Tuesday 11 March 2014

JENIS-JENIS DAKWAAN IJMAK

IJMAK RAKYAT TANAH HARAM DAN DUA BANDAR

Yang dimaksudkan dengan dua tanah haram (al-Haramain) adalah Mekah dan Madinah, sedangkan maksud dengan dua bandar (al-Misrain) adalah Basrah dan Kufah.

Kesepakatan kata di kalangan mereka tidak boleh diiktiraf sebagai ijmak. Ini kerana, mereka bukan satu-satunya umat, sebaliknya mereka hanya salah satu kalangan umat sahaja, juga mereka tidak mewakili umat seluruhnya.
Golongan yang beralasan kesepakatan pendapat mereka sebagai ijmak beralasan bahawa para sahabat berada di tempat tersebut, dan tidak ada yang keluar dari tempat tersebut kecuali sedikit.  Alasan itu dijawab bahawa dakwaan terdapat di kalangan sahabat yang tersebar di tempat - tempat yang lain, seperti Iraq, Yaman dan Sham. Juga dijawab bahawa dakwaan ijmak hanya terbatas kepada sahabat sahaja adalah tidak tepat, kerana ijmak itu lebih luas dari itu, iaitu melibatkan kepada kalangan selain sahabat. (512)

IJMAK KHULAFA RASHIDIN

al-Qadhi Abu Hazim dari mazhab Hanafi dan Imam Ahmad bin Hanbal berpendapat bahawa kesepakatan pendapat di kalangan khulafa rashidin (Abu Bakar, Umar, Osman dan Ali) adalah ijmak dan tidak boleh sesiapa pun menyalahi mereka. (512)

Mereka beralasan dengan beberapa hadis, antaranya bahawa Nabi saw ada berkata, "hendaklah kamu ikut sunnahku dan sunnah Khulafa Rashidin selepas ku dan gigitlah ia dengan gigi geraham". (Abu Daud, Ibn Majah, Ahmad, Ibn Hibban, Tarmizi)

Dijawab bahawa maksud hadis adalah merujuk bahawa mereka sebagai golongan yang layak diikut, dengan tidak bermaksud bahawa tidak ada sesiapa pun boleh berbeda pendapat dengan mereka.

Lebih-lebih lagi, terdapat hadis yang sama tahap dengan hadis ikut Khulafa Rashidin itu yang menyatakan agar mengikut sahabat yang lain, seperti Nabi saw ada berkata, "Aku redha untuk umatku terhadap perkara yang diredhai oleh Ibn Umm 'Abd". Hadis ini merujuk kepada Ibn Mas'ud.

Juga hadis bahawa Nabi Muhammad saw berkata,  "Abu Ubaidah bin al-Jarrah adalah orang amanah dalam umat ini". (513)

Dari ini nyata bahawa kesepakatan empat khalifah tidak dikira sebagai ijmak, kerana mereka sebahagian dari umat, bukan satu-satunya umat atau mewakili umat seluruhnya.  (514)

IJMAK AHLI AL-BAIT

Di kalangan Imamiyyah dan Zaidiyyah, mereka berpendapat bahawa kesepakatan pendapat di kalangan ahl al-Itrah adalah hujah ijmak.

Yang dimaksudkan dengan Ahl al-'itrah itu adalah Saidina Ali,  Saidatina Fatimah dan dua orang anak mereka,  iaitu Saidina Hasan dan Saidina Husain. (515)

Dalil-dalil yang mereka pegang adalah firman Allah Al-'Aĥzāb:33 - Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan diri kamu - wahai "AhlulBait" dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari segala perkara yang keji).

Dalam ayat ini,  Allah swt menyatakan bahawa Allah membersihkan ahli al-Bait. Ekoran itu mereka bersih dan sudah pasti terselamat dari kesalahan. Ini ditambah lagi bahawa ahli keluarga Nabi adalah golongan yang paling rapat dengan Nabi, menjadikan perbuatan,  perkataan dan diam Nabi itu amat mereka ketahui.

Dijawab bahawa jika diteliti pada ayat sebelumnya, didapati ia menceritakan tentang isteri-isteri nabi. Lebih-lebih lagi, para isteri nabi juga mempunyai pengetahuan tentang perkataan, perbuatan dan diam Nabi seperti mana Saidina Ali,  Saidatina Fatimah,  Saidina Hasan dan Saidina Husain, malahan kemungkinan lebih mengetahui berbanding mereka.

Makanya dakwaan itu mengkhususkan kepada Saidina Ali, Saidatina Fatimah, Saidina Hasan dan Saidina Husin itu tidak tepat, sebaliknya perlu disertakan juga para isteri nabi. (516-517)

Dari penjelasan ini, nyata bahawa kesepakatan ahli keluarga Nabi tidak mewakili ijmak,  sebaliknya mereka punyai pendapat yang boleh diambil kira, tetapi tidak dilarang golongan lain untuk berbeda pendapat dengan mereka. (518)

Wallahu alam

11 Mac 2014 | 4:32 petang | TSB sungai Buloh.

1 comment:

  1. salam, saya ada gunakan blog ust sbgi rujukan assigment sy, boleh tak ust email saya judul kitab yg ust jadikan rujukan di atas, syukran

    ReplyDelete