Saturday 11 May 2013

ISLAM MENANG ATAU BERKUASA?


Aku berkeyakinan bahawa kemenangan dalam Islam itu adalah apabila manusia masuk islam; manusia dekat dengan Islam; manusia mengatakan Islam adalah agama indah; manusia melihat Islam berjaya memberikan hidup mereka bahagia. Manusia yang aku maksudkan adalah, manusia yang merangkumi muslim dan tidak muslim; bangsa melayu, cina, india, arab dan seluruhnya.

Aku berkeyakinan sebegitu kerana mengenangkan firman Allah dalam ayat pertama dan kedua dari Surah al-Nasr bahawa Allah SWt sendiri menyatakan bahawa apabila datang pertolongan dan kemenangan, kita akan lihat manusia akan masuk kepada Islam itu berbondong-bondong.

Adapun kekuasaan pemerintah, ia diberikan berasaskan sebagai hadiah dari Allah SWT. Dengan maksud, jika ia mahu diberikan oleh Allah, maka Allah akan berikan. Dan jika tidak diberi pun, ia juga dibawah kehendak Allah SWT. Ia berasaskan kepada ayat 26 dari surah ali-Imran.

Makanya, tugas umat Islam adalah berusaha untuk diberikan pertolongan oleh Allah SWT. Iaitu, berusaha melaksanakan keadilan dan kebajikan, memberikan hak kepada manusia, menyuruh makruf dan melarang dari berlaku kemungkaran. Ia berasaskan kepada surah al-Nahl, ayat 90.

Makanya, kekalahan yang telah menimpa kepada sesebuah kerajaan yang diperintah oleh orang islam, sewajarnya perlu dilihat faktor keadilan dan kebajikan ini; faktor orang semakin melihat Islam sebagai rahmat semasa kita memerintah, atau orang semakin menjauhkan diri dari Islam apabila melihat kita memerintah.

Kalau di kalangan orang islam yang mendakwa diri sebagai pendokong gerakan Islam pun boleh melakukan khianat, sudah pasti ia mempamerkan keburukkan dari sudut pandangan manusia terhadap Islam yang dibawa. Makanya tidak hairan, keadaan itu memberikan keputusan yang malang dan menyedihkan kepada golongan yang membawa panji perjuangan islam.

Wallahu ‘alam..





No comments:

Post a Comment