Wednesday, 5 June 2013

[USUL FIQH DALAM FIQH IBADAT]

Dalam fiqh ibadat, aliran ulama-ulama dalam melihat nas adalah seperti berikut;

Satu : pendapat ini agak tegas, iaitu sesuatu perkara ibadat adalah bidaah selama tiada nas secara saheh dan sareh menyatakan keizinannya

Dua : pendapat ini agak longgar, iaitu sesuatu perkara ibadat adalah bidaah, selama tiada nas yang saheh, tetapi tidak dimestikan sareh.


PERBAHASAN SATU: SAHEH DAN SAREH

Maksud saheh adalah, sesuatu nas itu hendaklah dari sudut subutnya adalah boleh diguna pakai. Ia terdiri dari kalangan riwayat seperti berikut;
1-       Riwayat mutawatir, seperti al-Quran dan Hadis yang mutawatir (sama ada mutawatir Lafzi atau mutawatir ma’nawi)
2-      Hadis ahad yang saheh, iaitu riwayat dari orang dhobit, siqah dan sebagainya.
3-      Hadis ahad yang doif, tetapi naik darjat kepada Hasan Lighairih.

Adapun ada sebilangan riwayat-riwayat yang dikhilafkan dikalangan ulama dalam menjadikan hujjah, seperti hadis Mursal Tabiin yang boleh dijadikan hujjah oleh Ulama Mazhab Hanafi, jika tabiin tersebut dari kalangan orang yang adil, tetapi tidak boleh diterima jika tabiin tersebut sebaliknya. Adapun di sisi Ulama Syafie pula, hadis mursal tabiin ini  tidak boleh jadi hujjah.

Adapun makna sareh adalah sesuatu nas yang dinyatakan maksudnya secara jelas, tanpa kepada pemahaman dan tafsiran dari pihak ulama yang pelbagai. Pemahaman dan tafsiran tersebut berasaskan kepada kaedah-kaedah usul fiqh yang mu’tabar.

PERBAHASAN DUA : HUJJAH DUA ALIRAN


            Aliran pertama;
            sesuatu nas yang berkaitan dengan ibadat, hendaklah dipastikan saheh dan sareh. Dengan maksud, dalam perkara ibadat, dari sudut periwayatanya adalah lemah, disamping dari sudut pemahaman nas pula tidak jelas, maka ibadat itu tetap juga dikira sebagai bidaah dan haram dilakukan.
            Makanya aliran ini memandang bahawa amalan yang tidak sareh dari perbuatan nabi Muhammad Saw dikira sebagai bidaah yang tidak boleh diamalkan. Ia seperti pengharaman mengadakan tahlil arwah, mengadakan halaqah zikir tariqat dan sebagainya.
           
Hujjah mereka adalah berdasarkan kepada beberapa dalil-dalil berikut;

Satu : Firman Allah;

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَلَا تُبْطِلُوا أَعْمَالَكُمْ

Maksudnya;
            “Wahai orang yang beriman, taat kamu Akan Allah dan Taat kamu akan al-Rasul, dan jangan kamu batalkan amalan kamu” (Surah Muhammad, ayat 33)

Dua : Hadis Nabi SAW;

وَمَنْ عَمِلَ عَمَلًا لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ

Maksudnya;
            “Barangsiapa yang melakukan sesuatu amalan yang bukan dari urusan kami maka ia tertolak” (Muslim, hadis no : 3243)

Tiga : Hadis Nabi SAW;

وَشَرُّ الْأُمُورِ مُحْدَثَاتُهَا وَكُلُّ بِدْعَةٍ ضَلَالَةٌ

Maksudnya;    
            “Sejahat urusan adalah perkara baru, dan setiap bidaah itu adalah sesat” (Muslim, hadis no : 1435)

            Aliran kedua:
            Dalam fiqh ibadat, walaupun tidak terdapat nas yang sareh, amalan tersebut tetap boleh diamalkan dengan tafsiran dari para ulama berdasarkan kaedah usul yang mu’tabar. Pada mereka, nas itu dilihat pada dua keadaan, iaitu zahir dan khafie (tersembunyi). (3aun Ma3bud, jld 10, hlmn 126)

Makanya tidak hairan, aliran ini amat sukar untuk mengatakan sesuatu amalan itu bidaah yang diharamkan, tetapi mengklasifikasikan kepada bidaah yang diharamkan dilakukan, dan ada yang dibenarkan untuk dilakukan, seperti mereka merujuk tindakan Osman bin Affan yang menambah azan pada hari jumaat dengan dua kali azan, walhal pada zaman Nabi Muhammad SAW, Abu Bakar dan Umar, azan Jumaat hanya sekali sahaja.

Dalil pengamalan mereka adalah seperti berikut;

Satu : Dari Rifa’ah bin Rafi’ al-Zuraqi berkata;

كُنَّا يَوْمًا نُصَلِّي وَرَاءَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَلَمَّا رَفَعَ رَأْسَهُ مِنْ الرَّكْعَةِ قَالَ سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ قَالَ رَجُلٌ وَرَاءَهُ رَبَّنَا وَلَكَ الْحَمْدُ حَمْدًا كَثِيرًا طَيِّبًا مُبَارَكًا فِيهِ فَلَمَّا انْصَرَفَ قَالَ مَنْ الْمُتَكَلِّمُ قَالَ أَنَا قَالَ رَأَيْتُ بِضْعَةً وَثَلَاثِينَ مَلَكًا يَبْتَدِرُونَهَا أَيُّهُمْ يَكْتُبُهَا أَوَّلُ


Maksudnya;
            “Kami solat di belakang Nabi Muhammad SAW. Ketika baginda SAW mengangkat kepala dari rakaat, baginda SAW membaca “sami’ Allah li man hamidahu”. Berkata seorang lelaki di belakang Nabi, “Walaka al-Hamdu Hamdan Kasiran Taiban Mubarakan Fih”. Apabila Nabi SAW berpaling, baginda berkata, “siapa yang berkata?”. Lelaki itu menjawab, “saya”. Nabi Muhammad SAW pun berkata, “Aku melihat lebih 30 malaikat berlumba-lumba siapa yang lebih dahulu mahu menulis (kelebihannya)” (Al-Bukhari, Hadis no : 757)

Hadis ini dipamerkan bahawa amalan membaca tambahan pada tasmi’ ketika I’tidal tidak pernah diamalkan oleh Rasulullah SAW, tetapi dibaca oleh sahabat tersebut dengan diakui sendiri oleh Nabi Muhammad SAW.

Dua : Dari Amru bin al-As bahawa dia telah berjunub. Tetapi dia tidak mandi junub, sebaliknya bertayammum disebabkan terlalu sejuk. Perbuatannya itu diketahui oleh Nabi SAW, menyebabkan baginda bertanya.

Dia menjawab dengan membaca satu firman Allah;

وَلَا تَقْتُلُوا أَنْفُسَكُمْ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا

Maksudnya;
"Jangan kamu bunuh diri kamu. Sesungguhnya Allah amat sayang kepada kamu".

Mendengar jawapan Amru bin Al-As itu, Rasulullah ketawa tanpa berkata apa-apa pun. (Abu Daud, hadis no : 283)

KESIMPULAN

Setiap aliran mempunyai usul masing-masing. Dengan berbeda usul ini, menjadikan keputusan fiqh itu berbeda antara satu mazhab dengan mazhab yang lain; antara aliran dengan aliran yang lain. Perbedaan ini tidak sewajarnya dijadikan alasan untuk berperang, tetapi wajar ditoleransikan.

Wallahu ‘Alam…





2 comments:

  1. Assalamualaikum,

    Pihak yang berpegang dengan prinsip pertama, berhujah bahawa dalam kes bacaan tambahan ketika tasmi' i'tidal dan juga kes tayammum tu kedua-duanya adalah sunnah taqririyah, nabi bagi tacit approval..manakala perbuatan uthman bin affan menambah satu lagi azan terkandung dalam blanket approval oleh rasulullah sallallahu alaihi wasallam ikutlah sunnahku dan sunnah khulafa' rasyidin mahdiyyin sesudahku..

    yang dipersoalkan adalah tambahan-tambahan orang yang tiada autoriti

    ReplyDelete