Sunday, 18 May 2014

BELAJAR KONSEP LOGIKA - MUTAHHARI

BELAJAR KONSEP LOGIKA
Jodol asal : Asynai’I ba ‘Ulum-e Islami


Oleh : Murtadha Muthohhari
Penterjemah : Ibrahim Husein al-Habsyi
Terbitan : Rausyanfikr Institute, Yogyakarta
Tarikh : Mei 2013 (Cetakan kedua)
Tebal : 150

Didakwa bahawa pencetus serta penyusun ilmu mantik adalah Aristotle dari yunani. Mantik ala Aristotle yang paling besar dibukukan dalam kalangan orang islam adalah mantik al-Syifa karya Ibn Sina.

Teks karya Aristotle dalam bahasa yunani diterjemah ke bahasa arab oleh Hunain bin Ishaq. Dalam banyak penilitian, mendakwa bahwa terjemahan hunain itu adalah terjemahan yang paling teliti. (1)
Mantiq Aristotle dikenali sebagai mantiq suri. (5)

Pada mutahhari, mantik bermaksud aturan berfikir benar. (2) Dengan maksud, ia menjaga fikiran dari kesalahan dalam berfikir.

Menurut mutahhari, fikir akan menghubungkan beberapa hal yang diketahui (maklum) untuk hasilkan maklum yang baru dengan cara mengubah hal yang tak diketahui (majhul) menjadi maklum. (3)

Bukan semua maklumat dapat menberi kesimpulan, tetapi maklumat yang dapat memberikan kesimpulan yang benar jika mengikut aturan berfikir (mantik). (3-4)

#mantiqmutahhari

Dalam ulasan mutahhari, mantik ini perlu kepada dua; bentuk dan materi (premis).
Kalau salah satunya salah, maka kesimpulannya juga salah.

Contoh salah materi;

*Socrates adalah manusia,
*Setiap manusia bertindak zalim.
** Socrates bertindak zalim.
Contoh salah bentuk;
*Socrates adalah manusia, 
*Socrates seorang ilmuan.
** manusia adalah ilmuan. (5)

#Mantiqmutahhari

Dalam mantik, mesti ada berjumpa dengan dua perkara;
1.    Tasawwur
2.    Tasdiq

Menurut mutahhari, dua perkara ini, yang mula2 sekali tawarkan adalah al-Farabi (Abu Nasr Muhammad bin Tarkhan al-Farabi). (18)

Menurut ulasan mutahhari, susunan hal ini adalah seperti berikut;
Idrak – ke -  tasawwur – ke- tasdiq. (15)

Kupasan mutahhari, titik tolak idrak adalah jahil. Saat indera menanggapi sesuatu perkara, ia akan membawa kepada tasawwur dalam akal.

Tasawwur itu, perlu diberikan hukum. Diberikan hukum itu dinamakan sebagai tasdiq.

Contoh : ketika manusia menanggapi hawa yang panas, tergambar (tasawwur) dalam pemikiran manusia tentang hawa dan panas. Lalu, ada proses penelitian sehingga kita tahu keadaan yang sebenar terhadap apa yang kita tasawwur itu. Ia dinamakan sebagai tasdiq. (17)

Pada sisi tasawwur dan tasdiq itu pula, ia terbahagi kepada dua;
1.    Badihi - terhasil tanpa fikir dan nazr
2.    Iktisabi - terhasil dengan fikir dan nazr.

- dalam komentar mutahhari, badihi adalah dimaklumi dengan sendirinya, sedangkan iktisabi adalah yang maklum melalui perantara hal atau hal2 lain.
- badihi, menjadi maklum tanpa memerlukan pemikiran, sedangkan iktisabi, menjadi faham dengan keperluan berfikir. (18)

Dengan maksud, ia akan jadi begini;
1.    Tasawwur badihi - tasawwur iktisabi
2.    Tasdiq badihi - tasdiq iktisabi

Contoh :
1-    hawa panas (tasawwur badihi) - pastu mengkaji dan meneliti hawa panas (tasdiq badihi) 
2-    jin dan malaikat ( tasawwur iktisabi) - pastu meneliti dan mengkaji tentang jin dan malaikat (tasdiq iktisabi) (18-19)

Menurut mutahhari, apabila perbincangan mantik, perkara besar perlu dibincangkan adalah;
1.    Kulli
2.    Juzie

Dalam kupasan mutahhari lagi, apabila disebut kulli dan juzie, perkara yang perlu diperhatikan adalah pada tajuk yang dikenali sebagai nisab al-Arba'ah. Iaitu;

1. Tabayun
Iaitu, antara dua kulli (atau lebih) didapati dalamnya ada juzie masing-masing. Namun, dalam juzie dalam kulli pertama tidak sama dengan juzie pada kulli yang kedua. (25)

Contoh : haiwan adalah kullinya. Dalam haiwan itu, ada dua juzie, iaitu manusia dan binatang. Setiap juzie (manusia dan binatang) berbeda antara satu dengan yang lain. (26)

2- tasawi
Antara dua kulli, punyai juzie yang sama kedua-duanya. (25)

Contoh : haiwan adalah kullinya. Dalam haiwan itu, ada dua juzie, iaitu manusia dan makhluk boleh berfikir. Antara manusia dengan makhluk boleh berfikir, kedua-dunya adalah sama. (26)

3- al-am wa al-Khas mutlaq
Antara dua kulli, salah satu kulli boleh diletakan di bawah kulli satu lagi (menjadi juzie). (25)
Contoh : haiwan dan manusia. Haiwan adalah kulli, dalam maksud di bawahnya ada juzie-juzienya tersendiri (binatang, tumbuh - tumbuhan dll). Begitujuga manusia, kerana juzie bagi manusia adalah ahmad, zaid, Abdullah dll. Namun, manusia itu sendiri merupakan juzie bagi haiwan. (26)

4- al-Am wa al-Khas min Wajhin
Dua kulli, yang kedua-duanya boleh diterap di bawah masing-masing. Juzie dalam kulli pertama boleh diterapkan pada kandungan kulli kedua, dan juzie pada kulli kedua boleh diterapkan dibawah kulli pertama. (25)

Contoh : manusia dan putih. Manusia itu adalah kulli, sedangkan juzie di bawahnya adalah ahmad, abdullah, zaid dll. Begitujuga putih, ia adalah kulli yang juzie di bawahnya adalah manusia, lembu, kambing dll. (25)

Ada manusia yang putih, sepertimana ada kambing dan lembu yang putih. Tetapi, putih itu, tidak semestinya khusus pada manusia, disebabkan ada manusia yang hitam, sawo matang dll. (26)

#Mantiqmutahhari

Menurut mutahhari, Segi-segi yang berlaku dalam qadiyyah adalah seperti berikut;

1.    Tanaqudh
2.    Tadhad
3.    Dukhul taht tadhad
4.    Tadakhul. (57)

TANAQUDH
kalau salah satu benar, sudah pasti satu lagi adalah salah.
*Mustahil dua-dua salah, dan mustahil kedua-dua benar. (58)

TADHAD
Salah satunya salah, dan salah satunya tidak semestinya benar, tetapi memungkinkan benar.
Namun, kedua-duanya mungkin salah, tetapi mustahil kedua-duanya benar.

DUKHUL TAHT TADHAD
Salah satunya benar, dan satu lagi tidak semestinya salah.
Namun, kedua-duanya mungkin benar, tetapi mustahil kedua-duanya salah. (60)

TADAKHUL
Juzie berada dalam kulli. Jika kulli benar, maka juzie mesti benar. Namun, jika juzie salah, tidak semestinya kulli juga salah (mungkin juga benar). (61)

#mantiqmutahhari

AKS

aks terbahagi kepada dua;
1.    Mustawi
2.    Naqidh (69)

MUSTAWI

Pembalikan antara maudhuk dengan mahmul.

contoh:
*Manusia itu haiwan,
*Haiwan itu manusia.

NAQIDH

Naqidh ada dua maksud:
1.    Maudhuk dan mahmul, masing saling menggantikan.

contoh :
*Manusia adalah haiwan, (+ / +)
*yang bukan haiwan adalah bukan manusia. (- / -)

2.    Mahmul ganti posisi maudhuk - maudhuk ganti posisi mahmul.

Contoh :
*Manusia adalah haiwan (+ / +)
*Tidaklah yang bukan haiwan itu manusia ( - / +) (69)

#Mantiqmutahhari

Menurut kupasan mutahhari, hujjah itu ada tiga jenis;

1.    Dari juzie kepada juzie. (Di kalangan ahli mantiq, ia dikenal sebagai tamsil (analogi), tetapi dikenali di kalangan ahli usul al-Fiqh sebagai qiyas)
2.    Dari juzie kepada kulli (istiqra)
3.    Dari kulli kepada juzie (Qiyas) (74 - 75)

#mantiqmutahhari

Menurut mutahhari, qiyas adalah pekerjaan berfikir atau gerakan berfikir yang bertitik dari maklum menuju kepada majhul, lalu mengubah perkara majhul itu kepada maklum. (89)

Menurut mutahhari, mantik itu dilihat oleh ahlinya dengan dua sudut; 

1. Dari segi kebenaran
2.Dari segi keuntungan dan kegunaan. 

Dalam keadaan begitu, tidak dinafikan cukup banyak yang menolak tanggapan bahawa mantik itu boleh mencapai kepada kebenaran dan keuntungan. 

Antara tokoh di kalangan sarjana muslim yang menolak; Ibn Taimiyyah (al-Rad 'ala al-Mantiqi); Al-Sayuti (Shaun al-Mantiqi wa al-Kalam 'an mantiqi wa al-Kalam); amin astarabadi - seorang syiah akhbari (al-Fawaid al-Madaiyah). (91)

Di kalangan eropah pula, Francis bacon, Rene Descartes, John Stuart Mill dan Bertrand Russel. (92)

#mantiqmutahhari

Dalam huraian Mutahhari, berfikir itu perlu kepada perkara berikut;
1.    Pemikiran menerima gambaran dari luar. Ia sepeti kamera yang memantulkan gambar-gambar pada permukaan filem. Sifat pemikiran ketika itu adalah reaksi dan menerima. (93)
2.    Kemudian : mengumpulkan serangkai gambaran dari jalur pancaindera. Kerja pemikiran ketika ini adalah recall dan mengingati balik apa yang pernah digambarkan dahulu.

Proses memanggil itu tidak semestinya dengan aturan, malahan kadangkala Ia datang dalam keadaan yang terabur.

Faktor psikologi, muzik dan sebagainya amat berguna dalam proses mengingat kembali tersebut. (94)

3.    Tajziah (penghuraian) dan Tarkib (penyusunan). Iaitu, menghuraikan setiap satu gambaran yang terpamer, kemudian menyusun balik semua perkara tersebut. (94)

Cara penghuraian itu pula, ia terjadi dengan dua cara; (1) menghuraikan satu gambaran menjadi beberapa gambaran. (2) menghuraikan satu gambaran menjadi beberapa erti.

Contoh: (dari satu gambaran menjadi banyak gambaran) adalah huraian satu badan punyai serangkai anggota. Fikiran ketika menghuraikan itu terkadang menggabungkannya dengan serangkai perkara.

Contoh : (dari satu gambaran menjadi berbagai erti) melihat gambaran itu dengan garis kuantiti berdimensi tunggal yang bersambungan dengan perkara yang lain.

kadangkala fikiran merangkumkan semua gambaran yang banyak menjadi satu, seperti tergambar dalam pemikiran seekor kuda yang berkepala manusia. (95)

4.    Tajrid (abstrak) dan takmim (general), iaitu abstrakkan (tajrid) semua gambaran - gambaran yang ada dalam pemikirannya, iaitu membuat elemen yang tidak penting dan bentukkan (takmim) sebuah gambaran kulli dari sejumlah gambaran juzie yang didapatinya. (95)

Contoh : pancaindera menanggapi gambaran husin, ahmad, zaid dll, lalu diabstrakkan dan di generalkan dengan satu gambaran, iaitu manusia. (96)

5.    Tafakkur dan berhujjah. Iaitu hubungkan serangkaian perkara maklum untuk menemukan sesuatu yang majhul. Dalam bahasa yang lain, Tafakkur adalah proses mengahwinkan dan kembangkan antara pemikiran.

Tafakkur seperti tarkib, iaitu tarkib yang subur dan menghasilkan. (96)

#mantiqmutahhari

Kupas mutahhari, perbedaan antara empiris dengan rasionalis adalah;

Empiris - berhubungan langsung dengan alam luar melalui pancaindera adalah cara tunggal menambah maklum. Satu - satunya cara itu adalah dengan eksperimen. (96)

Rasionalis - eksperimen bukan satu2nya cara menambah maklum, tetapi ia salah satu sahaja. Dengan maksud, ada cara lain lagi untuk mencapai maklum itu, antaranya menghubungkan serangkaian maklum dalam rangka hasilkan maklumat lain. Ia samada dinamakan sebagai had, qiyas atau burhan. (97)

#mantiqmutahhari

Menurut mutahhari, tujuan qias ada beberapa tujuan, iaitu;
1.    BURHAN (yakini)

Ia terdiri dari;

pertama : mahsusat (pengamatan inderawi) - matahari adalah benda yang menyinari. 

kedua : Mujarrabat (eksperimen) – 

ketiga : badihiyat (secara pasti) - 1 + 1 = 2 (129)

(P) 

Keempat : mutawatirat - di tengah masjid haram, ada kaabah. 

Kelima : musyahadah (lihat) - bulan itu bentuknya bulat.

keenam : wujdaniyyah - lapar sebab tak makan.

2. JADAL 

Contoh : debat antara imam ridha (imam syiah) dengan seorang ilmuan kristian tentang Nabi Isa itu tuhan atau makhluk.

imam ridha : "Nabi Isa itu sepatutnya baik kecuali satu perkara sahaja, iaitu beliau tidak sukai ibadat"

Ilmuan kristian : "sangat menghairankan engkau mengatakan hal semacam itu, baginda orang yang paling kuat melakukan ibadat di kalangan masyarakat"

Imam ridha : "isa beribadat pada siapa? Bukankah ibadat merupakan dalil bagi kehambaan? Bukankah beribadat merupakan dalil bahawa isa bukan Tuhan?". (130)

3. KHITABAH 

Memaksa lawan untuk melakukan atau meninggalkan sesuatu pekerjaan. 

Contoh : pembohong itu hina di mata masyarakat - penakut itu tidak berjaya. 

4. SYIIR

Terdapat elemen emosi dalam imaginasi (tasawwurat). Tasawwurat membangkitkan emosi. (131)

5. MUGHALATAH/SAFSATHAH

Ia terbahagi kepada dua:
1.    Lafzi
2.    Maknawi

contoh : 
* nasib budi malang
* malang itu kota madya
** nasib budi adalah kota madya. (132)



Tuesday, 11 March 2014

JENIS-JENIS DAKWAAN IJMAK

IJMAK RAKYAT TANAH HARAM DAN DUA BANDAR

Yang dimaksudkan dengan dua tanah haram (al-Haramain) adalah Mekah dan Madinah, sedangkan maksud dengan dua bandar (al-Misrain) adalah Basrah dan Kufah.

Kesepakatan kata di kalangan mereka tidak boleh diiktiraf sebagai ijmak. Ini kerana, mereka bukan satu-satunya umat, sebaliknya mereka hanya salah satu kalangan umat sahaja, juga mereka tidak mewakili umat seluruhnya.
Golongan yang beralasan kesepakatan pendapat mereka sebagai ijmak beralasan bahawa para sahabat berada di tempat tersebut, dan tidak ada yang keluar dari tempat tersebut kecuali sedikit.  Alasan itu dijawab bahawa dakwaan terdapat di kalangan sahabat yang tersebar di tempat - tempat yang lain, seperti Iraq, Yaman dan Sham. Juga dijawab bahawa dakwaan ijmak hanya terbatas kepada sahabat sahaja adalah tidak tepat, kerana ijmak itu lebih luas dari itu, iaitu melibatkan kepada kalangan selain sahabat. (512)

IJMAK KHULAFA RASHIDIN

al-Qadhi Abu Hazim dari mazhab Hanafi dan Imam Ahmad bin Hanbal berpendapat bahawa kesepakatan pendapat di kalangan khulafa rashidin (Abu Bakar, Umar, Osman dan Ali) adalah ijmak dan tidak boleh sesiapa pun menyalahi mereka. (512)

Mereka beralasan dengan beberapa hadis, antaranya bahawa Nabi saw ada berkata, "hendaklah kamu ikut sunnahku dan sunnah Khulafa Rashidin selepas ku dan gigitlah ia dengan gigi geraham". (Abu Daud, Ibn Majah, Ahmad, Ibn Hibban, Tarmizi)

Dijawab bahawa maksud hadis adalah merujuk bahawa mereka sebagai golongan yang layak diikut, dengan tidak bermaksud bahawa tidak ada sesiapa pun boleh berbeda pendapat dengan mereka.

Lebih-lebih lagi, terdapat hadis yang sama tahap dengan hadis ikut Khulafa Rashidin itu yang menyatakan agar mengikut sahabat yang lain, seperti Nabi saw ada berkata, "Aku redha untuk umatku terhadap perkara yang diredhai oleh Ibn Umm 'Abd". Hadis ini merujuk kepada Ibn Mas'ud.

Juga hadis bahawa Nabi Muhammad saw berkata,  "Abu Ubaidah bin al-Jarrah adalah orang amanah dalam umat ini". (513)

Dari ini nyata bahawa kesepakatan empat khalifah tidak dikira sebagai ijmak, kerana mereka sebahagian dari umat, bukan satu-satunya umat atau mewakili umat seluruhnya.  (514)

IJMAK AHLI AL-BAIT

Di kalangan Imamiyyah dan Zaidiyyah, mereka berpendapat bahawa kesepakatan pendapat di kalangan ahl al-Itrah adalah hujah ijmak.

Yang dimaksudkan dengan Ahl al-'itrah itu adalah Saidina Ali,  Saidatina Fatimah dan dua orang anak mereka,  iaitu Saidina Hasan dan Saidina Husain. (515)

Dalil-dalil yang mereka pegang adalah firman Allah Al-'Aĥzāb:33 - Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan diri kamu - wahai "AhlulBait" dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari segala perkara yang keji).

Dalam ayat ini,  Allah swt menyatakan bahawa Allah membersihkan ahli al-Bait. Ekoran itu mereka bersih dan sudah pasti terselamat dari kesalahan. Ini ditambah lagi bahawa ahli keluarga Nabi adalah golongan yang paling rapat dengan Nabi, menjadikan perbuatan,  perkataan dan diam Nabi itu amat mereka ketahui.

Dijawab bahawa jika diteliti pada ayat sebelumnya, didapati ia menceritakan tentang isteri-isteri nabi. Lebih-lebih lagi, para isteri nabi juga mempunyai pengetahuan tentang perkataan, perbuatan dan diam Nabi seperti mana Saidina Ali,  Saidatina Fatimah,  Saidina Hasan dan Saidina Husain, malahan kemungkinan lebih mengetahui berbanding mereka.

Makanya dakwaan itu mengkhususkan kepada Saidina Ali, Saidatina Fatimah, Saidina Hasan dan Saidina Husin itu tidak tepat, sebaliknya perlu disertakan juga para isteri nabi. (516-517)

Dari penjelasan ini, nyata bahawa kesepakatan ahli keluarga Nabi tidak mewakili ijmak,  sebaliknya mereka punyai pendapat yang boleh diambil kira, tetapi tidak dilarang golongan lain untuk berbeda pendapat dengan mereka. (518)

Wallahu alam

11 Mac 2014 | 4:32 petang | TSB sungai Buloh.

Saturday, 8 March 2014

Ijmak ahli Madinah

IJMAK AHLI MADINAH

Yang dimaksudkan dengan ijmak ahli Madinah adalah kesepakatan yang berlaku di kalangan rakyat Madinah pada era Sahabat dan Tabiin sahaja. Adapun selepas itu, ia tidak dibawah perbincangan ijmak ahli Madinah.

Perkara ini diperjelaskan oleh Ibn al-Hajib, malahan dalam al-Muwatta' dipamerkan 46 masalah hukum diijmakkan oleh ahli Madinah. (505)

Melihat ijmak ahli Madinah ini, perlu dilihat dalam dua kerangka, iaitu;

Pertama : manqul

Riwayat yang disepakati oleh Ahli Madinah di dahulukan berbanding riwayat lain. Contoh dalam perkara ini adalah qunut subuh.

Pengamalan ini, bukan sekadar berlaku dalam mazhab Maliki, tetapi berlaku juga dalam pengamalan imam al-Bukhari.

"Abu al-Abbas al-Qurtubi menyatakan bahawa nukilan riwayat ahli madinah sampai tahap mutawatir dan menghasilkan pengetahuan secara qatie. Ia wajar didahulukan berbanding khabar ahad dan Qias. (507)"

Namun begitu, Jumhur ulama mendahului riwayat yang lebih dhobit dan 'adalah berbanding melihat kepada tempat. (506)

Dua: ijtihad ahli Madinah

Di kalangan ulama mazhab Maliki sendiri, hal ini dilihat dalam 3 bentuk;

Satu:
Ia tidak boleh dianggap sebagai ijmak,  dan tidak boleh mentarjihkan ijtihad orang lain.

Dua:
Ia bukan hujah, namun ia boleh mentarjihkan ijtihad orang lain.

Tiga:
ia adalah hujah, tetapi tidak haram jika menyalahinya.

Empat:
ia adalah hujah dan boleh mentarjih pendapat yang menyalahinya. Ini dipendapatkan oleh Abu al-Abbas al-Qurtubi. (508)

Sebilangan ulama maliki mengatakan bahawa kesepakatan ahli Madinah bukan ijmak dan tidak semestinya menjadi hujah sebaliknya al-Qarafi dan Ibn al-Qayyim anggap ia sebagai hujah, walaupun tidak anggap ia setahap ijmak.

kesimpulan Wahbah al-Zuhaili;

Satu:
Ijmak ahli Madinah hanya berlaku pada riwayat sahaja, malahan ia dianggap setahap mutawatir

dua:
kesepakatan dalam perkara ijtihad,  ia adalah hujah, tp tidak boleh dianggap sebagai ijmak. (508)

DALIL

Dalil yang digunakan oleh ulama maliki dalam menyatakan bahawa amalan ahli Madinah sebagai hujah adalah merujuk kepada hadis bahawa Nabi Muhammad saw berkata, "Sesungguhnya Madinah adalah baik;  ia boleh mencuci kotoran seperti mana besi tercuci dari karat".

mereka menyatakan,  kesalahan adalah kotoran. Kotoran itu telah dinafikan berlaku di Madinah.

Dijawab bahawa kotoran dalam hadis tidak bermaksud mereka terselamat dari sebarang kesalahan, sebaliknya ia merujuk bahawa madinah sebagai tempat yang lebih afdhal dari tempat lain.

ini kerana, jika dianggap kotoran itu adalah kesalahan, terdapat banyak hadis yang mempamerkan kalimah kotor, tetapi tidak merujuk kepada salah. Contohnya hadis, "anjing adalah kotor dan harganya turut kotor"

mereka berhujah juga bahawa orang madinah adalah orang yang hampir dengan nabi, makanya mereka melihat penurunan wahyu,  mendengar tafsiran dan mengetahui keadaan Nabi muhamad. Makanya, mereka didahulukan berbanding yang lain.  Hujah ini dikemukakan oleh Ibn al-Hajib. (510)

Dijawab bahawa mendahulukan riwayat ahli Madinah jika tidak menyalahi periwayatan yang banyak. Namun, jika bertembung dengan periwayatan yang banyak,  maka riwayat ahli Madinah perlu diketepikan.  Ini kerana, dalam kaedah ulum al-Hadis menyatakan, "banyak perawi ditarjihkan ketika kesamaan pada sudut perawi dari sudut keadilan dan dhobit". (511)

Al-Syafie menolak ijmak ahli Madinah dengan alasan bahawa perkara yang diijmakkan itu hendaklah kesepakatan pada semua tempat, bukan sesuatu tempat sahaja.

Wallahu alam

8 mac 2014| 7:17 malam | seksyen 7, shah alam

Friday, 7 March 2014

Nota ijmak 1

IJMAK

Ijmak bermaksud kesepakatan para mujtahid di kalangan umat nabi muhamad saw selepas kewafatan baginda di sesuatu zaman dari zaman-zaman dalam perkara yang bersangkutan hukum syarak.

Ini adalah definisi ijmak disisi jumhur ulama. Sedangkan dalam definisi al-Ghazali,  ijmak adalah kesepakatan umat Nabi Muhammad saw secara khusus pada sesuatu perkara dalam perkara-perkara keagamaan.

Nazzam pula mendefinisikan ijmak adalah setiap perkataan yang ada hujahnya sehingga terhasil satu pendapat sahaja.

Ijmak dalam maksud yang lain adalah, kesepakatan dalam sesuatu perkara yang asalnya zanni. Dengan kesepakatan itu, maka ia menjadi qatie.

Timbul persoalan, jika sesuatu perkara yang telah diijmakkan, apakah boleh dikhilafi atau tidak?

Perkara ini berlaku perselisihan di kalangan ulama.

Kebanyakkan ulama menyatakan tidak boleh berlaku pendapat yang menyalahi.

Zahiri menyatakan,  ia dibenarkan secara mutlak. Malahan, jika berlaku kekhilafan tersebut, maka automatik tidak ada lagi ijmak pada perkara tersebut.

AWAM DAN IJMAK

Dalam definisi ijmak, ia merujuk kepada kesepatan mujtahid, makanya di sana berlaku kekhilafan di kalangan ulama tentang apakah orang awam termasuk dalam maksud ijmak atau tidak.

Abu Bakar al-Baqalani dan al-Amidi mensyaratkan bahawa orang awam juga termasuk dalam kalangan manusia yang sepakat dalam sesuatu hukum syariat dalam menentukan sesuatu itu ijmak atau tidak.

Pendapat ini tidak selaras dengan pendapat Jumhur ulama usul termasuk al-Ghazali yang menyatakan kesepakatan itu hanya berlaku di kalangan mujtahidin sahaja.

Alasan Jumhur adalah,  orang awam tidak ada kemahiran dalam memahami nas, disamping hujah bahawa jika orang awam semua termasuk, sudah pasti termasuk juga orang gila dan kanak-kanak, sedangkan dua jenis manusia ini tidak diambil kira dalam sebarang ungkapan dan kenyataan mereka.

al-Imam al-Syawkani berpendapat ijmak itu hendaklah dilihat kesepakatan ulama dalam skop masing-masing. Seperti dalam masalah fiqh, maka kesepakatan itu di kalangan ulama fiqh;  kalau dalam masalah usul, maka kesepakatan di kalangan ulama usul; kalau dalam masalah nahu, maka kesepakatan di kalangan ulama nahu.

Dr Wahbah al-Zuhaili ada menyatakan beberapa pendapat dalam menentukan siapa yang layak dikira kalangan ijmak. Antaranya ada pendapat ulama yang tidak popular menyatakan, ia mesti kesepakatan di kalangan ulama-ulama usul sahaja.

Ada pula mensyaratkan, termasuk juga pendapat ulama-ulama kecil yang tidak capai darjat mujtahid. Pendapat ini tidak disetujui oleh Dr Wahbah, tetapi beliau bersetuju meletakkan syaratkan kesepakatan itu melibatkan ulama usul, kerana mereka adalah golongan yang merupakan golongan yang mengetahui perkara asas dalam istinbat.

MUJTAHID FASIQ

Seseorang yang melakukan amalan bidaah yang boleh terkeluar dari Islam, seperti ada sebilangan yang mengatakan Ali sebagai Tuhan dan sebagainya, kepakaran mereka dalam hukum syarak tidak termasuk dalam kalangan pendapat dalam ijmak.

Namun, jika seseorang setahap mujtahid yang merupakan ahli bidaah yang tidak mengeluarkan dia dari islam, seperti sekadar mengatakan Ali sebagai sahabat yang utama menjadi pemimpin,  qadariyah dan sebagainya,  menentukan mereka sebilangan kalangan yang termasuk dalam kerangka ijmak, ada kekhilafan di kalangan ulama usul.

al-Imam al-Ghazali, Abu Bakar al-Soyrafi dan al-Amidi menyatakan bahawa pendapat mereka perlu juga termasuk dalam kalangan ijmak. Alasannya adalah kerana mereka dari kalangan ahl al-Hilli wa al-Aqd.

Namun, ulama usul yang lain, seperti imam malik, awzaie dan Muhammad bin Hasan menyatakan bahawa pendapat mereka tidak termasuk dalam kalangan ijmak. Alasan mereka bahawa golongan ini tidak tergolong kalangan asal dalam pemahaman nas ekoran mereka pengikut hawa nafsu dan kesesatan.

Adapun mujtahid yang fasiq, mereka dari kalangan ahli ijmak. Malahan, ijmak tidak akan berlaku tanpa dengan pendapat mereka.

Mereka diikut pada sudut penghujahan mereka, bukan diikut pada keberadaan mereka. Ini kerana, larangan al-Quran bukan mengabaikan terhadap ucapan mereka, tetapi perlu diteliti balik ucapan mereka. Jika benar ucapan mereka,  maka tidak salah diterima.

(490 - 504)

Sunday, 2 March 2014

Hukum derma organ

DERMA ORGAN

Ulama kontemporari ada berhujah dalam isu derma organ badan kepada orang yang memerlukan.

Secara dasarnya, perbincangan itu diklasifikasikan kepada dua; pertama, hukum luzatih,  iaitu hukum asal, dan kedua, hukum lighairih, iaitu hukum yang berubah berdasarkan faktor-faktor tertentu.

Ia diumpamakan hukum memakai furdah bagi perempuan,  hukum lizatihnya adalah harus, tetapi ia  boleh bertukar kepada wajib, jika seseorang perempuan itu tidak memakainya boleh mendatangkan fitnah, atau ia boleh menjadi haram, jika diizinkan memakai akan mendatangkan fitnah yang lebih besar seperti dijadikan peluang oleh pencuri untuk tidak dikenali semasa mencuri dengan memakai furdah.

Hukum memakai furdah dari harus yang bertukar kepada haram dan wajib itu dikenali dalam istilah ulama usul sebagai hukum lighairih.

HUKUM LIZATIH

Hukum memberi anggota badan kepada orang lain adalah dilarang dalam Islam dengan beberapa alasan hujah. Antaranya adalah firman Allah dalam surah At-Tīn:4 - Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya).

Begitujuga dengan firman Allah dalam surah Al-'Isrā':70 - Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.

Tidak ketinggalan dengan merujuk kepada hadis riwayat imam Ibn Majah  bahawa nabi saw ada berkata, "memecahkan tulang mayat sama seperti memecahkan tulangnya semasa hidup".

Dari hujah-hujah ini, jadikan alasan sebilangan ulama bahawa tidak boleh menderma anggota badan kepada orang lain.

HUKUM LIGHAIRIH

Namun begitu, faktor teknologi yang semakin canggih tidak boleh diabaikan dalam merawat manusia. Contohnya seperti perpindahan organ manusia, lalu diberikan kepada orang yang memerlukannya.

Dr Ali Jumuah dan al-Qaradawi antara tokoh yang secara terang-terangan mengatakan keizinan menderma anggota badan lalu diberikan kepada orang memerlukan dari sudut kesihatan. 

Antara hujah-hujah mereka adalah dengan merujuk kepada nas al-Quran dan Hadis yang cukup banyak menekankan soal kesihatan dan menjauhkan diri dari melakukan tindakan yang boleh merosakan kesihatan manusia.

Antaranya firman Allah dalam surah Al-Baqarah:195 - janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan"

Juga dalam firman Allah dalam surah An-Nisā':29 - janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.

Merujuk kepada ayat-ayat al-Quran, kelihatan betapa Islam amat menentukan kesihatan manusia. Jika kesihatan pada diri sendiri pun wajar di jaga, sudah pasti membiarkan orang lain berada dalam penyakit adalah dilarang.

Firman Allah dalam surah  Al-Mā'idah:32 - sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya; dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya.

Sesuatu penyakit pula, dinyatakan oleh Nabi Muhammad saw bahawa pasti akan disediakan ubat oleh Allah swt.

Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, bahawa Nabi saw ada berkata, "Sesungguhnya Allah tidak akan menurunkan penyakit, kecuali Allah akan turunkan bersamanya penawar".

Dr Ali Jumuah menyatakan, keizinan derma organ atau anggota badan kepada yang memerlukan kerana melihat keperluan menjaga kemaslahatan orang hidup lebih diutamakan berbanding kemaslahatan orang yang mati.

Al-Qaradawi pula menyatakan keizinan itu berdasarkan jawapan beliau terhadap pandangan Syaikh Sya'rawi yang melarang dengan alasan bahawa anggota dan organ badan itu adalah milik Allah. Al-Qaradawi menjawab bahawa dalam al-Quran harta juga adalah milik Allah, tetapi harta itu tidak salah dipindahkan kepada manusia lain mengikut batasan syarak.

Dalil yang dipegang oleh al-Qaradawi adalah merujuk kepada firman Allah dalam surah Al-Ĥadīd:7 - dan belanjakanlah (pada jalan kebajikan) sebahagian dari harta benda (pemberian Allah) yang dijadikannya kamu menguasainya sebagai wakil. Maka orang-orang yang beriman di antara kamu serta mereka membelanjakan (sebahagian dari harta itu pada jalan Allah); mereka tetap beroleh pahala yang besar.

Juga firman Allah dalam surah An-Nūr:33 - Dan berilah kepada mereka dari harta Allah yang telah dikurniakan kepada kamu.

Jadi dalam dua firman Allah ini membuktikan bahawa harta juga adalah milik Allah, tetapi diserahkan kepada manusia untuk dimanfaatkan dan dimakmurkan, tanpa menjadi kesalahan jika dipindahkan kepada orang lain. Maka begitu juga dalam isu derma organ atau anggota badan kepada orang-orang yang memerlukan ekoran faktor kesihatan.

Dalam keadaan begitu pun, mereka tidak izinkan derma organ itu secara mutlak, sebaliknya terikat dengan beberapa syarat-syarat.

antara syarat-syaratnya adalah seperti perlaksanaan perpindahan organ itu berasaskan kepada keperluan dharurat dan dipastikan bahawa memindahkan organ itu terbukti boleh merawat. Disamping itu juga, ia tidak mendatangkan kerosakan yang lebih besar, seperti perpindahan organ itu menjadikan nyawa si pesakit semakin berbahaya atau sebagainya. Ketiga-tiga syarat ini tidak dapat diketahui kecuali mendapat pengakuan dan nasihat pakar.

Disyaratkan juga bahawa penderma itu mengizinkannya dalam bentuk wasiat yang  bersurat. Ia untuk mengelak berlaku pertikaian di masa akan datang. Tidak diabaikan bahawa anggota dan organ itu tidak dijual, sebaliknya pembayaran yang berlaku hanya melibatkan kos perubatan dan rawatan, bukan harga anggota dan organ badan tersebut.

Wallahu alam

3 mac 2014 | 12:51 pagi | TSB Sungai Buloh.