Saturday 8 June 2013

TIADA WILAYAH FAQEH DALAM SUNNI (5)

Dalam syiah, pemimpin mesti dari kalangan imam. Bila ketiadaan imam (al-Ghaibatul kubra), sebilangan ulama dalam imamiah, seperti al-Khomaini “berijtihad” mencadangkan apa yang dinamakan kepimpinan ulama-ulama syiah yang dikenali wilayah faqeh. Seramai dua belas orang ayatollah yang memegang jawatan ini. dua belas orang ayatollah itu, mempunyai syarat yang cukup ketat, seperti penguasaan terhadap ilmu fiqh politik dalam syiah yang begitu luas,  kepakaran dalam irfan yang cukup mendalam dan mempunyai kemampuan pembacaan yang cukup luas.

Dalam sunni, ulama atau dalam istilah Irannya ayatollah tidak menjadi syarat bagi kepimpinan. Tetapi, pemastiannya adalah tertakluk kepada kejayaan memberikan kemaslahatan kepada rakyat dengan berbekalkan kepada dua perkara asas, iaitu al-Qawi  atau berkemampuan dan al-Amin atau beramanah.

Makanya, dalam sunni, kebijakan pemimpin untuk menjayakan dua perkara ini amat perlu. Lebih-lebih lagi dalam negara atau pengamalan dalam bidang politik yang mengamalkan sistem demokrasi. Ini kerana, dalam demokrasi, wujud apa yang dinamakan sebagai persaingan. Apabila banyak parti atau pihak yang berbeda, persaingan untuk memastikan kemenangan terdiri dari pihak yang berjaya mempengaruhi rakyat. Dengan kebijakan, rakyat akan memilih pemimpin yang al-Qawi dan al-Amin, tetapi tanpa kebijakan pemimpin, dua perkara ini tidak berjaya dilaksanakan, tetapi terlepas kepada orang yang tidak amanah.


Kepentingan kebijakan pemimpin ini boleh menjadi wajib dalam masa, tempat atau kondisi tertentu. Kebijakan pemimpin itu wajib, di kala tiada kebijakan itu akan menyebabkan negara atau negeri diperintah oleh golongan yang tidak ada al-Qawi dan al-Amin.

Melihat keadaan ini, melantik pemimpin yang ada kebijakan ini berasaskan kepada kaedah;

ما لا يتم الواجب الا به فهو واجب

Maksudnya;
            “perkara yang tidak sempurna kewajipan kecuali dengannya, maka melakukannya itu adalah wajib”

Selain kaedah ini, dilihat kepada beberapa athar terhadap pendalilan ini adalah seperti berikut;

            Satu: Firman Allah

وَقَالَ لَهُمْ نَبِيُّهُمْ إِنَّ اللَّهَ قَدْ بَعَثَ لَكُمْ طَالُوتَ مَلِكًا قَالُوا أَنَّى يَكُونُ لَهُ الْمُلْكُ عَلَيْنَا وَنَحْنُ أَحَقُّ بِالْمُلْكِ مِنْهُ وَلَمْ يُؤْتَ سَعَةً مِنَ الْمَالِ قَالَ إِنَّ اللَّهَ اصْطَفَاهُ عَلَيْكُمْ وَزَادَهُ بَسْطَةً فِي الْعِلْمِ وَالْجِسْمِ وَاللَّهُ يُؤْتِي مُلْكَهُ مَنْ يَشَاءُ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya;
            “Nabi mereka mengatakan kepada mereka: "Sesungguhnya Allah telah mengangkat Thalut menjadi rajamu." Mereka menjawab: "Bagaimana Thalut memerintah kami, padahal kami lebih berhak mengendalikan pemerintahan daripadanya, sedang diapun tidak diberi kekayaan yang cukup banyak?" Nabi (mereka) berkata: "Sesungguhnya Allah telah memilih rajamu dan menganugerahinya ilmu yang luas dan tubuh yang perkasa." Allah memberikan pemerintahan kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Luas pemberian-Nya lagi Maha Mengetahui” (Surah al-Baqarah, ayat 247)

Ayat ini, Allah SWT menyatakan kelayakkan Talut untuk memimpin dengan ada dua perkara pada dirinya, iaitu keluasan ilmu dan kekuatan tubuh badan. Keluasan ilmu pada kondisi Talut adalah kepandaian dalam strategi perang dan kekuatan badan dalam berhadapan dengan musuh.

Ibn Asyur dalam mengomentari perkara ini dengan katanya;
            “Ia adalah perkara yang sangat perlu dalam politik atau dalam mentadbir urusan umat. Iaitu, ia mampu kembali kepada pandangan yang tepat dan kekuatan tubuh badan. [ini kerana] dengan pandangan [yang tepat] itu dapat memberi banyak kemaslahatan kepada umat, walau dalam waktu yang sempit sekalipun, atau dikala sukar mendapat keputusan dari pihak yang diminta pandangan atau dikala berlaku perselisihan dalam ahli-ahli mesyuarat. Dengan kekuatan pula, ia mampu melahirkan kekukuhan dalam keyakinan tentera [petugas dan ahli bawahan]” (Tanwir wa Tahrir : 2/405)

            Kedua :
            Umar bin Al-Khattab seorang khalifah yang tidak dinafikan mempunyai kebijakan ajaib ini. ini terbukti, bahawa beliau banyak melakukan ijtihad-ijtihad baru yang ternyata memberi banyak keuntungan kepada Islam.

Namun, beliau juga mempunyai kelemahan-kelemahan sebagai manusia biasa. Ekoran itu, beliau mempunyai penasihat-penasihat yang hebat, yang dapat membantu beliau dalam menajamkan lagi kebijakan ajaib yang ada pada diri beliau.

Diceritakan dalam satu atsar, bahawa seorang perempuan muda telah datang berjumpa dengan Umar yang ketika itu, Kaab bin Sur sedang duduk bersama dengannya.

Perempuan itu berkata, “Wahai Amirul Mu’minin, aku tidak melihat seorang pun lelaki yang lebih baik daripada suamiku. Demi Allah, malamnya sentiasa qiyamullail, dan siangnya sentiasa berpuas”.

Mendengar perkataan perempuan itu, Umar memuji suaminya itu. Perempuan itu merasa malu dan terus pulang dengan wajah yang hampa.

Melihat keadaan itu, Kaab berkata kepada Umar, ”Wahai Amirul Mu’minin, apakah tuan tidak mengira masalah perempuan itu terhadap suaminya?

Umar berkata, “apa sebenarnya? Lalu berkata (kaab), sesungguhnya perempuan itu datang untuk membuat laporan kepada kamu. Apabila suaminya sentiasa dengan ibadat, bilakah masanya suaminya meluangkan masa untuknya (dengan jimak)?”

Mendengar kata-kata kaab, Umar menyuruh suami perempuan itu dipanggil. Ketika suami itu berada di hadapan Umar, Kaab diminta agar menjatuhkan hukuman terhadap suami tersebut.

Kaab terus berkata, ”Sesungguhnya aku melihat, seakan-akan lelaki ini mempunyai tiga orang isteri. Dan isterinya (yang datang) itu adalah isteri yang keempat. Maka aku hukumkan kepadanya, tiga hari dan tiga malam merupakan hari dia beribadat (puasa dan qiyamullail), dan bagi isterinya adalah hari yang keempat pada siang dan malamnya”

Umar bertanya, bagaimana kamu berhukum ini? Kaab menjawab, aku berdalilkan firman Allah SWT;

فَانْكِحُوا مَا طَابَ لَكُمْ مِنَ النِّسَاءِ مَثْنَى وَثُلَاثَ وَرُبَاعَ

”Maka kawinilah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi : dua, tiga atau empat” (Surah An-nisa’, ayat 3)

Mendengar ini, Umar terus berkata; ”Demi Allah, pandangan kamu dalam perkara pertama adalah bersangatan aku kagum berbanding satu lagi. Pergilah kamu menjadi qadi kepada penduduk Basrah” (Al-Mughni : 16/53 – 54)

Makanya, dalam sunni, pemimpin secara asasnya memerlukan kepada dua perkara, iaitu al-Qawi dan al-Amin, tetapi dalam syiah, diperlukan imam yang kemudian digantikan dengan kepimpinan ulama-ulama syiah atau atas lebel wilayah faqeh setelah diijtihadkan di kalangan ulama-ulama syiah imamiah. Namun begitu, di kalangan sunni, kedua-dua perkara ini tidak tercapai kecuali dengan pemimpin yang bijak, sepertimana kehendak dalam sistem demokrasi yang bersaing, makanya melantik pemimpin yang bijak itu adalah satu kewajipan, waima bukan dari kalangan ayatollah atau ulama sekalipun.

Bersambung…



No comments:

Post a Comment