Monday, 29 May 2017

NON MUSLIM MASUK MASJID

NON MUSLIM MASUK MASJID
Oleh;
Wan Ji bin Wan Hussin

Dalam isu non Muslim masuk ke masjid, ulama berbeda pendapat. Perbincangannya adalah seperti berikut;

PERTAMA: KEIZINAN MUTLAK

Al-Jassas menyatakan bahawa al-Syafie menyatakan bahawa ahli Zimmah boleh masuk semua masjid kecuali masjidil haram. Menurut ulama mazhab Hanafi (Jasas bermazhab Hanaf), zimmi boleh masuk semua masjid. Larangan dalam al-Quran merujuk kepada masjid Makkah sahaja, kerana mekah itu sendiri adalah tanah haram yang tidak boleh dimasuki oleh non Muslim[1].
وَقَالَ الشَّافِعِيُّ يَدْخُلُ كُلَّ مَسْجِدٍ إلَّا الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ خَاصَّةً وَقَالَ أَصْحَابُنَا يَجُوزُ لِلذِّمِّيِّ دُخُولُ سَائِرِ الْمَسَاجِدِ وَإِنَّمَا مَعْنَى الْآيَةِ عَلَى أَحَدِ وَجْهَيْنِ إمَّا أَنْ يَكُونَ النَّهْيُ خَاصًّا فِي الْمُشْرِكِينَ الَّذِينَ كَانُوا مَمْنُوعِينَ مِنْ دُخُولِ مَكَّةَ وَسَائِرِ الْمَسَاجِدِ لِأَنَّهُمْ لَمْ تَكُنْ لَهُمْ ذِمَّةٌ

Al-Surakhsi al-Syafie pula menyatakan, al-Syafie berpandangan dengan merujuk kepada hadis al-Zuhri bahawa mazhab syafie menghalang non Muslim, sama ada muslim atau non muslim masuk dalam masjid haram sahaja, tidak pada masjid yang lain[2].

ثُمَّ أَخَذَ الشَّافِعِيُّ - رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ - بِحَدِيثِ الزُّهْرِيِّ فَقَالَ: يُمْنَعُونَ مِنْ دُخُولِ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ خَاصَّةً لِلْآيَةِ فَأَمَّا عِنْدَنَا فَلَا يُمْنَعُونَ عَنْ ذَلِكَ، كَمَا لَا يُمْنَعُونَ مِنْ دُخُولِ سَائِرِ الْمَسَاجِدِ، وَيَسْتَوِي فِي ذَلِكَ الْحَرْبِيُّ وَالذِّمِّيُّ

Dalam kitab fath al-Qadir, Ibn al-Himam dari mazhab Maliki menyatakan bahawa tidak mengapa ahli zimmah masuk masjid haram. Bahkan, beliau menulilkan perkataan al-Syafie bahawa larangan non muslim masuk ke masjidil haram itu hanya larangan makruh sahaja[3].

قَالَ (وَلَا بَأْسَ بِأَنْ يَدْخُلَ أَهْلُ الذِّمَّةِ الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ) وَقَالَ الشَّافِعِيُّ: يُكْرَهُ ذَلِكَ

Dari penjelasan ini, didapati seperti berikut
1.     Al-Syafie dan Hanafi membenarkan non Muslim masuk ke masjid secara mutlak.
2.     Adapun larangan non muslim masuk ke masjid, hanya merujuk kepada masjid haram sahaja.
3.     Pun begitu, terdapat satu riwayat menyatakan bahawa al-Imam al-Syafie membenarkan non muslim masuk ke dalam masjidil Haram. Namun, kebenaran itu dibawah maksud makruh sahaja.

KEDUA : LARANGAN MUTLAK

Dalam al-Jami’ Li Ahkam al-Quran, al-Qurtubi menyatakan bahawa ahli madinah yang menjadi rujukan mazhab Maliki menganggap, larangan non Muslim pada semua masjid[4].
فَقَالَ أَهْلُ الْمَدِينَةِ: الْآيَةُ عَامَّةٌ فِي سَائِرِ الْمُشْرِكِينَ وَسَائِرِ الْمَسَاجِدِ


Al-Sawi dari mazhab Maliki juga menyatakan orang kafir tidak dibenarkan masudk masjid, walaupun diizinkan oleh muslim kecuali jika ada keperluan dan dharurat[5].
يُمْنَعُ دُخُولُ الْكَافِرِ الْمَسْجِدَ أَيْضًا وَإِنْ أَذِنَ لَهُ مُسْلِمٌ إلَّا لِضَرُورَةِ عَمَلٍ


Dari dua kenyataan ini, disimpulkan bahawa mazhab Maliki tidak membenarkan non Muslim masuk ke masjid secara mutlak, sama ada masjidil haram, mahupun selain itu. Keizinan hanya berlaku apabila wujud dharurat sahaja.

KETIGA: KEIZINAN DENGAN SYARAT


Nawawi kata, non muslim tidak boleh masuk masjid haram dan masjid di mekah. Selain masjid haram, boleh masuk dengan syarat mendapat izin dari muslim[6].
أَمَّا الْكَافِرُ فَلَا يُمَكَّنُ مِنْ دُخُولِ حَرَمِ مَكَّةَ بِحَالٍ، سَوَاءٌ مَسَاجِدُهُ وَغَيْرُهَا. وَلَهُ دُخُولُ مَسَاجِدِ غَيْرِ الْحَرَمِ بِإِذْنِ مُسْلِمٍ

Ibn Quddamah, Hanbali menyatakan non Muslim dilarang masuk masjid kecuali dengan keizinan dari orang islam[7].
فَأَمَّا مَسَاجِدُ الْحِلِّ، فَلَيْسَ لَهُمْ دُخُولُهَا بِغَيْرِ إذْنِ الْمُسْلِمِينَ

Pandangan dari al-Nawawi dan Ibn Quddamah ini, disimpulkan bahawa, non Muslim dibenarkan masuk ke masjid selain masjidil haram dengan diikat dengan syarat mendapat keizinan dari muslim.

DALIL

Perdebatan ini terikat kepada beberapa hujah, iaitu;

Satu : Dalam surah al-Taubah, ayat 28 bahawa Allah menyatakan bahawa orang musyrik adalah najis, dan mereka dilarang masuk ke masjidil haram. (Surah al-Taubah, ayat 28)
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْمُشْرِكُونَ نَجَسٌ فَلَا يَقْرَبُوا الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ بَعْدَ عَامِهِمْ هَذَا

Ayat ini dinyatakan larangan orang musyrik masuk ke masjidil haram dengan alasan najis. Dengan alasan itu, Mazhab Maliki melarang mutlak dari mereka masuk ke masjid secara mutlak, sama ada masjidil haram, mahupun masjid selain masjidil haram.

Namun begitu, ada satu riwayat menyatakan al-Syafie memandang larangan musyrik masuk ke masjidil haram menerusi ayat ini bukan bersifat haram, tetapi bersifat makruh. Ini kerana, dalam satu riwayat, dinyatakan bahawa Abu Sufyan bin Harb sebelum memeluk Islam, dia masuk ke dalam masjid[8], sedangkan ketika itu ayat ini sudah diturunkan.
وَذَكَرَ عَنْ الزُّهْرِيِّ أَنَّ أَبَا سُفْيَانَ بْنَ حَرْبٍ كَانَ يَدْخُلُ الْمَسْجِدَ فِي الْهُدْنَةِ وَهُوَ كَافِرٌ

Selain masjidil haram pula, mereka tidak melihat ia sebagai haram. Ini kerana terdapat beberapa dalil-dalil yang menggambarkan ada orang bukan islam masjid ke dalam masjid, seperti kisah Sumamah bin Usal sebelum memeluk islam, dia telah ditawan dalam perang dan diikat dalam masjid[9] (ketika itu, nabi saw masih hidup).
حدثني سعيد المقبري أنه سمع أبا هريرة يقول: بَعَثَ رَسُوْلُ اللهِ -صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- خيلًا قبل نجد، فجاءت برجل من بني حنيفة يقال له ثمامة بن أثال سيد أهل اليمامة، فربطوه بسارية من سواري المسجد

Juga dalam al-Mughni, diriwayatkan dari Tabiin besar bahawa Abu Sufyan sebelum memeluk islam, beliau masuk ke dalam masjid Madinah sedangkan ketika itu dia masih musyrik (ketika itu, nabi saw masih hidup). Begitujuga, Umair bin Wahab yang sebelum masuk Islam masuk ke masjid berjumpa dengan Nabi saw untuk bertanya hukum yang kemudiannya dia direzekikan anugerah hidayah Islam[10].
وَقَالَ سَعِيدُ بْنُ الْمُسَيِّبِ: قَدْ كَانَ أَبُو سُفْيَانَ يَدْخُلُ مَسْجِدَ الْمَدِينَةِ وَهُوَ عَلَى شِرْكِهِ. وَقَدِمَ عُمَيْرُ بْنُ وَهْبٍ، فَدَخَلَ الْمَسْجِدَ وَالنَّبِيُّ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - فِيهِ، لِيَفْتِكَ بِهِ، فَرَزَقَهُ اللَّهُ الْإِسْلَامَ.

Adapun dari pihak yang mengambil sikap keizinan perlu bersyaratkan meminta izin dari muslim terlebih dahulu kerana merujuk kepada kisah Ali yang berada atas mimbar dan melihat ada seorang majusi dalam masjid, lalu dia turun dan memukul majusi tersebut[11].
أم غراب قالت: رأيت عليا - رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ - على المنبر وبصر بمجوسي، فنزل، فضربه، وأخرجه من أبواب كندة

Cuma, kisah ini diragui sumbernya  kerana banyak tersebut dalam kitab fiqh tanpa dinyatakan sanad sehingga ada pihak anggap kisah ini munqati’ dan lemah.

KESIMPULAN

Dari perbahasan di atas, disimpulkan adalah seperti berikut

Pertama, tiada satu nas yang saheh dan sareh (jelas) dari al-Quran dan hadis menyatakan larangan non muslim masuk ke masjid selain masjid al-Haram.

Kedua, larangan terhadap non Muslim dari masuk masjid selain masjidil haram adalah datang dari pandangan ulama berdasarkan nas yang tidak sareh (tidak jelas).

Ketiga, pandangan yang mengatakan keizinan terhadap non muslim masuk ke masjid dengan disyaratkan mendapat izin dari muslim terlebih dahulu juga tidak berpijak kepada nas, sebaliknya lebih kepada isu maslahah masjid. Soal maslahah adalah soal uruf atau pandangan kebiasaan di sesuatu tempat. Ia sudah pasti tidak sama, antara satu tempat dengan tempat yang lain.

Keempat, Al-Syaikh Muhammad bin Ibrahim Aali Syaikh menyatakan, Non Muslim dihalang masuk ke masjid haram. Selain dari masjid haram, berlaku khilaf dalam kalangan ulama. Ini kerana terdapat sekelompok nasrani najran datang ke masjid Nabawi untuk mendengar bacaan al-Quran, zikir, malahan ada yang ditawan dalam masjid. Ekoran itu, non Muslim dibenarkan masuk ke dalam masjid dengan tujuan maslahah agama seperti dakwah kepada Islam[12].
لأن الحق ليس للشخص المسلم، بل لأن الكافر نجس.  لكن المساجد على " قسمين" الأول: المسجد الحرام، وهو كل ما أدخلته الأميال. وأما المساجد الأخرى ففيها الخلاف. وقصة إنزال النبي وفد ثقيف ونجران في المسجد النبوي ليسمعوا القرآن والذكر ويروا الطاعة رجاء أن يهتدوا، وكذلك الأسير. ولهذا الصحيح إن كان لرجاء أن يسلم أو لمصلحة دينية فيجوز ,والمساجد الأخرى لا تساوي الحرام، بل بينها فرق كبير. وأما الدخول لا لمصلحة دينية فينبغي أن يمنعوا من المساجد ـ ظاهر كلام الأصحاب هنا

Kelima, Ibn Qayyim al-Jawziyyah ada menyatakan bahawa Imam Ahmad bahawa pada zaman Nabi saw ada satu kelompok nasrani Najran datang ke masjid Nabi, kemudian masuk waktu solat mereka, lalu mereka solat dalam masjid tersebut[13].  Kisah ini dinukilkan juga dalam Zad al-Ma’ad[14].
حكي عن أحمد رحمه الله تعالى فيه روايتان كما تقدم، وقد «صح عن النبي - صلى الله عليه وسلم - أنه أنزل وفد نصارى نجران في مسجده وحانت صلاتهم فصلوا فيه» وذلك عام الوفود بعد نزول قوله تعالى: {إنما المشركون نجس فلا يقربوا المسجد الحرام بعد عامهم هذا} [التوبة: 28]


Wallahu ‘Alam.



[1] Al-Jassas, Ahkam al-Quran, jld 4, hlmn 279.
[2] Al-Surakhsi, Syarh al-Syair al-Kabir, jld 1, hlmn 134.
[3] Ibn al-Himam al-Hanafi, Fath al-Qadir, jld 10, hlmn 62.
[4] Al-Qurtubi, al-Jami’ Li Ahkam al-Quran, jld 8, hlmn 104
[5] Al-Sawi al-Maliki, al-Syarh al-Saghir (masalik Li Mazhab Malik), jld 1, hlmn 178.
[6] Al-Nawawi, Raudhah al-Talibin wa Umdah al-Muftin, jld 1, hlmn 296.
[7] Ibn Quddamah, al-Mughni, jld 9, hlmn 359.
[8] Al-Surakhsi, Syarh al-Syair al-Kabir, jld 1, hlmn 134.
[9] Al-Zahabi, Siyar a’lam al-Nubala’, jld 2, hlmn 14.
[10] Ibn Quddamah, al-Mughni, jld 9. Hlmn 359.
[11] Ibn Quddamah, Al-Kafi fi Fiqh al-Imam Ahmad, jld 4, hlmn 180.
[12] Muhammad bin Ibrahim Aali Syaikh, Fatawa wa rasail Samahah al-Syaikh Muhammad Aali-Syaikh, jld 6, hlmn 263.
 [13] Ibn Qayyim al-Jawziyyah, Ahkam Ahl al-Zimmah, jld 1, hlmn 397
[14] Ibn Qayyim al-Jawziyyah, Zad al-Ma’ad, jlld 3, hlmn 550.

Sunday, 28 May 2017

[THE USRAH SHOW 1] NIKAH PEROGOL?

NIKAH PEROGOL?

Oleh:
Wan Ji bin Wan Hussin

PENDAHULUAN

Di Malaysia, secara persepsi malahan dalam dakwaan undang-undang bahawa persetubuhan berlaku terhadap kanak-kanak perempuan yang di bawah umur 16 tahun, maka ia dianggap sebagai rogol. Justeru, kejadian sebegini kadangkala berlaku, menyebabkan ada salah seorang ahli parlimen di negara ini memberikan cadangan agar dibenarkan perkahwinan kanak-kanak di bawah umur. Malahan, dalam parlimen, ahli parlimen terbabit menyatakan abhawa secara perundangan di Malaysia, mana-mana kanak-kanak bawah umur 16 tahun, boleh dibenarkan berkahwin dengan keizinan dari mahkamah syariah terlebih dahulu. Menurut beliau juga, keizinan itu dianggap sebagai perlu untuk memastikan kehidupan kanak-kanak perempuan terbabit baik untuk masa akan datang.

Kenyataan itu, ternyata tidak disetujui oleh ramai pihak, terutama aktivis wanita. Malahan, pandangan itu mendapat serangan hebat sehingga melahirkan satu wacana secara langsung dan tidak langsung dalam hal sebegini. Perbincangan ini, akan ditumpukan kepada subtopik seperti berikut;

1.     NABI KAHWINI AISYAH

Cadangan sebegini datang, disebabkan mereka menjumpai hadis bahawa Nabi saw berkahwin dengan Aisyah sewaktu umur Aisyah adalah 6 tahun[1].
حَدَّثَنِي فَرْوَةُ بْنُ أَبِي المَغْرَاءِ، حَدَّثَنَا عَلِيُّ بْنُ مُسْهِرٍ، عَنْ هِشَامٍ، عَنْ أَبِيهِ، عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا، قَالَتْ: «تَزَوَّجَنِي النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَنَا بِنْتُ سِتِّ سِنِينَ

Saya kira, perbincangan berkenaan Nabi saw berkahwin dengan Aisyah dalam umur 6 tahun ini perlu diperhalusi kepada beberapa perkara.

Pertama, dalam kitab Siyar ‘Alam wa al-Nubala’ menyatakan bahawa Nabi saw berkahwin dengan Aisyah bersekali dengan Saudah, iaitu selepas berlaku peperangan badar[2].
وَكَانَ تَزْوِيْجُهُ -صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- بِهَا إِثْرَ وَفَاةِ خَدِيْجَةَ فَتَزَوَّجَ بِهَا وَبِسَوْدَةَ فِي وَقْتٍ وَاحِدٍ ثُمَّ دَخَلَ بِسَوْدَةَ فَتَفَرَّدَ بِهَا ثَلاَثَةَ أَعْوَامٍ حَتَّى بَنَى بِعَائِشَةَ فِي شَوَّالٍ بعد وَقْعَةِ بَدْرٍ

Kedua, Abu al-Hasan al-Nadawi menyatakan dalam kitab Sirah al-Nabawiyyah bahawa perang badar tercetus pada tahun kedua hijrah[3].
وفي رمضان سنة اثنتين من الهجرة، كانت غزوة بدر الكبرى ، وهي المعركة الحاسمة التي تقرّر مصير الأمّة الإسلاميّة ومصير الدعوة الإسلاميّة، وعليها يتوقف مصير الإنسانيّة المعنويّ

Ketiga, dalam Siyar ‘Alam al-Nubala’, al-Zahabi ada menyatakan bahawa kakak kepada Aisyah bernama Asma’. Umur Asma’ adalah lebih 10 tahun berbanding Aisyah[4].
وَكَانَتْ أَسَنَّ مِنْ عَائِشَةَ بِبِضْعَ عَشْرَةَ سَنَةً

Keempat, dalam kitab yang sama, dinyatakan bahawa Asma’ meninggal pada tahun 73 hijrah[5].
مَاتَتْ بَعْدَ ابْنِهَا بِلَيَالٍ. وَكَانَ قَتْلُهُ لِسَبْعَ عَشْرَةَ خَلَتْ مِنْ جُمَادَى الأُوْلَى سَنَةَ ثَلاَثٍ وَسَبْعِيْنَ

Kelima, dalam kitab yang sama juga dinyatakan bahawa dia meninggal pada umurnya 100 tahun[6].
وَإِنَّمَا عَنَى أَخِي أَنْ يُقْتَلَ فَيَحْزُنُهَا ذَلِكَ.وَكَانَتْ بِنْتَ مائة سنة.

Jika Asma’ meninggal dunia sewaktu umurnya 100 tahun, dan meninggal itu pada tahun 73 hijrah, menandakan umur Asma’ semasa hijrah adalah 27 tahun. Ini bermakna, umur Aisyah semasa hijrah adalah 17 tahun. Kemudian, perkahwinan Aisyah selepas dari perang badar, sedangkan perang badar tercetus tahun kedua dari hijrah. Bermakna, ketika itu umur Aisyah semasa kahwin dengan Nabi saw bukan 6 tahun, tetapi 19 tahun lebih.

Dari sudut sanad hadis pula, ada perdebatan berkenaan seorang perawi bernama Hisham bin Urwah, komentar tentang dirinya adalah seperti berikut;

Pertama, dia dianggap saheh dalam periwayatannya kecuali selepas berhijrah ke Iraq. Selepas dia ke iraq, dia ada kecelaruan dalam periwayatannya[7].
وَقَالَ يَعْقُوْبُ بنُ شَيْبَةَ: هِشَامٌ ثَبْتٌ, لَمْ يُنْكَرْ عَلَيْهِ إلَّا بَعْدَ مَصِيْرِهِ إِلَى العِرَاقِ, فَإِنَّهُ انبَسَطَ فِي الرِّوَايَةِ

Kedua, perkara ini ditegaskan lagi oleh al-Zahabi dengan menyatakan dia amat waham[8].
فِي حَدِيْثِ العِرَاقِيِّيْنَ، عَنْ هِشَامٍ أَوهَامٌ تُحْتَمَلُ, كَمَا وَقَعَ فِي حَدِيْثِهِم

Ketiga, imam Malik juga ada mengomentarinya dengan menyatakan kecelaruan Hisham bin Urwah dalam meriwayatkan hadis selepas dia ke iraq dalam melibatkan Aisyah[9].
وَقَالَ عَبْدُ الرَّحْمَنِ بنُ خِرَاشٍ: بَلَغَنِي أَنَّ مَالِكاً نَقَمَ عَلَى هِشَامِ بنِ عُرْوَةَ حَدِيْثَه لأَهْلِ العِرَاقِ، وَكَانَ لاَ يَرضَاهُ ثُمَّ قَالَ قَدِمَ الكُوْفَةَ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ قَدْمَةً كَانَ يَقُوْلُ فِيْهَا حَدَّثَنِي أَبِي قَالَ سَمِعْتُ عَائِشَةَ، وَالثَّانِيَةُ فَكَانَ يَقُوْلُ أَخْبَرَنِي أَبِي، عَنْ عَائِشَةَ، وَقَدِمَ الثَّالِثَةَ فَكَانَ يَقُوْلُ أَبِي، عَنْ عَائِشَةَ يَعْنِي يُرسِلُ، عَنْ أَبِيْهِ


Keempat, dalam dakwaan ramai ulama bahawa Hisham diterima periwayatannya kecuali selepas di Iraq. Di dapati, hadis umur Aisyah ini, yang ambil hadis dari Hisham bernama Ali bin Mus-hir yang merupakan seorang yang tinggal di Kufah, iraq[10].
العَلاَّمَةُ، الحَافِظُ، أَبُو الحَسَنِ القُرَشِيُّ، الكُوْفِيُّ

Dengan ini jelas, dari sudut sanad, didapati penceritaan berkenaan umur Aisyah 6 tahun semasa berkahwin dengan Nabi saw adalah amat meragukan.

2.     HADIS AL-BUKHARI TIDAK DISETUJUI?

Ada dakwaan mengatakan bahawa hadis ini riwayat al-Bukhari, makanya tidak dapat ditolak hadis tersebut. Saya kira, perkara penting yang kita kena jelas bahawa kekhilafan dalam kalangan ulama berlaku bukan dari sudut pendalilan sahaja, tetapi menentukan status hadis juga boleh berlaku kekhilafan dalam kalangan ulama.

Contohnya, hadis yang menyebut larangan perempuan haid dari duduk dalam masjid, terdapat kekhilafan dalam kalangan ulama dalam menentukan kesahihan hadis tersebut[11].
فَإِنِّي لَا أُحِلُّ الْمَسْجِدَ لِحَائِضٍ وَلَا جُنُبٍ

Masalah pada hadis ini adalah, apabila ada seorang periwayat hadis bernama al-Aflat bin Khalifah (nama lain : Fulait al-Amiri). Individu ini, berlaku khilaf dalam kalangan ulama berkenannya, seperti ahmad menyatakan bahawa ia sebagai tidak ada apa-apa, al-Daruqutni juga menganggap ia sebagai saleh. Namun, dalam kalangan ulama lain pula berbeda, seperti al-Khitabi menyatakan bahawa dia seorang yang majhul dan doif, Ibn Hazm menyatakan dia tidak dikenali sebagai siqah dan hadisnya adalah batil dan sebagainya.

Jelas, kekhilafan boleh berlaku dalam menentukan status hadis. Justeru, tidak mustahil kekhilafan berlaku dalam menentukan status individu perawi hadis yang dinilai positif al-Bukhari, tetapi tidak semestinya positif di sisi imam-imam hadis yang lain.

Dalam contoh lain, seperti hadis muzik yang dijadikan hujah oleh ramai ulama sebagai haramnya hukum muzik. Ini kerana, merujuk kepada satu hadis al-Bukhari bahawa Nabi menyatakan akan ada dalam kalangan umat Nabi terhadap beberapa kaum yang mereka halalkan zina, sutera, arak dan Ma’azif (muzik)[12].
وَقَالَ هِشَامُ بْنُ عَمَّارٍ: حَدَّثَنَا صَدَقَةُ بْنُ خَالِدٍ، حَدَّثَنَا عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ يَزِيدَ بْنِ جَابِرٍ، حَدَّثَنَا عَطِيَّةُ بْنُ قَيْسٍ الكِلاَبِيُّ، حَدَّثَنَا عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ غَنْمٍ الأَشْعَرِيُّ، قَالَ: حَدَّثَنِي أَبُو عَامِرٍ أَوْ أَبُو مَالِكٍ الْأَشْعَرِيُّ، وَاللَّهِ مَا كَذَبَنِي: سَمِعَ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: " لَيَكُونَنَّ مِنْ أُمَّتِي أَقْوَامٌ، يَسْتَحِلُّونَ الحِرَ وَالحَرِيرَ، وَالخَمْرَ وَالمَعَازِفَ

Hadis ini, walaupun dinilai saheh oleh al-Bukhari, tetapi tidak disetujui oleh Ibn Hazm menerusi kritikannya dalam kitab Muhalla. Ibn Hazm ragui al-Bukhari mendengar hadis ini dari Hisham bin Ammar, kerana al-Bukhari tidak menggunakan ungkapan “Haddasana” (melayu : telah menceritakan kepada kami”. Ekoran itu, Ibn Hazm anggap sanad hadis ini munqati’ (terputus). Terutama, dalam tahzib al-Kamal, Abu Daud menyatakan bahawa Hisham bin Ammar ini terdapat 400 hadis yang tidak mempunyai asal sanad[13].

Jika kekhilafan dalam menentukan status hadis ini berlaku, tidak hairan dalam isu yang melibatkan umur Aisyah 6 tahun berkahwin dengan nabi saw yang hadisnya diriwayatkan oleh al-Bukhari tidak semestinya diterima, terutama wujud percanggahan antara satu riwayat dengan riwayat yang lain.

3.     CARA PEMAHAMAN AGAMA YANG TIDAK TEPAT

Saya kira, perkara agama perlu berpijak pada fakta dan mempunyai logik yang konsisten, agar agama ini tidak tertimpa sebarang fitnah. Pandangan yang menyatakan bahawa keizinan berkahwin dengan kanak-kanak berdasarkan hadis ini, sedikit sebanyak mengundang imej buruk pada agama Islam.

Malahan, bukan dalam perkara ini sahaja, di sana terdapat beberapa isu yang perlu ada penelitian dan kecermatan. Contohnya, di sekolah-sekolah di Malaysia, sering kedengaran bahawa definisi nabi adalah berbeda dengan definisi rasul, iaitu perbedaannya adalah, Nabi adalah orang yang diberikan wahyu dari Allah dan tidak disuruh untuk menyampaikannya.

Jika diteliti dari fakta dan konsisten logik, definisi ini ada masalah. Ini kerana, dalam pengajian islam sejak turun temurun menyatakan antara ciri-ciri Nabi itu mesti adalah tabligh (melayu : menyampaikan). Jika definisi Nabi di sekolah-sekolah agama di Malaysia sebagai tidak menyampaikan, ia sudah bercanggah dengan ciri-ciri Nabi yang disepakati.

Begitujuga, terdapat ayat al-Quran bahawa Allah swt nyatakan laknat dari Allah dan segala pelaknat terhadap orang yang mendapat petunjuk dan disembunyikan petunjuk tersebut. (al-Baqarah, ayat 169)
إِنَّ الَّذِينَ يَكْتُمُونَ مَا أَنْزَلْنَا مِنَ الْبَيِّنَاتِ وَالْهُدَى مِنْ بَعْدِ مَا بَيَّنَّاهُ لِلنَّاسِ فِي الْكِتَابِ أُولَئِكَ يَلْعَنُهُمُ اللَّهُ وَيَلْعَنُهُمُ اللَّاعِنُونَ

Sudah pasti satu perkara yang amat mustahil bahawa para Nabi yang tidak rasul itu layak dapat laknat. Ini kerana, mereka adalah kalangan terpilih dan mendapat kemuliaan dari Allah swt.

Pada saya, banyak perkara agama di malaysia ini perlu diperdebatkan dan diperbetulkan dari sudutnya yang sebenar. Disamping isu definisi Nabi, begitujuga isu perkahwinan Nabi saw dengan Aisyah yang didakwa ramai berumur 6 tahun itu.

4.     TUJUAN PERKAHWINAN
Perkara yang penting ditekankan bahawa dalam al-Quran, dipamerkan perkahwinan adalah kasih sayang dan ketenangan hidup dalam berumah tangga. (Surah al-Rum, ayat 21)
وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُمْ مَوَدَّةً وَرَحْمَةً إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Memandangkan faktor kasih sayang dan ketenangan rumah tangga menjadi dasar bagi perkahwinan, tidak hairan adanya konsep talak dalam islam. Iaitu, apabila rumah tangga hidup dalam keadaan tidak damai, faktor kasih sayang dan ketenangan sudah tiada, makanya islam memberi laluan untuk bercerai antara dua suami dan Isteri atas nama talak. Dalam keadaan bercerai itu, islam ajar agar tidak ada faktor penafian hak, makanya diwajibkan hukum nafkah dan tempat tinggal, terutama bagi perempuan yang ditalak itu sedang mengandung dan mempunyai anak susuan. (Surah al-Talak, ayat 6)
أَسْكِنُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ سَكَنْتُمْ مِنْ وُجْدِكُمْ وَلَا تُضَارُّوهُنَّ لِتُضَيِّقُوا عَلَيْهِنَّ وَإِنْ كُنَّ أُولَاتِ حَمْلٍ فَأَنْفِقُوا عَلَيْهِنَّ حَتَّى يَضَعْنَ حَمْلَهُنَّ فَإِنْ أَرْضَعْنَ لَكُمْ فَآتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ وَأْتَمِرُوا بَيْنَكُمْ بِمَعْرُوفٍ وَإِنْ تَعَاسَرْتُمْ فَسَتُرْضِعُ لَهُ أُخْرَى

Memahami ini, jelas bahawa Perkahwinan bukan semata-mata bertujuan hubungan badan (seks) sahaja, tetapi yang lebih penting adalah kasih sayang dan kebahagiaan rumah tangga. Tanpa dinafikan faktor seks dalam hal rumah tangga, tetapi faktor kasih sayang dan kebahagiaan rumah tangga akan datang merupakan

Perkahwinan suka sama suka itu memang penting, tetapi suka sama suka itu perlu memberi implikasi kebahagiaan rumah tangga di masa akan datang.

Ekoran itu, sukar hendak dianggap sebagai salah bagi seseorang ibu atau bapa yang menghalang anak gadisnya bernikah dengan seseorang lelaki penghisap dadah, walaupun anak gadisnya itu sudah suka sama suka dengan lelaki tersebut. Ini kerana, ibu dan bapa tersebut melihat yang lebih penting dari itu, iaitu kebahagiaan rumah tangga si anak selepas perkahwinan.

Perkahwinan yang berdiri atas dasar kebahagiaan rumah tangga di masa akan datang, sudah pasti memerlukan kepada kesiapan dalam perkahwinan, sama ada kesiapan dari sudut jasmani, begitujuga kesiapan dari sudut mental. Mungkin kesiapan ini tidak akan tercapai kecuali bagi mereka yang sudah capai al-Sinn al-Rushd (melayu : umur matang). Atas dasar itu, saya kira memberi keizinan kepada kanak-kanak berkahwin perlu diselidiki dan dikaji semula.

5.     PENENTUAN MATANG

Penentuan umur matang (arab : al-Sinn al-Rushdi) perlu ada kajian dan penyelidikan dari pakar. Ustaz dan agamawan tidak semestinya mahir tentang perkara ini. Pada saya, ahli psykologi adalah orang yang layak diminta memberikan penjelasan tentang hal ini.

Sebagai tambahan, saya berpandangan ada beberapa hal agamawan bukan lagi rujukan untuk mengetahui sesuatu perkara. Contohnya mengetahui kadar lama haid bagi seseorang perempuan. Dahulu, kemajuan teknologi yang amat terbatas, menyebabkan kaedah induktif diguna pakai, bukan berdasarkan kajian emparikal sepertimana yang diamalkan dalam tradisi perubatan medic. Namun kini, kemajuan teknologi dan kajian kedoktoran semakin hebat. Pakar sakit puan dapat mengetahui sesuatu darah itu haid atau tidak dengan kajian kedoktoran secara emparikal yang sudah pasti lebih meyakinkan. Makanya, pada saat ini berkenaan dengan kadar lama haid, bukan lagi ditanya kepada para ustaz atau agamawan, tetapi bertanya kepada pakar sakit puan lebih afdhal dan lebih tepat.

Perkara ini bukan perkara baru, malahan jika diperhatikan kekhilafan antara al-Imam al-Syafie dengan al-Imam al-Nawawi menampilkan keadaan ini amat jelas.

Al-Imam al-Syafie pernah menyatakan dalam kitab al-Umm bahawa makruh menggunakan air musyammas. Beliau beralasan bahawa menggunakan air musyammas boleh menyebabkan terkena penyakit sopak[14].
(قَالَ الشَّافِعِيُّ) : وَلَا أَكْرَهُ الْمَاءَ الْمُشَمَّسَ إلَّا مِنْ جِهَةِ الطِّبِّ (قَالَ الشَّافِعِيُّ) أَخْبَرَنَا إبْرَاهِيمُ بْنُ مُحَمَّدٍ عَنْ صَدَقَةَ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ عَنْ أَبِي الزُّبَيْرِ عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ أَنَّ عُمَرَ كَانَ يَكْرَهُ الِاغْتِسَالَ بِالْمَاءِ الْمُشَمَّسِ وَقَالَ: إنَّهُ يُورِثُ الْبَرَصَ.

Hampir 450 tahun kemudiaan, lahir seorang ulama bernama al-Imam al-Nawawi. Dalam kitab Majmuk, beliau tidak bersetuju dengan pandangan al-Imam al-Syafie yang memandang makruh menggunakan air musyammas. Ini kerana, pada teknologi pada zaman beliau, didapati dakwaan menggunakan air musyammas boleh menyebabkan penyakit sopak adalah tidak tepat. Justeru, beliau menyimpulkan menggunakan air musyammas adalah harus, bukan makruh[15].
(وَلَا يُكْرَهُ مِنْ ذَلِكَ إلَّا مَا قُصِدَ إلَى تَشْمِيسِهِ فَإِنَّهُ يُكْرَهُ الْوُضُوءُ بِهِ وَمِنْ أَصْحَابِنَا مَنْ قَالَ لَا يُكْرَهُ كَمَا لَا يُكْرَهُ بِمَاءٍ تَشَمَّسَ فِي الْبِرَكِ وَالْأَنْهَارِ وَالْمَذْهَبُ الْأَوَّلُ وَالدَّلِيلُ عَلَيْهِ مَا رُوِيَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لِعَائِشَةَ وَقَدْ سَخَّنَتْ مَاءً بِالشَّمْسِ يَا حُمَيْرَاءُ لَا تَفْعَلِي هذا فانه يورث البرص) (الشَّرْحُ) هَذَا الْحَدِيثُ الْمَذْكُورُ ضَعِيفٌ بِاتِّفَاقِ الْمُحَدِّثِينَ وَقَدْ رَوَاهُ الْبَيْهَقِيُّ مِنْ طُرُقٍ وَبَيَّنَ ضَعْفَهَا كُلَّهَا وَمِنْهُمْ مَنْ يَجْعَلُهُ مَوْضُوعًا: وَقَدْ رَوَى الشافعي في الامام بِإِسْنَادِهِ عَنْ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّهُ كَانَ يَكْرَهُ الِاغْتِسَالَ بِالْمَاءِ الْمُشَمَّسِ وَقَالَ إنَّهُ يُورِثُ الْبَرَصَ وَهَذَا ضَعِيفٌ أَيْضًا بِاتِّفَاقِ الْمُحَدِّثِينَ فَإِنَّهُ مِنْ رِوَايَةِ إبْرَاهِيمَ بْنِ مُحَمَّدِ بْنِ أَبِي يَحْيَى وَقَدْ اتَّفَقُوا عَلَى تَضْعِيفِهِ وَجَرَّحُوهُ وَبَيَّنُوا أَسْبَابَ الْجَرْحِ إلَّا الشَّافِعِيَّ رَحِمَهُ اللَّهُ فَإِنَّهُ وَثَّقَهُ فَحَصَلَ مِنْ هَذَا أَنَّ الْمُشَمَّسَ لَا أَصْلَ لِكَرَاهَتِهِ وَلَمْ يَثْبُتْ عن الاطباء فيه شئ

Dari pendekatan al-Imam al-nawawi itu, kelihatan faktor teknologi menampilkan perkembangan ilmu menjadikan keputusan hukum fiqh tidak semestinya dirujuk kepada ulama sahaja, sebaliknya perlu dirujuk kepada kepakaran terhadap sesuatu tradisi ilmu.

Saya berpandangan, perkara yang sama dalam menilai penentuan seseorang kanak-kanak itu sebagai matang. Ia tidak dapat dinilai dari agamawan sahaja, tetapi dirujuk kepada pakar, iaitu Pakar Psykologi disamping kepakaran-kepakaran lain yang mempunyai hubungan secara tidak langsung dalam menilai perkara ini.

6.     NAK JAGA MARUAH BUKAN MENYELESAIKAN MASALAH

Ada pihak mendakwa bahawa dengan memberikan keizinan perkahwinan, ia memberikan jalan penyelesain terhadap masalah ini. Terutama, mereka beralasan untuk jaga maruah.

Saya berpandangan, ia tidak semudah yang dianggap. Ekoran itu, komentar saya dalam hal ini kepada beberapa perkara berikut;

Pertama, kalau dibaca dalam kitab Dhawabit Maslahah, karangan Dr Said Ramadan al-Buti. Beliau ada menyatakan, sesuatu maslahah yang mahu dicapai jangan sampai meluputkan maslahah lebih besar[16].
عدم تفويت المصلحة لمصلحة اهم منها

Ia diumpamakan orang yang tercekik. Justeru, untuk selesaikan masalah tercekik tersebut, perlu minum air, bukan minum air beracun. Makanya, tujuan nak elak dari mati tercekik, tertimpa pula mati sebab racun pula. Ataupun, jika kita sakit perut, kita perlu makan ubat sakit perut, bukan makan ubat pening kepala. Bimbangnya, sakit perut tidak hilang, tertimpa sakit kepala pula. Kita perlu sedar, kita bukan nak lepas tangan apabila berlaku sesuatu masalah. Sebaliknya, kita perlu selesaikan sesuatu masalah yang terjadi.

Kedua, kalau ikut logik, kanak-kanak perempuan yang disetubuhi oleh seseorang lelaki secara luar nikah perlu diberi kahwin dengan lelaki tersebut, secara logiknya, selepas ini kalau ada kanak-kanak yang mahu bernikah, tetapi tidak diizinkan oleh bapanya, maka lelaki terbabit akan lakukan setubuh di luar nikah untuk mendapat desakan undang-undang untuk si bapa benarkan anak itu dinikahi. Sudah pasti, ia melahirkan masalah yang berantai.

Ekoran itu, saya lihat kerajaan ada kemampuan untuk wujudkan sekolah juvana, kenapa kerajaan tidak ada inisiatif untuk wujudkan sekolah mendidik kanak-kanak sebegini. Pada saya, semua perkara boleh dikurang masalahnya dengan pendidikan. Pendidikan akan membentuk masyarakat, bukan dengan hukuman. Ekoran itu, selesaikan isu ini dengan menjadi masyarakat yang mendidik, bukan menghukum untuk memastikan masyarakat kita menjadi baik.  

Ketiga, kita perlu lihat kepada tujuan perkahwinan seperti kupasan di atas. Saya kira, kanak-kanak yang telah disetubuhi itu, sedikit sebanyak maruahnya sudah tercalar. Tetapi, jangan disebabkan maruah telah tercalar, kita melahirkan kerosakan yang lain, iaitu memperjudikan masa depan kebahagiaan rumah tangganya.

7.     PENUTUP

Dalam kupasan ini, mungkin yang boleh saya simpulkan perbincangan ini kepada beberapa perkara penting.

Pertama, teks dan silibus pendidikan islam di Malaysia wajar dikaji balik, seperti dalam isu melibatkan status perkahwinan Nabi saw dengan Aisyah ketika berumur 6 tahun, definisi Nabi dan banyak lagi.

Kedua, saya merasakan penafsiran agama dimonopoli oleh golongan agamawan pemerintah sahaja perlu ditolak, sebaliknya keperluan kepada pentafsiran teks secara ilmiah dan berfakta perlu dikehadapannya, sama ada dari kalangan agamawan yang memerintah, mahupun agamawan yang tidak bersama dengan pemeritnah.

Ketiga, saya melihat masalah Isu nikah perogol, ada kaitan dengan cara penafsiran agama yang diterima sejak sekian lama. Justeru, ia wajar dikaji secara cermat agar memberi implikasi baik kepada Islam dan umat.

Keempat, sesuatu kejadian yang berlaku seperti isu nikah kanak-kanak, perlu diselesaikan dengan bijak dan disertakan sekali para pakar dalam pelbagai bidang, bukan dibataskan kepada agamawan sahaja. Kita perlu menjadi masyarakat yang menyelesaikan masalah, bukan berlepas tangan dan tidak bertanggungjawab.

Wallahu ‘Alam.








[1] Al-Bukhari, بَابُ تَزْوِيجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَائِشَةَ، وَقُدُومِهَا المَدِينَةَ، وَبِنَائِهِ بِهَا,  hadis no : 3894
[2] Al-Zahabi, siyar ‘Alam al-Nubala’, 3, hlmn 430
[3] Abu Hasan al-Nadawi, Sirah al-Nabawiyyah, hlmn 299
[4] Al-Zahabi, Siyar a’lam al-Nubala’, jld 3, hlmn 520.
[5] Ibid, jld 3, hlmn 524
[6] Ibid, jld 3, hlmn 523.
[7] Ibid, jld 6, hlmn 218.
[8] Ibid.
[9] Ibid jld 6, hlmn 210.
[10] Ibid, 7, hlmn 433.
[11] Sunan Abi Daud, Bab pada menyatakan orang perempuan haid masuk masjid, hadis no : 232
[12] Al-Bukhari, بَابُ مَا جَاءَ فِيمَنْ يَسْتَحِلُّ الخَمْرَ وَيُسَمِّيهِ بِغَيْرِ اسْمِهِ, hadis no : 5590.
[13] Ibn Hazm, Muhalla, jld 9, hlmn 59.
[14] Al-Syafie, al-Umm, jld 1, hlmn 16, Dar al-Ma’rifah, Beirut. Tanpa tarikh.
[15] Al-Nawawi, Majmuk Syarh al-Muhazzab, jld 1, hlmn 87, Dar al-Fikr, Beirut. Tanpa tarikh.
[16] Al-Buti, Muhammad Said Ramadan, Dhawabit al-Maslahah fi al-Syariah al-Islamiyyah.hlmn 262.