Tuesday, 29 October 2013

TINGGALKAN AKAL?


Seruan agar kembali kepada al-Quran dan al-Sunnah disertai seruan  tinggalkan akal adalah seruan yang ganjil. Ini kerana, al-Quran itu sendiri menyuruh menggunakan akal untuk terus menjadi manusia yang beriman yang sebenar.

Dalam al- Quran, tidak ada larangan dari menggunakan akal, tetapi larangan yang wujud adalah mengikut hawa nafsu. Malahan, al-Quran itu sendiri menyatakan bahawa orang yang tidak menggunakan akal adalah ciri - ciri ahli neraka.

Firman Allah yang bermaksud, "berkata mereka (ahli neraka) kalau kami dengar dan kami guna akal, pasti kami bukan ahli neraka" (surah al-Mulk, ayat 10)

Dalam menilai sumber Islam yang agung, ia hanya menggunakan dua perkara, samada hawa nafsu atau akal. Jika tidak menilai menggunakan akal, maka penilaian itu akan salah. Ini kerana, menilai dengan selain dari akal, sudah pasti dinilai itu dengan hawa nafsu, sama ada sentimen, kecenderungan dan sebagainya.  Sedangkan dalam banyak ayat al-Quran bahawa Allah melarang mengikut kehendak hawa nafsu, kerana ia boleh membawa kepada kerosakan.

Akal bukan sumber hukum, tetapi akal sebagai salah satu alat untuk menilai sumber hukum.

Mutahhari pernah menyatakan dalam sebuah buku yang bertajuk epistemology. Dalam buku itu, beliau mengupas bahawa dalam kajian pengetahuan, alat yang diperlukan dalam mendapatkan pengetahuan ada 3 perkara penting, iaitu akal, indera dan rasa. Rasa yang dimaksudkan bukan rasa jasmani, seperti rada manis dilidah, rasa terguris kulit ekoran pancaran matahari atau kulit merasa tiupan angin, tetapi rasa yang dimaksudkan adalah rasa dari sudut kekuatan rohani, seperti perasaan bertuhan, kasih sayang, benci dan sebagainya.

Dalam maksud rasa rohani juga adalah, apa yang terhasil yang melibatkan gerakan hati. Ekoran itu, dalam perbincangan fiqh, tidak boleh lari dari perbincangan tentang zan, waham, syak dan yakin. Al-Syatibi menilai zan dan yakin sebagai penting. Makanya, beliau mencadangkan pendekatan istiqra maknawi juga berpaksikan kepada asas dua perkara ini.

Ekoran itu, untuk memahami wahyu, ia tidak cukup sekadar membaca teks, tetapi perlu juga kepada memahami konteks. Untuk fahami konteks, ia tidak boleh lepas dari penggunaan akal semaksima mungkin. Namun tidak cukup sekadar itu, perlu juga kepada konsep rasa untuk menilai wahyu agar ia hidup dan boleh menghidupkan hati-hati manusia.

Dilema akal dalam menilai wahyu adalah akal telah terpengaruh dengan hawa nafsu. Maksud dengan terpengaruh dengan hawa nafsu adalah rasional gagal mengawal emosi, makanya ia menjadi emosional.

Hakikat bagi manusia itu, mereka punyai emosi. Emosi adalah perkara fitrah, tetapi emosional membawa fitnah. Marah tidak salah, kerana ia adalah emosi. Yang salah adalah marah yang melampau sehingga rasional tidak boleh mengawal. Apabila emosi marah sudah melampau, ia sudah menjadi emosional.

Begitujuga emosi cinta. Ia tidak salah, malahan secara fitrahnya, perasaan cinta itu wujud, hatta sesama manusia. Yang salah adalah terlalu cinta yang sehingga gagal di kawal oleh rasional. Ia sudah menjadi emosional. Ekoran itu, apabila cinta melampau sehingga gagal dikawal rasional, kegagalan bercinta menyebabkan ia sanggup membunuh diri, jika cinta kesampaian, sanggup seseorang perempuan menyerah tubuhnya kepada lelaki yang dicintai walaupun luar dari kerangka perkahwinan dan sebagainya.

Faktor emosi yang gagal dikawal oleh akal itu menjadi emosional. Ia berasaskan kepada itu hawa nafsu.

Tugas akal adalah mengawal nafsu yang semestinya dengan petunjuk sumber ilmu, iaitu wahyu atau selain wahyu, seperti alam yang dilihat dengan mata, didengar dengan telinga dan dirasa dengan kulit dan lidah. Namun,  apabila nafsu mendominasi, akal pasti akan gagal mengawal. Makanya, jasad manusia akan bergerak ke arah kerosakan.

Akal yang gagal mengawal nafsu, malahan terikut-ikut dengan kehendak nafsu adalah maksud akal yang dikatakan tidak boleh diguna pakai. Bentuk akal sebegini yang dikritik oleh Ibn Taimiyyah seperti terdedah dalam buku beliau yang bertajuk dar' taarudh al-aql wa al-naql. Akal sebegini adalah akal yang tidak jujur. Akal sebegini membawa kepada kepentingan diri, bukan kepentingan orang ramai; membawa kerosakan, bukan kebaikan; permusuhan bukan kedamaian. Ia selaras dengan Firman Allah, "Sesungguhnya nafsu itu menyeru kepada kerosakan" (surah Yusuf, ayat 53)

Jelasnya, akal yang jujur tidak akan bercanggah dengan wahyu. Dalam istilah ibn sina adalah al-aql al-salim, iaitu akal sejahtera. Ia didefinisikan oleh Ibn sina sebagai fitrah. Yang bercanggah dengan wahyu bukan akal, tetapi hawa nafsu.

Wallahu alam

30 okt 2013 | 5:45 pagi

No comments:

Post a Comment