Tuesday, 29 March 2022

10 KAEDAH DARI MANHAJ TAFSIR TOK GURU NIK ABDUL AZIZ

10 KAEDAH DARI MANHAJ TAFSIR TOK GURU NIK ABDUL AZIZ

Wan Ji bin Wan Hussin

 

BAB SATU: PENGENALAN AWAL

 

Saya mula mendengar kuliah tafsir Tok Guru nik Abdul Aziz semasa saya menuntut di Pondok Lubuk Tapah, Pasir Mas, Kelantan; iaitu dalam sekitar tahun 1997—sekitar selepas hampir dua penggal beliau menjadi Menteri besar. Dalam erti kata lain, saya mendengar tafsir Tok Guru dengan sudah membawa bias politik.

 

Ayat yang mula-mula saya dengar kupasan beliau adalah ayat kedua dari surah al-Baqarah; iaitu “kitab itu tiada keraguan di dalamnya, menjadi petunjuk jalan bagi orang yang bertaqwa”.

 

Menarik jika dibandingkan dengan guru-guru tafsir al-Quran di Malaysia yang lain, antara perbezaan adalah beliau tidak terikat kepada mana-mana kitab tafsir dalam menafsirkan ayat al-Quran. Bahkan, beliau telah “GAULKAN SEGALA PEMAHAMANNYA TERHADAP SESUATU AYAT DAN DILUAHKAN DALAM LARAS KEFAHAMANNYA”

 

Secara garis kasarnya, mungkin perlu dijelaskan juga bahawa Tok Guru Nik Abdul Aziz belajar di tiga negara luar; iaitu, India, Pakistan dan Mesir.

 

Dalam negara, dia sempat menuntut dengan Allahyarham Tok Khurasan, Allahyarham Tok Guru Haji Abbas, Besut serta dengan ayahnya sendiri.

 

Sepertimana kita tahu, Tok Khurasan adalah ulama yang berasal dari Pakistan yang mendapat Pendidikan dari Darul Ulum Deoband, serta Tok Guru Haji Abbas juga dari aliran yang sama.

 

Negara yang menjadi pilihan Tok Guru Nik Abdul Aziz adalah India. Semasa di sana, beliau belajar di Jami’ah Darul Ulum, Deoband. Di Pakistan (Lahore) pula, beliau ambil Daurah al-Tafsir dari Maulana Hussin Ali yang juga dari aliran Deobandi.

 

Dengan ini, kita akan nampak pengaruh pengajian di India dan Pakistan—aliran Deobandi itu lebih terkesan kepada kehidupannya. Apatah lagi, anak beliau, iaitu Ustaz Nik Abduh turut dihantar belajar di tempat yang sama, serta Ustaz Nik Adli belajar di Pesyawar, Pakistan.

 

Namun, Ustaz Nik Omar sahaja tidak dapat ke sana kerana ketika itu ada masalah visa pelajar Muslim di India.

 

Cara Tok Guru Nik Abdul Aziz mengupas tafsir al-Quran dan hadis, tidak jauh beza dengan cara ulama-ulama Deobandi dalam mengupas tafsir al-Quran, iaitu seperti berikut;

 

[1] Sebut terlebih dahulu kandungan kuliah lepas.

 

[2] Memulakan dengan menyebut tasawwur atau gambaran besar sesuatu ayat.

 

[3] Melihat “Rabt al-Ayat wa al-Suwar”, iaitu hubungan antara ayat dan surah dengan ayat yang mahu dibincangkan.

 

[4] memberi huraian setiap perkataan dan lafaz yang digunakan dalam ayat atau hadis.

 

[5] Membandingkan sesuatu manat ayat dengan keadaan semasa; ataupun mengunakan pendekatan analogi.

 

Mungkin satu hal yang tidak ada dalam gaya kupasan tafsir tok guru Nik Abdul Aziz yang membezakan dengan pendekatan ulama Deobandi Pakistan adalah kritikal terhadap sesuatu penafsiran ulama-ulama dahulu, tetapi diganti dengan kritikan social beliau terhadap apa yang beliau tahu, sama ada di Malaysia, di negara luar dan sebagainya.

 

Contohnya, beliau pernah bangkitkan soal “bin Abdullah” kepada muallaf yang baru memeluk islam dengan beliau berkata: “Kalau Saidina Umar bin al-Khattab adalah orang Malaysia, sudah pasti Namanya Umar bin Abdullah”.

 

BAB DUA: PERKARA UTAMA DALAM TAFSIR

 

Saya tidak berhasrat mengulas ilmu usul al-Tafsir, tetapi yang saya adalah perkara yang lebih mendasar dari itu.

 

Perkara yang mendasar yang saya maksudkan adalah soal “Dilalah”, iaitu cara dalam berdalil dengan terhadap sesuatu ayat yang sudah pasti melahirkan penafsiran.

 

Faktor yang mempengaruhi dilalah adalah seperti berikut;

 

A.      Konteks pendidikannya.

 

Dari konteks ini, ada beberapa perkara yang perlu diperhatikan. Antaranya adalah gurunya, sistem pendidikannya, kemahirannya terhadap bidang ilmu nahu dan balaghah, pembacaannya dalam bidang tafsir dan bidang yang boleh dikaitkan dengannya.

 

Pada bahagian muqaddimah, saya sudah jelaskan berkenaan Pendidikan Deobandi yang banyak mempengaruhi cara dia menghuraikan tafsir al-Quran. Demikian juga kemahiran dia dalam bidang ilmu mantiq, nahu dan balaghah yang dia pernah akui bahawa dia belajar itu semenjak di Pondok Tok Guru Haji Abbas, Jertih lagi. Apatah lagi, tiga ilmu ini amat ditekankan dalam pengajian di Deobandi.

 

Demikian juga, pembacaannya dalam bidang fiqh yang lebih cenderung kepada fiqh dalil tanpa terikat dengan mazhab syafie sahaja; serta pembacaannya dalam bidang tauhid yang lebih cenderung kepada ahli hadis berbanding asyairah. Dua sudut ini, antara sebab beliau pernah dituduh sebagai wahabi

 

Tok Guru Nik Abdul Aziz tidak kelihatan cenderung kepada falsafah, namun dalam beberapa siri kuliah beliau, ada juga beliau menyebut nama-nama tokoh falsafah seperti Plato dan Sokratis. Pun begitu, antara kuliah beliau, beliau ada mengkritik pendekatan sifat 20 yang menjadi asas wacana Asyairah di tanah melayu dengan mengaitkan dengan pemikiran falsafah.

 

Walaupun beliau tidak menampilkan menolak falsafah secara terang-terangan, tetapi kemungkinan juga beliau menolak falsafah dalam hal yang melibatkan penafsiran terhadap agama.

 

B.      Konteks tempat yang dia berada.

 

Dari konteks ini, saya melihat dari sudut tempat Tok Guru Nik Abdul Aziz berada di India dan Pakistan serta di Mesir; semua ini di era dia menuntut ilmu.

 

Tidak diabaikan factor budaya orang Kelantan yang dia berada di era sebelum dia ke luar negara serta setelah dia pulang dari luar negara.

 

Dengan sebab itu, gaya penafsiran beliau amat dekat dengan pendekatan masyarakat india dan Pakistan, serta gaya masyarakat Kelantan.

 

Beliau berjaya membawa naratif masyarakat Kelantan dalam memahamkan kupasan al-Quran yang mahu beliau persembahkan kepada para pendengarnya.

 

C.       Konteks masa yang dia berada.

 

Tok Guru Nik Abdul Aziz dalam menafsirkan al-Quran, perlu juga diperhatikan dari sudut konteks dia sebelum menjadi MB dan selepas dia menjadi MB.

 

Sudah pasti, factor politik merupakan salah satu bias beliau dalam menafsirkan al-Quran yang tidak boleh diabaikan.

 

D.     Konteks individu yang dia berjumpa.

 

Orang sekeliling beliau juga diperhatikan untuk mengetahui bias penafsiran beliau terhadap al-Quran. bahkan, turut juga diperhatikan bias beliau dengan musuh politik juga perlu diambil kira.

 

Apatah lagi, Tok Guru Nik Abdul Aziz sejenis manusia yang merdeka fikirannya semasa melihat sesuatu perkara. Dengan sebab itu, dia sendiri pernah memuji Tun Dr. Mahahir semasa menjadi PM sebagai orang cerdik, walhal ketika itu “perang politik” antara beliau dan bekas PM itu amat tegar.

 

E.      Konteks perjalanan spiritual yang dia lalui.

 

Walaupun ada dakwaan mengatakan dia seorang wahabi ekoran dekatnya beliau dengan hadis, tetapi dia tidak pernah mengabaikan factor tasawwuf dalam beliau menafsirkan sesuatu ayat al-Quran.

 

Kitab Ihya Ulum al-Din antara rujukan beliau mengajar di Masjid Pulau Melaka, sedikit sebanyak bukti bahawa beliau mengambil kira tasawwuf dalam kehidupan beliau.

 

Hal ini mungkin kerana Pendidikan hadis dari aliran Deobandi tidak sama seperti aliran Salafi; aliran Deobandi, walaupun tegar dengan hadis dan sanad, tetapi tidak pernah mengabaikan factor tasawwuf. Bukan sekadar tasawwuf akhlak, malah tasawwuf falsafah.

 

Dari sudut tasawwuf, beliau agak dekat dengan PERLAMBANGAN ALAM dalam memberikan penafsiran terhadap al-Quran. Dalam wacana tasawwuf, ini lebih kepada konsep Wihdah al-Syuhud, iaitu mengembalikan segala perkara yang dilihat itu kepada mengingati Allah.

 

BAB TIGA: BEBERAPA KAEDAH BERFIKIR TOK GURU NIK ABDUL AZIZ DALAM PENAFSIRAN AL-QURAN

 

Sebelum ini, saya sudah sebutkan “cara susun point” ulama Deobandi dalam menafsirkan al-Quran yang ia turut digunakan oleh Tok Guru Nik Abdul Aziz.

 

Dari bab ini, saya kemukakan beberapa kaedah berfikir yang digunakan oleh Tok Guru Nik Abdul Aziz dalam menafsirkan al-Quran berdasarkan penelitian saya terbatas ini.

 

1.      DARI KULLI KEPADA JUZIE

 

Maksudnya, dia memulakan sesuatu yang luas terlebih dahulu. Kemudian, dia akan perincikan dari yang luas kepada particular-partikular isu yang mahu dikupas.

 

Contohnya, beliau mulakan menyebut perkara Kulli: Setiap manusia itu roh dan jasad.

 

Kemudian, dia pecahkan perkara kulli itu kepada juzie. Makanya, beliau pun perincikan jasad dengan menyebut bahawa jasad ini gabungan antara darah, daging, tulang belulang dan seterusnya.

 

Kemudian, dia pun masukkan perbicangan pada juzie yang dia mahu fokuskan, iaitu roh. Maka dia pun kupas: “roh ini tidak ada sesiapa yang faham kecuali Nabi Muhammad saw”.

 

Dari situ, dia kupas kepada point tersebut sehingga selesai isu yang mahu dia sampaikan.

 

2.      AL-TAKHSIS BI AL-‘AKS

 

Beliau takhsiskan umum ayat dengan menggunakan pendekatan العكس atau المقابل iaitu hal yang berlawanan.

 

Contohnya, beliau membahaskan ayat الهاكم التكاثر dengan menyatakan bahawa ini adalah PENYAKIT manusia.

 

Kata beliau: “Penyakit ini BUKAN penyakit jasmani, bukan penyakit kulit, tetapi PENYAKIT DALAMAN”.

 

3.      MANFAATKAN SEGALA MAKNA UMUM.

 

Dalam Usul al-Tafsir pun, memang ada kaedah umum lafaz, iaitu: pengajaran itu pada umum lafaz, bukan sebab yang khusus.

 

Dalam kupasan Tok Guru, saya simpulkan umum lafaz ini kepada dua sudut;

 

A.                  MAKNA LAFAZ ARAB

 

Seperti semasa beliau menjelaskan makna قل yang beliau kata:

 

 “katakanlah”, “syarahkanlah”, “ceramahkanlah”, “wacanakanlah” dll.

 

B.                  MAKNA DILALAH AYAT

 

Sudut dilalah itu adalah seperti beliau nak syarah berkenaan makna KIAMAT dengan berkata:

 

“Semua ada penghujung dan tarikh luput, seperti seperti kayu mati, rumput mati, manusia mati; semua semua itu tidak disebut mati, tetapi disebut KIAMAT”.

 

4.      MEMBINA TASAWWUR PADA PERKATAAN

 

Contohnya, cara dia nak menjelaskan makna القارعة yang diterjemahkan sebagai “orang ketuk pintu pada waktu malam”

 

Atau perkataan هو الله احد yang beliau terjemahkan sebagai “so tak ada lo lo”

 

Atau perkataan هو di awal surah al-Ikhlas yang beliau syarahkan maksud ضمير الشأن sebagai “masalahnya begini”.

 

Atau perkataan الإخلاص yang beliau terjemahkan sebagai “TAPIS”, lalu beliau bandingkan dengan penapis teh untuk buang keladak teh.

 

Atau perkataan الحمد لله yang beliau terjemahkan “maha mujur”, yang beliau buat contoh seperti orang yang kereta rosak atas bukit grik.

 

Pendekataan ini ada dalam mantiq, iaitu dari proses TASAWWUR kepada TASDIQ.

 

5.      LEBIH PENTINGKAN MANAT BERBANDING LAFAZ

 

Seperti beliau syarah perkataan قل dengan berkata:

 

“Yang penting, semua kandungan yang mahu disampaikan itu sampai ke telinga manusia”

 

6.      UNSUR SUFI DALAM TAFSIR

 

Antaranya pendekatan AL-TASYA’UR AL-ILAHI. Seperti beliau nak syarahkan kehebatan kiamat dengan beliau berkata:

 

 “hai manusia, kiamat ini benda besar dan hebat. Jadi, kamu kena taat pada aku”

 

Dia bukan sekadar HUSULI terhadap ayat, bahkan dia HUDHURI terhadap ayat; bukan sekadar membina TAHU, tetapi membina RASA.

 

Contohnya, beliau timbulkan RASA takut kepada Allah dengan menyebut berkenaan azab akhirat.

 

7.      FALSAFAH “BAKPO”

 

Contohnya, apabila beliau sebut sesuatu ayat, dia akan sebut: “bakpo” (kenapa?)

 

“bakpo tuhan mulakan al-Rahman dahulu, baru al-Rahim”

 

“bakpo tuhan mulakan اياك نعبد kemudian baru sebut واياك نستعين

 

8.      FALSAFAH “NOK ROYAKNYO”

 

Atau dalam sebutan Indonesia: “ayat ini, mahunya apa?”

 

9.      KLASIFIKASI

 

Contohnya, dia klasifikasikan antara

 

a.                  Penyakit

b.                  Ubat.

 

Kata beliau: “Penyakit bagi manusia adalah الهاكم التكاثر dan ubatnya adalah زرتم المقابر

 

10.  APLIKASI DENGAN REALITI DI HADAPAN MATA

 

Contohnya, semasa dia mensyarahkan ayat

 

وَلَوْلَا دَفْعُ اللَّهِ النَّاسَ بَعْضَهُمْ بِبَعْضٍ لَفَسَدَتِ الْأَرْضُ وَلَكِنَّ اللَّهَ ذُو فَضْلٍ عَلَى الْعَالَمِينَ (251) – البقرة

 

Beliau aplikasikan ayat dalam kerangka demokrasi, iaitu dengan mengeluarkan MANAT AYAT pada unsur sifat “TOLAK MENOLAK”, lalu dibandingkan dengan “budaya kritik mengkritik” dalam demokrasi.

 

PENUTUP

 

Demikian beberapa kupasan ringkas berkenaan manhaj tafsir Tok Guru Nik Abdul Aziz yang saya cuba simpulkan. Semoga ia bermanfaat untuk kita semua di dunia dan akhirat.

1 comment: