Tuesday, 11 June 2013

KRITIKAN MANJA TERHADAP USTAZ IDRIS AHMAD

Kritikan saya terhadap kupasan Ustaz Idris Ahmad, AJK PAS Pusat dalam artikle beliau bertajuk “Israk Mikraj, Ujian dan teladan kepadapejuang Islam” adalah seperti berikut;

            Pertama : Isra’ dan Ummu Hani
            Dakwaan cerita isra’ dan mikraj ini ada kaitan dengan Ummu Hani cukup meragukan. Ini kerana, dari tradisi sunni bahawa Isra’ dan mikraj itu berlaku setahun sebelum Hijrah Nabi Muhammad SAW ke Madinah. al-Zuhri ada menyatakan perkara itu dalam al-Sirah al-Nabawiyyah[1]. (al-Sirah al-Nabawiyyah, jld 2, hlmn 93)

Adapun Islamnya Ummu Hani, dinyatakan oleh al-Zahabi sebagai antara orang yang terlewat masuk Islam. (al-Zahabi, Siyar al-A’lam wa al-Nubala’, jld 2, hlmn 312)

Dari sudut yang lain pula, dalam kisah Isra’ yang dikaitkan dengan Ummu Hani diceritakan bahawa Nabi Muhammad mula isra’ dari rumahnya, sedangkan dalam al-Quran menyatakan bahawa Isra’ itu bermula dari Masjidil Haram.

Jika Ustaz Idris Ahmad berfahaman Syiah, tidak mengapa menyandarkan kisah isra’ ini dengan Ummu hani, kerana dalam riwayat Syiah, memang mereka menyatakan bahawa Isra’ itu dikaitkan dengan Ummu Hani.


Dalam Kitab al-Kharaij al-Jaraih, tulisan seorang tokoh Syiah bernama Abu al-Husain Said bin Abd Allah bin al-Husain bin Hibah Allah bin al-Hasan, atau dikenali sebagai Qutb al-Din al-Rawandi yang meninggal pada 573 Hijrah menyatakan bahawa pulangnya Nabi Muhammad ke rumah ummu Hani dan beliau menyatakan kepada Baginda SAW bahawa jika diberitahu kepada manusia, pasti manusia lebih mendustainya berbanding membenarkannya[2]. (Qutb al-Din al-Rawandi,  Al-Kharaij al-Jaraih, jld 1, hlmn 85)

            Kedua : Fiqh Politik dengan Hujjah Aqidah
            Fiqh Ibadat, asas kaedahnya adalah asal sesuatu amalan itu adalah bidaah atau terlarang, selama tiada nas yang saheh dan sareh menyatakan keizinanannya.  Pendapat kedua pula menyatakan bahawa asal sesuatu perkara ibadat itu adalah bidaah atau terlarang, selama tiada nas yang saheh, tetapi tidak disyaratkan sareh. Dengan maksud, amalan ibadat itu semestinya wujud berdasarkan kepada nas. Tanpa nas, maka amalan ibadat itu tidak boleh diamalkan.

Ini berbeda dengan fiqh politik. Ia sama dengan fiqh Muamalat, iaitu asal sesuatu perkara adalah harus selama tiada nas secara saheh dan sareh menyatakan haram. Dengan maksud, selama perkara itu tidak ada elemen haram, seperti nas yang mengatakan haram, atau mendatangkan mudharat, maka ia boleh dilakukan.

Al-Qaradawi menyatakan dalam al-Siyasah al-Syariiyah bahawa politik itu hendaklah memberi kemaslahatan kepada rakyat. ‘Allal al-Fasi pula menyatakan dalam Maqasid al-Syariah al-Islamiah wa makarimuha bahawa politik itu perlu menunaikan tiga perkara penting; iaitu memberikan hak kepada yang berhak, perakuan terhadap keadilan dan mengurus tadbir urusan rakyat.


Semua perkara ini tidak akan berlaku, jika sekadar meletakkan kepada kepercayaan semata-mata, tanpa melibatkan penilaian akal. Apabila berpolitik, perlu kepada perancangan. Dalam kerangka politik pilihanraya pula, menubuhkan parti itu sendiri bersifat akal. Jika dengan percaya yang tidak melibatkan akal, menubuhkan parti itu tidak perlu. Cukup sekadar berada di tikar sejadah, kemudian berdoa siang dan malam untuk mencapai kemenangan dalam politik.

Faktor akal menjadi perkara penting dalam politik amat kelihatan dengan cara perlantikan empat khalifah awal selepas kewafatan Nabi muhammad SAW. Semua cara perlantikan mereka tidak mempunyai cara yang sama. Cara perlantikan Abu bakar al-Siddiq dengan cara perlantikan Umar bin al-Khattab berbeda. Begitulah cara perlantikan Osman bin Affan dan Ali bin Abi Talib.

Ditambahi lagi, semasa pemerintahan Umar bin al-Khattab menjadi khalifah, beliau telah membuat keputusan untuk menangguhkan perlaksanaan hukuman potong tangan kepada pencuri di tahun kebuluran. keputusan Umar itu berasaskan kepada ijtihad yang sudah pasti faktor akal mengambil peranan.

Juga seperti tindakan Osman bin Affan yang tidak menunaikan solat qasar semasa di Mina. Dalam khutbah pula, Osman bin Affan melarang dari mereka menunaikan solat itu dalam keadaan qasar kerana bimbang ramai dari kalangan Badwi yang datang pada tahun itu menganggap solat zohor itu bukan empat rakaat.

Nyata disini, dalam sejarah umat Islam zaman salaf soleh, faktor akal merupakan perkara penting dalam merungkai politik. Makanya, jika Ustaz idris Ahmad mendakwa bahawa tidak menggunakan akal dalam politik kerangka Islam adalah salah dan tersasar dari aturan Islam itu sendiri.

            Ketiga : Guna akal dalam beragama
            Al-Izz bin Abd al-Salam ada menyatakan dalam Qawaed ahkam bahawa sebahagian besar maslahah dunia dan mafsadahnya diketahui berdasarkan kepada akal. Ia terjadi pada kebanyakkan syariat-syariat[3].

Al-Quran sendiri menyeru manusia memanfaatkan akal dengan bertadabbur pada ciptaan Allah dan mencari rahsia-rahsianya. Seperti dalam ayat 101 dari surah Yunus, Allah menyuruh melihat apa yang ada pada langit dan bumi. Juga seperti dalam ayat ke 17 dari surah al-Ghasyiah, bahawa Allah SWT menyuruh mencari rahsia dengan melihat bagaimana unta itu diciptakan tuhan. 

Dalam diri manusia, faktor akal amat penting. Allah SWT sendiri ada menceritakan bagaimana ahli neraka itu merasakan menyesal ekoran tidak memanfaatkan akal.

وَقَالُوا لَوْ كُنَّا نَسْمَعُ أَوْ نَعْقِلُ مَا كُنَّا فِي أَصْحَابِ السَّعِيرِ

Maksudnya;
“Berkata mereka, “kalau kami dengar dan kami menggunakan akal, sudah pasti kami bukan dari kalangan ahli neraka” (Surah al-Mulk, ayat 10)

Berfaktorkan akal, manusia dikira sebagai mukallaf atau diberati hukum. Bagi orang yang tidak berakal atau gila, mereka tidak pula dikira sebagai mukallaf. Dengan akal, manusia dapat mengenal tentang maslahah. Orang yang tidak berakal, tidak mengetahui sesuatu itu kebaikan atau keburukan, tetapi ia dapat dikenal oleh orang yang berakal.

Makanya kita akan dapat melihat bagaimana perdebatan aqidah antara aliran muktazilah dengan Asyairah dengan menggunakan akal, sehinggakan melahirkan sifat 13 yang kemudian ditambah oleh al-Maturidiah sehingga mencapai bilangan 20 sifat.

Juga, al-Ghazali mengkritik beberapa ahli falsafah dengan menulis kitab bertajuk tahafut al-Falasifah, lalu dikritik balas oleh Ibn Rushd dengan menulis kitab bertajuk Tahafut al-Tahafut juga merangkumi berdebatan perkara aqidah dengan menggunakan akal.

Tidak diabaikan, jika dilihat pada ayat-ayat al-Quran bahawa Allah SWT menyuruh manusia supaya mengabdikan diri mereka kepada Allah dengan memerhatikan kepada alam. Memandang kepada alam, tidak lain tidak bukan adalah untuk menggerakkan akal agar berfikir tentang  Allah SWT yang merupakan tuhan Maha Mencipta.

Firman Allah;

يَا أَيُّهَا النَّاسُ اعْبُدُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُمْ وَالَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ * الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ الْأَرْضَ فِرَاشًا وَالسَّمَاءَ بِنَاءً وَأَنْزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَأَخْرَجَ بِهِ مِنَ الثَّمَرَاتِ رِزْقًا لَكُمْ فَلَا تَجْعَلُوا لِلَّهِ أَنْدَادًا وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya;
Hai manusia, sembahlah Tuhanmu yang telah menciptakanmu dan orang-orang yang sebelummu, agar kamu bertakwa * Dialah yang menjadikan bumi sebagai hamparan bagimu dan langit sebagai atap, dan Dia menurunkan air (hujan) dari langit, lalu Dia menghasilkan dengan hujan itu segala buah-buahan sebagai rezki untukmu; karena itu janganlah kamu mengadakan sekutu-sekutu bagi Allah, padahal kamu mengetahui” (Surah al-Baqarah, ayat 21-22)

Begitujuga kisah Nabi Ibrahim yang diceritakan dalam al-Quran bahawa bagaimana secara tidak langsung Nabi ibrahim telah mengajar manusia tentang Allah dengan melihat kepada alam, iaitu matahari, bulan dan bintang.

Firman Allah:

وَكَذَلِكَ نُرِي إِبْرَاهِيمَ مَلَكُوتَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَلِيَكُونَ مِنَ الْمُوقِنِينَ *  فَلَمَّا جَنَّ عَلَيْهِ اللَّيْلُ رَأَى كَوْكَبًا قَالَ هَذَا رَبِّي فَلَمَّا أَفَلَ قَالَ لَا أُحِبُّ الْآَفِلِينَ *  فَلَمَّا رَأَى الْقَمَرَ بَازِغًا قَالَ هَذَا رَبِّي فَلَمَّا أَفَلَ قَالَ لَئِنْ لَمْ يَهْدِنِي رَبِّي لَأَكُونَنَّ مِنَ الْقَوْمِ الضَّالِّينَ *  فَلَمَّا رَأَى الشَّمْسَ بَازِغَةً قَالَ هَذَا رَبِّي هَذَا أَكْبَرُ فَلَمَّا أَفَلَتْ قَالَ يَا قَوْمِ إِنِّي بَرِيءٌ مِمَّا تُشْرِكُونَ *  إِنِّي وَجَّهْتُ وَجْهِيَ لِلَّذِي فَطَرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ حَنِيفًا وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ

Maksudnya;
Ketika malam telah gelap, dia melihat sebuah bintang (lalu) dia berkata: "Inilah Tuhanku", tetapi tatkala bintang itu tenggelam dia berkata: "Saya tidak suka kepada yang tenggelam." * Kemudian tatkala dia melihat bulan terbit dia berkata: "Inilah Tuhanku." Tetapi setelah bulan itu terbenam, dia berkata: "Sesungguhnya jika Tuhanku tidak memberi petunjuk kepadaku, pastilah aku termasuk orang yang sesat." * Kemudian tatkala ia melihat matahari terbit, dia berkata: "Inilah Tuhanku, ini yang lebih besar." Maka tatkala matahari itu terbenam, dia berkata: "Hai kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu persekutukan. * Sesungguhnya aku menghadapkan diriku kepada Rabb yang menciptakan langit dan bumi, dengan cenderung kepada agama yang benar, dan aku bukanlah termasuk orang-orang yang mempersekutukan Tuhan” (Surah al-‘An’am, ayat 76-79)

Sifat aqidah itu sendiri ia mesti jazim atau pasti. Sesuatu kepercayaan yang tidak pasti, ia bukan aqidah, tetapi keraguan. Macam mana mahu mendapat kepercayaan jika hanya dengan taqlid buta tanpa menggunakan akal untuk berfikir.
           
            Keempat : Isra’ dan mikraj tidak logik?
            Kanak-kanak tidak akan faham nilai sijil kerana pada fikiran kanak-kanak itu tidak logik untuk diusahakan. Adapun bagi orang dewasa, sijil itu adalah satu perkara yang cukup bernilai dari sudut logik mereka.

Kalau orang di zaman Hang Tuah dulu melihat orang sekarang yang memakai handphone, sudah pasti orang akan kata bahawa orang sekarang melakukan perkara yang tidak logik. Tetapi, era moden, menggunakan handphone adalah perkara yang logik.


Menilai isra’ dan mikraj dengan pandangan “kanak-kanak” atau dengan pandangan “orang di zaman Hang Tuah” sudah pasti akan dikatakan tidak logik. Tetapi, jika melihat Isra’ dan Mikraj dengan pandangan “orang dewasa” atau dengan pandangan “orang di era moden”, pasti ia akan dapat difahami dari segi logik.

Hakikatnya, islam itu sendiri sifatnya logik. Logiknya merentasi zaman. Adapun jika kita tidak memahami, itu bukan kerana Islam itu tidak logik, tetapi itu masalah kebodohan kita yang tidak faham atau belum memahami logik yang dikehendaki oleh islam.

            Kelima : benarkah Qurish tolak kerana akal
            Dalam al-Quran, banyak ayat yang menyuruh manusia berfikir. Malahan, dalam surah al-Mulk, Allah SWT menyatakan bahawa ahli neraka itu adalah mereka yang tidak menggunakan akal mereka. Makanya, amat pelik jika dikatakan bahawa penolakan Quraish terhadap Isra’ dan Mikraj kerana faktor logik akal.

Dalam al-Quran, Allah SWT menyatakan bahawa penolakan terhadap kebenaran itu bukan berfaktorkan logik, tetapi penolakan itu berlaku ekoran kedegilan terhadap kebenaran. Walaupun didatangkan dengan mukjizat-mukjizat yang benar sehingga mereka melihat dengan mata kepala mereka sekalipun, tetapi mereka tetap menolak. Makanya tidak hairan, perkara yang logik yang dibawa oleh islam pun mereka tetap menolak kebenaran Nabi Muhammad SAW. Lebih-lebih lagi, tindakan mereka menyembah berhala itu sendiri jauh tidak logik berbanding menyembah Allah SWT.
           
Jadi, dakwaan bahawa penolakan Quraish terhadap kebenaran Isra’ dan mikraj dengan alasan logik akal adalah tidak benar sama sekali. Ia sama seperti mendakwa haramnya arak kerana airnya berwarna hitam, walhal haramnya arak bukan kerana airnya berwarna hitam, tetapi kerana mabuk yang ada pada arak itu. begitujuga, penolakan Quraish itu bukan kerana logik akal, tetapi kerana kedegilan mereka terhadap kebenaran.

            Keempat : sirah bukan hujjah, tetapi nas yang saheh dan sareh.
            Hujjah dalam islam itu adalah al-Quran, al-Sunnah, Qias dan Ijmak. Dalam beberapa mazhab, seperti Maliki menambah amal ahli madinah dan sebagainya. kesemua ini dikira sebagai hujjah induk.

Adapun sirah, ia perlu dilihat kepada dua jenis, iaitu yang bersifat hadis, seperti ia punyai sanad yang boleh diguna pakai. Lalu, ia perlu dikaji pula status saheh atau tidak, boleh dibuat hujjah atau tidak. Satu lagi adalah hadis yang punyai sanad, tetapi tidak sedarjat dengan hadis, seperti kisah-kisah yang diceritakan oleh ulama sirah atau tarikh dengan didatangkan sanad-sanad yang kadangkala boleh diragui, seperti kisah Isra’ dan Mikraj yang dikaitkan dengan Ummu Hani. Dari sudut periwayatan, didapati riwayatnya didatangkan perawi-perawi yang cukup mempunyai masalah, seperti Riwayat Abu Jaafar al-Razi, Abu Harun al-‘Abdi dan Khalid bin Yazid.

Makanya, ia sekali-kali tidak tidak boleh dijadikan sebagai hujjah induk, tetapi ia sekadar mengukuhkan sahaja hujjah sedia ada sahaja. Itupun, jika tidak bercanggah dengan nas-nas yang saheh dan umum al-Quran.

Makanya, kupasan Ustaz Idris dalam artikle beliau tentang Isra’ dan mikraj cukup mempunyai masalah dari sudut faham agama mengikut aliran sunni.

Wallahu ‘Alam..


* artikle ini tertakluk kepada kritikan.. 






[1] أسرى برسول الله صلى الله عليه وسلم قبل خروجه إلى المدينة بسنة
[2] لما رجع من السُّرى نزل على أم هاني بنت أبي طالب فأخبرها ، فقالت: بأبي أنت وأمي والله لئن أخبرت الناس بهذا ليكذبنك من صدقك

[3] ومعظم مصالح الدنيا و مفاسدها معروف بالعقل , وذلك فى معظم الشرائع

8 comments:

  1. well done boh... kritik jangan tak kritik... supaya ia memberi pelajaran kepada orang yang dikritik dan orang yang membacanya...

    ReplyDelete
  2. Tk atas pencerahan.yg peliknya kenapa tak dibendung fahaman syiah ni terus menular dalam PAS

    ReplyDelete
  3. Pemimpin Pas yg menjadi target Syiah untuk direndah-rendahkan martabat mereka ialah Tn Guru Haji Hadi Awang,Ustaz Harun Taib (ketua dewan ulama), Ust Nik Abduh, Utz Nasaruddin dan mgkin ada lg. Sebab apa? sbb mereka2 ini pernah MENYENTUH hal berkenaan syiah.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Buat ape sokong Nik Abduh, Haji Hadi, Harun Taib yang UG tu- Mereka tahu nak bergabung je, redha dengan pilihanraya, sedangkan Tuan Guru Nik Aziz kata tak redha dengan Pilihanraya, dan tak boleh redha. Eh=eh=eh=eh Mari Haji hadi suruh redha, terima sahaja, terima apa penipuan? Terima untuk Unity Government? UG dah menular jauh dalam PAS, kerosakkan PAS dah jadi macam UMNO- Dulu PAS lawan UMNO dengan Hujah- Bila UMNO tak mampu berhujah dia guna kuasa kerajaan untuk jatuhkan PAS- Sekarang bila PAS dah ramai sikit dah kuat sikit mula lah naik tocang- Guna konsep wala' tak boleh kritik PAS- Kalau kritik PAS macam kritik Rasulullah- Kritik rasulullah kritik Allah- Kritik Allah neraka jawabnya. Amende begitu? Memang UG ni dah parah dah- Kerosakkan dalam PAS. Dengan wujudnya kapitalis dalam PAS. Nik Abduh dengan kes kayu balaknya. Kes di kelantannya, Menteri Besar baru di Kelantan yang patutnya Husam Musa lah jadi tapi yang tak dikenali itu juga diambil untuk diangkat menjadi MB kelantan yang baru- Memang pelik- PAS ni dah menjadi macam UMNO- Makin nak tunjuk belang. MasyaAllah. Apa nak jadi dengan PAS yang dulunya bagus tapi sekarang- Hanya tinggal sisa yang suka mengkafirkan dan menghina dan Fil Qudha. Dikata nya Dr.Nasir itu tidak solat- tidak Puasa, Syaitan- Apa nak jadi dengan PAS- Dulu katanya PAS for ALL. sekarang dah jadi PAS for DAP and PKR. Apa dah jadi dengan PAS ni? Bercanggah situ dan sini. Cuba lah bawak meneliti balik- Pimpimnan tu cuba teliti balik-

      Delete
  4. Aku suka baca pasal penerangan Ust Wan Ji mengenai PAS mengamalkan Wilayatul Faqeh. Memang dah rosak dah PAS. tak boleh di kritik, tak sama dengan pendapat rakyat. Lepas tu amalkan wilayatul Faqeh. Kata dekat Syiah macam-macam, tetapi dalam diam amalkan Wilayatul Faqeh- Boleh baca Tajuk yang Ust Wan Ji tulis.

    ReplyDelete
  5. Jiwa Muslim ni badwi seperti yang dimaksudkan oleh ustaz wanji dlm artikel diatas. Jadi penerangan ustaz wanji diajadikan oleh asas oleh badwi untuk hukum PAS secara pukal. memang badwi berlakon jiwa muslim.

    ReplyDelete
  6. Wan Ji
    Dlm ceramah israk mikraj oleh Maulana Asri (www.darulkautsar.net)
    Memang riwayat yg menyebut di rumah Ummu Hani permulaan dan kembalinya Nabi SAW dari israk mikraj ialah dari Syiah.Boleh tonton di youtube!

    ReplyDelete
  7. "Adapun sirah, ia perlu dilihat kepada dua jenis, iaitu yang bersifat hadis, seperti ia punyai sanad yang boleh diguna pakai. Lalu, ia perlu dikaji pula status saheh atau tidak, boleh dibuat hujjah atau tidak. Satu lagi adalah hadis yang punyai sanad, tetapi tidak sedarjat dengan hadis, seperti kisah-kisah yang diceritakan oleh....."

    Adakah ustaz maksudkan "Satu lagi adalah sirah yang punya sanad, tetapi tidak sedarjat dengan hadis..."

    Ana agak jem di di situ.

    ReplyDelete