Thursday, 25 April 2013

TENGAH PERANG DAN HUDUD


Hudud itu, tidak dinafikan wajib dilaksanakan. Ia merupakan suruhan tuhan dalam al-Quran. Perlaksanaan hudud bertujuan untuk memastikan masyarakat berada dalam keamanan, kedamaian dan keadilan.


Tanpa tercapainya keamanan, kedamaian dan keadilan, perlaksanaan hudud boleh ditangguhkan. Perkara ini pernah dilakukan oleh Saidina Umar al-Khattab semasa sahabat besar itu menjadi khalifah yang kedua. Iaitu, ketika berlaku satu zaman yang dikenali sebagai tahun kebuluran. Tindakan itu juga berasaskan kepada sabda Nabi SAW; “hindarkan hudud sekiranya berlaku syubhat”.

Tujuan penangguhan dan hindari perlaksanaan hudud jika berlaku syubhat atau kesamaran itu adalah untuk mengelak kezaliman lebih tersebar, kerana sifat keadilan itu adalah memastikan tercapainya kemaslahatan kepada rakyat. Sekiranya tidak dapat tercapai kemaslahatan, perlu difikirkan mengurangkan setahap mungkin kerosakan.

Perlaksanaan hudud pada tahun kebuluran akan menjadikan rakyat yang miskin mungkin dihukum, walhal menghukum orang miskin yang lapar adalah satu kesalahan dan kezaliman. Makanya, Umar al-Khattab menangguhkannya.


Di Malaysia, perkara yang paling besar adalah baiki sistem negara yang teruk dan rosak. Masakan bicara tentang perlaksanaan hudud, penghapusan rasuah juga masih rumit dihapuskan ekoran parti yang memerintah adalah sebuah parti yang cukup sebati dengan rasuah. Umpama analogi Timbalan presiden PAS, UMNO dan Rasuah umpama kentut dan taik.

Hudud tetap akan gagal mendatangkan perlaksanaan yang adil, sekiranya pemerintahan masih lagi tidak amanah dan tidak mempunyai siqah atau kepercayaan. Makanya, usaha pertama yang perlu dilakukan adalah melahirkan pemerintahan yang mempunyai sistem yang amanah, juga berjaya melahirkan pemerintah yang ada kepercayaan.


Oleh yang demikian, berbicara tentang hudud di kala PRU sedang berlangsung adalah satu perkara yang akan melahirkan perkara berikut;

1-      Hudud tetap tidak dapat dilaksanakan;
2-      Memberi kredit kepada musuh untuk hadapi PR;
3-      Pengamalan rasuah dalam kerajaan memerintah tetap juga berlaku.
4-      Kepercayaan atau siqah dari non Muslim untuk melayakkan PAS memerintah juga bakal hilang.


Apabila ini berlaku, bicara tentang hudud bukan perkara yang boleh mencapaikan kemaslahatan kepada rakyat, malahan mengagalkan pula usaha mengurangkan kerosakan yang berlaku di Malaysia.

Wallahu ‘alam…

No comments:

Post a Comment