Dalam Islam, nafkah itu dilihat kepada dua sudut, iaitu yang wajib dan yang sunat. Nafkah yang wajib adalah seperti menunaikan zakat dan memberi makan, minum dan pakaian kepada orang dibawah tanggungan kita.
(penambahan : Ekoran itu, tidak boleh memberi zakat kepada ibu bapa yang miskin, kerana ibu dan bapa dibawah tanggungan kita. Namun, dibolehkan memberi zakat kepada adik beradik kita yang miskin, kerana adik beradik kita tidak dibawah tanggungan kita)
Nafkah yang sunat pula adalah membelanjakan harta di jalan Allah, waima ia tidak cukup syarat yang mewajibkan zakat seperti haul dan nisab.
Orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah, akan diberi ganjaran besar oleh Allah. Ganjaran itu, sama ada di dunia, mahupun di akhirat. Perkara ini pernah dinyatakan oleh Allah dengan kataNya, "Barangsiapa yang memberi pinjam kepada Allah dengan pinjaman yang baik, pasti Allah akan berikan gandaan kepadanya dengan gandaan yang banyak" (Surah al-Baqarah, ayat 245)
Diceritakan bahawa pada zaman Nabi ada seorang sahabat bernama Abu al-Dihdah. Beliau seorang lelaki kaya, sehingga punyai dua kebun. Satu hari, beliau telah bertanya kepada nabi, apakah dia akan mendapat kebunnya di akhirat kelak jika salah satu kebunnya di dunia ini dinafkahkan di jalan Allah. Dijawab nabi bahawa beliau akan mendapatkannya. Begitujuga, beliau akan dapat anak dan isterinya, jika beliau nafkah di jalan Allah.
Mendengar penjelasan nabi itu, menyebabkan beliau telah memegang tangan nabi dan membawa baginda ke kebunnya lalu di serah kepada baginda untuk kegunaan perang dan sebagainya. Ekoran kejadian itu, maka turun ayat 245 dari surah al-baqarah ini.
Nafkah itu pula, hendaklah dari harta yang halal. Firman Allah, "barangsiapa yang dibataskan hartanya, maka nafkahkan berdasarkan apa yang telah Allah berikan kepadanya" (Surah al-Talak, ayat 7)
Ekoran itu, tidak ada istilah robin hood dalam Islam, iaitu dalam maksud bahawa dirompak harta orang kaya, lalu diberikan kepada orang miskin. Memang kelihatan tindakan itu mulia, ekoran kesediaan membantu orang miskin, namun dengan cara rompakan, ia bukan cara yang sebenar.
Wallahu alam.
2 okt 2013 | 6:44 pagi | Sabah
No comments:
Post a Comment