Monday, 20 October 2014

POLEMIK ANJING : SATU PERBINCANGAN FIQH

oleh : Wan Ji bin Wan Hussin

Isu berkenaan menyentuh anjing, pernah didebatkan pada tahun 1940 bertempat di kelantan. khabarnya, ia melibatkan tokoh ulama terkemuka tanah melayu ketika itu, seperti Haji Wan Musa yang merupakan mufti Kelantan ketika itu, Qadhi besar Singapura yang dihadiri Raja Kelantan ketika itu, Sultan Ibrahim.  Selepas perbincangan tersebut, mereka bergambar dengan disertakan seekor anjing bersama.


Perbincangan tentang anjing, dianggap agak sensitive di kalangan umat islam di Malaysia, walhal jika dibaca dalam al-Quran, factor anjing pernah diceritakan dalam beberapa bentuk. Antaranya adalah, diceritakan tentang anjing dalam kerangka kisah Ashab al-Kahfi.

Firman Allah;

وَتَحْسَبُهُمْ أَيْقَاظًا وَهُمْ رُقُودٌ وَنُقَلِّبُهُمْ ذَاتَ الْيَمِينِ وَذَاتَ الشِّمَالِ وَكَلْبُهُمْ بَاسِطٌ ذِرَاعَيْهِ بِالْوَصِيدِ لَوِ اطَّلَعْتَ عَلَيْهِمْ لَوَلَّيْتَ مِنْهُمْ فِرَارًا وَلَمُلِئْتَ مِنْهُمْ رُعْبًا

Maksudnya;     Dan engkau sangka mereka sedar, padahal mereka tidur; dan Kami balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri; sedang anjing mereka menghulurkan dua kaki depannya dekat pintu gua; jika engkau melihat mereka, tentulah engkau akan berpaling melarikan diri dari mereka, dan tentulah engkau akan merasa sepenuh-penuh gerun takut kepada mereka” (Surah al-Kahf, ayat 18)


Dan firman Allah dalam surah yang sama;

سَيَقُولُونَ ثَلَاثَةٌ رَابِعُهُمْ كَلْبُهُمْ وَيَقُولُونَ خَمْسَةٌ سَادِسُهُمْ كَلْبُهُمْ رَجْمًا بِالْغَيْبِ وَيَقُولُونَ سَبْعَةٌ وَثَامِنُهُمْ كَلْبُهُمْ قُلْ رَبِّي أَعْلَمُ بِعِدَّتِهِمْ مَا يَعْلَمُهُمْ إِلَّا قَلِيلٌ فَلَا تُمَارِ فِيهِمْ إِلَّا مِرَاءً ظَاهِرًا وَلَا تَسْتَفْتِ فِيهِمْ مِنْهُمْ أَحَدًا

Maksudnya; (Sebahagian dari) mereka akan berkata: “Bilangan Ashaabul Kahfi itu tiga orang, yang keempatnya ialah anjing mereka “; dan setengahnya pula berkata:”Bilangan mereka lima orang, yang keenamnya ialah anjing mereka” – secara meraba-raba dalam gelap akan sesuatu yang tidak diketahui; dan setengahnya yang lain berkata: “Bilangan mereka tujuh orang, dan yang kedelapannya ialah anjing mereka”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Tuhanku lebih mengetahui akan bilangan mereka, tiada yang mengetahui bilangannya melainkan sedikit”. Oleh itu, janganlah engkau berbahas dengan sesiapapun mengenai mereka melainkan dengan bahasan (secara sederhana) yang nyata (keterangannya di dalam Al-Quran), dan janganlah engkau meminta penjelasan mengenai hal mereka kepada seseorangpun dari golongan (yang membincangkannya). (Surah al-Kahf, ayat 22)

Dalam al-Quran juga, factor anjing diceritakan tentang perburuan. Iaitu firman Allah;

يَسْأَلُونَكَ مَاذَا أُحِلَّ لَهُمْ قُلْ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبَاتُ وَمَا عَلَّمْتُمْ مِنَ الْجَوَارِحِ مُكَلِّبِينَ تُعَلِّمُونَهُنَّ مِمَّا عَلَّمَكُمُ اللَّهُ فَكُلُوا مِمَّا أَمْسَكْنَ عَلَيْكُمْ وَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَيْهِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ سَرِيعُ الْحِسَابِ

Maksudnya; Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): “Apakah (makanan) yang dihalalkan bagi mereka?” Bagi menjawabnya katakanlah: “Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang lazat-lazat serta baik, dan (buruan yang ditangkap oleh) binatang-binatang pemburu yang telah kamu ajar (untuk berburu) mengikut cara pelatih-pelatih binatang pemburu. Kamu mengajar serta melatihnya (adab peraturan berburu) sebagaimana yang telah diajarkan Allah kepada kamu. Oleh itu makanlah dari apa yang mereka tangkap untuk kamu dan sebutlah nama Allah atasnya (ketika kamu melepaskannya berburu); dan bertaqwalah kepada Allah (dengan memelihara diri dari memakan yang diharamkan Allah); Sesungguhnya Allah Maha Cepat hitungan hisabNya” (Surah al-Maidah, ayat 4)

Dalam hadis juga, ada dipamerkan tentang seorang pelaku dosa besar boleh diampunkan dosa oleh Allah disebabkan memberi minum kepada anjing. Iaitu hadis, daripada

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ؛ أَنَّ رَسُولَ اللهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ: «بَيْنَمَا رَجُلٌ يَمْشِي بِطَرِيقٍ إِذِ اشْتَدَّ عَلَيْهِ الْعَطَشُ، فَوَجَدَ بِئْراً. فَنَزَلَ فِيهَا ، فَشَرِبَ، وَخَرَجَ. فَإِذَا كَلْبٌ يَلْهَثُ. يَأْكُلُ الثَّرَى مِنَ الْعَطَشِ. فَقَالَ الرَّجُلُ: لَقَدْ بَلَغَ هذَا الْكَلْبَ مِنَ الْعَطَشِ مِثْلُ الَّذِي بَلَغَ  مِنِّي. فَنَزَلَ  الْبِئْرَ فَمَلأَ خُفَّهُ. ثُمَّ أَمْسَكَهُ بِفِيهِ حَتَّى رَقِيَ فَسَقَى الْكَلْبَ. فَشَكَرَ اللهُ لَهُ فَغَفَرَ لَهُ

Maksudnya; “Daripada Abu Hurairah, Sesungguhnya Rasulullah saw berkata, ketika seorang lelaki berjalan di satu laluan, dia merasa kehausan, lalu dia dapati ada sebuah telaga. Dia masuk ke dalamnya, minum air dan keluar. Dia ternampak seekor anjing tercungap-cingap dan menjilat tanah lembab ekoran kehausan. Lelaki itu berkata, sesungguhnya anjing ini sampai kehausan sepertimana aku kehausan tadi. Lalu, lelaki itu turun ke dalam telaga dan mengisi air pada kasutnya sehingga penuh, kemudian dia mengigit kasutnya itu dengan mulutnya hingga dia panjat telaga tersebut lalu memberi minum kepada anjing tersebut. Allah swt berterima kasih kepadanya dan mengampunkan dosanya“ (Muwatta’, : hadis no, 3435, جَامِعُ مَا جَاءَ فِي الطَّعَامِ وَالشَّرَابِ)

Dari ini, kita akan dapati bahawa dari sudut pandang al-Quran dan Hadis, perbincangan tentang anjing bukan perkara yang sentisitif. Namun, dianggap sensitive di kalangan orang melayu.

Tidak diketahui, apa penyebab perasaan sensitive ini sebegini berlaku. Mungkin terlalu terikat dengan penekanan terhadap mazhab Syafie yang rata-ratanya menyatakan hukum anjing adalah najis mughalazah (najis berat), menjadikan ia dianggap cukup jijik dan amat sensitive.

MENYENTUH ANJING

Perbincangan pertama adalah menyentuh anjing. Dari sudut pengajian usul al-fiqh, sesuatu perkara itu tidak boleh dijatuhkan hukum haram selama tiada nas yang saheh dan sareh (jelas) menyatakan pengharamannya. Kewujudan nas yang saheh, tetapi tidak sareh (tidak jelas) pun tidak boleh menjadikan sesuatu itu haram, seperti hadis yang menyatakan larangan ma’azif yang diterjemah sebagai muzik. Tidak dinafikan, hadis itu riwayat al-Bukhari, sudah pasti ia saheh, tetapi kalimah Ma’azif yang ada dalam hadis itu tidak sareh. Makanya, menafsirkannya sebagai bermaksud muzik, lalu diharamkan muzik adalah tidak tepat. (Sila lihat perbahasan panjang lebar di sini : muzik : satu kupasan)

Tidak pernah terdapat satu nas yang saheh dan jelas menyatakan larangan terhadap memegang anjing. Ekoran itu, ia tidak boleh dinyatakan sebagai hukum haram. Ini kerana, dalam fiqh islam, sesuatu yang mahu dikatakan haram, hendaklah dari sumber nas (al-Quran atau al-hadis) yang saheh dan sareh (jelas). Dalam kes muzik, dalam keadaan wujud hadis yang saheh pun, tidak boleh nak dikatakan muzik haram kerana hadis itu tidak sareh. Inikan pula dalam hukum menyentuh anjing, yang tiada satu nas yang saheh dan sareh menyatakan larangan tersebut.

BASUH APABILA KENA ANJING

Terdapat kekhilafan fiqh tentang status kenajisan anjing. Dalam mazhab al-Syafie, anjing dikira sebagai najis. Dengan maksud, apabila menyentuh anjing, maka wajar dibasuh dengan tujuh kali basuh, dan salah satunya dengan air tanah.

Kata al-Imam al-nawawi;

وفيه وجوب غسل نجاسة ولوغ الكلب سبع مرات

Maksudnya; “Padanya, wajib basuh najis jilatan anjing sebanyak tujuh kali”

Sambung beliau lagi;

واعلم أنه لا فرق عندنا بين ولوغ الكلب وغيره من أجزائه فإذا أصاب بوله أو روثه أو دمه أو عرقه أو شعره أو لعابه أو عضو من أعضائه شيئا طاهرا في حال رطوبة أحدهما وجب غسله سبع مرات إحداهن بالتراب

Maksudnya; “Ketahuilah, tidak ada perbedaan di kalangan kami antara jilatan anjing dengan selainnya; daripada anggota-anggota anjing. Apabila kena kencingnya, taiknya, darahnya, peluhnya, bulunya, air liurnya atau satu satu anggota dari anggota badannya  yang bersih ketika ia sedang basing, maka wajib basuhnya tujuh kali basuh, dan salah satu daripadanya adalah tanah[1]

Dalam mazhab Hanafi, air liur anjing adalah najis. Abu Fadhal al-Hanafi menyatakan;

وَأَمَّا الْكَلْبُ فَلِأَنَّ النَّبِيَّ - عَلَيْهِ الصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ - أَمَرَ بِغَسْلِ الْإِنَاءِ مِنْ وُلُوغِهِ ثَلَاثًا، وَفِي رِوَايَةٍ سَبْعًا

Maksudnya; “Adapun anjing, maka sesungguhnya Nabi saw menyuruh membasuh bekas dari jilatannya (anjing) sebanyak tiga kali. Dalam satu riwayat, tujuh kali” [2]

Adapun badan anjing, pendapat yang kuat dalam mazhab hanafi, ia tidak dikira sebagai najis. Seorang Ulama dalam Mazhab hanafi  bernama Badr al-Din al-‘Aini berkata;  

ثم اختلف أصحابنا في الكلب، هل هو نجس العين كالخنزير أو لا، والأصح أنه ليس بنجس العين كذا في " البدائع "، وفي " الإيضاح "

Maksudnya; “Kemudian, telah ikhtilah di kalangan kami (ulama mazhab hanafi) berkenaan anjing, apakah ia najis pada ain (dirinya) seperti babi atau tidak. Pendapat yang paling saheh, ia tidak najis ain, sepertimana tersebut dalam kitab al-Badaie dan kitab al-Idah[3]

Dalam mazhab maliki pula, Abu Umar al-Namiri al-Qurtubi menyatakan;

دَلَّ ذَلِكَ عَلَى أَنَّ الْكَلْبَ لَيْسَ بِنَجِسٍ وَأَنَّهُ لَا نَجَاسَةَ فِي عَيْنِهِ لِأَنَّهُ مِنَ الطَّوَّافِينَ عَلَيْنَا وَمَا أُبِيحَ لَنَا اتِّخَاذُهُ لِلصَّيْدِ وَالزَّرْعِ وَالْمَاشِيَةِ فَيُقَاسُهُ الْهِرُّ وَإِذَا صَحَّ هَذَا صَحَّ أَنَّ الْأَمْرَ بِغَسْلِ الْإِنَاءِ مِنْ وُلُوغِهِ سَبْعًا عِبَادَةٌ لَا لِنَجَاسَةٍ

Maksudnya; “Ini menjadi dalil bahawa anjing bukan najis, iaitu ia bukan najis pada ain (diri anjing itu), kerana ia dari kalangan binatang yang selalu berlegar di kalangan kita. Dan ia diharuskan untuk kita menjadikannya binatang buruan, menjaga tumbuh-tumbuhan dan menjaga binatang ternakan, maka ia dikiaskan dengan kucing. Apabila sah perkara ini, sesungguhnya suruhan basuh bekas dari jilatan anjing tujuh kali itu sekadar ibadat (untuk mendapatkan pahala sahaja : sunat) sahaja, bukan kerana ia bernajis[4]

Di tempat yang lain, beliau menyatakan;

فَجُمْلَةُ مَذْهَبِ مَالِكٍ عِنْدَ أَصْحَابِهِ الْيَوْمَ أَنَّ الْكَلْبَ طَاهِرٌ وَأَنَّ الْإِنَاءَ يُغْسَلُ مِنْهُ سَبْعًا عِبَادَةً


Maksudnya; “Sejumlah mazhab Malik di sisi pandangan ulama-ulama dalam mazhab itu pada hari ini bahawa anjing adalah suci dan bekas yang dibasuh dengan tujuh kali basuh itu adalah sekadar ibadat (sunat)”[5]

 Dari perbincangan ini, dapat disimpulkan bahawa dalam mazhab Syafie, semua perkara yang berkaitan dengan anjing dikira sebagai najis. Makanya, wajib dibasuh tujuh kali basuh dan salah satunya dengan air tanah. Dalam mazhab Hanafi pula, air liur dikira sebagai najis, sedangkan badan anjing berlaku kekhilafan di kalangan ulama dalam mazhab hanafi. Namun, pendapat yang paling kuat dalam mazhab itu, badan anjing tidak dikira sebagai najis. Berbeda dengan mazhab Maliki yang menganggap bahawa badan dan air liur anjing tidak dikira sebagai najis. Suruhan basuh dengan tujuh kali basuh dalam hadis, pada mereka ia adalah suruhan yang sunat, bukan wajib.

Kekhilafan ini bermuarakan kepada hadis bahawa nabi saw ada berkata;

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «إِذَا وَلَغَ الْكَلْبُ فِي إِنَاءِ أَحَدِكُمْ فَلْيُرِقْهُ ثُمَّ لِيَغْسِلْهُ سَبْعَ مِرَارٍ

Maksudnya; “Daripada Abu Hurairah berkata, bersabda Rasulullah saw, apabila anjing menjilat bekas seseorang kamu, maka alirkan air padanya kemudian basuhnya sebanyak tujuh kali basuh” (Muslim, Bab hukum jilatan anjing, hadis no :  279)

Kekhilafan itu kerana, dalam mazhab Syafie, mereka mengamalkan metode Fahw al-Khitab. Pada mereka, jika air liur anjing pun sudah wajib di basuh, sudah pasti kewajipan itu lebih lagi dilakukan jika terkena pada badan anjing. Dalam mazhab hanafi pula, mereka melihat kepada zahir hadis yang mempamerkan jilatan sahaja. Menandakan, kenajisan itu berlaku pada air liur sahaja, tidak pada badannya. Namun, dalam mazhab Maliki, mereka meletakkan tanggapan bahawa mensucikan najis itu, cukup sekadar hilangkan tiga perkara; bau, rasa dan warna. Untuk menghilangkan tiga perkara ini, tidak semestinya dengan tujuh kali basuh, malahan dengan sekali atau dua kali basuh pun, kadangkala sudah tercapai maksud bersihkan najis. Makanya, mereka meletakkan tanggapan bahawa hukum membasuh itu sunat sahaja.

BELA ANJING

Dalam hadis, dipamerkan keizinan membela anjing pada tujuan beburu dan penjagaan. Antara hadis itu adalah;

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: «مَنِ اقْتَنَى كَلْبًا إِلَّا كَلْبًا ضَارِيًا أَوْ كَلْبَ مَاشِيَةٍ، نَقَصَ مِنْ عَمَلِهِ كُلَّ يَوْمٍ قِيرَاطَانِ»


Maksudnya; “Daripada Abdullah bin Umar, sesungguhnya Rasulullah saw bersabda, “barangsiapa yang membela anjing kecuali anjing buas (dibuat beburu) atau anjing menjaga binatang ternakan, mengurangkan daripada amalnnya pada setiap hari dua qirat”  (muwatta’, bab Menyatakan berkaitan dengan anjing, hadis no : 13)

Dalam hadis yang lain pula;

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «مَنْ أَمْسَكَ كَلْبًا، فَإِنَّهُ يَنْقُصُ كُلَّ يَوْمٍ مِنْ عَمَلِهِ قِيرَاطٌ، إِلَّا كَلْبَ حَرْثٍ أَوْ مَاشِيَةٍ»

Maksudnya; “barangsiapa yang bela anjing, maka sesungguhnya mengurangi pada setiap hari dari amalannya satu qirat, kecuali anjing untuk pengawasan atau anjing menjaga binatang ternakan” (al-Bukhari, bab membela anjing untuk kerja pembajakan, hadis no : 2322)

Dari hadis-hadis ini, sepakat ulama menyatakan keizinan membela anjing dengan tujuan untuk perburuan dan penjagaan dan dibawa bersiar-siar dan berjalan-jalan. Namun, selain dari tujuan-tujuan ini, berlaku kekhilafan di kalangan ulama. Ada ulama yang menyatakan haram, seperti al-Imam al-Nawawi, dan ada pula menyatakan makruh sahaja, seperti pendapat ibn Abd al-Bar.

Kata Al-Imam al-Nawawi dalam Syarh Muslim;

وقد اتفق أصحابنا وغيرهم على أنه يحرم اقتناء الكلب لغير حاجة مثل أن يقتني كلبا إعجابا بصورته أو للمفاخرة به فهذا حرام بلا خلاف وأما الحاجة التي يجوز الاقتناء لها فقد ورد هذا الحديث بالترخيص لأحد ثلاثة أشياء وهي الزرع والماشية والصيد وهذا جائز بلا خلاف

Maksudnya; “Telah sepakat kalangan kami (ulama mazhab syafie) dan selainnya (selain ulama dalam mazhab syafie) bahawa haram membela anjing tanpa keperluan, sepertimana membela anjing kerana berbangga dengan bentuknya atau kerana untuk membesar diri dengannya, maka ia adalah haram tanpa khilaf. Adapun kerana ada keperluan yang mengharuskann membelanya, sesungguhnya telah datang hadis tetang keizinan pada salah satu dari tiga perkara, iaitu bertanaman, menjaga binatang ternakan. Ia adalah harus, tanpa khilaf lagi[6]

Di sana ada pendapat menyatakan, membela anjing selain tujuan berburu dan selain tujuan penjagaan adalah tidak haram, sebaliknya sekadar makruh sahaja. Ia di dokong oleh Ibn Abd al-Bar. Beliau menyatakan;

وَفِي مَعْنَى هَذَا الْحَدِيثِ تَدْخُلُ عِنْدِي إِبَاحَةُ اقْتِنَاءِ الْكِلَابِ لِلْمَنَافِعِ كُلِّهَا وَدَفْعِ الْمَضَارِّ إِذَا احْتَاجَ الْإِنْسَانُ إِلَى ذَلِكَ إِلَّا أَنَّهُ مَكْرُوهٌ اقْتِنَاؤُهَا فِي غَيْرِ الْوُجُوهِ الْمَذْكُورَةِ فِي هَذِهِ الْآثَارِ لِنُقْصَانِ أَجْرِ مُقْتَنِيهَا

Maksudnya; “Pada makna hadis ini, di sisi aku, masuk keharusan membela anjing bagi semua manfaat dan menolak sebarang mudharat, apabila manusia perlu kepada itu, kecuali ia adalah makruh membelanya pada selain pada perkara yang disebutkan pada athar-athar ini disebabkan kekurangan pahala kepada pembelanya[7]

Kekhilafan ini berlaku, kerana beberapa sebab, iaitu;

Pertama, hadis yang menyatakan larangan itu masih dalam kerangka zanni al-Dilalah, bukan hukum qatie. Ia tidak sama seperti pengharaman zina dan haram makan daging babi.

Ini dapat dilihat pada lafaz “kekurangan pahala dengan satu qirat (dalam riwayat lain disebut dengan dua qirat)” itu masih punyai pelbagai tafsiran. Pada Imam al-nawawi, ia memberi maksud bahawa adalah haram. Namun, pada Ibn Abd al-Bar, beliau tidak melihat kekurangan pahala itu sebagai hukum haram, sebaliknya ia masih dibenarkan lagi, tetapi sekadar makruh. Ini kerana, melakukan tindakan yang boleh mengurangkan pahala, tidak semestinya memberi maksud haram, seperti seseorang yang tidak menunaikan solat sunat, seseorang yang makan makanan yang berbau busuk dan banyak lagi.

Kedua, apabila sesuatu hadis itu berada dalam kerangka zanni, sudah pasti ia sesuatu larangan itu punyai sebab. Ekoran itu, ada sebilangan ulama berkhilaf tentang sebab larangan tersebut, seperti yang disenaraikan oleh Ibn Hajar al-Asqalani. Sebilangan ulama menyatakan, larangan itu mencegah malaikat masuk dalam rumah, sebilangan lain menyatakan bahawa ia boleh mengganggu jiran tetangga, sebilangan yang lain menyatakan bahawa sebilangan anjing itu adalah syaitan, setengah yang lain menyatakan bahawa kebiasaan anjing di dalam rumah akan memungkinkan jilatan anjing itu terkena pada bekas makanan[8] dan sebagainya.

Jika larangan itu menjadi haram, ekoran malaikat tidak masuk rumah, sudah pasti memasukkan TV dan gambar juga dikira sebagai haram. Ini kerana, dalam hadis ada mempamerkan bahawa dengan kewujudan gambar dalam rumah, malaikat juga tidak masuk ke dalam rumah. Dalam hadis, daripada Abi Talhah al-Ansari;

سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: «  إن الْمَلَائِكَةُ لَا تَدْخُلُ بَيْتًا فِيهِ كَلْبٌ وَلَا صُورَةٌ تماثيل»

Maksudnya; “aku dengar Rasulullah saw bersabda, Sesungguhnya malaikat tidak masuk dalam rumah yang padanya ada anjing dan gambar” (Musnad Ahmad, Bab Hadis Abi Talhah, hadis no :  16369)

Jika dikatakan larangan itu kerana ia boleh menggangu jiran tetangga, sudah pasti larangan itu bukan hukum lizatih, iaitu keharaman pada membela anjing, tetapi larangan itu pada factor lighairih, iaitu berfaktorkan kebisingan. Dengan maksud, jika tidak membawa kepada bising, atau duduk dalam rumah yang punyai halangan suara dari sampai ke rumah orang lain, maka ia tidak menjadi haram.

Jika dikatakan larangan itu kerana sebilangan anjing adalah syaitan, maka sudah pasti wujud ada anjing yang tidak syaitan. Ini kerana, definisi syaitan adalah setiap yang jahat tidak kira ia dari kalangan mana pun.

Al-Imam al-Tabari menyatakan;

والشيطان، كل متمرِّد من الجن والإنس والدوابِّ وكل شيء

Maksudnya; “Setiap yang jahat dari kalangan jin, manusia, binatang dan semua perkara[9]

Perkara ini dikukuhkan dengan beberapa firman Allah swt, antaranya seperti Allah menyatakan ada syaitan dari kalangan manusia dan jin, iaitu Firman Allah;

وَكَذَلِكَ جَعَلْنَا لِكُلِّ نَبِيٍّ عَدُوًّا شَيَاطِينَ الْإِنْسِ وَالْجِنِّ

Maksudnya; Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari Syaitan-syaitan manusia dan jin” (Surah al-An’am, ayat 112)

Dan firman Allah;

مِنَ الْجِنَّةِ وَالنَّاسِ

Maksudnya; “(Syaitan al-Khannas itu) dari kalangan jin dan manusia” (Surah al-Nas, ayat 6)

Dan jika dikatakan bahawa kewujudan anjing dalam rumah akan menyusahkan untuk mengelak dari jilatan anjing yang kadangkala melibatkan bekas makanan. Sudah pasti, kelihatan larangan itu berfaktorkan sad al-Zaraie. Hukum dari sudut sad al-Zaraie, asalnya adalah dibenarkan. Tetapi, jika dapat mengelak dari berlaku perkara yang dilarang, maka kembali kepada hukum asal, iaitu harus. Ia dimisalkan seperti keizinan menjual anggur, tetapi dilarang secara sad al-Zaraie, jika dijualkan kepada pembuat arak. Maka begitujuga dalam hal berkaitan larangan membela anjing pada selain tiga factor yang disebutkan dalam hadis.

Dari penjelasan ini, tidak hairan fatwa Ibn Abd al-Bar tidak meletakkan ia sebagai haram, sebaliknya sekadar makruh sahaja.

PENUTUP

Dari penjelasan ini, kelihatan bahawa perkara yang berkaitan dengan anjing adalah perkara yang tidak sewajarnya disensitivekan oleh masyarakat melayu. Namun, kekurangan dalam penghayatan fiqh yang bersifat luas ini, menjadikan kejumudan itu pula dilihat seperti kebaikan, sedangkan keluasan itu seperti kejahatan, sedangkan sifat Islam itu sendiri melebihi keluasan dari pandangan yang dapat melihat keluasan alam ini.

Moga-moga tulisan serba ringkas ini dapat memberi penjelasan kepada pembaca tentang polimik anjing ini dari sudut yang lebih luas, sepertimana keluasan fiqh yang ditekan dalam Islam.

Wallahu ‘Alam..







[1] Abu Zakaria Muhy al-Din bin Syarf al-Nawawi, al-Minhaj Syarh Sahih Muslim bin al-Hajjaj, Jld 3, hlmn 185, Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, Beirut. Tarikh : 1392

[2] Abdullah bin Mahmood bin Maudud al-Mawsili al-Baldaji, Majd al-Din Abu Fadhal al-hanafi (meninggal 683H), al-Ikhtiyar li Ta’lil al-Mukhtar, jld 1, hlmn 19, Matbaah al-halabi, Kaherah. Tarikh : 1937 M
[3] Abu Muhammad Mahmood bin Ahmad bin Musa bin Ahmad bin Husain al-Ghitani al-Hanafi Badr al-Din al-‘Aini (meninggal 855 H), al-Binayah Syarh al-Hidayah, jld 1, hlmn 473, Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, Beirut. Tarikh : 2000 M.

[4] Abu Umar Yusuf bin Abd Allah bin Muhammad bin Abd al-Bar bin ‘Asim al-Namiri al-Qurtubi (meninggal 463 Hijrah), al-Istizkar, jld 1, hlmn 164, Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, Beirut, terbitan : 2000M – 1421H
[5] Ibid, jld 1, hlmn 206

[6] Abu Zakaria Muhy al-Din bin Syarf al-Nawawi, al-Minhaj Syarh Sahih Muslim bin al-Hajjaj, Jld 3, hlmn 186, Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, Beirut. Tarikh : 1392
[7] Abu Umar bin Abd Allah bin Muhammad bin Abd al-Bar bin ‘Asim al-Namiri al-Qurtubi (meninggal 463 Hijrah), al-Tamhid lima Fi al-Muwataa’ min al-Ma’ani wa al-Asanid, Jld 14, hlmn 219, Wizarah Umum al-Awqaf wa al-Syu’un al-Islamiyyah, Maghribi. Tarikh : 1387 H.

[8] Ahmad bin Ali bin Hajar Abu Fadl al-Asqalani al-Syafie (meninggal 852 hijrah), Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, jld 5, hlmn 8, cetakan Dar al-Ma’rifah, Beirut : tarikh : 1379.
[9] Muhammad bin Jarir bin Yazid bin Kathir bin Ghalib al-Amili, Abu Jaafar al-Tabari (meniggal 310 H), Jami’ al-Bayan Fi ta’wil al-Quran, jld 1, hlmn 111, cetakan : Muassasah al-Risalah, Beirut. Tarikh : 2000 M.

12 comments:

  1. Mohon kebenaran untuk share tulisan tuan ini.

    ReplyDelete
  2. artikle ini ada sedikit pembetulan. Sebaba ada tersilap terjemahan.. mohon artikle yang telah diedit..

    ReplyDelete
  3. Mohon kebenaran utk kongsi bersama artikel yang telah diedit.

    ReplyDelete
  4. Mohon agar saudara dpt beri pencerahan dan kesahihan ttg msg yg sy terima dibawah ini..

    Daripada Abdullah bin Umar dia berkata: "Aku mendengar Nabi SAW bersabda: Sesiapa memelihara anjing selain anjing untuk berburu atau anjing menjaga binatang ternak, maka pahalanya akan berkurang dua qirath setiap harinya."
    [Riwayat Bukhari no. 5059 dan Muslim, no: 2940]

    Juga daripada Ibnu Umar berkata: "Rasulullah SAW memerintahkan supaya membunuh anjing kecuali anjing untuk berburu atau anjing untuk menjaga kambing atau menjaga haiwan ternak."
    [riwayat Muslim no. 1571]

    ReplyDelete
  5. Artikel ni yg dh diedit ke belum, ust?

    ReplyDelete
  6. saudara, apakah hasil perbincangan berkenaan najis anjing yg telah dilakukan dahulu pada 1940?

    ReplyDelete
  7. Saudara Syahanim :

    hadis tersebut, dijadikan dalil oleh al-IMam al-Nawawi dan seangkatan dengam beliau menyatakan larangan membela anjing pada selain tujuan berburu dan menjaga (rumah, binatang ternakan, tumbuh-tumbuhan dll)...

    adapun al-Imam Ibn Abd al-Bar, beliau anggap larangan itu bukan larangan yang haram, tetapi larangan makruh sahaja. dengan maksud, selain tujuan berburu dan menjaga tadi, membela anjing kerana anjing itu cantik, kerana seronok dan sebagainya tidak haram, tetapi makruh sahaja..

    ini kerana, pada hadis tersebut, dinyatakan kurang pahala. Kurang pahala, tidak membawa maksud haram, tetapi makruh sahaha..

    saudara riduan :

    Benar, artikle ini sudah di edit...

    Hezal :

    sila baca satu artikle tulisan tokoh abim dalam malaysianinsider.

    ReplyDelete
  8. Daripada Abdullah bin Umar dia berkata: "Aku mendengar Nabi SAW bersabda: Sesiapa memelihara anjing selain anjing untuk berburu atau anjing menjaga binatang ternak, maka pahalanya akan berkurang dua qirath setiap harinya."
    [Riwayat Bukhari no. 5059 dan Muslim, no: 2940]

    Kehilangan pahala 2 qirath ini seperti kehilangan 2 gunung pahala kita, ini mengambarkan betapa ruginya umat Islam yang memelihara anjing selain dari tujuan berburu atau anjing menjaga binatang ternak.

    Adakah kita memiliki pahala sebesar 2 buah gunung? Adakah kita rela pahala kita sebasar 2 buah gunung yang mungkin kita kumpul puluhan tahun hilang sebab seekor anjing.Saya lebih setuju dengan tafsiran Imam Nawawi bahawa hadis ini merujuk sebagai "HARAM"

    ReplyDelete
    Replies
    1. Boleh jadi makruh juga. Hilang pahala yg spttnya dpt jika ditinggalkan.

      Delete
  9. Percayakan Quran ataupun Buku Hadith..? Simple..

    ReplyDelete
  10. Bila sesuatu hadis itu myangah ayat Quran maka perlu Di kaji semula kesahihan nya.. Biasa nya hadis bersandar akhirnya jatuh pada Abu hurairah adalah genuine.. Ingin Di ingatkan Buruan yang mgigit setakat sebut nama Allah sudah suci... Tidak perlu 7 x basuh dgn sekali tanah..

    ReplyDelete
  11. peristiwa debat ni berlaku dlm tahun 1935 selepas kematian anak mufti hj wan musa hj nik abdullah

    ReplyDelete