Tuesday, 4 April 2017

KENAPA SAYA KAGUMI TOK GURU NIK ABDUL AZIZ?




Oleh :
Wan Ji bin Wan Hussin
Anwar Ibrahim Research Institute (AIRI)


Daripada Abu Hurairah, bahawa Nabi saw ada bersabda;

وَمَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا، سَهَّلَ اللهُ لَهُ بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ
“Barangsiapa yang melalui jalan dalam pencarian ilmu, Allah akan mudahkan kepadanya dengan cara melalui itu untuk dia berjumpa jalan ke syurga” (Muslim, Bab fadhilat membaca al-Quran dan berzikir, hadis no : 2699)

1. Saya kagumi Tok Guru Nik Abdul Aziz terlalu banyak sudut. Namun, saya fokuskan perbincangan saya ini kepada dua perkara dasar, iaitu dari sudut keilmuan dan dari sudut kepolitikan.

2. Dari sudut pengenalan diri, saya mempunyai pendidikan pondok sejak berumur 13 tahun di Institute pendidikan al-Balaghul Mubin, Pasir Mas kelantan. Walaupun sebelum itu, saya pernah mendengar nama Tuan Guru, tetapi saya tidak pernah bersua dengan beliau secara ''live'' kecuali semasa belajar di Insitute tersebut. 

3. Ketika itu, ahli keluarga saya adalah orang kuat UMNO yang sudah pasti amat membenci TGNA. Semasa saya minta dengan ahli keluarga saya untuk mendapat pendidikan di Pondok, bapa saya selalu berpesan agar jangan jadi macam TGNA. Namun, kuasa Allah mengatasi kuasa kita, TGNA telah menjadi idola saya semasa belajar di pondok, malahan cara saya berserban ketika itu, sehinggakan bapa saudara saya sering berkata, cara saya berserban seiras-iras dengan TGNA.

4. Setelah belajar di institute Pendidikan al-Balaghul Mubin, saya berpindah belajar ke Pondok Lubuk Tapah, Pasir Mas, Kelantan. Tuan Guru Haji Abdullah bin Abdur Rahman yang merupakan mudir merupakan teman rapat kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Di situ, saya semakin kuat mengambil tahu dengan pendekatan dan keperibadian Tuan Guru Nik Abdul Aziz. 

5. Semasa saya belajar di Pondok Lubuk tapah, sering dimomokkan kononnya TGNA adalah seorang penganut fahaman wahabi. Justeru, ada sebilangan ''orang-orang pondok'', mereka mempunyai agak prejudis dengan TGNA dalam banyak isu-isu Islam. Namun, saya kagumi cara pendekatan TGNA dalam mengatasi perkara tersebut.

6. Antara cerita yang saya dapat secara langsung dan tidak langsung, seperti berikut;

A. TGNA ada bercerita dalam satu kuliah beliau di Masjid Pulau Melaka bahawa semasa beliau balik dari Mesir (al-Azhar), beliau lihat dalam masyarakat kelantan ada amalan berdoa lepas solat sebanyak dua kali doa. Amalan tersebut tidak disenangi oleh TGNA ekoran amalan itu tidak pernah dilakukan oleh Nabi saw. Namun, TGNA menyatakan bahawa beliau bimbang untuk menegur, kerana bimbang jadi masalah dengan masyarakat. Makanya, TGNA tidak berdoa dua sekali, sebaliknya setiap kali selesai solat waktu di masjid pulau melaka, beliau berdoa sekali sahaja sehingga beliau ditanya, ''bakpo (kenapa) ustaz doa sekali?''. Lalu TGNA pula tanya, ''Doh bakpo demo doa dua kali?''. Disebabkan  orang yang bertanya tidak dapat menjawab, beliau pun kekalkan dengan amalan sekali doa selesai solat.

B. TGNA juga ada bercerita daam salah satu kuliah beliau di Masjid Pulau Melaka bahawa beliau melihat amalan tahnik dalam masyarakat kelantan perlu berselawat dan berdiri semasa berselawat. Beliau menganggap amalan itu tidak perlu, bahkan menyusahkan. Cerita TGNA, suatu hari beliau hadir satu majlis tahnik. Dan ketika orang berdiri berselawat, beliau tidak berdiri. ''pisah (sengaja) ambo tidak berdiri nak bagi orang tanya'', cerita TGNA. Tiba-tiba ada orang tanya, ''Bakpo (kenapa) Ustaz tak berdiri?'' tanya seseorang kepada TGNA. Dijawab TGNA, ''Doh bakpo demo berdiri?'', soal TGNA yang lelaki terbabit tidak terkata sepatah pun.

C. Semasa saya belajar di Pondok Lubuk Tapah, Pasir Mas, ketika itu hampir dengan bulan ramadan, ada satu kuliah hari jumaat TGNA di Dewan Zulkifli (kini medan Ilmu), TGNA membuat komentar terhadap satu fatwa yang telah dikeluarkan oleh Mufti Saudi berkenaan dengan air masuk ke telinga tidak membatalkan puasa. ''Ambo nak sebut lama dah, tapi takut bbalah (saya nak sebut lama dah, tetapi takut bergaduh)', tiba-tiba tok ppeti (mufti) kata tidak batal puasa, ambo (saya) sokong je la'' cakap TGNA dalam kuliah tafsir. Komentar TGNA itu masuk dalam harakah, diruangan kecil muka depan harakah.

Pada hari Ahad, kelas kami di Pondok lubuk Tapah, Tuan Guru Haji Abdullah mengajar kitab Bughyah al-Tullab, karangan Syaikh Daud al-Fatani. Cuma pelik hari itu, TGHA bukan semata-mata kilik kitab, tetapi disertai dengan akhbar harakah. Setelah mengajar, TGHA ulas balik komentar TGNA dan menolak pandangan tersebut. Ketika itu, TGHA minta Ustaz Haji Husin, AJK Dewan Ulama PAS kelantan yang merupakan orang yang mempunyai hubungan dekat dengan TGHA untuk sampaikan kritikan beliau kepada TGNA. 

Kalau tidak salah lupa saya, dalam hari rabu, dalam kuliah zohor, TGNA datang berjumpa dengan TGHA. Tidak diketahui kandungan perbincangan tersebut, tetapi selepas waktu asar pada hari terbabit, TGHA dan TGNA menyebut bahawa kedua-dua pandangan tentang masuk air ke telinga itu batal atau tidak adalah kedua-duanya adalah pandangan yang muktabar.

7. Dari sudut pendekatan politik, saya menilai TGNA mempunyai kelicikan, kebijaksanaan dan berjiwa terbuka. Contohnya;

A. Semasa Mawi datang ke kelantan dalam program konsert Tautan Kasih, ketika itu saya adalah AJK Dewan Ulama PAS selangor dan Naqib Usrah saya ketika itu adalah Allahyarham Ustaz Harun Taib, Ketua Dewan Ulama PAS Pusat. Di pihak dewan ulama tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan Kelantan yang mengadakan program tersebut. 

Suatu hari, sebelum konsert Tautan Kasih, ada satu seminar yang dianjurkan oleh Lajnah Tarbiah (kalau tidak salah saya) yang ucapan penutupnya adalah TGNA. Ketika itu, TGNA datang awal dan ditempatkan di bilik hadapan dewan Fadhil Noor, Taman Melewar. Ketika itu, Saya sedang menyusun fail-fail yang berkaitan dengan Dewan Ulama PAS. Memandangkan TGNA sendirian, saya berbual dengan TGNA. Di situ, TGNA ada bertanya berkenaan status pendidikan saya, dan saya nyatakan bahawa saya belajar di Pakistan.

''Ketna Sal, Pakistan Mai Rahta tha'', tanya TGNA kepada saya dalam bahasa urdu yang bermaksud berapa lama duduk di Pakistan. Saya menjawab, ''Char Sal ke nazdik'' yang saya maksudkan hampir empat tahun.

Banyak perkara yang kami bualkan. Dalam pertemuan itu, saya ambil peluang bangkitkan isu Mawi yang akan datang ke Kelantan. TGNA ketika itu menyatakan bahawa beliau akan jawab dalam ucapan nanti.

Saya tidak berapa ingat kandungan ucapan TGNA pada hari tu. Namun, di penutup TGNA bangkitkan persoalan yang saya bertanya kepada beliau tadi. Jawapan TGNA ternyata menarik. Beliau menyatakan mawi itu umpama cacing bagi orang yang memancing ikan. Yang kita nak adalah ikan, bukan cacingnya. Sejak itu, saya yang asalnya bersetuju dengan pendapat Dewan Ulama Pusat terus menukar pandangan untuk sokong pandangan TGNA.

B. Semasa isu tulisan manderin di papan tanda yang ramai menolak. Dalam satu ceramah di Bandar Tasik Puteri, Rawang, TGNA memberi komentar dengan menggunakan logik induktif (dalam mantiq disebut Istiqra'). Kata TGNA, ''Di Malaysia, dibenarkan radio Cina. Di Malaysia, ada surat khabar cina. Di Malaysia, ada filem cina. Tiba-tiba, tidak boleh buat papantanda tulisan cina. Tidak berasa pelik?''. 

8. Semasa saya dalam PAS dahulu, dalam usrah-usrah dewan ulama PAS, fokus serangan selalu ditumpukan kepada JIM. Namun, saya perhatikan ia amat berbeda dengan pendekatan TGNA yang meraikan sebarang usaha ke arah dakwah, tidak kira mereka dari JIM, ABIM, Tabligh atau apa aliran sekalipun. 

9. Tanpa dapat dinafikan, ramai orang mendakwa bahawa TGNA adalah wahabi. Malahan dalam youtube, ada satu syarahan TGNA yang membahaskan tentang ayat Quran ''Tuhan yang maha rahmat bersemayam atas arash'' yang diterjemah oleh TGNA ''Tuhan bersila lendik atas arash''. 

Semasa kritikan dan serangan terhadap TGNA dalam isu terjemahan ayat tersebut, TGNA ada menjawab dengan memberikan jawapan yang menarik. TGNA menyatakan bahawa al-Quran punyai bahasa sastera, dan sudah pasti bahasa sastera tidak sama seperti bahasa biasa dalam percakapan. Contoh yang dibuat, ''muka tangga'', yang bukan tangga tu ada muka; ''makan penyepak'', yang semua tahu bahawa penyepak bukan makanan.

10. Semasa TGNA pulang dari al-Azhar, TGNA ada mengajar Fiqh Sunnah karangan Syed Sabiq. Menurut cerita dari Cikgu Muhamed Zainal Abidin bin Hussin, bahawa TGNA pernah sebut bahawa cara orang kelantan faham islam ini adalah (mazhab) syafie, dan Syafie itu adalah Islam. Sehinggakan selain dari syafie, seperti tidak beragama Islam pula. Justeru, TGNA mengajar kitab Fiqh Sunnah yang bukan meninggalkan mazhab syafie, tetapi memperkenalkan mazhab selain syafie juga. Namun, TGNA mendapat tentangan sebilangan rakyat Kelantan sehingga TGNA digelar sebagai wahabi. Namun, sikap keterbukaan fiqh tersebut telah memberi kesan besar pada pengamalan fiqh di Kelantan yang kini sudah boleh menerima mazhab selain syafie sebagai mazhab yang diamalkan di Kelantan. 

11. Pendekatan TGNA dalam membawa Islam, ternyata tidak terikat dengan pengaruh sesuatu aliran. Ekoran itu, beliau sering menampilkan pendekatan Islam Nabi yang berbeda dengan pendekatan Islam tradisi melayu. Makanya tidak hairan, TGNA pernah menyindir amalan ''lenggang perut'' bagi orang mengandung yang menjadi kepercayaan dalam masyarakat kelantan. ''Kita kata lenggang perut bagi anak kita comel. Anak cina jauh lebih comel dari anak kita, tak buat lenggang perut pun'', Sindir TGNA dalam satu kuliah beliau.

12. Saya kira, kehebatan TGNA juga ada faktor beliau mempunyai penasihat-penasihat yang bertanggungjawab. Disamping Dato Husam dan Cikgu Wan Rahim, Haji Annual Bakri saya anggap sebagai orang yang banyak memberikan inspirasi terhadap politik TGNA. Dengan minat mendalam dalam bidang seni dan sastera, dan berjiwa agak kesufian, saya melihat keserasian antara Haji Annual Bakri dengan TGNA dalam membawa agenda politik.

A. Saya suatu hari berbual dengan Haji Annual Bakri tentang sufi. Saya amat terkesima dengan ayat beliau yang menyebut, ''Gula ini rasa manis, sebab kita letak di lidah. Kalau letak kat tangan, kita tak dapat rasa manis. Begitujuga zikrullah semata-mata di lidah, tanpa di hati''.

B. Semasa polimik Arif Fahmi, menantu TGNA dalam isu PMBK dahulu. Haji Annual Bakri ada menyebut kepada TGNA bahawa ''Doktor gigi yang punyai banyak Phd pasal gigi, tetap dikira sebagai doktor gigi yang salah, jika dia cabut gigi yang salah''.

13. Agenda dakwah yang dibawa oleh TGNA amat kelihatan bersifat rahmat sekelian alam, tanpa melibatkan perkauman melayu sempit. TGNA pernah memuji bangsa cina, bahkan pernah menyebut tidak kisah cina untuk jadi PM, asalkan dia muslim dan adil. Bahkan, beliau selalu ungkap, ''kita semua ini asal dari Tok Adam (nabi Adam). Kita adalah adik beradik. Kita berbeda sebab berfaktorkan geografi''. Sikap sebegitu dipamerkan dalam bentuk yang lebih jelas, apabila beliau sendiri mencadangkan kelantan mempunyai sebuah masjid cina.

14. Usaha menampilkan Islam TGNA tidak jauh beda dengan al-Syaikh Maulana Abdullah bin Bayyah yang berasal dari Mauritania. Ekoran itu, amat kelihatan beliau berusaha membuktikan kepada manusia bahawa Islam adalah agama keamanan, merentasi anutan agama dan mazhab. Makanya tidak hairan, kita akan dapati bahawa beliau amat bersemangat untuk hadiri program yang melibatkan non muslim, hadiri majlis yang melibatkan penganut agama buddha di Kelantan dan sebagainya.

15. Semua tahu bahawa TGNA boleh dianggap orang yang amat konsisten dalam mengajar ilmu tafsir di Dewan Zulkifli, malahan tafsir al-Quran yang beliau sampaikan di situ sudah khatam sebuah al-Quran. Dari sudut pendekatan tafsir, pendekatan yang digunakan oleh TGNA adalah seperti berikut;

A. Beliau tidak terlalu terikat dengan tafsiran-tafsiran ulama-ulama arab, malahan dengan tafsiran ulama-ulama terdahulu, sebaliknya lebih menekankan kepada pemahaman teks ayat dalam wajah setempat (kelantan). Ekoran itu, pendekatan tafsir al-Quran bagi TGNA amat dekat dengan roh dan semangat rakyat Kelantan.

B. Semasa beliau menafsirkan al-Quran, beliau tidak menggunakan terjemahan skema, sebaliknya lebih menggunakan laras bahasa yang difahami rakyat kelantan seperti terjemahan ''Ya Bunayya'' yang diterjemah sebagai ''awe @ awang'', bukan ''wahai anakku'' dalam bahasa skema. Ataupun, semasa beliau menafsirkan kalimah ''Qul'', bukan terikat dengan terjemahan ''katakanlah'', sebaliknya diterjemah kepada beberapa maksud seperti ''Wacanalah/dialoglah/debatlah''; terjemahan ''Aqimu al-Solah'' tidak diterjemah sebagai dirikan solat, tetapi diterjemah sebagai menunaikan solat dengan sempurna.

C. TGNA menafsirkan ayat tidak semata-mata dari sudut literal ayat dan logik, malahan melihatkan juga dari sudut ''isyari ayat'', seperti mencari elemen sufisme dengan membandingkan dengan alam. Pendekatan beliau, kadangkala agak iras dengan Ibn Arabi, seorang tokoh sufisme hebat dalam dunia Islam yang merupakan pendokong ilmu irfan, iaitu apabila berjaya membandingkan sufisme dengan faktor alam. Contohnya, beliau pernah menyatakan bahawa nyawa kita umpama api lilin. Yang bila-bila masa sahaja boleh terpadam.

16. Dari sudut metode (manhaj) tafsir al-Quran TGNA pula, sekadar penelitian, saya dapati ;

A. Beliau akan membahaskan sesuatu kalimah Quran dengan sesuatu kalimah Quran yang lain dengan  diterjemahkan dalam bahasa melayu kelantan. Metode beliau tidak jauh beda dengan pendekatan Haminudin Farahi, seorang ahli tafsir dari negara india. Contohnya, beliau terjemah kalimah ''al-Rahman'' dan ''Al-Rahim'' yang dibedakan maksud dua kalimah itu dengan contoh yang mudah diimaginasikan seperti bapa yang sayangkan anak dengan diberikan apa sahaja yang anak minta (rahman), dan tidak bagi sebab takut anak punah (rosak) masa akan datang (rahim); Kalimah ''Na'budu'' yang kebiasaan diterjemah sebagai ''kami sembah'' yang bersifat fokus pada solat sahaja, sedangkan yang diterjemah oleh TGNA sebagai ''abdikan diri'' yang meliputi segenap kehidupan; tafsiran kalimah ''ahad'' bukan sebagai esa atau satu, tetapi sebagai ''So tak dok lo lo'' (satu yang tak ada lain dah).

B. Beliau akan melihat kepada konteks ayat, seperti beliau memberikan satu imaginasi terhadap sesuatu ayat Quran (Saya menjangkakan TGNA ada kekuatan otak kanan berbanding otak kiri). Contohnya, beliau membahaskan maksud ''Maliki Yaum al-Din'' dengan menyatakan bahawa pada ketika itu, raja segala raja bukan raja-raja yang ada sekarang, tetapi adalah Tuhan. ''Mu raja setara mana pun, mu kena ingat, ada raja lebih besar, iaitu Allah''.

C. Beliau akan melihat hubungan sesuatu ayat dengan sesuatu ayat; hubungan antara surah dengan surah. Ini adalah pendekatan dalam bidang pengajian tafsir yang amat popular di Pakistan dan India. Contohnya, beliau boleh nyatakan hubungan antara surah al-Fatihah dengan surah al-Baqarah; hubungan antara ayat ketiga dengan ayat keempat dari surah al-Fatihah. 

D. Beliau tidak abaikan setiap kalimah dalam sesuatu ayat al-Quran. Ekoran itu, setiap kalimah al-Quran punyai setiap maksudnya yang tersendiri yang ditafsirkan oleh TGNA. Contoh, diterjemah ''bismillah al-Rahman al-Rahim'', beliau akan terjemah bermula dengan huruf ''ba'' dengan soalan, kenapa dimulakan dengan huruf ''ba'' yang diterjemah sebagai ''dengan'', yang beliau cadangkan diterjemah sebagai ''demi''; 

E. Dalam ayat, perlu cari logik. Ekoran itu, beliau ada bangkitkan soalan, kenapa selepas itu disebut ''ismi'', nama Allah, bukan perbuatan Allah atau sifat Allah? kenapa selepas itu diratib dua nama Allah, iaitu al-Rahman dan al-Rahim, tidak disebut nama-nama yang lain seperti al-Tawwab, al-Mutakabbir dan banyak lagi.

F. Dalam tafsiran TGNA, beliau menggunakan pendekatan ''Klasifikasi'' (arab : Taqsim) dalam meletakkan maksud sesuatu ayat. Contohnya, dalam membahaskan maksud ''ihdina al-Sirat al-Mustaqim'' yang diklasifikasikan maksud hidayah kepada dua; hidayah Irsyadi dan Hidayah Matlub. Pendekatan ini sering digunakan oleh Ibn Jauzi dalam kitab ''Dau' al-Munir 'Ala Tafasir''.

G. Tidak sekadar logik, dilahirkan ''rasa'' atau ''zaouq'' dalam ayat yang merupakan pendekatan sufisme. Ekoran itu, beliau terjemah kalimah ''Alhamdulillahi Rabbil 'Alamin'', sebagai ''Maha mujur Allah'' dengan didatangkan contoh seperti kereta pancit atas bukit gerik pada waktu malam, tiba-tiba datang seseorang kawan ketika kita sedang terlalu ketakutan. Perasaan lega ketika ketakutan itu difahami pada maksud ''Alhamdulliah''

17. Saya kira, pendekatan TGNA banyak yang boleh dipelajari dan wajar diteladani. Terutama, sikap beliau yang tidak pernah jemu hendak menampilkan islam sebagai agama rahmat sekelian alam, disamping berusaha sedaya mungkin untuk memastikan imej Islam tidak rosak pada pandangan mata non muslim.

Sikap beliau ini tidak berapa jauh beda dengan apa yang pernah ditekankan oleh Maulana Syaikh Abdullah bin Bayyah dengan kata beliau, ''Antara maqasid syariah yang diabaikan oleh ramai muslim adalah menjaga imej baik agama Islam''

18. Disamping ketokohan TGNA, saya kira ketokohan Allahyarham Ustaz Fadzil Noor juga wajar dipelajari; terutama dalam kerangka membawa islam dalam kerangka kepolitikan. Lebih-lebih lagi, Ustaz Fadzil Noor amat terkenal dengan pendekatan yang objektif, bijak membuat keputusan dan berjaya menampilkan sifat inklusif, sehingga PAS dulu dikenali sebagai parti surau dan parti lebai bertukar wajah kepada parti nasional yang disokong dan didokong oleh golongan profesional. Dengan slogan memprofesionalkan Ulama, dan mengulamakan profesional, ternyata memberi kesan besar pada perjuangan islam. Namun sedih, semua ini berjaya dihancurkan oleh kepimpinan PAS era Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang yang kini semakin dikenali sebagai parti lebai, malahan berjaya membina lebayisme - pemikiran yang beroreantasikan kejumudan dan menganggap semua yang dilakukan oleh agamawan sebagai benar yang tidak ada yang tidak benar kecuali semuanya benar-benar belaka.

19. Saya kira, pendekatan Datuk Seri Anwar Ibrahim juga tidak wajar diabaikan dalam melihat perkembangan islam di Malaysia. Memandangkan beliau mempunyai kenalan dari kalangan ulama-ulama arab muktabar, seperti Wahbah al-Zuhaili, al-Qaradawi dan lebih awal seperti Syaikh Muhammad al-Ghazali, tidak hairan beliau antara tokoh politik terawal di Malaysia yang mengungkapkan istilah Maqasid Syariah yang ketika itu, ramai tokoh-tokoh dari PAS yang ''buat nganjing'', umpama menyebut ''Normadiah, Sa'diyyah'' yang akhirnya, pendekatan maqasid syariah ini telah menjadi satu perkara penting bagi kewujudan parti Amanah Negara dan dipelajari secara meluas di peringkat parti Amanah. Saya kira, tidak ketinggalan juga pendekatan anak beliau yang amat cakna juga dengan pendekatan Islam, seperti pernah menerima, bahkan mencadangkan pendekatan Fiqh Tawaqqu' (Fiqh Futuristik) dalam pembentukan negara yang diperkenalkan oleh Maulana Abdullah Bin Bayyah. Yang mungkin ketika ini, pengamalannya mungkin terpencil sepertimana awal disebut maqasid syariah oleh DSAI, tetapi kemungkinan dalam satu masa tertentu, ia mungkin akan terkenal sepertimana pengamalan maqasid syariah.

20. Sebagai penutup, saya ucapkan tahniah kepada pihak Parti Amanah Negara yang berjiwa besar untuk menjadikan maqasid syariah sebagai pendekatan parti, disamping sentiasa mencari kebijaksanaan politik yang ada ada banyak tokoh, seperti membahaskan pemikiran TGNA ini. Semoga segala usaha ini membawakan hasil yang baik untuk rakyat Malaysia, seterusnya Islam sebagai rahmat sekelian alam berjaya dilaksanakan di Malaysia.


Wallahu 'Alam.

3 comments:

  1. amat baik tulisan tuan ini dibaca oleh TGHH dan anak TGNA iaitu Nik Abduh.

    apakah menggali nilai2 keilmuan seperti ini layak di jawab dengan saman?

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  3. kehebatan tuan guru nik abdul aziz (tgna)..

    keterbukaan beliau untuk "bersetuju untuk tidak bersetuju" dalam banyak perkara antara parti komponen lain dalam Pakatan Rakyat tanpa mengorbankan prinsip politik beliau amat saya kagumi..

    tgna juga kemas & berseni ketika "menghela rambut dalam tepung" dalam kancah politik yg pelbagai latar dan mencabar ini..
    keupayaan yang tidak mampu diteruskan oleh pimpinan pan-malaysian islamic party sekarang..

    🤔🤔

    p/s:
    semoga Allah melimpahkan rahmat kepada roh beliau dan ditempatkan bersama roh orang2 yang soleh & beriman di sana..
    amin ya robbal 'alamin..

    😔🤲🏿😔🤲

    ReplyDelete