel yang telah diedit.
ReplyDeleteMohon agar saudara dpt beri pencerahan dan kesahihan ttg msg yg sy terima dibawah ini..
ReplyDeleteDaripada Abdullah bin Umar dia berkata: "Aku mendengar Nabi SAW bersabda: Sesiapa memelihara anjing selain anjing untuk berburu atau anjing menjaga binatang ternak, maka pahalanya akan berkurang dua qirath setiap harinya."
[Riwayat Bukhari no. 5059 dan Muslim, no: 2940]
Juga daripada Ibnu Umar berkata: "Rasulullah SAW memerintahkan supaya membunuh anjing kecuali anjing untuk berburu atau anjing untuk menjaga kambing atau menjaga haiwan ternak."
[riwayat Muslim no. 1571]
Artikel ni yg dh diedit ke belum, ust?
ReplyDeletesaudara, apakah hasil perbincangan berkenaan najis anjing yg telah dilakukan dahulu pada 1940?
ReplyDeleteSaudara Syahanim :
ReplyDeletehadis tersebut, dijadikan dalil oleh al-IMam al-Nawawi dan seangkatan dengam beliau menyatakan larangan membela anjing pada selain tujuan berburu dan menjaga (rumah, binatang ternakan, tumbuh-tumbuhan dll)...
adapun al-Imam Ibn Abd al-Bar, beliau anggap larangan itu bukan larangan yang haram, tetapi larangan makruh sahaja. dengan maksud, selain tujuan berburu dan menjaga tadi, membela anjing kerana anjing itu cantik, kerana seronok dan sebagainya tidak haram, tetapi makruh sahaja..
ini kerana, pada hadis tersebut, dinyatakan kurang pahala. Kurang pahala, tidak membawa maksud haram, tetapi makruh sahaha..
saudara riduan :
Benar, artikle ini sudah di edit...
Hezal :
sila baca satu artikle tulisan tokoh abim dalam malaysianinsider.
Daripada Abdullah bin Umar dia berkata: "Aku mendengar Nabi SAW bersabda: Sesiapa memelihara anjing selain anjing untuk berburu atau anjing menjaga binatang ternak, maka pahalanya akan berkurang dua qirath setiap harinya."
ReplyDelete[Riwayat Bukhari no. 5059 dan Muslim, no: 2940]
Kehilangan pahala 2 qirath ini seperti kehilangan 2 gunung pahala kita, ini mengambarkan betapa ruginya umat Islam yang memelihara anjing selain dari tujuan berburu atau anjing menjaga binatang ternak.
Adakah kita memiliki pahala sebesar 2 buah gunung? Adakah kita rela pahala kita sebasar 2 buah gunung yang mungkin kita kumpul puluhan tahun hilang sebab seekor anjing.Saya lebih setuju dengan tafsiran Imam Nawawi bahawa hadis ini merujuk sebagai "HARAM"
Boleh jadi makruh juga. Hilang pahala yg spttnya dpt jika ditinggalkan.
DeletePercayakan Quran ataupun Buku Hadith..? Simple..
ReplyDeleteBila sesuatu hadis itu myangah ayat Quran maka perlu Di kaji semula kesahihan nya.. Biasa nya hadis bersandar akhirnya jatuh pada Abu hurairah adalah genuine.. Ingin Di ingatkan Buruan yang mgigit setakat sebut nama Allah sudah suci... Tidak perlu 7 x basuh dgn sekali tanah..
ReplyDeleteperistiwa debat ni berlaku dlm tahun 1935 selepas kematian anak mufti hj wan musa hj nik abdullah
ReplyDelete