Thursday, 19 October 2017

HUKUM MAIN CHESS

Oleh;
Wan Ji bin Wan Hussin
(Ahli Jawatankuasa BiPPA Parti keadilan Rakyat)

Ulama-ulama dalam kalangan muslim menyatakan hukum main chess adalah seperti berikut;

Pertama;
Dalam kitab al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, Al-Qaradawi menyatakan harus bermain Chess dengan syarat tidak melengahkan solat, tidak terjebak kepada judi dan tidak melahirkan permusuhan. (al-Qaradawi, al-Halal wa al-Haram Fi al-Islam, hlmn 288)

Dalam kitab Ihya’ Ulum al-Din, Al-Imam al-Ghazali berpendapat bahawa main chess adalah dibenarkan, tetapi lebih digalakkan tidak main atas alasan makruh. (al-Ghazali, Ihya’ Ulum al-Din, jld 2, hlmn 283)

Kedua:
Ibn Taimiyyah (al-Fatawa al-Kubra, jld 2, hlmn 11), al-Nawawi (Raudah al-Talibin, jld 8, hlmn 204) dan al-Qurtubi (tafsir al-Qurtubi, jld 6, hlmn 291)  menyatakan hukumnya adalah haram.

HUJAH

Pendapat kedua menyatakan haram, kerana mereka merujuk kepada amalan itu boleh membawa kepada judi yang diharamkan. Pendapat pertama menjawab bahawa larangan haram yang dimaksudkan itu jika boleh membawa kepada judi. Justeru, apabila tidak membawa kepada judi, maka ia tidak haram. Makanya, kembali kepada hukum asal, iaitu harus.

Pendapat kedua juga berhujah bahawa larangan haram itu kerana amalan tersebut boleh membawa kepada permusuhan. Pendapat pertama menjawab, justeru tidak haram jika tidak membawa kepada permusuhan. Terutama, permainan itu boleh membawa kepada ketajaman akal.

Juga pendapat kedua berhujah bahawa terdapat hadis bahawa Nabi saw ada menyatakan bahawa setiap perkara yang melalaikan seseorang lelaki muslim, maka ia batil, kecuali memanah, mendidik kuda dan bergurau senda dengan ahli keluarga. (Tarmizi, بَابُ مَا جَاءَ فِي فَضْلِ الرَّمْيِ فِي سَبِيلِ اللَّهِ, hadis no : 1637)
كُلُّ مَا يَلْهُو بِهِ الرَّجُلُ الْمُسْلِمُ بَاطِلٌ، إِلاَّ رَمْيَهُ بِقَوْسِهِ، وَتَأْدِيبَهُ فَرَسَهُ، وَمُلاَعَبَتَهُ أَهْلَهُ، فَإِنَّهُنَّ مِنَ الحَقِّ

Dengan hadis ini, pendapat kedua menyatakan haram. Dijawab oleh pendapat kedua bahawa, kalimah “batil” dalam hadis, para ulama hadis tidak memaksudkan sebagai haram, tetapi memaksudkan sebagai amalan yang tidak ada manfaat dan faedah. (al-Syaukani, Nail al-Awtar, jld 8, hlmn 118)
«كُلُّ لَهْوٍ يَلْهُو بِهِ الْمُؤْمِنُ فَهُوَ بَاطِلٌ إلَّا ثَلَاثَةٌ: مُلَاعَبَةُ الرَّجُلِ أَهْلَهُ، وَتَأْدِيبُهُ فَرَسَهُ، وَرَمْيُهُ عَنْ قَوْسِهِ» قَالَ الْغَزَالِيُّ: قُلْنَا قَوْلَهُ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - " فَهُوَ بَاطِلٌ " لَا يَدُلُّ عَلَى التَّحْرِيمِ، بَلْ يَدُلُّ عَلَى عَدَمِ فَائِدَةٍ انْتَهَى

KESIMPULAN

Dari perbahasan ringkas ini, disimpulkan adalah seperti berikut;

Pandangan yang mengatakan haram main chess yang dibahas oleh ulama dan hujah mereka bersandarkan kepada kaedah Sad al-Zaraie, iaitu menutup pintu haram. Justeru, selama tidak ada elemen yang haram, seperti permusuhan, judi dan lalai dari melaksanakan kewajipan agama, maka hukumnya adalah harus. Justeru, saya secara peribadi cenderung menyokong pandangan al-Imam al-Ghazali dan al-Qaradawi.

Wallahu ‘Alam.

#IslamPenang


2 comments: