Tuesday 12 November 2013

PUASA 10 MUHARRAM


Amalan puasa 10 muharam adalah amalan yang telah diamalkan oleh orang yahudi dan orang arab Quraish sebelum Nabi Muhammad Saw dilantik menjadi Nabi lagi. Dalam riwayat Imam Bukhari, dinyatakan bahawa sebelum Baginda saw dilantik menjadi Nabi, baginda juga turut berpuasa pada sepuluh Muharam. Lalu apabila berhijrah ke Madinah, Baginda diwahyukan Tuhan agar berpuasa Ramadan. Kemudian dwri itu, baginda saw tidak melakukannya sebagai kemestian, sebaliknya Baginda saw ada menyatakan, sesiapa yang mahu berpuasa, dipersilakan, dan jika tidak mahu berpuasa, maka tidak perlu lakukannya. (Bukhari, 2001: Muslim, 1125)

Dalam hadis-hadis saheh, terdapat banyak sabda Nabi yang menyatakan kelebihan puasa pada 10 muharam ini. Antaranya seperti hadis bahawa Nabi saw berharap agar Allah akan kifaratkan dosa selama setahun kepada orang yang berpuasa 10 muharam. (Muslim, 1182, Abu Daud, 2415:  tarmizi, 749)

Imam Nawawi ada mengomentari hadis ini dengan menyatakan dosa yang dikifaratkan itu adalah dosa kecil, bukan dosa besar. Perkara yang sama diperjelaskan oleh Imam Ibn Taimiah. (Majmuk, jld 6, hlmn 382, al-Fatawa al-Kubra, jld 4, hlmn 428)

Alasan mereka adalah merujuk kepada satu hadis bahawa baginda ada bersabda yang bermaksud, "solat lima waktu,  jumaat kepada jumaat, ramadan kepada ramadan dapat kifaratkan dosa di antara celah-celah keduanya kecuali bagi pelaku dosa besar" (HR Muslim)

Dalam hadis, diceritakan juga bahawa Nabi saw masuk ke Madinah, Nabi dapati bahawa orang Yahudi berpuasa pada 10 muharam (asyura), lalu baginda bertanya, "apakah yang kamu lakukan ini?"

Mereka menjawab, "ini adalah hari yang mulia kerana Allah menyelamatkan musa dan Bani Israel dari musuh pada hari ini, maka kami berpuasa padanya".

Mendengar itu, Baginda saw berkata, "aku lebih berhak terhadap Musa berbanding kamu"

kemudiannya, Nabi berpuasa pada 10 muharam, dan menyuruh umat Islam berpuasa sama. (Bukhari, 2004: muslim, 1130)

Ketika Baginda berpuasa pada 10 muharam, ada sebilangan sahabat bertanya, "wahai Rasulullah, sesungguhnya ia adalah puasa yang dimuliakan oleh Yahudi dan Nasrani?"

Ekoran itu, Nabi pun menyuruh berpuasa pada hari kesembilan (Tasu'a) untuk ditunaikan pada tahun depan, tetapi tidak sempat sampai tahun itu, Nabi saw wafat. (Muslim, 1134: Abu Daud, 2445)

Dikukuhkan lagi dalam beberapa riwayat bahawa Nabi ada menyatakan dalam hadis yang lain, seperti sabda Nabi yang bermaksud, "berpuasalah kamu pada hari asyura (10 muharam) dan berbedalah kamu dengan Yahudi, maka hendaklah kamu berpuasa sehari sebelumnya atau sehari selepasnya" (Ahmad, 1/241: aibn Khuzaimah, 2095: al-Baihaqi, 4/287)

ibn Rajab Hanbali mengomentari perkara ini dengan mendatangkan pesanan Ibn Abbas yang berkata, "berpuasalah pada hari ke sembilan (tasu'a) dan hari ke sepuluh dan berbedalah kamu dengan yahudi" (al-Lataif, hlmn 108)

imam syafie pula mengomentari dengan beliau menyatakan digalakkan berpuasa tiga hari, iaitu hari 9, 10 dan hari 11. Komentar mazhab Hanafi pula, makruh berpuasa pada 10 muharam sahaja, tanpa digabungkan dengan hari sebelum atau selepasnya.

Wallahu alam

13 nov 2013 | 5:20 pagi | Sungai Buloh.

No comments:

Post a Comment