TA'AWUN SIYASI ATAU
TAHALUF SIYASI?
Oleh : Wan Ji bin
Wan Hussin
1.
Terma "Ta'awun Siyasi" atau "Tahaluf Siyasi", secara
asasnya adalah terma yang tidak ada di dalam agama. Ia adalah terma yang
diwujudkan oleh kalangan Islamisme, terutama dari kalangan Ikhwanul Muslimin
yang memperkenalkan terma "Tahaluf Siyasi".
2.
Ta'awun siyasi yang diterjemah sebagai kerjasama politik, dan Tahaluf siyasi
diterjemah sebagai muafakat politik. Kedua-dua adalah istilah dalam bahasa Arab
yang pada asalnya tiada kaitan dengan agama.
Ia dicontohkan seperti istilah "imamah"
yang digunapakai dalam pemikiran Syiah. Asal penggunaan itu, sekadar untuk
melawan narrative sunni Abbasiyyah yang semakin lemah dalam pentadbiran.
Memandangkan kalangan Uthmaniah dari sunni juga sedang berebut pemerintahan
dengan terma "Khalifah", makanya kalangan Syiah pula menggunakan
terma "Imamah".
Namun selepas kejatuhan Abbasiyah, terma
"imamah" yang di peringkat awal sekadar propaganda melawan terma
"Khalifah" yang diguna oleh Abbasiyah dan Uthmaniah dari sunni, telah
diwacanakan dengan didatangkan beberapa ayat Al-Quran dan hadis. Akhirnya
menjadi satu kepercayaan dan agama.
Maka begitujuga terma "Tahaluf Siyasi",
yang kini keluar pula satu terma baru yang diperkenalkan oleh PAS iaitu
"Ta'awun Siyasi".
3.
Dari sudut penggunaan dan perbahasan dalam kalangan Islamisme, apabila disebut
"tahaluf siyasi", ia tidak boleh lepas terkandung di dalamnya
"ta'awun Siyasi". Dengan makna, pakatan politik antara parti yang
dikuasai Islamisme dengan parti-parti politik yang lain tidak akan berlaku
kecuali berasaskan kepada membantu pada perkara yang ada kesamaan, tetapi
mengambil sikap rundingan dan bertoleransi dalam perkara yang berbeza.
4.
Islamism yang kita maksudkan adalah, gerakan yang diatas-namakan Islam dengan
tujuan politik dan membina negara Islam. Tidak termasuk dalam perbincangan kita
islamism dalam kerangka yang lain dari cita-cita menubuhkan negara Islam,
seperti gerakan salafi, gerakan Asya'irah, gerakan Maturidiyyah, gerakan aswaja
dan sebagainya.
Islamism yang berasaskan kepada reaksi terhadap
kejatuhan Utsmaniyah Turki dari gerakan Mustafa Kamal atartuk yang membawa
pemikiran sekularisme. Yang mana ketika itu, lahir pemikiran Islamisme dalam
kerangka penubuhan negara Islam yang dibawa oleh Hassan al-Banna, kemudian
diperkenalkan pula oleh Abu A'la Al-Maududi, seterusnya Syed Qutb dan
sebagainya.
5.
Golongan islamisme ini, mereka meletak satu kepercayaan bahawa membentuk negara
Islam adalah satu kewajipan. Cuma kewajipan membentuk negara Islam itu, dari
kalangan mereka itu terbahagi kepada dua; sama ada kewajipan dari sudut fekah
ataupun kewajipan dari sudut akidah.
Kalangan yang menganggap menubuhkan negara Islam
sebagai kewajipan akidah, lazimnya membawa kepada amalan kafir mengkafirkan
sesama orang Islam. Antara pemikir yang cenderung kepada kerangka ini adalah
Abul A'la Al-Maududi dan Syed Qutb.
6.
Kalangan ini melihat
bahawa menubuhkan negara Islam adalah sesuatu yang mesti. Tetapi dirasakan
seperti agak sukar tanpa mempunyai hubungan dengan parti-parti yang lain; yang
tidak mempunyai ideologi Islamisme.
Lebih-lebih lagi, pemerintah yang ada ketika itu
terlalu zalim dan menindas rakyat. Keadaan pemerintah sebegitu, didapati bukan
kalangan islamism sahaja yang mahu menjatuhkannya, malahan kalangan parti-parti
yang bukan islamisme juga turut sama mahu menjatuhkan pemerintahan tersebut.
Dari keadaan sebegitu, datang idea yang dinamakan
"tahaluf siyasi". Iaitu mencari titik persamaan antara parti yang
didokong oleh islamisme dengan parti-parti yang lain, walaupun mereka bukan
dari kalangan islamisme.
7.
Apabila pendekatan "tahaluf siyasi" diperkenalkan, sudah pasti
asasnya adalah bersatu dalam menjatuhkan kezaliman pemerintah.
Ia berasaskan kepada beberapa kaedah fekah, iaitu
"melakukan mudarat yang kecil untuk mengelak dari berlaku mudarat yang
besar", dan kaedah "Fiqh Awlawiyyat" (fekah keutamaan) dan
"Sunnah al- Tadarruj" (perlaksanaan secara bertahap-tahap).
Dengan makna, bergabung dengan parti-parti lain itu
adalah satu mudarat, tetapi mudarat itu adalah kecil berbanding tidak bergabung
yang boleh menyebabkan pemerintah terus melakukan kezaliman yang merupakan
mudarat yang besar. Disamping juga, melihat apa yang diutamakan untuk
perlaksanaan pada ketika ini, dan apa yang perlu dilewatkan perlaksanaannya di
masa akan datang.
8.
Pendekatan "tahaluf siyasi" juga memerlukan kepada konsep
"Ta'awun", iaitu saling bantu membantu dalam melakukan kebaikan dan
ketaqwaan, dan tidak bantu membantu dalam melakukan dosa dan permusuhan. (Surah
Al-Maidah, ayat 2)
Dengan makna, apabila "tahaluf siyasi"
diperkenalkan, maka parti yang didokong oleh islamisme akan ada kesamaan dalam
menegakkan kebaikan dan ketaqwaan, dan sesama menolak perkara yang dianggap
sebagai dosa dan permusuhan.
Ekoran itu, dalam pemikiran "tahaluf
siyasi" pasti wujud "Ta'awun", iaitu semua pihak perlu bersatu dalam
melawan kezaliman yang merupakan dosa, menolak perkauman yang merupakan asas
permusuhan, menolak penafian hak sesama warganegara walaupun berbeza anutan
agama dan mazhab kerana ia merupakan asas bagi kebaikan, memberikan hak dalam
mengamalkan agama masing-masing yang merupakan asas bagi ketaqwaan, dan
begitulah seterusnya.
9.
Walaubagaimanapun, ada pihak mengatakan perlu keluar dari kerangka
"Tahaluf" dengan alasan tidak mencukupi syarat. Hakikatnya, semua
syarat-syarat yang dikemukakan dalam pemikiran tahaluf bukan bersifat Qatie
(pasti) dalam agama, sebaliknya masih dalam kerangka ijtihadi (sangkaan dan
dugaan dari individu dalam gerakan Islam).
Contohnya, mereka meletakkan asas bahawa Tahaluf
yang dibenarkan apabila membawa kepada kewujudan negara Islam, sedangkan konsep
negara Islam itu sendiri tidak disepakati dalam kalangan ulama-ulama Islam yang
terdahulu.
Ini kerana maksud bagi negara Islam itu, ada
sebilangan ulama mengatakan, ia adalah sebuah negara yang diperintah oleh orang
Islam; sebilangan yang lain mengatakan negara Islam adalah negara yang majoriti
rakyatnya beragama islam; ada pula mengatakan negara Islam adalah negara yang
terlaksana undang-undang Islam; ada pula mengatakan negara Islam adalah negara
yang ada kebebasan orang Islam dalam mengamalkan Islam, dan berbagai lagi.
Kalau kita perhatikan dari sudut ini, sudah pasti
ada beberapa negara dalam dunia ini boleh dianggap sebagai negara Islam,
seperti Turki, walaupun mereka secara berperlembagaan mengatakan mereka sebagai
negara sekular. Ini kerana, Turki adalah negara yang penghuninya secara
majoriti adalah penganut agama Islam dan ada kebebasan dalam mengamalkan agama
Islam, malahan pemimpin mereka juga beragama islam.
Lebih-lebih lagi, Islam ada kaedah mengajar
"pengajaran itu dilihat pada kandungan, bukan dilihat pada nama".
Bermakna, Walaupun Turki menggunakan label negara sekular, tetapi kandungan
terhadap negara tersebut sudah selaras dengan maksud negara Islam dalam
pendefinisian ulama-ulama Islam terdahulu.
Dengan itu jelas, dakwaan perlu keluar dari Tahaluf
dengan alasan "negara Islam" adalah dakwaan yang tidak berasaskan
kepada Islam sama sekali. Ia tidak lebih sekadar sentimen dan hawa nafsu bagi
pemimpin parti yang didokong oleh islamisme itu sahaja. Lebih-lebih lagi,
alasan keluar tahaluf siyasi itu menyebabkan pemerintahan yang zalim semakin
terbela.
10.
Sesuatu yang boleh diterima bahawa kewujudan "ta'awun" dengan keluar
dari "tahaluf". Dengan makna, pemikiran mengatakan
"ta'awun" tanpa "Tahaluf" itu berlaku, apabila sudah
menganggap pemerintah sedia ada sudah tidak zalim lagi.
Ini kerana, asal pemikiran tahaluf adalah untuk
menjatuhkan "dosa yang paling besar" dalam bernegara iaitu
pemerintahan yang zalim. Justeru apabila pemerintahan sudah dianggap sebagai
tidak zalim, maka sudah tidak ada Tahaluf lagi, walaupun masih lagi mengamalkan
"ta'awun".
Selalunya gerakan yang menggunakan pendekatan
"ta'awun tanpa tahaluf" adalah gerakan yang tidak terlibat dalam
parti politik yang bertanding dalam pilihanraya dan tidak mempunyai cita-cita
menang dan memerintah. Ini kerana mereka akan membantu sesiapa sahaja yang
melakukan kebaikan, dan tidak membantu dalam melakukan kejahatan. Mereka
mengambil sikap tidak "Nahi Mungkar" dari sudut kenegaraan, tetapi
memilih selemah-lemah iman ketika melihat kemungkaran yang melibatkan
pemerintah, iaitu membenci di dalam hati.
Wallahu A'lam.
T.ksh ats pencerahan.
ReplyDeleteTerima kasih, good idea....
ReplyDelete