Sunday, 18 March 2018

TOLAK KEGANASAN : MAKNA "UMAT" DALAM KUPASAN DR SAID RAMADHAN AL BUTHI


MAKNA "UMAT" DALAM KUPASAN DR SAID RAMADHAN AL BUTHI

Kita selalu menuduh sesama orang Islam sebagai sesat dan masuk neraka, dengan merujuk kepada suatu hadis bahawa Nabi ada berkata, umat baginda bakal berpecah kepada 73 puak. Malahan, al-Buti menyatakan bahawa penafsiran terhadap hadis ini antara yang membawa kepada amalan kafir mengkafirkan sesama muslim.

Hadis itu diriwayatkan dalam banyak kitab-kitab hadis. Antaranya di dalam Sunan Ibnu Majah, daripada Auf bin Malik berkata bahawa Nabi SAW ada bersabda;

افترقتُ اليهود على إحدى وسبعينَ فرقةً، فواحدةٌ في الجنَّة وسبعون في النار، وافترقت النَّصارى على ثنتين وسبعين فرقةً، فإحدى وسبعون في النار، وواحدة في الجنة، والذي نفس محمد بيده؛ لتفترقنَّ أُمَّتي على ثلاث وسبعين فرقةً، واحدةٌ في الجنة، وثنتان وسبعون في النار". قيل: يا رسول الله! مَن هُم؟ قال: "الجماعة

"Berpecah Yahudi kepada 71 puak. Satu di dalam syurga dan 70 lagi di dalam neraka. Orang nasrani berpecah kepada 72 puak. 71 dalam kalangan mereka masuk ke neraka, dan satu sahaja masuk ke dalam syurga. Demi nyawa Muhammad di tangan Tuhan, umatku bakal berpecah kepada 73 puak. Satu sahaja berada di dalam syurga, sedangkan 72 puak yang berbaki di dalam neraka. Ada bertanya kepada Nabi, "Wahai Rasulullah, siapa mereka itu?". Jawab Nabi, "jamaah".

Dalam komentar Dr Said Ramadhan al buthi, pemahaman yang menyatakan bahawa 72 puak ke dalam neraka itu dengan merujuk kepada perpecahan dalam kalangan umat Islam, seperti kewujudan Ahli Sunnah Wal Jamaah, syiah, Khawarij, Muktazilah dan sebagainya, adalah pemahaman yang silap.

Hujah Dr Said Ramadhan al buthi dengan merujuk kepada Matan hadis, yang menggunakan perkataan "ummati", iaitu umat aku.
Ini kerana, apabila disebut umat Nabi Muhammad, ia tidak terbatas kepada penganut agama Islam sahaja, bahkan semua manusia yang berada di dunia bermula dari zaman Nabi dilantik menjadi Nabi sehingga kiamat adalah umat Nabi Muhammad.

Perkara ini merujuk kepada satu hadis riwayat al-Bukhari, daripada Jabir bin Abdullah berkata bahawa Nabi ada bersabda;

وَكَانَ النَّبِيُّ يُبْعَثُ إِلَى قَوْمِهِ خَاصَّةً وبعثت إلى الناس كافة

"Para Nabi dahulu dibangkitkan kepada kaum mereka sahaja, sedangkan aku dibangkitkan untuk semua manusia"

Lebih-lebih lagi di dalam riwayat Imam Muslim, terdapat satu hadis bahawa Nabi menyatakan orang Yahudi dan orang Nasrani juga adalah umat Nabi Muhammad.

Imam Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Nabi berkata;

وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لاَ يَسْمَعُ بِي أَحَدٌ مِنْ هذِهِ الأُمَّةِ يَهُودِيٌّ وَلاَ نَصْرَانِيٌّ، ثُمَّ يَمُوتُ وَلَمْ يُؤْمِنْ بِالَّذِي أُرْسِلْتُ بِهِ، إِلاَّ كَانَ مِنْ أَصْحَابِ النَّارِ

"Demi nyawa Muhammad di tangan Tuhan, tidak mendengar seorang pun berkenaanku dari di kalangan UMAT INI, sama ada dia YAHUDI dan NASRANI, kemudian dia mati tanpa beriman dengan apa yang Aku utuskan, kecuali dia dari kalangan ahli neraka"

Justeru, Dr Sa’id Ramadhan al buthi menyimpulkan bahawa yang berpecah dalam kalangan umat Nabi kepada 73 puak, bukan merujuk perpecahan dalam kalangan orang Islam sahaja, tetapi termasuk juga dalam kalangan orang bukan Islam. Ini kerana orang bukan Islam juga dikira sebagai umat Nabi Muhammad.

Makanya, golongan yang masuk ke dalam syurga yang dimaksudkan di dalam hadis adalah merujuk kepada orang yang mengakui Allah sebagai Tuhan; tidak kira ia dari apa aliran sekalipun, apa anutan mazhab sekalipun.

Dalilnya adalah Hadis Sahih Riwayat al-Bukhari, daripada Anas bin Malik berkata bahawa Nabi bersabda;

يخرج من النار من قال لا إله إلا الله وفي قلبه وزن شعيرة من خير

"Dikeluarkan dari neraka mereka yang berkata La ilaha illallah (tiada tuhan kecuali Allah) dalam keadaan hatinya mempunyai seberat debu gandum dari kebaikan"

Wallahu A'lam.

Rujukan : https://www.youtube.com/watch?v=xq7a3da754Q&t=3s



No comments:

Post a Comment