Thursday 26 March 2015

MENANGGAPI PANDANGAN AL-QARADAWI TENTANG PERLAKSANAAN SYARIAH


PENDAHULUAN


Al-Qaradawi menyatakan bahawa beliau melihat kepentingan mencapai kebebasan didahulukan berbanding perlaksanaan syariah. Dalam ungkapan yang lain pula, sekali lagi al-Qaradawi menyatakan bahawa sebelum perlaksanaan syariah, perkara yang perlu dilakukan adalah memberi makan kepada rakyat yang lapar, menyediakan peluang pekerjaan, menyediakan pendidikan dan sebagainya. Ungkapan beliau ini gagal difahami oleh ramai tokoh ilmuan, sehinggakan ada yang menuduh bahawa ungkapan beliau itu sebagai ungkapan kekufuran.

Justeru, article ringkas ini menerangkan serba ringkas tentang satu penanggapan terhadap gaya berfikir al-Qaradawi, agar kelihatan jelas bahawa tuduhan bahawa al-Qaradawi mengungkapkan itu sebagai ungkapan kekufuran adalah tuduhan yang tidak punyai asas ilmiah.

TUJUAN SYARIAH

Kehadiran syariah itu adalah untuk memastikan kehidupan manusia berada dalam kebahagiaan. Kebahagiaan yang ditawarkan oleh syariah, bukan sekadar di akhirat, malahan memberi kebahagiaan di dunia sama. Perkara ini dinyatakan oleh Allah SWT bahawa disamping mencari pemberian Allah di akhirat, Islam melarang dilupakan pula tentang pemberian Allah di dunia.

Kehadiran syariah, memberikan suluhan jalan kehidupan manusia di dunia agar berjumpa dengan kebaikan dan kemaslahatan. Ekoran itu, penurunan syariat menerusi wahyu hendaklah difahami dalam kerangka yang betul, agar pemahaman itu tidak mendatangkan kerosakan kepada manusia.

Dalam memahami syariah itu pula, ia memerlukan kepada ijtihad, iaitu menghabiskan segala kemampuan oleh orang yang berkelayakkan dari sudut keilmuan atau mujtahid dalam memahami nas syarak terhadap hukum-hukum syarak. [Al-Ghazali, Abu Hamid Muhammad bin Muhammad al-Tusi, (505 H). 1413H/1993. Al-Mustasfa fi Ilm al-Usul. jld 2, hlmn 550, Beirut. Dar al-Kutub al-Ilmiyyah]

Berbagai-bagai bentuk ijtihad yang disebut oleh ulama-ulama yang muktabar. Al-Syafie membataskan ijtihad itu dalam perkara qiyas sahaja. Dalam al-Risalah menyatakan; “Berkata, Apa itu Qiyas, apakah ia ijtihad atau ia ada dua perkara yang berbeza?. Aku berkata, “Ia adalah dua nama bagi satu makna” [Al-Zuhaili, Wahbah. Usul al-Fiqh al-Islami. jld 2, hlmn 1068, Beirut: Dar al-Fikr al-Muasir & Damsyik: Dar al-Fikr. Tarikh : 2001. : Al-Syafie, Abu Abd Allah Muhammad bin Idris bin al-Abbas bin Osman bin Syafi’ bin Abd al-Muttalib bin Abd Manaf al-Mutallabi al-Qurashi,. Al-Risalah. hlmn 476, Mesir: Maktabah al-Halabi. Tarikh : 1940]

Dalam kalangan ulama-ulama lain, mereka menyatakan bahawa ijtihad ini merangkumi kepada al-Ra’y, al-Qiyas dan akal. Al-Ra’y yang dimaksudkan adalah amalan yang dilihat oleh mujtahid sebagai maslahah dan perkara lebih hampir kepada roh pensyariatan islam tanpa melihat di sana ada asal tertentu terhadap sesuatu kejadian atau tidak. [Al-Zuhaili, Wahbah. Usul al-Fiqh al-Islami. jld 2, hlmn 1068,  Beirut: Dar al-Fikr al-Muasir & Damsyik: Dar al-Fikr. Tarikh : 2001]
           
Al-Qaradawi pula ada menyebut tentang dua bentuk Ijtihad; Pertama, al-Ijtihad al-Intiqa’I, iaitu ijtihad yang dilakukan dengan cara memilih pendapat ulama terdahulu yang dipandang sesuai dan lebih kuat. Yang kedua, al-ijtihad al-insya’i, iaitu mengambil kesimpulan hukum baru dalam sesuatu permasalahan, di mana permasalahan tersebut belum pernah dikemukakan oleh ulama terdahulum baik masalah itu baru atau lama. Kedua-dua ijtihad ini digabungkan untuk ditambahkan dalam pendapat tersebut unsur-unsur ijtihad baru. [al-Qaradawi, Ijtihad dalam syariah islam, hlmn 150 dan 169 : Al-Qaradawi, Abd Allah Yusuf. Fi Fiqh al-Aqalliyat al-Muslimah, Hayah al-Muslimin wasath al-Mujtama’at al-Ukhra, hlmn 47, Jakarta: Penerbit Zilrul Hakim. Tarikh : 2004]
           
Sebilangan ulama pula mengklasifikasikan ijtihad itu kepada tiga bentuk; pertama, al-Ijtihad al-Bayani, iaitu penjelasan hukum-hukum syarak dari nas-nas syarak. Kedua, al-Ijtihad al-Qiyasi, iaitu meletakkan hukum syarak bagi realiti-realiti yang berlaku. Realiti tersebut tidak tersebut dalam al-Quran dan al-Sunnah. Menggunakan kaedah qiyas atau perbandingan dengan apa yang ada dalam nas-nas syarak dari hukum-hukum. Ketiga pula adalah al-Ijtihad al-Istislahi, iaitu meletakkan hukum-hukum syarak kepada realiti-realiti yang berlaku, yang juga tiada dalam al-Quran dan al-Hadis dengan dibina atas kaedah istislah, iaitu sesuatu bentuk ijtihad untuk menemukan hukum yang didasarkan pada kemaslahatan yang tidak disebut secara tegas dalam nas. [Al-Zuhaili, Wahbah. Usul al-Fiqh al-Islami. jld 2, hlmn 1069,  Beirut: Dar al-Fikr al-Muasir & Damsyik: Dar al-Fikr. Tarikh : 2001: Riyanta, dkk. Neo Usul Fiqh : menuju ijtihad kontekstual. hlmn 284, Jogjakarta: Fakultas syariah Press. Tarikh : 2004]
           
Dari sudut perbahasan pula, kalimah Ijtihad (اجتهاد) dari sudut bahasa berasal dari kalimah ja-ha-da (جهد) dengan mengikut timbangan if-ti-‘al (افتعال) yang memberi maksud mubalaghah atau berlebih dalam perbuatan. Dari sudut bahasa, ia memberi maksud mencurah segala kemampuan dalam segala perbuatan. [Riyanta, dkk. Neo Usul Fiqh : menuju ijtihad kontekstual. hlmn 283, Jogjakarta: Fakultas syariah Press. Tarikh : 2004]
           
Dalam Lisan al-Arab, dinyatakan bahawa ijtihad dan tajahud (تجاهد) adalah menghabiskan segala kemampuan dan usaha. Ia merujuk kepada hadis Muaz bin Jabal yang berkata; “Aku berijtihad dengan pandanganku”. Dengan maksud, ijtihad adalah menghabiskan segala kemampuan dan kekuatan oleh hakim dengan menggunakan cara qiyas atau perbandingan dengan al-Kitab dan al-Sunnah, bukan dengan merujuk kepada pandangannya dirinya sendiri tanpa ditanggungjawabkan kepada al-Kitab dan al-Sunnah. [Ibn Manzur, Jamal al-Din Muhammad Bin Mukram al-Afriqi, Lisan al-Arab, jld 3, hlmn 135, Bairut, Dar Sadir li al-Tabaah wa al-Nasyr.  Tarikh : 1955]
           
Makna ijtihad dari sudut istilah, terdapat berbagai-bagai definisi. Antaranya adalah sepertimana yang didefinisikan oleh al-Imam al-Ghazali dengan kata beliau, “Menghabiskan segala kemampuan oleh orang yang berkelayakkan dari sudut keilmuan atau mujtahid dalam menuntut ilmu berkaitan hukum-hukum syariah”[ Al-Ghazali, Abu Hamid Muhammad bin Muhammad al-Tusi, (505 H), Al-Mustasfa fi Ilm al-Usul. hlmn 342, Beirut. Dar al-Kutub al-Ilmiyyah. Tarikh : 1993]
           
Al-Imam al-Syatibi pula mendefinisikan ijtihad dengan kata beliau,  “Mencurahkan keluasan dalam menghasilkan ilmu atau menghasilkan zan terhadap hukum. [Al-Syatibi, Ibrahim bin Musa bin Muhammad al-Lukhmi al-Gharnati (790 H), al-Muwafaqat Fi Usul al-Syariah, jld 5, hlmn 51, Dar Ibn Affan – Saudi. Tarikh : 1992]
           
Abd Allah Darraz menyatakan bahawa ijtihad itu adalah, “Mencurahkan kemampuan dan sehabis daya, sama ada untuk mengetahui hukum syara’ atau dalam mengadaptasikan hukum syara’ tersebut” [Al-Darraz, Abd Allah al-Dimyati, tanpa tarikh, al-Muwafaqat Fi Usul al-Syariah li Abi Ishaq al-Syatibi (wa’alaih Syarh Jalil),  jld 5, hlmn 11, Mesir, Dar al-Fikr al-‘Arabi. Tanpa tarikh]

Menurut Ibn Hazm, beliau mendefinisikan ijtihad dari sudut yang umum dengan kata beliau, “Ia adalah menggunakan sehabis-habis kemampuan dalam mendapatkan sesuatu yang diharapkan untuk mengetahuinya, sekira-kira ia diharapkan tercapai atau sememangnya boleh sampai kepadanya” [Al-Zahiri, Abu Muhammad ‘Ali bin Ahmad bin Said bin Hazm al-Andalusi al-Qurtubi, Al-Ihkam fi Usul al-Ahkam. jld 8, hlmn 133, Beirut:Dar al-Afaq al-Jadidah. Tanpa tarikh]

Sedangkan definisi ijtihad dari sudut syariah pula, Ibn Hazm berkata, “Ijtihad dalam syariat adalah menggunakan sehabis-habis kemampuan dalam mendapatkan hukum yang berlaku sekira-kira didapati wujud hukum tersebut. [Al-Zahiri, Abu Muhammad ‘Ali bin Ahmad bin Said bin Hazm al-Andalusi al-Qurtubi, Al-Ihkam fi Usul al-Ahkam. jld 8, hlmn 133, Beirut:Dar al-Afaq al-Jadidah. Tanpa tarikh]

Al-Imam al-Baidhawi pula mendefinisikan ijtihad dengan kata beliau, “Menghabiskan segala kemampuan yang ada dalam memahami hukum-hukum syarak. [Sya’ban Muhammad bin Ismail, Tahzib Syarh al-Isnawi ‘Ala Minhaj al-Wusul Ila Ilm al-Usul li al-Qadhi al-Baidhawi, jld 2, hlmn 232, Mesir, al-Maktabah al-Azhariyyah li al-Turath. Tanpa tarikh]

Al-Imam Ibn Rusyd al-Hafid mendefinisikan ijtihad itu dengan kata beliau,  “Menghabiskan oleh mujtahid kemampuannya dalam mendapatkan sesuatu dengan alat-alat yang disyaratkan. [Ibn Rushd al-Hafid, Abu al-Walid Muhammad bin Ahmad bin Muhammad bin Ahmad bin Rushd al-Qurtubi, Al-Dharuri fi Usul al-Fiqh atau Mukhtasar al-Mustasfa. hlmn 137, Beirut: Dar al-Gharb al-Islami. Tarikh : 1994]
           
al-Duraini pula mendefinisikan ijtihad dengan kata beliau, “Ia adalah menghabiskan kemampuan akal menerusi bakat yang mendalam bagi mengeluarkan hukum syarak berbentuk amali yang diceduk dari syariat, secara nas dan juga roh. Juga melihat secara mendalam dalam mengadaptasikannya berdasarkan pancaran kaedah-kaedah usul yang terhasil dari keistimewaan bahasa, kaedah syarak atau ruhnya secara umum dalam pensyariatan” [Al-Duraini, Fathi, al-Manahij al-Usuliyyah Fi al-Ijtihad bi al-Ra’y Fi al-Tasyri’ al-Islami, hlmn 16-17,  Syria, al-Syarikah al-Muttahidah Li al-tawzi’. Tarikh : 1985]
           
Dari definisi-definisi ijtihad yang dikemukakan ini, dapat disimpulkan bahawa perkara ijtihad itu adalah melakukan usaha yang bersungguh-sungguh dalam membongkar kandungan nas. Bukan sekadar itu, malahan ijtihad perlu dilihat dari sudut bahawa ia sebagai proses mengadaptasikan kandungan sesuatu nas kepada sesuatu keperluan. Hukum yang diijtihadkan itu dapat dicapai, sama ada dengan sangkaan (zan) atau yakin.
           
Ijtihad itu pula tidak dilihat dari sudut memahami nas sahaja, tetapi dilihat ijtihad itu juga dari sudut tanfiz atau mengadaptasikannya kepada sesuatu kejadian berdasarkan keperluan.

AL-QARADAWI DAN IJTIHAD ADAPTASI

Dalam menghuraikan sunnah Tadarruj, al-Qaradawi ada menyatakan perbezaan antara pensyariatan  (tasyrik) dan pengadaptasian ini. Beliau  menyatakan seperti berikut;

وعند تجدد الظروف مماثلة لظروف قيام المجتمع الأول أو قريبة منها , نستطع الأخذ بهذه السنة الإلهية , و سنة ((التدرج))  إلي أن يأتي الأوان المناسب للحسم و القطع. وهو تدرج في ((التنفيذ)) و ليس تدرجا في (( التشريع)) فإن التشريع قد تم و اكتمل بإكمال الدين و إتمام النعمة و إنقطاع الوحي

Maksudnya; “Apabila wujud keadaan baru yang sama dengan yang pernah wujud pada masa Islam membina masyarakat Islam yang pertama dahulu  atau hampir sama dengannya, kita boleh menggunakan sunnah tadarruj  atau beransur-ansur ini sehingga tibanya waktu yang sesuai untuk membuat penegasan dan keputusan muktamad. Walau bagaimana pun, satu perkara yang perlu diperingatkan, sunnah beransur-ansur yang dimaksudkan di sini ialah sunnah beransur-ansur dalam TANFIZ (perlaksanaan), bukannya sunnah beransur-ansur dalam TASYRIK (pensyariatan). Ini kerana, pensyariatan seperti yang kita maklumi sudahpun lengkap dan sempurna dengan sempurnanya agama, lengkapnya nikmat dan terputusnya wahyu” [Al-Qaradawi, Yusuf. 1426H/2005.  Al-Siyasah al-Syar’iyyah fi Dhau' Nusus al-Syariah wa maqasidih, hlmn 327, Kaherah: Maktabah Wahbah : Mustafa Malaikah. 2002. Fi Usul al-Dakwah, Muqtabasatun Min Kutub al-Doktor Yusuf al-Qaradawi. Terj. Basri bin Ibrahim al-Hasani, hlmn 325, Kuala Lumpur: Perniagaan Jahabersa, 2002]

Jelas, bahawa al-Qaradawi sendiri ada menyatakan perbezaan antara Tasyrik (pensyariatan) dan tanfiz (perlaksanaan) apabila berbicara tentang syariah. Makanya tidak hairan beliau mengemukakan penilaian beliau dalam mengambil kira tentang perkataan Umar bin Abdul Aziz ini.
           
Bukan sekadar itu sahaja, malahan beliau ada mengemukakan pernyataan tentang pengamalan ijtihad tanfiz (perlaksanaan) ini bahawa di awal Islam masuk di Farsi, berlaku kesukaran dikalangan masyarakat  Farsi menyebut kalimah arab. Lalu, Imam Abu Hanifah telah menfatwakan keizinan dan rukhsah membaca surah al-Fatihah dalam bahasa Farsi. Namun begitu, setelah lidah mereka sudah mampu menyebut dalam bahasa arab, maka beliau menfatwakan kewajipan membaca surah al-Fatihah dalam bahasa arab. [Al-Qaradawi, Yusuf. Al-Siyasah al-Syariyyah fi Dhau' Nusus al-Syariah wa maqasidiha, hlmn 293, Kaherah: Maktabah Wahbah, cairo. Tarikh : 2005.]

Juga mendatangkan penyataan bahawa Imam Abu Hanifah pernah menfatwakan keizinan kehakiman dengan saksi dari kalangan orang yang adil secara zahir sahaja, iaitu tanpa perlu disiasat keadaan saksi terlebih dahulu. Pendapat ini bertukar pada zaman Imam Abu Yusuf dan Muhammad, dengan mensyaratkan perlu memastikan keadilan saksi terlebih dahulu. Kebanyakkan ulama-ulama dalam mazhab Hanafi menyatakan bahawa perubahan fatwa antara Imam Abu Hanifah dan Imam Abu Yusuf dan Imam Muhammad itu adalah berfaktorkan zaman dan masa, bukan berfaktorkan hujjah dan pembuktian nas. [Al-Qaradawi, Yusuf. Al-Siyasah al-Syariyyah fi Dhau' Nusus al-Syariah wa maqasidiha, hlmn 293, Kaherah: Maktabah Wahbah, cairo. Tarikh : 2005]

PERLAKSANAAN SYARIAH : TASYRIK ATAU TANFIZ?

Memahami ini, sudah pasti kita akan akui bahawa al-Qaradawi adalah tokoh yang amat mementingkan perlaksanaan syariah. Namun, dalam ketegasan itu, beliau ada mengungkapkan bahawa kebebasan itu perlu didahulukan berbanding perlaksanaan syariah. Kerana, beliau melihat perlaksanaan syariah itu bakal terhasil dengan wujudnya kebebasan[1].

من الواجب علينا أن نعوِّد الشعوب الإسلامية على قول كلمة الحق، وأن نشيع الحرية بينها ونطالب بها، فالمطالبة بإطلاق الحريات مقدمة على تطبيق الشريعة. ولا بد من إطلاق الحريات لكي نطبق الشريعة

Ungkapan beliau ini, bukan bermakna beliau mengenepikan perlaksanaan syariah dari sudut pensyariatan (tasyrik), tetapi beliau melihat isu perlaksanaan syariah dalam kerangka tanfiz (perlaksanaan) agar perlaksanaan tersebut benar-benar mendatangkan kejayaan. Namun, ada pihak yang gagal memahami dua dimensi ijtihad ini mengkritik beliau, seakan-akan menanggap beliau seperti tidak mementingkan perlaksanaan syariah, seperti al-Syaikh Ubaid bin Abdullah bin Sulaiman al-Jabiri, Bekas pensyarah di Jamiah Islamiyyah Madinah yang menganggap beliau sebagai penyeleweng kepada agama dan menuduh bahawa ungkapan al-Qaradawi itu sebagai ungkapan kekufuran[2].

Pandangan beliau juga diungkapkan dalam kerangka yang lebih luas, apabila beliau menyatakan bahawa sebelum perlaksanaan hukum potong tangan kepada pencuri, sebat seratus rotan kepada penzina dan sebagainya; bahawa semua itu dilaksanakan selepas pemerintah memberi makan kepada rakyat yang lapar, sediakan peluang pekerjaan kepada rakyat yang menganggur, menyediakan pendidikan yang baik dan sebagainya[3]. Ungkapan al-Qaradawi ini, bukan bermakna beliau mengetepikan syariah yang telah sempurna, tetapi beliau bercakap dalam kerangka tanfiz.

PENUTUP

Menilai pendapat al-Qaradawi tanpa melihat manhaj berfikir al-Qaradawi merupakan satu kesilapan. Kesilapan menilai itu samaada melihat pandangan al-Qaradawi dalam kerangka Tasyrik sahaja, ataupun melihat dalam kerangka tanfiz sahaja. Sebaliknya, pandangan al-Qaradawi itu perlu dinilai dari skop kedua-duanya sekali.


Wallahu ‘Alam.

 




No comments:

Post a Comment