Monday 10 June 2013

TIADA WILAYAH FAQEH DALAM SUNNI (6)

Dalam syiah, pemimpin itu adalah lantikan tuhan. Makanya tidak hairan, mereka meletakkan imam 12 dari kalangan ahl al-Bait, merujuk kepada keluarga Nabi Muhammad SAW dari susur galur Ali dan Fatimah, Hasan dan semua dari keturunan Husain. Ini membedakan dengan sunni yang meletakkan bahawa pemimpin itu berdasarkan kepada kelayakkan, bukan lantikan tuhan.

Pada syiah, ahl al-Bait itu sifatnya suci dari sebarang dosa, atau disebut dalam kata lain adalah  ma’sum berdasarkan kepada firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab, ayat 33;

إِنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ لِيُذْهِبَ عَنْكُمُ الرِّجْسَ أَهْلَ الْبَيْتِ وَيُطَهِّرَكُمْ تَطْهِيرًا

Maksudnya;
            “Sesungguhnya Allah hendak menghilangkan dosa dari kamu, hai ahlul bait dan membersihkan kamu sebersih-bersihnya” (Surah al-Ahzab, ayat 33)

Ekoran itu tidak hairan, kita dapati bahawa sifat wala’ dalam syiah dan sunni itu tidak sama. Selain itu, kritikan terhadap pemimpin secara terbuka, dari sudut pandang syiah dan sunni juga turut tidak sama. Ini semua kerana, sifat lantikan tuhan sememangnya suci (merujuk kepada Ahl al-Bait dalam syiah), sedangkan lantikan pemimpin berdasarkan kelayakkan yang beoriantasikan pilihan manusia, sudah pasti terdapat sebarang kelemahan dan kecacatan. Dengannya, memerlukan kritikan dan pembaik pulih.

WALA’ PEMIMPIN

Dalam sunni, ketaatan kepada pemimpin itu tidak mutlak, sebaliknya tertakluk kepada syarat. Dr Bashir Jahsy Maulud menyatakan dalam buku fi al-Ijtihad al-Tinzili, bahawa antara syarat-syaratnya adalah;
1-      Sama ada tidak bercanggah dengan nas yang saheh dan sareh, atau dalam kata lain, tidak menyanggahi hukum yang qatie atau pasti, seperti tidak boleh taat jika pemimpin itu melarang agar tidak solat, agar tidak berpuasa dan sebagainya.

Sabda Nabi Muhammad SAW;

السَّمْعُ وَالطَّاعَةُ عَلَى الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ فِيمَا أَحَبَّ وَكَرِهَ مَا لَمْ يُؤْمَرْ بِمَعْصِيَةٍ فَإِنْ أُمِرَ بِمَعْصِيَةٍ فَلَا سَمْعَ عَلَيْهِ وَلَا طَاعَةَ

Maksudnya;
            “Dengar dan taat menjadi tanggungjawab seseorang muslim pada perkara yang dia suka dan dia tidak suka, selama ia tidak menyuruh kepada maksiat. Sekiranya dia disuruh dengan maksiat, maka tiada dengar dan taat kepadanya”  (al-Tirmizi, hadis no : 1629)

2-       atau, mentaati pemimpin itu hendaklah tidak menyanggahi kemaslahatan umum. Dengan maksud, tidak salah menyalahi pemimpin yang tidak melakukan kezaliman, penipuan, khianat, fitnah dan sebagainya. ini kerana, tindakan

Sabda Nabi SAW;

لَيْسَ مِنَّا مَنْ دَعَا إِلَى عَصَبِيَّةٍ وَلَيْسَ مِنَّا مَنْ قَاتَلَ عَلَى عَصَبِيَّةٍ وَلَيْسَ مِنَّا مَنْ مَاتَ عَلَى عَصَبِيَّةٍ

Maksudnya;
            “Bukan dari kalangan kami mereka yang menyeru kepada asobiah; bukan dari kalangan kami yang berperang atas dasar asobiah; bukan dari kalangan kami orang yang mati atas dasar asobiah” (Abu Daud, hadis no : 4456)

Dalam riwayat lain, Moyang kepada Wasilah bin al-Asyqa3 bertanya tentang maksud Asobiah. Nabi Muhammad SAW menjawab;

أَنْ تُعِينَ قَوْمَكَ عَلَى الظُّلْمِ

Maksudnya;
            “Bahawa kami membantu kaum kamu atas kezaliman” (Abu Daud, Hadis no : 4454)

Asas bagi keizinan tidak taat dalam kerangka ini adalah kerana, sifat pemimpin dalam sunni itu adalah berdasarkan kepada kelayakkan yang dilihat oleh manusia, bukan lantikan tuhan terhadap Ahl al-Bait seperti yang difahami dalam syiah.

Atas asas lantikan pemimpin dalam sunni adalah dengan kelayakkan, bukan lantikan Tuhan, makanya dalam sunni, ketaatan kepada pemimpin itu bersifat rasional. Jika sesuatu keputusan itu mempamerkan kezaliman, atau menguntungkan kelompok yang kecil berbanding menguntungkan rakyat secara melata, keputusan yang memberi kerosakan yang lebih besar berbanding mencapai kebaikan kepada rakyat, maka keputusan pemimpin itu tidak boleh ditaati, malahan boleh ditolak dan dibantah.

Ini berdasarkan kepada hadis daripada Ali bin Abi Talib bahawa beliau ada bercerita. Dalam satu peperangan, Nabi Muhammad SAW ada melantik seorang lelaki dari ansar untuk mengepalai satu angkatan tentera. Nabi Muhammad SAW mengarahkan agar para sahabat taat dengan perintah lelaki terbabit. Satu masa, lelaki terbabit telah mengarahkan sahabat mengumpul kayu dan para sahabat akur tanpa bantah.  Kemudian, disuruh mereka menyalakan api, juga mereka akur tanpa bantah. Lalu, lelaki itu menyuruh semua para sahabat terjun dalam api yang dinyalakan tersebut. sebilangan sahabat ada yang mahu terjun, tetapi dihalang sebilangan sahabat yang lain. Mereka lari meninggalkan api tersebut dan menuju kepada Rasulullah SAW. Mereka bertanya kepada Nabi Muhammad SAW perkara itu. Mendengar pertanyaan mereka, nabi Muhammad SAW menjawab;

لَوْ دَخَلُوهَا مَا خَرَجُوا مِنْهَا إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ الطَّاعَةُ فِي الْمَعْرُوفِ

            Maksudnya;
            “Kalau mereka masuk dalam api tersebut, mereka tidak akan keluar dari api itu sampai hari kiamat (masuk neraka). Ketaatan itu pada perkara ma’ruf” (al-Bukhari, Hadis no : 3995)

Memahami perkara ini, kita akan dapati bahawa dalam sunni, ketaatan terhadap pemimpin itu tidak akan lahir beberapa perkara, iaitu;

1-      Tidak akan berlaku asobiah dalam berpolitik

Larangan Asobiah ini, sudah dinyatakan nas larangannya di atas.

2-      Tidak akan berlaku ghuluw dalam agama.

Larangan Ghuluw dalam agama ini cukup banyak terdapat dalam nas, antaranya adalah seperti  Firman Allah;

وَلَا تَعْتَدُوا إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ

Maksudnya;
            “Jangan kamu melampaui-lampau, sesungguhnya Allah SWT tidak suka kepada orang yang melampaui” (Surah al-Baqarah, ayat 190)

Juga sabda Nabi SAW;

هَلَكَ الْمُتَنَطِّعُونَ

Maksudnya;
            “Telah binasa orang yang melampau-lampau” (Muslim, hadis no : 4823. Dalam hadis, disebut bahawa Nabi SAW mengungkapkannya sebanyak 3 kali)

3-      Tidak akan berlaku budaya apa yang dinamakan halalkan fitnah, khianat dan sebagainya atas nama agama

Larangan memfitnah sememangnya terhalang dalam Islam, juga dari sudut fitrah manusia. melakukan tuduhan tanpa berasas, dalam beberapa keadaan boleh dikenakan hukuman qazaf. Fitnah yang melibatkan penzinaan, dikenakan qazaf yang berbentuk hudud. Adapun fitnah selain itu, dalam beberapa keadaan boleh dikenakan hukuman ta’zir.

Mengkhianati juga bukan budaya Islam. Ini kerana, sifat Islam itu mengajar agar menghormati perjanjian.

Firman Allah;

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا أَوْفُوا بِالْعُقُودِ

Maksudnya;
            “Wahai orang-orang yang beriman, sempurnakan janji-janji” (Surah al-Maidah, ayat 1)

Juga sabda Nabi Muhammad SAW;

الْمُسْلِمُونَ عَلَى شُرُوطِهِمْ

Maksudnya;
            “Orang Islam itu berpegang dengan syarat-syarat mereka” (Abu Daud, hadis no : 3120)

Tindakan menghalalkan khinat dan melanggar perjanjian adalah perkara yang diharamkan dalam agama. jika pemimpin melakukannya, lalu ada ahli bawahan mempertahankan tindakan itu, ia sama seperti apa yang Allah SWT nyatakan tentang Bani Israel.

Firman Allah;

اتَّخَذُوا أَحْبَارَهُمْ وَرُهْبَانَهُمْ أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللَّهِ

Maksudnya;
            “Mereka menjadikan para ahbar dan para rahib sembahan selain dari Allah” (Surah al-taubah, ayat 31)

dalam menafsirkan ayat ini, Imam Ibn Kathir mendatangkan satu kisah tentang seorang lelaki ahli kitab bernama ‘Adi bin Hatim yang datang kepada Nabi dalam keadaan memakai salib ditengkoknya. Ketika mendengar ayat ini, ‘Adi bertanya kepada Rasulullah SAW bahawa ahl kitab tidak pernah menyembah para rahib dan ahbar mereka. Mendengar itu, Nabi Muhammad SAW menyatakan;

بلى، إنهم حرموا عليهم الحلال، وأحلوا  لهم الحرام، فاتبعوهم، فذلك عبادتهم إياهم

Maksudnya;
            “Sememangnya. Sesungguhnya (para rahib dan para ahbar) mereka haramkan kepada mereka perkara halal, dan halalkan kepada mereka perkara yang haram, lalu mereka ikut para rahib dan para ahbar mereka, maka itu adalah sembahan mereka kepada para rahib ran para ahbar mereka” (Ibn Kathir, jld 4, hlmn 135)

Bersambung….



No comments:

Post a Comment