Wednesday 6 August 2014

MUNAFIQKAH ORANG YANG BERBEDA PENDAPAT DENGAN PEMIMPIN?

Dalam manhaj Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah, sesuatu hadis yang berkaitan dengan politik, tidak boleh dilihat teksnya secara literal, sebaliknya perlu dilihat dalam kerangka konteks kehendak hadis. Melihat kepada teks hadis politik, tanpa dilihat kepada konteks, merupakan manhaj Khawarij. Ekoran itu, ketika mereka melawan Saidina Ali, mereka membacakan nas al-Quran secara literal dan terus melakukan tuduhan terhadap Sahabat besar itu dengan pelbagai tuduhan dan lebel.

Imam Muslim ada meriwayatkan;

عَنْ عُبَيْدِ اللهِ بْنِ أَبِي رَافِعٍ، مَوْلَى رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّ الْحَرُورِيَّةَ لَمَّا خَرَجَتْ، وَهُوَ مَعَ عَلِيِّ بْنِ أَبِي طَالِبٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ، قَالُوا: لَا حُكْمَ إِلَّا لِلَّهِ، قَالَ عَلِيٌّ: كَلِمَةُ حَقٍّ أُرِيدَ بِهَا بَاطِلٌ، إِنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَصَفَ نَاسًا، إِنِّي لَأَعْرِفُ صِفَتَهُمْ فِي هَؤُلَاءِ، «يَقُولُونَ الْحَقَّ بِأَلْسِنَتِهِمْ لَا يَجُوزُ هَذَا، مِنْهُمْ، - وَأَشَارَ إِلَى حَلْقِهِ - مِنْ أَبْغَضِ خَلْقِ اللهِ إِلَيْهِ مِنْهُمْ أَسْوَدُ، إِحْدَى يَدَيْهِ طُبْيُ شَاةٍ أَوْ حَلَمَةُ ثَدْيٍ»

Maksudnya; “Dari Ubaid Allah bin Abi Rafi' Maula Rasulullah saw bahwasa, Ketika orang-orang Haruriyah keluar -dan saat itu ia bersama Ali bin Abi Talib - mereka berkata, “Tidak ada hukum, kecuali kepunyaan Allah”. Maka Ali berkata, “Itu adalah kalimat yang haq, namun dimaksudkan untuk kebatilan”. Sesungguhnya Rasulullah saw telah mensifati suatu kelompok manusia, dan saya benar-benar tahu bahwa sifat itu terdapat pada diri mereka. Mereka mengatakan kebenaran dengan lisan-lisan mereka, namun ucapan mereka itu tidak sampai melewati ini (ia sambil memberi isyarat pada kerongkongannya). Makhluk yang paling dibenci Allah di antara mereka adalah seorang yang salah satu tangannya hitam seperti puting susu kambing[1]

Dari hadis ini, dipamerkan bahawa khawarij mempunyai manhaj melihat nas wahyu secara literal pada soal politik, tanpa melihat kepada hakikat tujuan bagi politik. Ekoran itu, apabila kehendak literal nas wahyu tidak selaras dengan tindakan Saidina Ali mengikut tafsiran mereka, memudahkan mereka menuduh Saidina Ali itu sebagai tidak Islam dan tidak mengikut kehendak Allah swt.

Hakikat bagi politik adalah kemaslahatan. Disebabkan itu, tidak hairan saidina Umar menangguhkan perlaksanaan hukum potong tangan pada tahun kebuluran kerana perlaksanaan hukuman itu ketika tahun kebuluran adalah tidak mencapai kemaslahatan. Walaupun hukuman potong tangan kepada pencuri adalah termaktub dalam nas al-Quran, tetapi perlaksanaan di tahun kebuluran akan menafikan tercapainya maslahah, maka ia ditangguhkan oleh Saidina Umar.

Memahami itu, amat nyata bahawa sesuatu nas hadis atau al-Quran yang berkaitan dengan politik, ia tidak boleh dibaca teksnya secara literal, sebaliknya perlu dilihat sama pada sudut konteks. Melihat teks tanpa konteks, ia akan menghasilkan kesimpulan fiqh politik yang amat tempang.

TAAT PEMIMPIN

Hadis-hadis yang menyebut tentang ketaatan pemimpin tidak lepas dari kerangka konteks yang perlu diperhatikan. Hakikat pemimpin politik di era dahulu adalah, punyai kekuasaan mutlak. Seseorang pemimpin dalam kerangka dahulu yang bertanyakan pandangan (istisyarah), hanya sekadar mendapatkan panduan sahaja. Ini berbeza dalam kerangka demokrasi kini. Pandangan pemimpin tidak sakral, sebaliknya pandangan pemimpin itu tertakluk kepada perlembagaan yang dipersetujui secara majority rakyat.

Hadis-hadis seperti berikut;

قال الرسول صلى الله عليه وسلم: (( على المرء المسلم السمع والطاعة فيما أحب وكره، إلا أن يؤمر بمعصية فإن أمر بمعصية فلا سمع ولا طاعة )). متفق عليه
.
Maksudnya; Sabda Rasulullah saw; “Kewajipan seseorang lelaki muslim untuk mendengar dantaat pada perkara yang dia suka dan dia benci melainkan dia diarah melakukan maksiat. Maka sekiranya ketua mengarahkan untuk melakukan maksiat maka tiada dengar dan tiada taat"

عن أبي هريرة رضي الله عنه، قال: قال رسول الله صلي الله عليه وسلم:(( من أطاعني فقد أطاع الله ومن عصاني فقد عصى الله، ومن يطع الأمير فقد أطاعني ومن يعص الأمير فقد عصاني )). أخرجه البخاري .
Maksudnya; Sabda Rasulullah saw; “sesiapa yang mentaatiku maka dia mentaati Allah. Sesiapa yang menderhakaiku maka dia menderhakai Allah. Sesiapa yang mentaati ketua maka dia mentaatiku. Sesiapa yang derhaka kepada ketua dia menderhakaiku"

-قال أبو الدرداء رضي الله عنه: ( إن أول نفاق المرء طعنة على إمامه) . البيهقي- شعب الإيمان.
Maksudnya; berkata Abu Darda’, "sesungguhnya permulaan sifat nifak seseorang ialah mengecam ketuanya"

Kesemua hadis-hadis ini bersifat politik. Makanya, ketaatan dalam maksud hadis ini, bukan merujuk kepada individu pemimpin, sebaliknya perlu dilihat dalam kerangka ketaatan pada perlembagaan. Dalam erti yang lebih mudah, dalam kerangka demokrasi, ketaatan dalam maksud hadis itu, jika ketaatan itu mendatangkan kemaslahatan kepada rakyat. Jika ketaatan itu menafikan tercapainya kemaslahatan kepada rakyat, maka ia tidak termasuk dalam kerangka maksud hadis ini.

Memahami ini, makanya tidak hairan bahawa hukum berdemonstrasi tidak dikira sebagai haram selama ia tidak mendatangkan kerosakan, malahan dalam kerangka demokrasi, ia dibenarkan kerana ia boleh mendatangkan kemaslahatan yang besar kepada rakyat.

Begitujuga, bahawa seorang tabiin bernama Ibn Asy’as tidak boleh dilebelkan sebagai munafiq, kerana beliau bukan sekadar tidak memberi ketaatan, malahan membawa 33 ribu berkuda dan 120 ribu berjalan kaki yang terdiri dari kalangan para qari dan para ahli fiqh untuk melawan pentadbiran Abd al-Malik bin Marwan dan Hajjaj Yusuf al-Saqafi, sehinggakan ketika berkhutbah beliau berkata;

اذْهَبُوا بِنَا إِلَى عَبْدِ الْمَلِكِ لِنُقَاتِلَهُ


Maksudnya; “Pergilah kamu kepada Abd al-Malik (bin Marwan) untuk kita peranginya[2]

Wallahu ‘Alam




[1] Saheh Muslim, Bab al-Tahridh ‘Ala Qatl al-Khawarij, Hadis no : 1066.
[2] Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, jld 9, hlmn 46.

No comments:

Post a Comment