Sunday 2 March 2014

Hukum derma organ

DERMA ORGAN

Ulama kontemporari ada berhujah dalam isu derma organ badan kepada orang yang memerlukan.

Secara dasarnya, perbincangan itu diklasifikasikan kepada dua; pertama, hukum luzatih,  iaitu hukum asal, dan kedua, hukum lighairih, iaitu hukum yang berubah berdasarkan faktor-faktor tertentu.

Ia diumpamakan hukum memakai furdah bagi perempuan,  hukum lizatihnya adalah harus, tetapi ia  boleh bertukar kepada wajib, jika seseorang perempuan itu tidak memakainya boleh mendatangkan fitnah, atau ia boleh menjadi haram, jika diizinkan memakai akan mendatangkan fitnah yang lebih besar seperti dijadikan peluang oleh pencuri untuk tidak dikenali semasa mencuri dengan memakai furdah.

Hukum memakai furdah dari harus yang bertukar kepada haram dan wajib itu dikenali dalam istilah ulama usul sebagai hukum lighairih.

HUKUM LIZATIH

Hukum memberi anggota badan kepada orang lain adalah dilarang dalam Islam dengan beberapa alasan hujah. Antaranya adalah firman Allah dalam surah At-Tīn:4 - Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya).

Begitujuga dengan firman Allah dalam surah Al-'Isrā':70 - Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.

Tidak ketinggalan dengan merujuk kepada hadis riwayat imam Ibn Majah  bahawa nabi saw ada berkata, "memecahkan tulang mayat sama seperti memecahkan tulangnya semasa hidup".

Dari hujah-hujah ini, jadikan alasan sebilangan ulama bahawa tidak boleh menderma anggota badan kepada orang lain.

HUKUM LIGHAIRIH

Namun begitu, faktor teknologi yang semakin canggih tidak boleh diabaikan dalam merawat manusia. Contohnya seperti perpindahan organ manusia, lalu diberikan kepada orang yang memerlukannya.

Dr Ali Jumuah dan al-Qaradawi antara tokoh yang secara terang-terangan mengatakan keizinan menderma anggota badan lalu diberikan kepada orang memerlukan dari sudut kesihatan. 

Antara hujah-hujah mereka adalah dengan merujuk kepada nas al-Quran dan Hadis yang cukup banyak menekankan soal kesihatan dan menjauhkan diri dari melakukan tindakan yang boleh merosakan kesihatan manusia.

Antaranya firman Allah dalam surah Al-Baqarah:195 - janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan"

Juga dalam firman Allah dalam surah An-Nisā':29 - janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.

Merujuk kepada ayat-ayat al-Quran, kelihatan betapa Islam amat menentukan kesihatan manusia. Jika kesihatan pada diri sendiri pun wajar di jaga, sudah pasti membiarkan orang lain berada dalam penyakit adalah dilarang.

Firman Allah dalam surah  Al-Mā'idah:32 - sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya; dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya.

Sesuatu penyakit pula, dinyatakan oleh Nabi Muhammad saw bahawa pasti akan disediakan ubat oleh Allah swt.

Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, bahawa Nabi saw ada berkata, "Sesungguhnya Allah tidak akan menurunkan penyakit, kecuali Allah akan turunkan bersamanya penawar".

Dr Ali Jumuah menyatakan, keizinan derma organ atau anggota badan kepada yang memerlukan kerana melihat keperluan menjaga kemaslahatan orang hidup lebih diutamakan berbanding kemaslahatan orang yang mati.

Al-Qaradawi pula menyatakan keizinan itu berdasarkan jawapan beliau terhadap pandangan Syaikh Sya'rawi yang melarang dengan alasan bahawa anggota dan organ badan itu adalah milik Allah. Al-Qaradawi menjawab bahawa dalam al-Quran harta juga adalah milik Allah, tetapi harta itu tidak salah dipindahkan kepada manusia lain mengikut batasan syarak.

Dalil yang dipegang oleh al-Qaradawi adalah merujuk kepada firman Allah dalam surah Al-Ĥadīd:7 - dan belanjakanlah (pada jalan kebajikan) sebahagian dari harta benda (pemberian Allah) yang dijadikannya kamu menguasainya sebagai wakil. Maka orang-orang yang beriman di antara kamu serta mereka membelanjakan (sebahagian dari harta itu pada jalan Allah); mereka tetap beroleh pahala yang besar.

Juga firman Allah dalam surah An-Nūr:33 - Dan berilah kepada mereka dari harta Allah yang telah dikurniakan kepada kamu.

Jadi dalam dua firman Allah ini membuktikan bahawa harta juga adalah milik Allah, tetapi diserahkan kepada manusia untuk dimanfaatkan dan dimakmurkan, tanpa menjadi kesalahan jika dipindahkan kepada orang lain. Maka begitu juga dalam isu derma organ atau anggota badan kepada orang-orang yang memerlukan ekoran faktor kesihatan.

Dalam keadaan begitu pun, mereka tidak izinkan derma organ itu secara mutlak, sebaliknya terikat dengan beberapa syarat-syarat.

antara syarat-syaratnya adalah seperti perlaksanaan perpindahan organ itu berasaskan kepada keperluan dharurat dan dipastikan bahawa memindahkan organ itu terbukti boleh merawat. Disamping itu juga, ia tidak mendatangkan kerosakan yang lebih besar, seperti perpindahan organ itu menjadikan nyawa si pesakit semakin berbahaya atau sebagainya. Ketiga-tiga syarat ini tidak dapat diketahui kecuali mendapat pengakuan dan nasihat pakar.

Disyaratkan juga bahawa penderma itu mengizinkannya dalam bentuk wasiat yang  bersurat. Ia untuk mengelak berlaku pertikaian di masa akan datang. Tidak diabaikan bahawa anggota dan organ itu tidak dijual, sebaliknya pembayaran yang berlaku hanya melibatkan kos perubatan dan rawatan, bukan harga anggota dan organ badan tersebut.

Wallahu alam

3 mac 2014 | 12:51 pagi | TSB Sungai Buloh.

No comments:

Post a Comment