Sunday, 1 June 2014

AKAL DAN WAHYU - HASAN YUSUFIAN & AHMAD HUSAIN SHARIFI

Nama Buku : Akal dan Wahyu : Tentang Rasionalitas Dalam Ilmu, Agama dan Filsafat.

Tajuk asal : ‘Aql va Vahy
Penulis : Hasan Yusufian dan Ahmad Husain Sharifi
Terjemahan : Ammar Fauzi Heryadi
Terbitan : Sadra Press, Jakarta, November 2011.


AKAL DAN WAHYU

Akal didefinisikan sebagai kemampuan khas manusia dalam membedakan baik dan buruk; mana jalan dan mana jurang.

Akal dan wahyu, kedua-duanya adalah sumber ilmu, cuma akal itu umum, sedangkan wahyu itu sifatnya lebih khusus berbanding akal. (10)

CARA PEROLEH PENGETAHUAN

untuk peroleh pengetahuan, ia perlu kepada beberapa perkara penting;
1. Jalan umum
2. Jalan khusus.

JALAN UMUM

Dalam menggunakan jalan umum, antaranya adalah indera luaran. Ia tercapai dengan cara empirikal. Tetapi ia sahaja tidak memadai, sebaliknya perlu kepada cara yang lain sama, iaitu pemikiran dan pembuktian menerusi mutawatir dan penyaksian batin (bahasa arab : Shuhud Batini | Bahasa mantik : wujdani) (12 - 13)

yang dimaksudkan dengan mutawatir adalah pemberitaan yang tidak dapat diragui ekoran ramai pencerita, yang amat mustahil mereka sepakat berbohong. Teks wahyu yang sampai kepada manusia merupakan salah satu perkara mutawatir. (P)

Adapun maksud dengan shuhud batini pula adalah kemampuan mengetahui dan bersentuhan langsung dengan sesuatu hakikat atau realiti.

Dalam bahasa sufisme disebut sebagai hudhuri dan dalam bahasa mantik disebut sebagai  wujdani. (P)

Jika dilihat dalam perbincangan mantik, cara empirikal, teks (mutawatir) dan shuhud batini ini selaras dengan penghujahan secara burhaniyyah. (P)

JALAN KHUSUS

Antaranya adalah wahyu. Di sisi ahli kalam, wahyu dimaksudkan sebagai pengajaran ilmu secara khusus dari Allah kepada hambaNya yang terpilih yang ditugasi untuk memberi petunjuk kepada umat manusia. (15)

hakikat wahyu itu amat rumit dan sulit difahami kecuali bagi mereka yang mencapai kedudukan wahyu itu sendiri. Sifatnya amat melampaui atau beyond dari kehendak manusia biasa.

Tidak sekadar itu, antara jalan khusus adalah mencapai dengan hudhuri,  iaitu perasaan kerohanian yang dicapai oleh orang-orang terpilih sahaja, sepertimana orang awam merasai lapar, ngantuk dan sebagainya. (P)

25 mei 2014 | 6:41 petang | Saujana Utama.

#akalwahyu

Sebelum membincangkan tentang akal dan wahyu, antara perkara utama perlu dijelaskan adalah;

1. Apakah akal bertembung dengan wahyu, atau sebenarnya akal bertembung dengan tafsiran agamawan terhadap wahyu? (19)

Dahulu, pernah mufti saudi menfatwakan kafir dan murtad terhadap mereka yang menyatakan bahawa bumi itu bulat. Ini kerana, beliau berpegang dengan firman Allah yang menyatakan bahawa tuhan menciptakan bumi itu terhampar.

Ekoran kemampuan teknologi dan sebagainya,  menjadikan terbukti bahawa bumi bulat, malahan tafsiran mufti saudi terhadap ayat al-Quran itu ternyata salah, kerana ayat tersebut adalah kalam majaz, tetapi ditafsirkan oleh mufti terbabit dengan maksud kalam hakikat. (P)

2.  Apakah akal bertembung dengan agama atau akal yang bertembung teks agama? (17)

teks Wahyu itu, ia tidak semata-mata difahami dengan akal, tetapi perlu diiringi sama faktor lain, seperti zaoq dan banyak faktor lain. Ekoran itu, elemen teks dan akal seharusnya diselarikan dalam memahami agama, disamping tidak diabaikan faktor-faktor yang lain.

3. Dalam perbincangan akal dan rasio, sering sahaja dilihat dari sudut empirisme sahaja, sedangkan rasio itu boleh sahaja dilihat dari sudut intuitivme. (27)

intuitivme ini boleh difahami dalam perbincangan sufisme. (P)

Di kalangan ulama Islam, ada pihak yang kelihatan menolak faktor falsafah dalam agama, seperti al-Ghazali sehingga menulis kitab bertajuk tahafut al-Falsafah,  tetapi di sana terdapat yang mendokong falsafah seperti ibn Rushd yang menulis tahafut al-Tahafut sebagai menjawab al-Ghazali disamping beliau menulis tentang keseragaman antara falsafah dan agama pada sebuah kitab bertajuk fasl al-maqal.

Ada pihak menyatakan bahawa al-Ghazali yang menulis tahafut al-Falasifah itu sendiri adalah tokoh falsafah. Ini terbukti dengan beberapa buah kitab beliau yang mengupas kaitan falsafah dengan agama, seperti maqasid al-Falasifah, al-munqiz min al-Dhalal, iljam al-awam dan sebagainya. Namun didakwa bahawa al-Ghazali tidak mencapai kemampuan tahanan falsafah tinggi setahap ibn sina dan al-Farabi.

Pun begitu, ada pihak pula menyatakan al-Ghazali bukan ahli falsafah, tetapi beliau sekadar ahli kalam sahaja.

25 mei 20 14 | 7:03 malam | Saujana Utama

#akalwahyu

Di kalangan agamawan,  ada yang menolak falsafah.  Dalam kristian,  ada orang bernama murtin luther yang menyerang Aristotle.  Penolakan beliau adalah penyalahgunaan akal yang berakibat hingga falsafah membuang hakikat iman. (33)

Namun di sana, ada juga aliran kristian yang menyatakan keselarasan agama (kristian) dengan akal, seperti Thomas Aquinas (1225 - 1247 M). Namun,  dia sendiri ditolak sekumpulan agamawan sehingga dituduh sesat. (21)

Dalam tradisi muslim juga, terdapat yang menolak peranan akal dengan agama, seperti Ibn Taimiyyah dalam tradisi sunni. Dalam tradisi syiah, terdapat kalangan akhbari yang bertindak menolak peranan akal dengan agama. (34)

al-Ghazali juga dianggap tokoh yang secara terang-terangan menolak itu sehingga menulis kitab bertajuk tahafut al-Tahafut.

Dalam keadaan begitu, dijawab oleh sebilangan sarjana muslim bahawa ketika mereka menolak itu, mereka tidak lepas dari menggunakan akal juga. Bermaksud, secara tidak sengaja mereka juga telah akui peranan akal dengan agama.

Di kalangan ilmuan muslim,  terdapat yang memadukan antara akal dan agama ini, seperti Ibn Rushd menerusi penulisan beliau bertajuk Fasl al-Maqal dan Tahafut al-Falasifah.

#akalwahyu.


Sebilangan pengkaji muslim menganggap bahawa akal sebagai alat, sedangkan wahyu adalah sumber ilmu.

Seorang pengkaji iran bernama Hasan Yusufian menyatakan bahawa orang yang menyamakan akal dan wahyu seperti orang yang mengatakan sumber makanan manusia terdiri dari daging, buah-buahan dan organ pencernaan, lalu disimpulkan bahawa kewujudan organ pencernaan sudah memenuhi seluruh keperluan makanan manusia. (37)

walau bagaimana pun, disana terdapat sebilangan pengkaji yang mengklasifikasikan faktor akal itu sendiri.  Mereka klasifikasi akal itu kepada seperti berikut;

1. Akal sebagai alat
2. Akal sebagai sumber ilmu.

Akal yang dianggap sebagai sumber ilmu ini dikenali sebagai akal fitri atau akal badihi. (38)

#akalwahyu


Ibn Sina amat dikenali sebagai tokoh logik. Namun, didakwa bahawa karya beliau bertajuk al-Isyarat wa al-Tanbihat tidak mengabaikan faktor zaouq.  (38)

Suhrawardi juga seorang tokoh hebat menulis hikmah isyraqiyyah dalam usaha memadukan filsafat dan irfan; akal dan zouq.

Dianggap lebih ketara seperti yang dilakukan oleh Mulla Sadra dalam hikmah muta'aliyyah. (39)

Kehebatan Mulla sadra itu, sehinggakan Murtadha Mutahhari menyatakan bahawa Mulla sadra berjaya memadukan empat perkara penting;
1. Masyaiyyah Aristotle
2. Masyaiyyah ibn Sina
3. Irfan Ibn Arabi
4. Ilmu Kalam. (40)

Mutahhari menyatakan, hikmah muta'aliyyah mulla sadra itu umpama empat sungai yang bertemu dan berubah menjadi satu galur sungai besar yang berombak kencang. (40)

#akalwahyu

Ada pihak anggap hati melebihi akal. Namun begitu,  kelihatan mulla sadra amat gigih membela akal disamping dia akui bahwa kelebihan dan peningkatan berlaku pada irfan. (44)

Walaubagaimanapun, Ibn Turkah menyatakan dalam Tamhid al-Qawaed bahawa irfan tidak boleh menyendiri dalam mencapai pengetahuan, sebaliknya perlu kepada akal juga. Namun, sifat irfan itu melebihi dari akal. (45)

ia diumpamakan seseorang yang hebat dalam lumba motor. Sebelum ia pandai memandu, dia perlu kepada juru latih. Lalu, apabila ia sudah pandai, kadangkala kepandaiannya melebihi juru letihnya. Juru latih itu diumpamakan sebagai akal, sedangkan capaian irfan melebihi akal seperti kepandaian berlumba motor melebihi juru latihnya. (P)

 Ini dapat dilihat perbedaan antara ibn sina dengan Abu Said Abul Khair yang berdialog selama 3 hari. Selepas dialog, apabila ditanya kepada Ibn Sina tentang pandangannya terhadap Abu Said, dijawab Ibn Sina; "dia menyaksikan semua yang aku tahu"

lalu, apabila ditanya pandangan abu said tentang ibn sina, dijawab abu said, "dia tahu yang aku saksikan". (41)

kelihatan dalam kes ini,  terdapat perbedaan antara konsep pembuktian akal (tahu) dengan pembuktian hati atau zouq (musyahadah).

Menariknya,  Maulana Rumi ada mengungkapkan satu lagi istilah dalam salah satu syairnya, iaitu akal imani.  Didakwa ramai pengkaji, akal imani itu adalah merujuk kepada konsep zouq. (46)

#akalwahyu

Apabila berbicara tentang akal dengan agama, pasti ia akan lahir tiga bentuk;
1. Rasional - kesesuaian dengan akal.
2. Supra rasional - melampaui akal.
3. I rasional - bertentangan dengan akal.

Ekoran itu, apabila dilihat sesuatu perkara agama, mereka akan melihat dari sudut rasional. Jika berlaku supra rasional atau i rasional, mereka akan menggunakan kaedah takwil sebagai membela diri (opologetisme).  Jika tidak mampu juga, maka ia akan membuang perkara tersebut.

Ini berlaku pada John Locke dalam agama kristian. Ekoran dia anggap sebagai tidak rasional, makanya dia telah membuang beberapa elemen yang dianggap penting dalam agama kristian, seperti konsep triniti dan dosa warisan. (82)

Dalam tradisi umat Islam, bentuk ini juga berlaku.  Mereka dikenali sebagai muktazilah. 

Dari kalangan ilmuan syiah, mereka melihat bahawa muktazilah dianggap sebagai rasionalis, disamping banyak tokoh-tokoh sunni yang terpengaruh dengan muktazilah, seperti asyairah.  (84)

#akalwahyu

27 mei 2014 | 7 malam | Bukit Beruntung.





SUDUT PANDANG ILMUAN SYIAH TERHADAP MUKTAZILAH

Ramai akui bahawa pendiri aliran pemikiran muktazilah berasal dari salah seorang murid imam hasan basri (21-110 H) yang bernama Wasil bin Ata' (80-131 H)

Didakwa bahawa asal mahsul bagi fahaman itu adalah perdebatan antara guru dengan murid yang bertajuk pelaku dosa besar itu kafir atau masih mukmin.

pada guru, pelaku dosa besar adalah mukmin, sedangkan pada murid ia adalah kafir. Perdebatan yang panjang menjadikan murid mencipta satu teori "satu tempat antara dua tempat". Iaitu, pelaku dosa besar itu tidak mukmin dan tidak kafir. (84)

Dalam riwayat yang lain, mempamerkan kisah kononnya perdebatan itu tentang status anak kecil yang ibu bapanya tidak beragama Islam, lalu anak kecil itu dikira sebagai kafir atau mukmin,  seterusnya ke neraka atau ke syurga jika meninggal semasa kecil. Perdebatan itu menjadikan Wasil mengemukakan teori "satu tempat  di antara dua tempat". Iaitu, kanak-kanak itu tidak mukmin dan tidak kafir; kalau mati kecil, dia tak boleh masuk syurga dan tidak boleh masuk neraka. (P)

Sebilangan pengkaji mengatakan, kisah yang kedua tidak bersumberkan riwayat yang kuat berbanding kisah yang pertama.

Dari sudut sejarah, didapati kalangan muktazilah lebih kehadapan dalam perdebatan dan menjawab tuduhan musuh kepada Islam.  Ekoran itu, ada pihak mendakwa bahawa ajaran muktazilah banyak terpengaruh dengan fahaman agama selain islam ekoran perdebatan tersebut.

contoh : penafian terhadap konsep qadha dan qadar yang dianggap warisan dari Ma'bad bin Juhani (w : 80 H) yang kononnya terpengaruh dari fahaman nasrani. (85-86)

Begitujuga ada dakwaan mengatakan bahawa muktazilah terpengaruh dengan agama yahudi, iaitu salah satu aliran dalam yahudi yang bernama Farushim. Dalam bahasa mereka, farushim itu bermaksud menyendiri yang amat iras dengan maksud muktazilah dalam bahasa arab. (86)

namun, ada pihak menolak dakwaan itu. Ini kerana, farushim adalah aliran literalis dalam yahudi sedangkan muktazilah adalah aliran rasionalis. 

Namun begitu, dalam agama yahudi, ada aliran rasionalis yahudi bernama Shaduqi. Didapati aliran Shaduqi lebih iras dengan muktazilah dalam perdebatan mereka, seperti mereka sering berdebat dan berbincang tentang kebebasan dan kehendak manusia secara khusus. Ini berbeda dengan Farushim yang suka berbincang tentang sejauh mana baik atau buruk memakan telur pada hari sabtu. (90)

#akalwahyu

27 mei 2014 | 7:18 malam | Bukit Beruntung.




Ada pihak mengatakan bahawa pengaruh fikrah muktazilah adalah dari ajaran kitab-kitab yahudi dan nasrani,  ini kerana dilihat pada beberapa tokoh rujukan syiah, seperti Nazdam muktazili (w. 231 H) menghafal bukan sekadar al-Quran, malahan menghafal juga Taurat dan injil, disertakan mahir dengan tafsirannya sekali. (87)

Namun dakwaan itu ditolak,  kerana aliran muktazilah lebih pentingkan soal logik, sudah pasti ia tidak terpengaruh dengan teks kitab keagamaan. (P)

 Ada pihak menyatakan bahawa fikrah muktazilah adalah kesan dari berlawanan mereka dengan agama lain.  Ini dimisalkan seperti pandangan mereka tentang makhluknya al-Quran. Ini kerana, ia berbasiskan kepada debat dengan pihak kristian yang mengatakan Nabi Isa sebagai kalam Allah (kun Fayakun). Jika Kalam Allah itu qadim, sudah pasti Nabi Isa juga qadim, walhal mereka mahu mengatakan bahawa Nabi Isa itu makhluk,  makanya mereka menyatakan bahawa Kalam Allah adalah makhluk. Kesan dari keputusan itu, menjadikan mereka mengatakan al-Quran itu sendiri adalah makhluk.  (88)

Sebilangan ilmuan menyatakan bahawa Muktazilah menolak konsep qada dan qadar. Ini kerana, perkara itu boleh membawa kepada fahaman jabariyyah disamping mereka menukilkan perkataan Saidina Ali yang ada menyatakan;

"Kalau benar demikian, sudah pasti pahala dan azab tidak lagi beerti"

perkataan Saidina Ali terdapat sebuah kitab hadis syiah,  iaitu kitab al-Kafi oleh al-Kulaini.

Ini dikukuhkan lagi mereka dengan kisah Saidina Umar yang menangkap pencuri,  lalu untuk mempertahankan diri, pencuri itu menyatakan bahawa dia mencuri berdasarkan qadha tuhan. Maka Saidina Umar bukan sekadar mengenakan hukuman potong tangan kepada pencuri itu, malahan dikenakan hukuman sebat ekoran berdusta atas nama Allah. (89)

#akalwahyu

27 Mei 2014 | 11:51 malam | Tropikana sungai buloh.

Sebilangan besar ilmuan syiah yang mengkaji tentang Muktazilah beranggapan bahawa Muktazilah bukan sekadar terkesan dengan pengaruh falsafah Yunani, malahan mereka menerimanya. Sifat rasionalisma mereka menjadikan mereka menerima sepenuh hati tentang falsafah Yunani itu. (91)

Namun begitu, pandangan itu direndangkan dengan dakwaan bahawa kalangan muktazilah tidak menjadikan falsafah yunani sepenuh hati. Ini kerana, mereka lebih menekankan konsep sastera arab jahiliyyah dalam memahami nas berbanding menggunakan logika yunani (Aristotle). (91)

ini dibuktikan dengan dialog yang berlaku antara seorang tokoh bernama Jaafar Barmaki dengan Nadzam Muktazili yang berbincang tentang Aristotle. Nazham al-Muktazili menyatakan bahawa  beliau bukan sekadar menguasai logika Aristotle,  malahan beliau pernah menulis risalah mengkritik logika Aristotle itu. (92)

Dalam keadaan begitu, ramai ilmuan akui bahawa muktazilah punyai peranan besar dalam menjaga keaslian islam berbanding aliran lain. Terutama, keberanian pihak muktazilah berbanding aliran lain dalam berhadapan dengan kalangan yang bukan muslim dalam perdebatan teologi.

Antara perbincangan besar mereka adalah seperti tajuk keadilan Tuhan, kebaikan dan keburukan melibatkan makhluk atau Tuhan dan sebagainya. (92)

Dalam keadaan begitu, pembelaan mereka terhadap keaslian agama gagal ketika berhadapan dengan kalangan jabariyyah dalam isu kehendak Ilahi. Ini kerana, pada muktazilah,  mereka menolak konsep yang dibawa oleh jabariyyah demi membela konsep keadilan Tuhan. (93)

#akalwahyu

28 mei 2014 | 12:05 pagi | tropikana sungai buloh.

Dari sudut perbahasan ilmiah, ada pendapat menyatakan asal mausul bagi fikrah muktazilah adalah dari tajuk kewajipan bersyukur kepada Allah, apakah satu perkara yang wajib, waima kebaikan yang dikecapi manusia itu dinilai menggunakan akal, bukan dengan wahyu. Ini kerana, kalau wahyu sahaja sebagai penentuan baik dan buruk, maka tiada kewajipan bersyukur di kala tidak diturunkan wahyu.

Dari perbincangan itu, ia merebak kepada perbincangan kewajipan mengenal Allah tanpa menerusi wahyu, seterusnya tajuk penentuan baik dan buruk secara akal atau secara wahyu. (94)

Ada sebilangan manusia menyatakan bahawa muktazilah adalah kalangan yang meletakkan akal mengatasi wahyu. Dakwaan ini ditolak oleh ramai pengkaji.  Ini kerana, hakikat bagi muktazilah,  mereka tidak menolak wahyu, malahan akui bahawa akal tidak mendahului wahyu. Namun, faktor akal sebagai penilai terhadap wahyu. Jika bertembung antara wahyu dan akal, maka wahyu itu wajar ditakwil. (96)

Ini dikukuhkan dengan beberapa bukti,  iaitu seperti pendapat muktazilah yang menyatakan bahawa zat Allah itu tidak dapat ditanggapi dengan mata kepala,  kerana tindakan menanggapi zat Allah dengan mata kepala adalah sesuatu yang tidak rasional. Ia dikukuhkan lagi dengan firman Allah dalam surah al-Anam, ayat 103 yang menyatakan bahawa Allah itu tidak dapat dicapai dengan penglihatan mata. (97)

Namun begitu,  tanpa dinafikan, ekoran serangan dari musuh mereka yang kuat menjadikan sebilangan tokoh-tokoh dalam muktazilah menjadi kalangan yang radikal dalam menggunakan akal sebagai hendak mempamerkan keputusan mereka ketika berlawan. Kalangan radikal muktazilah ini menjadikan sudut pandang manusia terhadap muktazilah menjadikan akal mengatasi wahyu.

#akalwahyu

28 mei 2014 | 7:20 malam | Bandar Baru Sungai Buloh.



No comments:

Post a Comment