Ulama berkhilaf dan berselisih pendapat dalam menentukan
keizinan orang perempuan menjadi amil zakat. Mereka adalah seperti berikut;
Satu :
Orang Perempuan boleh menjadi amil zakat. Pendapat ini
didokong oleh kebanyakkan ulama-ulama dalam mazhab Hanbali. (Kasyf al-Qana’,
jld 2, hlmn 275)
Dua :
Orang perempuan tidak boleh menjadi amil zakat. Pendapat ini
didokong oleh kebanyakkan ulama dalam mazhab Syafie, Maliki dan satu riwayat
dalam mazhab Hanbali. (Jawahir al-Iklil, jld 1, hlmn 138; Majmuk, jld 6, hlmn
173)
HUJJAH
Pendapat masing-masing mempunyai hujjah yang mantap. Hujjah-hujjah
itu adalah seperti berikut;
Satu :
Firman Allah SWT;
إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ
عَلَيْهَا
Maksudnya;
“Hanya sesungguhnya
sedekah (zakat) itu diberikan kepada fakir, Miskin, para amil” (Surah al-Taubah, ayat 60)
Golongan yang melarang perempuan menjadi amil menggunakan alasan bahawa dalam
ayat ini, Allah SWT menyatakan bahawa antara yang boleh menerima zakat adalah
amil zakat. Dalam ayat ini, kalimah Amil di sini menggunakan imbangan jamak
muzakkar salim, iaitu lelaki.
Golongan yang mengizinkan pula menyatakan, walaupun ayat ini
mengggunakan lafaz muzakkar (lelaki), tetapi ia mengandungi maksud yang umum.
Ini kerana, tidak ada satu nas secara saheh dan sareh mengkhususkan penggunaan
ayat ini untuk lelaki, malahan tiada juga nas secara saheh dan sareh menyatakan
mentakhsiskan umum ayat ini dengan melarang perempuan dari menjadi ‘Amil.
Dua :
Nabi SAW ada berkata;
لَنْ يُفْلِحَ قَوْمٌ
وَلَّوْا أَمْرَهُمْ امْرَأَةً
Maksudnya;
“Tidak
berjaya kaum yang melantik perempuan uruskan urusan mereka” (al-Bukhari, hadis
no : 4073)
Golongan yang melarang menjadikan hadis ini sebagai alasan
bahawa maksud dalam hadis ini, Nabi SAW menyatakan bahawa urusan kaum itu tidak
boleh diserahkan kepada perempuan. Makanya, orang perempuan tidak boleh
menguruskan urusan zakat.
Golongan yang mengizinkan pula menyatakan, larangan dalam
hadis ini bersifat wilayah ammah, iaitu kepimpinan yang besar. Iaitu, ia melibatkan
membuat keputusan dalam perkara kenegaraan yang bersifat menyendiri. Adapun sebagai
pembuat kerja seperti kerja ‘Amil zakat, ia tidak termasuk dalam maksud hadis
ini.
Tiga :
Golongan yang melarang perempuan menjadi Amil menyatakan
bahawa tidak terdapat satu pengamalan di zaman Nabi Muhammad SAW, juga para
sahabat yang menyatakan perlantikan perempuan sebagai ‘Amil zakat.
Namun, golongan yang mengizinkan pula menyatakan bahawa tidak
terdapat dalam pengamalan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat terdahulu, tidak
memberi maksud atas pengharaman. Ini kerana, soal kutipan wang zakat (Amil), ia
bukan perkara ibadat secara khsuus yang memerlukan kepada nas yang saheh dan
sareh, tetapi ia tertakluk kepada kemaslahatan. Makanya, larangan atas alasan
tidak berlaku pada zaman nabi dan para sahabat adalah tidak tepat.
Wallahu ‘Alam..
No comments:
Post a Comment