Monday, 27 October 2014

KENAPA SUNNI TOLAK WILAYAH FAQEH?


oleh : Wan Ji bin Wan Hussin


.      IMAM MAKSUM DAN AHL AL-BAIT

Dalam tradisi pengamal al-Quran dan al-Hadis, perbincangan tentang aliran syiah – sunni adalah perbincangan yang tidak pernah selesai sejak dahulu sehingga sekarang. Di mana sahaja dan di setiap ketika, tajuk ini akan bergema. Cuma, perbincangan ini, ada kalanya dibincang secara ilmiah, dan ada kalanya dibincang secara emosi. Perbincangan secara ilmiah, menghasilkan natijah damai dan toleransi, tetapi di kalangan pengangkat bendera emosi, perbincangan ini membawa kepada permusuhan, seterusnya kadangkala membawa kepada pertumpahan darah.

Walaubagaimana pun, jika dilihat kepada pertembungan antara dua aliran pemikiran ini; antara perkara dasar adalah berkaitan dengan konsep imamah. Ini kerana, dalam syiah, imamah adalah perkara amat besar dan mendasar, sedangkan imamah ini bukan satu perkara dasar dalam Sunni.

Dalam syiah, imamah itu semestinya berasal dari ahl al-Bait. Ini kerana, mereka merujuk kepada asal mausul kepada kandungan janji  Nabi Ibrahim AS dengan Allah bahawa keturunan Nabi Ibrahim akan dilantik sebagai pemimpin atau imam.

Firman Allah;

وَإِذِ ابْتَلَى إِبْرَاهِيمَ رَبُّهُ بِكَلِمَاتٍ فَأَتَمَّهُنَّ قَالَ إِنِّي جَاعِلُكَ لِلنَّاسِ إِمَامًا قَالَ وَمِنْ ذُرِّيَّتِي قَالَ لَا يَنَالُ عَهْدِي الظَّالِمِينَ

Maksudnya; Dan (ingatlah), ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa Kalimah (suruhan dan larangan), maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya. (Setelah itu) Allah berfirman: "Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi Imam (Pemimpin ikutan) bagi umat manusia". Nabi Ibrahim pun memohon dengan berkata: "(Ya Tuhanku!) Jadikanlah juga (apalah jua kiranya) dari keturunanku (pemimpin-pemimpin ikutan)". Allah berfirman: "(Permohonanmu diterima, tetapi) janjiKu ini tidak akan didapati oleh orang-orang yang zalim."   “(Surah al-Baqarah, ayat 124)

Dalam doa Nabi Ibrahim AS ini, didapati janji Allah SWT terhadap Nabi Ibrahim bahawa konsep imam itu semestinya berasal dari keturunan Nabi Ibrahim AS. Keturunan Nabi Ibrahim itu, sekali-kali bukan dari kalangan orang yang zalim.

Pada Sunni, keturunan Nabi Ibrahim yang dipamerkan oleh Allah SWT menerusi ayat ini merujuk kepada Nabi akhir zaman, iaitu Nabi Muhammad saw. Namun, pada syiah, imam dari keturunan Nabi Ibrahim itu berlanjutan sehingga kiamat. Dengan maksud yang lain, ia tidak terbatas kepada Nabi Muhammad saw, malahan terus berlanjutan sehingga akhir zaman. Kalangan keturunan selepas Nabi Muhammad saw itu, dikenali sebagai Ahl al-Bait.

Makanya, pihak syiah, mereka meletakkan bahawa ahl al-Bait itu bermuarakan dari silsilah Fatimah, iaitu dari suaminya yang bernama Saidina Ali. Ahli al-Bait dari susur galur Saidina Ali itu pula, dianggap sebagai maksum, kerana merujuk kepada satu Hadis, riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak;

قَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ: وَكَانَ عَلِيٌّ أَوَّلَ مَنْ آمَنَ مِنَ النَّاسِ بَعْدَ خَدِيجَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا، قَالَ: وَأَخَذَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثَوْبَهُ فَوَضَعَهُ عَلَى عَلِيٍّ وَفَاطِمَةَ وَحَسَنٍ وَحُسَيْنٍ وَقَالَ: " {إِنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ لِيُذْهِبَ عَنْكُمُ الرِّجْسَ أَهْلَ الْبَيْتِ وَيُطَهِّرَكُمْ تَطْهِيرًا} [الأحزاب: 33]

Maksudnya;  “Berkata Ibn Abbas, Ali adalah orang yang mula-mula sekali beriman dari kalangan manudia selepas Khadijah. Berkata Ibn Abbas lagi, Rasulullah saw mengambil pakaiannya, lalu meletakkannya pada Ali, Fatimah, Hasan dan Husian dan membaca (firman Allah), Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan diri kamu - wahai "AhlulBait" dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari segala perkara yang keji). (surah al-Ahzab, ayat 33)

Dalam sambungan hadis lagi;

وَخَرَجَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي غَزْوَةِ تَبُوكَ وَخَرَجَ بِالنَّاسِ مَعَهُ، قَالَ: فَقَالَ لَهُ عَلِيٌّ: أَخْرَجُ مَعَكَ؟ قَالَ: فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ «لَا» . فَبَكَى عَلِيٌّ فَقَالَ لَهُ: «أَمَا تَرْضَى أَنْ تَكُونَ مِنِّي بِمَنْزِلَةِ هَارُونَ مِنْ مُوسَى إِلَّا أَنَّهُ لَيْسَ بَعْدِي نَبِيٌّ، إِنَّهُ لَا يَنْبَغِي أَنْ أَذْهَبَ إِلَّا وَأَنْتَ خَلِيفَتِي» ، قَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ: وَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «أَنْتَ وَلِيُّ كُلِّ مُؤْمِنٍ بَعْدِي وَمُؤْمِنَةٍ»
Maksudnya ; “Rasulullah saw keluar dalam peperangan tabuk dan Baginda disertai ramai manusia. Ali berkata kepada Baginda, “Apakah aku keluar bersama dengan kamu?”

Berkata Nabi saw; “Tidak”.

Lalu, Ali menangis, seterusnya baginda saw berkata, “Apakah kamu redha bahawa kamj dari kalanganku setahap (Nabi) Harun jika dinisbahkan kepada (Nabi) Musa. Cuma, selepasku tidak ada nabi lagi. Tidak sewajarnya aku pergi kecuali kamu adalah pengganti aku”

Berkata Rasulullah saw lagi, “Kamu (wahai Ali) adalah wali bagi setiap orang mukmin selepasku, begitujuga mukminah[1]

IMAM MAKSUM

Dalam al-Quran, ada dinyatakan secara khusus tentang ahl al-Bait. Perkara ini berdasarkan kepada firman Allah;

إِنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ لِيُذْهِبَ عَنْكُمُ الرِّجْسَ أَهْلَ الْبَيْتِ وَيُطَهِّرَكُمْ تَطْهِيرًا

Maksudnya;  Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan diri kamu - wahai "AhlulBait" dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari segala perkara yang keji).  (Surah al-Ahzab, ayat 33)

Pada sunni, ayat ini merujuk kepada para isteri Nabi Muhammad saw. Ini kerana, ia merujuk kepada ayat sebelumnya. Iaitu firman Allah;

يَا نِسَاءَ النَّبِيِّ لَسْتُنَّ كَأَحَدٍ مِنَ النِّسَاءِ إِنِ اتَّقَيْتُنَّ فَلَا تَخْضَعْنَ بِالْقَوْلِ فَيَطْمَعَ الَّذِي فِي قَلْبِهِ مَرَضٌ وَقُلْنَ قَوْلًا مَعْرُوفًا (32) وَقَرْنَ فِي بُيُوتِكُنَّ وَلَا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ الْأُولَى وَأَقِمْنَ الصَّلَاةَ وَآتِينَ الزَّكَاةَ وَأَطِعْنَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ إِنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ لِيُذْهِبَ عَنْكُمُ الرِّجْسَ أَهْلَ الْبَيْتِ وَيُطَهِّرَكُمْ تَطْهِيرًا

Maksudnya; Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertaqwa. Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).  * Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat; dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya. Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan diri kamu - wahai "AhlulBait" dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari segala perkara yang keji)” (Surah al-Ahzab, ayat 32-33)

Namun, pada syiah, perkataan ahl al-Bait itu merujuk kepada ahli keluarga Nabi saw dari susur galur Saidina Ali berdasarkan kepada hadis riwayat al-Hakim menerusi al-Mustadrak yang dinukilkan di atas. Pada ayat ini, kelihatan Allah swt menyucikan ahl al-Bait, makanya dengan alasan itu timbulnya konsep imam maksum dalam syiah.

Perbincangan tentang kemaksuman imam dalam tradisi syiah dipamerkan tidak sama dengan konsep kemaksuman para Nabi dan Rasul. Kemaksuman Nabi bermuarakan kepada penjagaan tuhan terhadap baginda saw melalui pengawalan Jibril AS. Namun, pada syiah, kemaksuman pada imam pula adalah perjalanan spiritual para imam sehingga mereka dilihat agak mustahil melakukan dosa. Konsep kemaksuman tersebut, disamping berdasarkan kepada firman Allah menerusi ayat 33 dari surah al-Ahzab, ia juga merujuk kepada firman Allah;

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ اللَّهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ وَإِذَا تُلِيَتْ عَلَيْهِمْ آيَاتُهُ زَادَتْهُمْ إِيمَانًا وَعَلَى رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ

Maksudnya; Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah. (Surah al-Anfal, ayat 2)

Pada logik syiah, jika disebutkan nama Allah swt pun, orang mukmin itu sudah gementar hati mereka dan bertambah iman mereka, menandakan keimanan tahap tinggi yang ada pada para imam itu menjadikan mereka agak mustahil melakukan maksiat. Jika disebut nama Allah pun sudah gementar, kemungkinan besar mereka akan pingsan jika mereka melakukan maksiat. Lebih-lebih lagi, para imam itu adalah kalangan yang bersilsilah dari keturunan nabi Muhammad saw yang dijamin kesucian oleh Allah swt (seperti dalam surah al-Ahzab, ayat 33).

Perkara ini tidak selaras dengan Sunni, kerana pada sunni, kemaksuman itu hanya tertumpu kepada para nabi saw, sedangkan selain itu, memungkinkan melakukan maksiat.

2.      WILAYAH FAQEH

Dari sudut sejarah, kita dapati bahawa kelahiran fahaman Syiah adalah kesan dari perselisihan politik. Kalangan syiah, menafsirkan konsep “wali” sebagai pemimpin. Kesan dari itu, mereka menafsirkan wali yang disandarkan kepada Saidina Ali seperti yang termaktub dalam hadis riwayat al-Hakim yang dipamerkan di atas memberi maksud, kelayakkan menjadi pemimpin itu diberikan kepada Saidina Ali dan keturunannya yang dikenali sebagai konsep imam maksum.

Tafsiran Wali pada sunni, tidak semestinya merujuk kepada pemimpin. Ini kerana, dalam pemahaman politik dalam sunni, sesebuah kerajaan itu sudah layak dikira sebagai kerajaan yang diiktiraf dalam islam, jika sesebuah kerajaan itu sudah capai hasrat kemaslahatan rakyat. Ini didasarkan kepada firman Allah yang menyatakan bahawa Allah swt tidak akan binasakan ahli sesebuah kerajaan yang tidak diperintah oleh orang islam, selama isi kerajaan itu terdiri dari kalangan pemerintah dan rakyat yang saling melakukan pembaik pulih dan islah.

Firman Allah;

وَمَا كَانَ رَبُّكَ لِيُهْلِكَ الْقُرَى بِظُلْمٍ وَأَهْلُهَا مُصْلِحُونَ


Maksudnya; Dan Tuhanmu tidak sekali-kali hendak membinasakan mana-mana negeri dengan sebab kezaliman (syirik) penduduknya, selagi mereka sentiasa memperbaiki keadaan sesama sendiri.  (Surah Hud, ayat 117)

Dalam menafsirkan ayat ini, Al-Imam Fakhr al-Din al-Razi menyatakan;

وَالْمَعْنَى أَنَّهُ تَعَالَى لَا يُهْلِكُ أَهْلَ الْقُرَى بِمُجَرَّدِ كَوْنِهِمْ مُشْرِكِينَ إِذَا كَانُوا مُصْلِحِينَ فِي الْمُعَامَلَاتِ فِيمَا بَيْنَهُمْ


Maksudnya; “Maknanya, sesungguhnya Allah SWT tidak akan membinasakan ahli kerajaan dengan semata-mata mereka adalah musyrikin, jika mereka saling melakukan islah (pembaik pulih) sesame mereka dalam urusan mereka[2]

Melihat konsep pemimpin kerajaan dalam Sunni tidak seketat Syiah, menjadikan tafsiran kalimah Wali dalam sunni tidak semestinya merujuk kepada pemimpin, malahan kadangkala ia boleh dimaksudkan sebagai ahli keluarga. Makanya dengan itu, tafsiran maksud Wali yang disandarkan kepada Saidina Ali menerusi hadis riwayat al-Mustadrak itu merujuk kepada ahli Keluarga Nabi saw, bukan merujuk kepada konsep al-Imam kepolitikan.

Apabila syiah melihat, konsep imam itu tertakluk kepada ahl al-Bait, sudah pasti mereka akan meletakkan keimanan pada kelahiran imam pada setiap kehidupan manusia sehingga kiamat. Namun, kejatuhan Shah Iran di era fenomena al-Khomaini, menjadikan satu kesukaran bagi syiah untuk membentuk negara, kerana ketika itu adalah era ketiadaan Imam Maksum yang dikenali sebagai al-Ghaibah al-Kubra. Ia menjadikan al-Khomaini melakukan satu pembaharuan bagi mengatasi perkara itu tanpa lari dari doktrin fahaman syiah dengan mencadangkan idea yang dinamakan sebagai konsep wilayah faqeh. Konsep wilayah faqeh adalah konsep kepimpinan ulama-ulama fiqh di kalangan ayatollah syiah sebagai pengganti kepada keghaiban Imam terakhir mereka. Konsep ini, sudah pasti ia tidak pernah wujud dalam sunni.

3.      IMPLIKASI WILAYAH FAQEH

Apabila disebutkan kelahiran Wilayah Faqeh, sudah pasti ia tidak pernah wujud sama sekali dalam fahaman sunni, tetapi ia wujud dan diterima oleh sebilangan penganut fahaman syiah. Apabila ia diterima dalam syiah, sudah pasti konsepnya amat dekat dengan doktrin syiah, dan amat jauh, malahan tidak ada kaitan langsung dengan fahaman dari aliran sunni.

Apabila konsep wilayah faqeh ini diterima, sudah pasti implikasi-implikasi yang lahir amat dekat dengan fahaman syiah, yang ia sudah pasti tidak wujud sama sekali dalam sunni. Antara doktrin-doktrin yang lahir dari konsep wilayah faqeh adalah seperti konsep wala’.

Dalam sunni, wala’ kepada pemimpin selain Allah dan Rasul tidak bersifat mutlak, sebaliknya ia terikat dengan konsep selama ia tidak bercanggah dengan al-Quran, al-hadis dan tidak mendatangkan kemudharatan kepada umat.

Perkara ini disandarkan kepada satu hadis saheh;

عَنْ عَلِيٍّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَعَثَ جَيْشًا وَأَمَّرَ عَلَيْهِمْ رَجُلًا، وَأَمَرَهُمْ أَنْ يَسْمَعُوا لَهُ وَيُطِيعُوا، فَأَجَّجَ نَارًا وَأَمَرَهُمْ أَنْ يَقْتَحِمُوا فِيهَا، فَأَبَى قَوْمٌ أَنْ يَدْخُلُوهَا وَقَالُوا: إِنَّمَا فَرَرْنَا مِنَ النَّارِ، وَأَرَادَ قَوْمٌ أَنْ يَدْخُلُوهَا، فَبَلَغَ ذَلِكَ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: «لَوْ دَخَلُوهَا أَوْ دَخَلُوا فِيهَا لَمْ يَزَالُوا فِيهَا». وَقَالَ: «لَا طَاعَةَ فِي مَعْصِيَةِ اللَّهِ إِنَّمَا الطَّاعَةُ فِي الْمَعْرُوفِ»

Maksudnya; Dari Ali R.A bahawa Rasulullah saw menghantar satu tentera dengan dilantik seorang lelaki sebagai ketua. Nabi saw menyuruh para tentera agar mendengar dan memberi ketaatan (wala’) kepada lelaki tersebut. Lelaki terbabit telah menyalakan api dan menyuruh tentera tadi agar masuk ke dalam api tersebut. Setengah dari kalangan mereka mengingkari dari masuk ke dalam api tersebut. Mereka berkata, kami (masuk Islam) lari dari Neraka. Setengah dari kalangan mereka yang lain pula berhasrat untuk masuk dalam api terbabit. Perkara itu sampai kepada Nabi Muhammad saw. Nabi saw berkata, jika mereka masuk ke dalam api tersebut, sudah pasti mereka sentiasa berada dalam api terbabit (masuk neraka). Nabi saw berkata lagi, Tiada ketaatan (wala’) dalam maksiat kepada Allah, tetapi ketaatan (wala’) dalam perkara ma’ruf[3]   

Hal ini berbeda dengan syiah yang melihat ketaatan kepada imam adalah satu perkara yang mesti, kerana pada fahaman mereka, imam itu ma’sum berdasarkan ayat 33 dari surah al-Ahzab. Ini sudah pasti menjadikan para imam tidak akan melakukan kesalahan dalam membuat keputusan.

Implikasi lain dari konsep wilayah faqeh adalah kekhilafan terhadap imam akan memberi kesan pada aqidah. Ekoran itu, dalam ajaran syiah kedengaran istilah kafir terhadap mereka yang tidak melantik Saidina Ali sebagai pemimpin selepas Nabi Muhammad saw. Kafir terhadap sahabat dalam fahaman syiah, bukan bermaksud kafir keluar agama. Ia seperti konsep kafir dalam sunni, ia bukan sekadar memberi maksud kufur yang menjadikan terkeluar dari agama, tetapi ada satu lagi adalah kafir yang memberi maksud kufur nikmat. Ia sepertimana Sabda Nabi saw;

العهد الذي بيننا وبينهم الصلاة، فمن تركها فقد كفر

Maksudnya; “Perjanjian antara kami dengan mereka adalah solat. Barangsiapa yang meninggalkannya (solat), maka dia telah kafir[4]

Jika dalam sunni, kufur itu ada dua jenis, iaitu kufur keluar agama dan satu lagi kufur nikmat, maka dalam syiah ditambah satu lagi, iaitu kufur wilayah. Konsep kufur wilayah, kebanyakkan dalam fahaman syiah tidak merujuk kepada kufur keluar agama, sebaliknya ia seperti kufur nikmat kecuali bagi kalangan syiah yang ekstreme.

Fikrah sebegini tidak wujud dalam sunni. Ekoran itu, dalam sunni melebelkan kalangan yang tidak wala’ kepada pemimpin dengan pelbagai lebel berwajah aqidah tidak wujud, seperti munafiq haraki, munafiq atau kafir itu tidak berlaku sama sekali. Keadaan ini berlaku dalam syiah, kerana konsep imam itu adalah perkara aqidah dalam syiah, sedangkan dalam sunni, ia bukan perkara aqidah.

Wallahu ‘alam.





[1] al-Mustadrak ‘Ala Sahihain li al-Hakim, hadis no : 4652
[2] Abu Abd Allah Muhammad bin Umar bin al-Hasan bin al-Husain al-Taimi, Fakr al-Din al-Razi (meninggal 606 H), Mafatih al-Ghaib – al-tafsir al-Kabir, jld 18, hlmn 410, Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, Beirut. Tarikh : 1420
ـ
[3] Sunan Abi Daud, Bab fi al-Taah, Hadis no : 2625
[4] Sunan al-Nasai, Bab Ma Ja’ fi man Taraka al-Solat, Hadis no : 1079.

No comments:

Post a Comment