Apabila Imam dari kalangan Ahl al-Bait dalam syiah meletakkan
bahawa mereka lantikan tuhan, makanya tidak hairan cara kritikan terhadap imam
secara terbuka adalah satu perkara yang cukup dijaga. Perkara ini berbeda
dengan Sunni. Ini kerana, perlantikan pemimpin dalam Sunni bukan berasaskan
kepada lantikan tuhan, tetapi kelayakkan yang beroreantasikan pilihan manusia
yang sudah pasti terdapat kelemahan.
Dalam sunni, perkara politik itu sifatnya adalah
mutaghayyirat atau berubah-ubah. Sebarang sebutan nas al-Quran atau hadis dalam
perkara politik, ia tidak sawabit atau tetap, tetapi berubah-ubah dengan tertakluk
kepada tiga perkara asas; Masa, tempat dan kondisi. Perkara sawabit dalam
politik di sisi sunni adalah, hendaklah tercapainya keadilan, menolak kezaliman
semampu mungkin, rakyat mendapat kemaslahatan mereka, pentadbiran yang baik dan
pemberian hak kepada yang berhak.
Ekoran itu, apabila terdapat hadis yang menceritakan tentang
politik, seperti larangan menegur
pemimpin secara terbuka, pemimpin dari kalangan Quraish, larangan menjatuhkan
mereka selama mereka menunaikan solat dan sebagainya, hadis-hadis itu hendaklah
dilihat kepada kerangkanya yang sebenar, bukan dilihat dari sudut yang literal
dan jumud.
Kebiasaan mereka yang melarang mengkritik pemimpin secara
terbuka, mereka bersandarkan kepada hadis-hadis berikut;
مَنْ أَرَادَ أَنْ يَنْصَحَ لِسُلْطَانٍ بِأَمْرٍ فَلَا يُبْدِ لَهُ عَلَانِيَةً
وَلَكِنْ لِيَأْخُذْ بِيَدِهِ فَيَخْلُوَ بِهِ فَإِنْ قَبِلَ مِنْهُ فَذَاكَ وَإِلَّا
كَانَ قَدْ أَدَّى الَّذِي عَلَيْهِ لَهُ
Maksudnya;
“barangsiapa
mahu memberi nasihat kepada pemerintah terhadap sesuatu perkara, maka tidak
boleh dia lakukannya secara terbuka, tetapi hendaklah dia pegang tangannya,
lalu menyendiri dengannya. Jika dia menerima, maka itu sepatutnya. Jika tidak
menerima, dia telah menunaikan perkara yang sewajarnya dia lakukan” (Musnad Ahmad,
hadis no : 14792)
Ulasan hadis ini adalah seperti berikut;
Ulasan Pertama;
Hadis ini adalah hadis yang lemah (doif). Alasan-alasannya
adalah seperti berikut;
Satu;
Dalam hadis ini didapati Syuraih bin Ubaid al-Hadhrami
mengambil hadis dari Iyadh bin Al-Ghanm. Didapati kedua-dua periwayat hadis ini
tidak pernah bertemu. Ini kerana, kelahiran Syuraih bin Ubaid ketika Iyadh bin
al-Ghanm telah meninggal dunia.
Dari sudut perbahasa satu ini, hadis ini dibawah maksud
mursal al-Tabiin, kerana Syuraih adalah tabiin yang tidak pernah berjumpa
dengan sahabat bernama Iyyad bin Ghanm. Dalam Mazhab al-Syafie mengamalkan
hadis mursal tabiin dengan syarat, tabiin tersebut seorang tabiin yang besar,
yang disebut secara khusus adalah Said bin Musayyib, sedangkan dalam mazhab
selain syafie, Mursal Tabiin tidak boleh dijadikan sebagai hujjah.
Dua;
Dalam kitab al-Sunnah oleh Abu Asim (1097), dalam sanadnya
terdapat seorang perawi bernama Muhammad bin Ismail. Menurut al-Hafiz dalam
kitab al-Isobah, beliau adalah seorang yang terlalu lemah.
Tiga;
Dalam al-Mustadrak (5269), dalam sanadnya terdapat seorang
perawi bernama Ishaq bin Ibrahim. Menurut Imam Al-Nasaie bahawa dia tidak siqah
(tarikh Damsyik), dan imam Abu Daud pula menyatakan bahawa dia tidak ada
apa-apa pun (mizan al-iktidal).
Ulasan Kedua;
Jika DIANDAIKAN saheh atau hasan sekalipun hadis ini, perlu
diperhatikan bahawa hadis ini bukan bersifat mutlak, tetapi ia bersifat maalat
al-Af’al atau perlu diilihat kepada implikasi hadisnya. Ini kerana, hadis ini
ada sambungannya, iaitu bahawa Iyyad bin Ghanm berkata kepada Hisyam seperti
berikut;
فَهَلَّا
خَشِيتَ أَنْ يَقْتُلَكَ السُّلْطَانُ فَتَكُونَ قَتِيلَ سُلْطَانِ اللَّهِ
تَبَارَكَ وَتَعَالَى
Maksudnya;
“apakah kamu
tidak takut bahawa sultan Allah (pemerintah) akan membunuh kamu, maka jadilah
kamu orang yang dibunuh oleh Sultan Allah (pemerintah)”
Jadi, merujuk kepada hadis di atas sebagai alasan untuk
mengatakan tidak boleh menegur pemerintah secara terbuka seperti yang didakwa
oleh kebanyakkan golongan literalis adalah tidak tepat dan tidak benar sama
sekali.
kesalahan merujuk kepada hadis ini, sama ada hadis ini adalah
hadis yang lemah, ataupun jika di andaikan sahih sekalipun, ia adalah bersifat
Maalat al-Af’al, iaitu melibatkan kepada implikasi terhadap sesuatu perbuatan.
Makanya, dalam larangan dalam hadis ini adalah seperti
berikut;
Pertama :
Larangan hadis ini adalah dalam kerangka negara monarki,
tetapi tidak dalam negara yang mengamalkan demokrasi. Ini kerana, hak kebebasan
bersuara dan mengkritik pemimpin secara terbuka merupakan hak yang telah
diberikan dalam sistem demokrasi. Malahan, ia selaras dengan Islam itu sendiri.
Kerana, Nabi SAW ada menyatakan;
فَإِنَّ لِصَاحِبِ
الْحَقِّ مَقَالًا
Maksudnya;
“Sesungguhnya
bagi orang yang ada hak, hendaklah diberikan ruangan bersuara” (al-Bukhari,
2141)
Juga selaras dengan pengamalan dalam pemerintahan empat
khalifah selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW, seperti kritikan Ubbadah bin al-Somit
terhadap Muawiyah yang merupakan gabenor Sham dalam pemerintahan khilafah Umar
bin al-Khattab, teguran seorang muslimat terhadap Umar tentang isu mas kahwin
dan sebagainya. Semua ini sudah pasti tidak dijadikan sandaran oleh mereka yang
beraliran syiah, kerana kesemua sahabat-sahabat ini ditolak oleh syiah,
khususnya sahabat bernama Umar bin al-Khattab.
Kedua :
Jika dalam kerangka negara monarki sekalipun, larangan itu
tertakluk kepada maalat al-Af’al atau implikasi terhadap sesuatu perbuatan. Iaitu,
larangan itu jika mendatangkan keburukan yang lebih besar, iaitu pembunuhan
balik terhadap pihak yang menegur. Jika teguran
secara terbuka itu mendatangkan kebaikan yang lebih besar, seperti pemerintahan
yang progresif, perubahan membawa kepada pemberian imej yang baik kepada Islam
dan sebagainya, makanya larangan tidak
termasuk dalam maksud hadis di atas.
Bersambung….
No comments:
Post a Comment