Allah swt itu adalah tuhan yang maha baik dan maha adil. Dengan kebaikan dan keadilanNya, disuruhnya manusia melakukan kebaikan. Malahan, dengan kebaikanNya, Dia melarang manusia melakukan kezaliman. Melakukan kezaliman juga, pasti pelaku itu akan dicerca dan diberikan tawaran neraka yang maha dahsyat.
firman Allah yang bermaksud, "jangan kamu cenderung kepada orang yang melakukan kezaliman, nanti kamu akan disambar oleh Neraka" (Surah hud, ayat 113 )
Dengan keadilan Tuhan itu, Dia tidak akan bebankan dosa seseorang terhadap seseorang yang lain. Ekoran itu, Islam tidak pernah mengajar apa yang dinamakan sebagai dosa warisan. Kesalahan yang dilakukan oleh seorang itu ditanggungnya sendiri. Kesalahan anak, ditanggung oleh anak itu sendiri. Ibu dan bapa, tidak terkena pun azab ekoran kesalahan anak. Begitujuga isteri yang melakukan kesalahan dan maksiat. Isteri itu tanggung dosanya sendiri, tanpa suami menanggung dosa isterinya.
Firman Allah yang bermaksud, "tidak membebankan bebanan dosa seseorang terhadap bebanan orang lain" (surah al-an'am, ayat 164)
Namun begitu, setiap manusia itu punyai tanggungjawab mencegah yang mungkar. Kemungkaran yang dilakukan oleh seseorang manusia, sama ada anak atau isteri, menjadi tanggungjawab ibu bapa atau suami bahawa mencegahnya. Cara mencegah itu, terpulang dengan apa cara sekalipun. Memanfaatkan kepandaian semaksima mungkin agar kemungkaran itu berjaya dihentikan.
Jika usaha cegahan sudah dilakukan, seperti memberi nasihat, lalu si pelaku kemungkaran tetap dengan tindakannya, maka itu adalah kesalahan pada pihak pelaku, sedangkan pihak pencegah tidak lagi dikira sebagai berdosa di hadapan Allah ekoran tugasan cegah mungkar itu telah dilakukan.
Wallahu alam
10 nov 2013 | 6:40 petang | Kota Kemuning.
No comments:
Post a Comment