Dalam article yang dikeluarkan oleh JAKIM tentang hukum menyentuh
anjing, dinyatakan haram. Dalam article itu, dinyatakan seperti berikut;
Menyentung anjing atau babi tanpa sebarang sebab mendesak adalah
haram. Perbuatan itu dinamakan sebagai “al-Tadhammukh bi al-Najasah” dan
dinyatakan sebagai sesuatu yang dilarang (iaitu haram) jika dilakukan tanpa
keperluan seperti menyelamatkan anjing perburuan dan kebakaran. Imam al-Ramli
menyatakan;
التَّضَمُّخِ بِالنَّجَاسَةِ وَهُوَ
حَرَامٌ
Maksudnya; “Meletakkan
(atau menyentuh) najis pada anggota badan adalah ianya haram”
Kritikan saya:
Pertama : Sesuatu kaedah fiqh, ia terhasil dari kajian
istiqra’; Sama ada secara Tam atau naqis. Namun, kebiasaannya Kaedah Fiqh itu
terhasil dari Istiqra’ Naqis. Kesannya, keputusan yang disandarkan kepada
kaedah fiqh selalunya bersifat kebiasaan atau ghalib sahaja.
Kedua : Perkataan Imam al-Ramli ini, bukan kaedah fiqh,
tetapi ia satu pernyataan al-Imam al-Ramli dalam membahaskan tentang perkara
yang boleh semestinya membawa kepada haram. Adapun perkara yang tidak membawa
kepada sesuatu yang semestinya haram, maka ia tidak termasuk dalam maksud “al-Tadhammukh
bi al-Najasah” yang dihukumkan haram oleh article JAKIM ini.
Ekoran itu, apabila kita lihat balik perbahasan al-Imam
al-Ramli dari kitab Niayah al-Muhtaj, kita akan dapati perbahasan ini dalam hal
air, bukan dalam perbahasan anjing. Di sini amat jelas, article JAKIM ini
menukilkan kenyataan al-Imam al-Ramli pada konteks yang salah.
Al-Imam al-Ramli menyatakan;
وَيُعْلَمُ مِنْهُ أَنَّ مَنْ لَمْ يَنَمْ
وَاحْتُمِلَ نَجَاسَةُ يَدِهِ فَهُوَ فِي مَعْنَى النَّائِمِ وَهُوَ مَأْخُوذٌ
مِنْ كَلَامِهِ، وَعُلِمَ مِمَّا تَقَرَّرَ أَنَّهُ لَوْ تَيَقَّنَ نَجَاسَةَ
يَدِهِ كَانَ الْحُكْمُ بِخِلَافِ ذَلِكَ فَيَكُونُ حَرَامًا، وَإِنْ قُلْنَا
بِكَرَاهَةِ تَنَجُّسِ الْمَاءِ الْقَلِيلِ لِمَا فِيهِ هُنَا مِنْ التَّضَمُّخِ بِالنَّجَاسَةِ
وَهُوَ حَرَامٌ
Maksudnya; “diketahui
daripadanya, sesungguhnya barangsiapa yang tidak tidur dan dia hanya
menyangkakan bahawa najis itu ada pada tangannya, maka ia sama sepertimana
makna orang yang tidur juga, iaitu diambil kira pada perkataannya. Dan diketahui
daripada apa yang ditetapkan ini, sesungguhnya jika dia yakin najis itu ada
pada tangannya, maka hukum itu, menyalahi dengan demikian itu (hukum itu tidak
dikira seperti orang tidur), maka hukumnya dikira sebagai haram, walaupun kami katakan
makruh najis air yang sedikit, kerana padannya ada maksud “meletakkan dengan
najis, maka ia adalah haram”” (Shams al-Din Muhammad bin Abi al-Abbas Ahmad
bin Hamzab Shihab al-Din al-Ramli (meninggal 1004 H), Nihayah al-Muhtaj Ila
Syarh al-Minhaj, jld 1, hlmn 185, Dar al-Fikr, Beirut : tarikh : 1984 H)
Dari perbincangan
ini, amat jelas bahawa perbincangan tentang perkataan Imam al-Ramli adalah
tentang air najis, bukan anjing. Asal perbincangannya adalah merujuk kepada
satu hadis bahawa Nabi saw ada menyatakan;
إذَا اسْتَيْقَظَ أَحَدُكُمْ مِنْ نَوْمِهِ
فَلَا يَغْمِسْ يَدَهُ فِي الْإِنَاءِ حَتَّى يَغْسِلَهَا ثَلَاثًا، فَإِنَّهُ لَا
يَدْرِي أَيْنَ بَاتَتْ يَدُه
Maksudnya;
“apabila seseorang kamu itu bangun dari tidurnya, maka jangan dia celup
tangannya dalam bekas (air) hingga dia basuhnya sebanyak tiga kali basuh,
kerana dia tidak tahu, kemana tangannya pergi (semasa tidur)”
Dari hadis ini, al-Imam
al-Ramli membahaskan bahawa bagi orang yang bangun tidur bahawa dia berwudu’
dengan tidak mencelupkan kedua tangannya ke dalam bekas air yang mahu dibuat
berwudu’ terlebih dahulu, kerana semasa dia tidur, kemungkinan dia ada memegang
najis. Tindakan itu boleh menjadikan air itu bernajis. Apabila air itu
bernajis, ia akan menjadikan terbantut untuk berwudu’, sedangkan berwudu adalah
satu perkara yang wajib, kerana ia syarat bagi sah solat yang wajib.
Namun begitu, al-Imam
al-Ramli mengandaikan bahawa jika diragui atau sangsi, apakah tangannya itu bernajis
atau tidak, maka tindakan dia mencelup tangan ke dalam air tersebut dikira
sebagai makruh.
Makanya, dinyatakan oleh
al-Imam al-Ramli, bahawa seseorang itu yakin bahawa tangannya memang bernajis,
maka haram dia mencelupkan tangannya yang bernajis itu ke dalam air tersebut. Ini
kerana, berpegang dengan maksud “meletakkan sesuatu dengan najis, ia adalah
haram”. Keharaman itu, bukan kerana menyentuh najis, tetapi kerana kenajisan
air itu akan mengakibatkan air itu tidak boleh dibuat berwudu’, dan seterusnya
tidak boleh untuk menunaikan kewajipan solat secara sempurna.
Jelas di sini,
menggunakan perkataan al-Imam al-Ramli ini untuk menyatakan bahawa menyentuh
anjing adalah haram adalah satu dakwaan yang tidak tepat. Tidak tepat itu pada
dua keadaan, iaitu; 1- Perkataan Imam al-Ramli itu diletakkan pada sesuatu yang
jelas haram, iaitu air akan menjadi najis dan seterusnya air najis itu akan
menjadikan terbantut untuk berwudu’. Apabila terbantut untuk berwudu’, sudah
pasti tidak dapat menunaikan solat dengan sempurna. 2- perkataan Imam al-Ramli
itu bukan berkaitan dengan anjing pun.
Malahan, jika dilihat pada penggunaan 'Al-Tadhammukh bi al-Najasah" di tempat-tempat lain, semuanya tidak dilihat menyatakan pengharaman sentuh najis secara langsung, sebaliknya ia secara tidak langsung, seperti ada berkaitan dengan tayammum tidak sah, percampuran susu binatang (1/84), air yang ada kaitan dengan air kecing (1/139), najis dengan solat (1/141), darah haid dengan solat (2/16) dan sebagainya.
Ini sudah pasti
menyanggahi manhaj istinbat yang meletakkan asas bahawa sesuatu itu tidak boleh
dikatakan haram, kecuali ada nas yang saheh dan sareh.
Wallahu ‘alam.
No comments:
Post a Comment