Monday, 28 October 2013

BERGOLAK TAPI TIDAK GADUH (6)


Setelah tinggal di Paisal Abad, aku kembali ke karachi balik.  Tidak lama kemudian, aku ke lahore seorang diri. Tinggal di lahore, aku punyai ramai rakan-rakan berbangsa arab. Rakan-rakan arab terdiri dari berbagai-bagai negara, tetapi yang paling ramai dari saudi dan yaman. Aku tinggal serumah dengan mereka.

Selepas itu, aku ziarah kasymir, sebuah tempat yang didakwa ramai sebagai syurga dunia. Aku tidak nafikan dakwaan itu, kerana ternyata sebilangan tempatnya cukup cantik dan penempatannya cukup menenangkan hati.

Di Kasymir, aku berkawan rapat dengan seorang lelaki arab berbangsa yaman. Abu Abbas namanya.
Secara peribadi, aku mengkagumi beliau kerana melihat beliau, baru aku memahami apa yang dimaksudkan dengan taqwa. Ketika beliau solat, beliau pasti akan menangis. Apabila terlihat gambar wanita di dada akhbar, pasti beliau akan berpaling ke arah lain sambil mulutnya tidak sunyi dari beristighfar kepada Allah.

Pernah satu malam, ketika aku sedang tidur, aku tersedar dalam pukul 3 pagi, aku terdengar esakan tangisan.  Apabila aku membuka mata, aku terlihat di hujung kakiku, Abu Abbas sedang bertahajjud sambil menangis. Kejadian pada malam itu, benar-benar aku kagum dengan ketaqwaan Abu Abbas.

Beliau merupakan anak murid kesayangan syaikh muqbil, seorang guru hadis aliran salafi yang agak keras dari negara Yaman. Abu Abbas selalu menceritakan tentang gurunya itu. Aku hanya mendengar tanpa pandai untuk memberi komen.

Satu hari, ketika kami sedang berehat sambil minum teh yang beliau buat, beliau bertanya kepadaku, siapakah ulama-ulama salafi yang aku kenal. Aku menyebut nama Dr Yusuf al-Qaradawi dan Dr Abdullah Azzam. Dengan lantang, beliau menyebut bahawa al-Qaradawi bukan salafi, tetapi tokoh-tokoh salafi seperti syaikh Albani, Syaikh Usaimin, Ben Baz dan sebagainya.

Itulah pertama kali aku mendengar nama-nama tokoh salafi yang sekarang sudah terbiasa bagi aku dengan nama-nama itu, terutama Syaikh Albani.

Kemudian, beliau terus menceritakan kehebatan syaikh Muqbil, gurunya yang beliau hormati.

sebenarnya, semenjak berkawan dengan Abu Abbas, sudut pandang aku terhadap salafi yang dituduh wahabi itu sudah berbeda dengan keadaan aku semasa belajar di Pondok dahulu.  Aku mula mengambil sikap hormati perbedaan itu, dikeranakan kebimbanganku adalah tuduhan terhadap wahabi dengan tuduhan yang berat, tetapi ketaqwaan itu kadangkala ada pada mereka, tetapi belum tentu wujud dalam hati kita.

Aku berpisah dengan Abu Abbas setelah aku selesai ziarah ke kasymir dan pulang ke Karachi. Sebelum aku meninggalkan beliau, beliau memeluk erat aku dan bertanya, apa yang aku mahu dari beliau. Aku tidak tahu apa yang aku mahu dari beliau. Cuma yang sempat aku bagitahu kepadanya bahawa jangan lupakan aku dalam doanya.

Itulah perpisahan terakhir aku dengan Abu Abbas al-Yamani. Selang hampir setahun kemudian, aku bermimpi berjumpa dengan Abu Abbas, tetapi dalam keadaan yang cukup aneh. Dalam mimpi, aku melihat Abu Abbas dalam wajah yang cukup berseri tetapi tidak bercakap sepertimana biasa aku bersama dengan beliau. Aku mahu mendekatkan diriku kepadanya, tetapi tidak dapat. Apabila aku memanggil namanya, dia berpaling dan hanya melontarkan satu senyuman yang menenangkan jiwa.

Aku bertanya kepadanya, kenapa dia tak mahu mendekatkan diri kepadaku. Dia tidak menjawab kecuali senyuman sahaja yang dilontarkan. Aku pun bertanya, ke mana dia mahu pergi.  Dia mengisyaratkan ke arah satu kawasan. Aku melihat dua buah bukit yang cukup indah yang aku tidak pernah melihatnya. Dia terus menuju ke arah bukit itu. Aku memanggilnya lagi, sekali lagi dia berhenti berjalan dan berpaling ke arahku. Aku cuba untuk mendekatinya, tetapi tidak mampu.  Lalu, aku terus berkata, "la tansani fi duaik" (jangan kamu lupakan aku dalam doamu). Kelihatan dia tersenyum. Kemudian dia hilang dalam cahaya.

aku menangis dalam mimpi itu. Kemudiannya aku pun sedar dari tidur. Aku dapati, mata aku basah.
Aku tidak faham maksud mimpi itu. Namun, lebih kurang dua minggu kemudian, aku diberitahu seorang rakan bahawa Abu Abbas telah syahid dalam satu medan Jihad yang dia terlibat.

Bersambung....

29 okt 2013 | 6:10 pagi.

2 comments: