Sunday, 18 March 2018

POLITIK : TA'AWUN SIYASI ATAU TAHALUF SIYASI?

TA'AWUN SIYASI ATAU TAHALUF SIYASI?

Oleh : Wan Ji bin Wan Hussin

1. 
Terma "Ta'awun Siyasi" atau "Tahaluf Siyasi", secara asasnya adalah terma yang tidak ada di dalam agama. Ia adalah terma yang diwujudkan oleh kalangan Islamisme, terutama dari kalangan Ikhwanul Muslimin yang memperkenalkan terma "Tahaluf Siyasi".


2. 
Ta'awun siyasi yang diterjemah sebagai kerjasama politik, dan Tahaluf siyasi diterjemah sebagai muafakat politik. Kedua-dua adalah istilah dalam bahasa Arab yang pada asalnya tiada kaitan dengan agama.


Ia dicontohkan seperti istilah "imamah" yang digunapakai dalam pemikiran Syiah. Asal penggunaan itu, sekadar untuk melawan narrative sunni Abbasiyyah yang semakin lemah dalam pentadbiran. Memandangkan kalangan Uthmaniah dari sunni juga sedang berebut pemerintahan dengan terma "Khalifah", makanya kalangan Syiah pula menggunakan terma "Imamah".

Namun selepas kejatuhan Abbasiyah, terma "imamah" yang di peringkat awal sekadar propaganda melawan terma "Khalifah" yang diguna oleh Abbasiyah dan Uthmaniah dari sunni, telah diwacanakan dengan didatangkan beberapa ayat Al-Quran dan hadis. Akhirnya menjadi satu kepercayaan dan agama.

Maka begitujuga terma "Tahaluf Siyasi", yang kini keluar pula satu terma baru yang diperkenalkan oleh PAS iaitu "Ta'awun Siyasi".

3. 
Dari sudut penggunaan dan perbahasan dalam kalangan Islamisme, apabila disebut "tahaluf siyasi", ia tidak boleh lepas terkandung di dalamnya "ta'awun Siyasi". Dengan makna, pakatan politik antara parti yang dikuasai Islamisme dengan parti-parti politik yang lain tidak akan berlaku kecuali berasaskan kepada membantu pada perkara yang ada kesamaan, tetapi mengambil sikap rundingan dan bertoleransi dalam perkara yang berbeza.


4. 
Islamism yang kita maksudkan adalah, gerakan yang diatas-namakan Islam dengan tujuan politik dan membina negara Islam. Tidak termasuk dalam perbincangan kita islamism dalam kerangka yang lain dari cita-cita menubuhkan negara Islam, seperti gerakan salafi, gerakan Asya'irah, gerakan Maturidiyyah, gerakan aswaja dan sebagainya.


Islamism yang berasaskan kepada reaksi terhadap kejatuhan Utsmaniyah Turki dari gerakan Mustafa Kamal atartuk yang membawa pemikiran sekularisme. Yang mana ketika itu, lahir pemikiran Islamisme dalam kerangka penubuhan negara Islam yang dibawa oleh Hassan al-Banna, kemudian diperkenalkan pula oleh Abu A'la Al-Maududi, seterusnya Syed Qutb dan sebagainya.

5. 
Golongan islamisme ini, mereka meletak satu kepercayaan bahawa membentuk negara Islam adalah satu kewajipan. Cuma kewajipan membentuk negara Islam itu, dari kalangan mereka itu terbahagi kepada dua; sama ada kewajipan dari sudut fekah ataupun kewajipan dari sudut akidah.


Kalangan yang menganggap menubuhkan negara Islam sebagai kewajipan akidah, lazimnya membawa kepada amalan kafir mengkafirkan sesama orang Islam. Antara pemikir yang cenderung kepada kerangka ini adalah Abul A'la Al-Maududi dan Syed Qutb.

6.


Kalangan ini melihat bahawa menubuhkan negara Islam adalah sesuatu yang mesti. Tetapi dirasakan seperti agak sukar tanpa mempunyai hubungan dengan parti-parti yang lain; yang tidak mempunyai ideologi Islamisme.

Lebih-lebih lagi, pemerintah yang ada ketika itu terlalu zalim dan menindas rakyat. Keadaan pemerintah sebegitu, didapati bukan kalangan islamism sahaja yang mahu menjatuhkannya, malahan kalangan parti-parti yang bukan islamisme juga turut sama mahu menjatuhkan pemerintahan tersebut.

Dari keadaan sebegitu, datang idea yang dinamakan "tahaluf siyasi". Iaitu mencari titik persamaan antara parti yang didokong oleh islamisme dengan parti-parti yang lain, walaupun mereka bukan dari kalangan islamisme.

7.
Apabila pendekatan "tahaluf siyasi" diperkenalkan, sudah pasti asasnya adalah bersatu dalam menjatuhkan kezaliman pemerintah.


Ia berasaskan kepada beberapa kaedah fekah, iaitu "melakukan mudarat yang kecil untuk mengelak dari berlaku mudarat yang besar", dan kaedah "Fiqh Awlawiyyat" (fekah keutamaan) dan "Sunnah al- Tadarruj" (perlaksanaan secara bertahap-tahap).

Dengan makna, bergabung dengan parti-parti lain itu adalah satu mudarat, tetapi mudarat itu adalah kecil berbanding tidak bergabung yang boleh menyebabkan pemerintah terus melakukan kezaliman yang merupakan mudarat yang besar. Disamping juga, melihat apa yang diutamakan untuk perlaksanaan pada ketika ini, dan apa yang perlu dilewatkan perlaksanaannya di masa akan datang.

8. 
Pendekatan "tahaluf siyasi" juga memerlukan kepada konsep "Ta'awun", iaitu saling bantu membantu dalam melakukan kebaikan dan ketaqwaan, dan tidak bantu membantu dalam melakukan dosa dan permusuhan. (Surah Al-Maidah, ayat 2)


Dengan makna, apabila "tahaluf siyasi" diperkenalkan, maka parti yang didokong oleh islamisme akan ada kesamaan dalam menegakkan kebaikan dan ketaqwaan, dan sesama menolak perkara yang dianggap sebagai dosa dan permusuhan.

Ekoran itu, dalam pemikiran "tahaluf siyasi" pasti wujud "Ta'awun", iaitu semua pihak perlu bersatu dalam melawan kezaliman yang merupakan dosa, menolak perkauman yang merupakan asas permusuhan, menolak penafian hak sesama warganegara walaupun berbeza anutan agama dan mazhab kerana ia merupakan asas bagi kebaikan, memberikan hak dalam mengamalkan agama masing-masing yang merupakan asas bagi ketaqwaan, dan begitulah seterusnya.

9. 
Walaubagaimanapun, ada pihak mengatakan perlu keluar dari kerangka "Tahaluf" dengan alasan tidak mencukupi syarat. Hakikatnya, semua syarat-syarat yang dikemukakan dalam pemikiran tahaluf bukan bersifat Qatie (pasti) dalam agama, sebaliknya masih dalam kerangka ijtihadi (sangkaan dan dugaan dari individu dalam gerakan Islam).


Contohnya, mereka meletakkan asas bahawa Tahaluf yang dibenarkan apabila membawa kepada kewujudan negara Islam, sedangkan konsep negara Islam itu sendiri tidak disepakati dalam kalangan ulama-ulama Islam yang terdahulu.

Ini kerana maksud bagi negara Islam itu, ada sebilangan ulama mengatakan, ia adalah sebuah negara yang diperintah oleh orang Islam; sebilangan yang lain mengatakan negara Islam adalah negara yang majoriti rakyatnya beragama islam; ada pula mengatakan negara Islam adalah negara yang terlaksana undang-undang Islam; ada pula mengatakan negara Islam adalah negara yang ada kebebasan orang Islam dalam mengamalkan Islam, dan berbagai lagi.

Kalau kita perhatikan dari sudut ini, sudah pasti ada beberapa negara dalam dunia ini boleh dianggap sebagai negara Islam, seperti Turki, walaupun mereka secara berperlembagaan mengatakan mereka sebagai negara sekular. Ini kerana, Turki adalah negara yang penghuninya secara majoriti adalah penganut agama Islam dan ada kebebasan dalam mengamalkan agama Islam, malahan pemimpin mereka juga beragama islam.

Lebih-lebih lagi, Islam ada kaedah mengajar "pengajaran itu dilihat pada kandungan, bukan dilihat pada nama". Bermakna, Walaupun Turki menggunakan label negara sekular, tetapi kandungan terhadap negara tersebut sudah selaras dengan maksud negara Islam dalam pendefinisian ulama-ulama Islam terdahulu.

Dengan itu jelas, dakwaan perlu keluar dari Tahaluf dengan alasan "negara Islam" adalah dakwaan yang tidak berasaskan kepada Islam sama sekali. Ia tidak lebih sekadar sentimen dan hawa nafsu bagi pemimpin parti yang didokong oleh islamisme itu sahaja. Lebih-lebih lagi, alasan keluar tahaluf siyasi itu menyebabkan pemerintahan yang zalim semakin terbela.

10. 
Sesuatu yang boleh diterima bahawa kewujudan "ta'awun" dengan keluar dari "tahaluf". Dengan makna, pemikiran mengatakan "ta'awun" tanpa "Tahaluf" itu berlaku, apabila sudah menganggap pemerintah sedia ada sudah tidak zalim lagi.


Ini kerana, asal pemikiran tahaluf adalah untuk menjatuhkan "dosa yang paling besar" dalam bernegara iaitu pemerintahan yang zalim. Justeru apabila pemerintahan sudah dianggap sebagai tidak zalim, maka sudah tidak ada Tahaluf lagi, walaupun masih lagi mengamalkan "ta'awun".

Selalunya gerakan yang menggunakan pendekatan "ta'awun tanpa tahaluf" adalah gerakan yang tidak terlibat dalam parti politik yang bertanding dalam pilihanraya dan tidak mempunyai cita-cita menang dan memerintah. Ini kerana mereka akan membantu sesiapa sahaja yang melakukan kebaikan, dan tidak membantu dalam melakukan kejahatan. Mereka mengambil sikap tidak "Nahi Mungkar" dari sudut kenegaraan, tetapi memilih selemah-lemah iman ketika melihat kemungkaran yang melibatkan pemerintah, iaitu membenci di dalam hati.

Wallahu A'lam.

2 comments: