UMUM LAFAZ, KHUSUS SEBAB :
DALAM PANDANGAN ULAMA-ULAMA USUL AL-FIQH
Oleh :
Wan Ji bin Wan Hussin
MUQADDIMAH
Kebiasaan dalam perbincangan
dalam kalangan ulama usul al-Fiqh, mereka meletakkan asas kaedah bahawa “Pengajaran
itu dilihat pada umum lafaz, bukan pada khusus sebab”. Dalam maksud,
sesuatu sebab turun sesuatu ayat al-Quran, atau sesuatu sebab wurud sesuatu
hadis, tidak memberi kesan pada hukum, sebaliknya kesan pada hukum itu berlaku
pada keumuman lafaz.
Apabila diperhalusi, didapati
asas kaedah ini tidaklah disepakati oleh ulama-ulama Usul al-Fiqh, sebaliknya
berlaku kekhilafan dalam kalangan mereka. Justeru, kehadiran kertas ringkas ini
sebagai penjelasan terhadap pandangan-pandangan ini.
Secara dasarnya, dalam
kalangan ulama usul, apabila melihat nas wahyu, sama ada al-Quran atau hadis,
pemerhatian mereka terhadap lafaz yang umum, dan sebab yang khusus, terbahagi
kepada tiga pendapat yang besar. Iaitu seperti
berikut;
PENDAPAT PERTAMA :
PENGAJARAN DILIHAT PADA UMUM LAFAZ, BUKAN PADA SEBAB YANG KHUSUS
Pendapat ini adalah pendapat
majoriti ulama usul, termasuk dalam kalangan Zahiri. Berkata al-Amidi dalam
al-Ihkam Fi Usul al-Ahkam, “sesungguhnya kebanyakkan keumuman (berlaku dalam
nas) datang atas sebab yang khusus. Ayat (potong tangan bagi kesalahan)
mencuri, diturunkan ekoran kecurian terhadap rida’ Safwan; ayat zihar
diturunkan berkenaan dengan salamah bin Sakhr; ayat li’an diturunkan berkenaan
dengan Hilal bin Umayyah dan sebagainya. Sahabat pula, mereka mengumumkan
hukum-hukum ayat-ayat ii tanpa diingari (seorang pun). Ia menjadi dalil bahawa
sebab bukan sebagai penyebabkan digugurkan bagi (hukum) umum (lafaz). Jika (diandaikan)
ia sebagai penyebabkan digugurkan (bagi umum lafaz), sudah pasti ijmak umat
yang mengumumkan itu menyalahi dalil, sedangkan ia tidak diungkapkan oleh
seorang ulama pun”[1].
أَنَّ أَكْثَرَ الْعُمُومَاتِ وَرَدَتْ عَلَى أَسْبَابٍ
خَاصَّةٍ، فَآيَةُ السَّرِقَةِ نَزَلَتْ فِي سَرِقَةِ الْمِجَنِّ أَوْ رِدَاءِ
صَفْوَانَ، وَآيَةُ الظِّهَارِ نَزَلَتْ فِي حَقِّ سَلَمَةَ بْنِ صَخْرٍ، وَآيَةُ
اللِّعَانِ نَزَلَتْ فِي حَقِّ هِلَالِ بْنِ أُمَيَّةَ إِلَى غَيْرِ ذَلِكَ. وَالصَّحَابَةُ
عَمَّمُوا أَحْكَامَ هَذِهِ الْآيَاتِ مِنْ غَيْرِ نَكِيرٍ فَدَلَّ عَلَى أَنَّ
السَّبَبَ غَيْرُ مُسْقِطٍ لِلْعُمُومِ، وَلَوْ كَانَ مُسْقِطًا لِلْعُمُومِ
لَكَانَ إِجْمَاعُ الْأُمَّةِ عَلَى التَّعْمِيمِ خِلَافَ الدَّلِيلِ، وَلَمْ
يَقُلْ أَحَدٌ بِذَلِكَ
Pada pendapat ini, mereka
berhujah dengan beberapa dalil. Iaitu;
1. Sifat bagi bagi wahyu itu
ada pengakhiran, sedangkan sebarang isu tidak pernah ada pengakhiran. Sekiranya
sifat nas wahyu itu hanya dilihat pada sebab yang khusus, sudah pasti banyak
perkara di zaman selepas pemutusan wahyu, tidak dapat diselesaikan atas wajah
agama. Keadaan ini sudah pasti satu perkara yang mustahil.
2. Dalam
al-Quran, terdapat ayat yang Allah menceritakan perihal kalangan manusia
terdahulu. Kemudian, disudahi dengan pesanan agar diambil pengajaran bagi
mereka yang mempunyai akal. Firman Allah dalam surah al-Hasyr, ayat 2; “Dia
lah yang telah mengeluarkan orang-orang kafir di antara Ahli Kitab - dari
kampung halaman mereka pada julung-julung kali mereka berhimpun hendak
memerangi Rasulullah. Kamu (wahai umat Islam) tidak menyangka bahawa mereka
akan keluar (disebabkan bilangannya yang ramai dan pertahanannya yang kuat),
dan mereka pula menyangka bahawa benteng-benteng mereka akan dapat menahan
serta memberi perlindungan kepada mereka (dari azab) Allah. Maka Allah
menimpakan (azabNya) kepada mereka dari arah yang tidak terlintas dalam fikiran
mereka, serta dilemparkanNya perasaan cemas takut ke dalam hati mereka, (lalu)
mereka membinasakan rumah-rumah mereka dengan tangan mereka sendiri (dari
dalam) sambil tangan orang-orang yang beriman (yang mengepung mereka berbuat
demikian dari luar). Maka insaflah dan ambilah pelajaran (dari peristiwa itu)
wahai orang-orang yang berakal fikiran serta celik mata hatinya”
هُوَ الَّذِي أَخْرَجَ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ مِنْ دِيَارِهِمْ لِأَوَّلِ الْحَشْرِ مَا ظَنَنْتُمْ أَنْ يَخْرُجُوا وَظَنُّوا أَنَّهُمْ مَانِعَتُهُمْ حُصُونُهُمْ مِنَ اللَّهِ فَأَتَاهُمُ اللَّهُ مِنْ حَيْثُ لَمْ يَحْتَسِبُوا وَقَذَفَ فِي قُلُوبِهِمُ الرُّعْبَ يُخْرِبُونَ بُيُوتَهُمْ بِأَيْدِيهِمْ وَأَيْدِي الْمُؤْمِنِينَ فَاعْتَبِرُوا يَا أُولِي الْأَبْصَارِ
3 . Hadis bahawa Amru bin
al-As menafsirkan ayat “jangan kamu bunuh diri kamu, sesungguhnya Allah
sangat sayang kepada kamu” (Surah al-Nisa’, ayat 29), tidak dibataskan pada
membunuh diri dalam maksud biasa, sebaliknya mandi pada musim terlalu sejuk
juga termasuk dalam maksud ayat tersebut[2].
عَنْ عَمْرِو بْنِ الْعَاصِ قَالَ:
احْتَلَمْتُ فِي لَيْلَةٍ بَارِدَةٍ فِي غَزْوَةِ ذَاتِ السُّلَاسِلِ فَأَشْفَقْتُ
إِنِ اغْتَسَلْتُ أَنْ أَهْلِكَ فَتَيَمَّمْتُ، ثُمَّ صَلَّيْتُ بِأَصْحَابِي
الصُّبْحَ فَذَكَرُوا ذَلِكَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
فَقَالَ: «يَا عَمْرُو صَلَّيْتَ بِأَصْحَابِكَ وَأَنْتَ جُنُبٌ؟» فَأَخْبَرْتُهُ
بِالَّذِي مَنَعَنِي مِنَ الِاغْتِسَالِ وَقُلْتُ إِنِّي سَمِعْتُ اللَّهَ
يَقُولُ: {وَلَا تَقْتُلُوا أَنْفُسَكُمْ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا}
[النساء: 29] فَضَحِكَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَلَمْ يَقُلْ
شَيْئًا
4. Dalam
banyak kes, ayat al-Quran dan hadis yang tidak sekadar membataskan kepada
sebab-sebab tertentu, sebaliknya diperhatikan pada umum lafaz.
Antara contoh tentang perkara
ini adalah seperti, ayat ke 174, dari surah al-Baqarah; - “Sesungguhnya
orang-orang yang menyembunyikan (meminda atau mengubah) apa-apa keterangan
Kitab Suci yang telah diturunkan oleh Allah, dan membeli dengannya keuntungan
dunia yang sedikit faedahnya, mereka itu tidak mengisi dalam perut mereka
selain dari api neraka, dan Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka pada
hari kiamat, dan Ia tidak membersihkan mereka (dari dosa), dan mereka pula akan
beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya”
إِنَّ الَّذِينَ يَكْتُمُونَ مَا أَنْزَلَ اللَّهُ مِنَ الْكِتَابِ وَيَشْتَرُونَ بِهِ ثَمَنًا قَلِيلًا أُولَئِكَ مَا يَأْكُلُونَ فِي بُطُونِهِمْ إِلَّا النَّارَ وَلَا يُكَلِّمُهُمُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَلَا يُزَكِّيهِمْ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ
Sebab turun ayat ini
berkaitan dengan orang Yahudi yang menyembunyikan sifat Nabi Muhammad sebagai
Nabi akhir zaman[3].
Namun, ayat ini termasuk juga dari
kalangan umat Nabi Muhammad yang menyembunyikan kebenaran. Ini kerana, ia
merujuk kepada umum lafaz ayat tersebut.
Contoh lain, seperti dalam
surah al-Nisa’, ayat 58, bahawa Allah swt berfirman, “Sesungguhnya Allah menyuruh
kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak
menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah
menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya)
itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah
sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat”
إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُمْ بِهِ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا
Sebab turun ayat ini, berkaitan dengan pemegang kunci Kaabah
yang bernama Osman bin Talhah yang amanah ketika berlaku pembukaan Kota Mekah
(Fath Makkah)[4]. Namun,
melihat kepada umum lafaz ayat, menjadikan ia tidak dibataskan kepada Osman bin
Talhah sahaja, malahan melibatkan juga semua manusia sehingga hari akhirat.
Contoh lain pula, seperti
dalam hadis saheh bahawa sahabat bertanya kepada Nabi bahawa mereka membawa air
daratan hanya sedikit sahaja semasa mereka bermusafir dengan menaiki kapal
laut. Lalu, mereka bertanya kepada Nabi, apakah boleh mereka berwuduk dengan
air laut. Dijawab oleh Nabi saw, "air laut itu suci dan bangkai laut
itu juga adalah halal"[5].
عن ابي هُرَيْرَةَ
يَقُولُ: سَأَلَ رَجُلٌ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ:
يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنَّا نَرْكَبُ الْبَحْرَ، وَنَحْمِلُ مَعَنَا الْقَلِيلَ
مِنَ الْمَاءِ، فَإِنْ تَوَضَّأْنَا بِهِ عَطِشْنَا أَفَنَتَوَضَّأُ مِنْ مَاءِ الْبَحْرِ؟
فَقَالَ: رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «هُوَ الطَّهُورُ
مَاؤُهُ، الْحِلُّ مَيْتَتُهُ»
Dari hadis ini, tidak sekadar merujuk keizinan berwuduk
dengan air laut sahaja, sebaliknya melihat kepada umum lafaz, menjadikan air
laut boleh juga digunakan untuk buat mandi junub.
Dari penjelasan ini, nyata
bagi pendapat jumhur bahawa sesuatu nas itu hendaklah dilihat pada keumuman
lafaz, bukan pada sebab yang khusus.
PENDAPAT KEDUA :
“SEBAB ITU SEBAGAI TAKHSIS KEPADA UMUM LAFAZ”
Pendapat ini didokong oleh
al-Muzani dan Abu Sur. Al-Razi berkata dalam al-Mahsul, "yang sebenar,
bahawa pengajaran itu pada umum lafaz, bukan pada sebab yang khusus. Perkara
ini berbeza dengan al-Muzani dan Abu Sur; kedua-dua mereka berpendapat bahawa
khusus sebab adalah pentakhsis kepada keumuman lafaz"[6].
فالحق أن العبرة بعموم اللفظ لا بخصوص السبب خلافا للمزني وأبو ثور فإنهما زعما أن خصوص السبب يكون مخصصا لعموم اللفظ
Pendapat ini merujuk kepada
beberapa hujah;
1. Dalam hadis bahawa Nabi
saw ada bersabda, "Mulakan dengan apa yang Allah mulakan"[7].
أَبْدَأُ بِمَا بَدَأَ اللهُ بِهِ
Hadis ini, berkaitan dengan
ibadat haji secara khusus. Namun, melihat kepada umum lafaz, memastikan banyak
perkara perlu mengikut sususan, seperti wudu, mandi wajib dan sebagainya.
Memandangkan, nas itu tidak
semestinya dilihat pada keumuman lafaz, makanya dalam mazhab Hanafi dan Maliki,
berwuduk tidak disyaratkan tertib[8],
kerana hadis itu dalam kerangka ibadat haji sebagai sebabnya yang khusus
sahaja.
التَّرْتِيبُ فِي الْوُضُوءِ وَغَيْرِهِ مِنْ الْعِبَادَاتِ وَالْعُقُودِ: النِّزَاعُ فِيهِ مَشْهُورٌ. فَمَذْهَبُ الشَّافِعِيِّ وَأَحْمَد: يَجِبُ. وَمَذْهَبُ مَالِكٍ وَأَبِي حَنِيفَةَ: لَا يَجِبُ
2. Dalam hadis bahawa Nabi
saw ada bersabda, "Bukan dari kebajikan jika berpuasa ketika berada
dalam permusafiran"[9].
عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ رَضِيَ
اللَّهُ عَنْهُمْ، قَالَ: كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
فِي سَفَرٍ، فَرَأَى زِحَامًا وَرَجُلًا قَدْ ظُلِّلَ عَلَيْهِ، فَقَالَ: «مَا
هَذَا؟»، فَقَالُوا: صَائِمٌ، فَقَالَ: «لَيْسَ مِنَ البِرِّ الصَّوْمُ فِي
السَّفَرِ»
Melihat kepada umum lafaz, sudah pasti dilarang sama
sekali berpuasa bagi sesiapa sahaja yang bermusafir. Walau bagaimanapun, hadis
ini merujuk kepada sebab yang khusus, iaitu merujuk kepada ada orang yang
berteduh di bawah bayang-bayang ekoran kepananasa.
3. Dalam hadis, diceritakan
bahawa Salim yang merupakan hamba kepada Huzaifah yang dibesarkan sejak dari
kecil dalam rumah Huzaifah. Apabila dia sudah besar, menjadi susah bagi hamba
itu masuk dan keluar dalam rumah Huzaifah ketika Huzaifah tidak ada di rumah
ekoran Isterinya di rumah.
Melihat keadaan itu, menjadikan
Huzaifah melaporkan perkara itu kepada Baginda saw. Mendengar itu, Baginda saw
menyatakan, "Berikan susu kepadanya (hamba) itu sebanyak lima kali
susuan, maka menjadi haram (kahwin)
dengan sebab susunya[10]”
فَجَاءَتْ سَهْلَةُ بِنْتُ سُهَيْلٍ وَهِيَ امْرَأَةُ أَبِي حُذَيْفَةَ،
وَهِيَ مِنْ بَنِي عَامِرِ بْنِ لُؤَيٍّ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَتْ يَا رَسُولَ اللَّهِ: كُنَّا نَرَى سَالِمًا
وَلَدًا وَكَانَ يَدْخُلُ عَلَيَّ، وَأَنَا فُضُلٌ وَلَيْسَ لَنَا إِلَّا بَيْتٌ
وَاحِدٌ، فَمَاذَا تَرَى فِي شَأْنِهِ؟ فَقَالَ لَهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى
اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ «أَرْضِعِيهِ خَمْسَ رَضَعَاتٍ، فَيَحْرُمُ بِلَبَنِهَا»
Merujuk kepada umum lafaz hadis, sudah pasti sesiapa
sahaja lelaki yang sudah umur remaja atau
tua, bahawa boleh menghisap susu mana-mana perempuan agar untuk
menjadikannya sebagai anak susuan. Setelah itu, tidak akan timbul lagi masalah
aurat, masalah hubungan seperti kekeluargaan atau sebagainya. Namun, memandangkan
perlu dilihat pada sebab yang khusus, jumhur ulama menyatakan bahawa ia khusus
berlaku pada Salim yang merupakan hamba kepada Huzaifah sahaja.
PENDAPAT KETIGA :
“SESUATU NAS ITU DILIHAT PADA UMUM LAFAZ, SELAMA TIADA
PERTENTANGAN. SEKIRANYA ADA PERTENTANGAN, MAKA DILIHAT PADA SEBAB YANG KHUSUS”
Berkata al-Subki dalam
al-Asybah wa al-Nazair, "Apabila kamu ketahui banawa yang paling rajih
di sisi kami adalah melihat kepada umum lafaz tanpa sebab yang khusus, maka
kami percaya bahawa perlu ditarik pada keumuman pada semua yang hadir dalam
nas, malahan ia diumumkan jika tidak ada pertentangan"[11].
إذا عرفت أن الأرجح عندنا اعتبار عموم اللفظ دون خصوص السبب
فلا نعتقد أن يسنحب العموم في كل ما ورد وصدر؛ بل إنما نعمم حيث لا معارض
Antara hujah mereka adalah
seperti berikut;
1. Hadis bahawa Nabi saw ada
berkata, "Barangsiapa yang tukar agamanya, maka bunuhlah ia"[12].
عَنْ عِكْرِمَةَ، أَنَّ عَلِيًّا رَضِيَ
اللَّهُ عَنْهُ، حَرَّقَ قَوْمًا، فَبَلَغَ ابْنَ عَبَّاسٍ فَقَالَ: لَوْ كُنْتُ
أَنَا لَمْ أُحَرِّقْهُمْ لِأَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
قَالَ: «لاَ تُعَذِّبُوا بِعَذَابِ اللَّهِ» [ص:62]، وَلَقَتَلْتُهُمْ كَمَا قَالَ
النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «مَنْ بَدَّلَ دِينَهُ فَاقْتُلُوهُ»
Pada umum hadis, kelihatan
membunuh orang murtad itu tidak dibataskan kepada lelaki atau perempuan,
sebaliknya perlu dikenakan kepada sesiapa sahaja yang murtad. Namun, dalam fatwa imam Hanafi yang menyatakan
bahawa perempuan yang murtad tidak dibunuh. Keadaan ini melihat ada
pertentangan, iaitu merujuk larangan membunuh perempuan dan kanak-kanak dalam
hadis yang berkaitan peperangan[13].
عَنِ ابْنِ عُمَرَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَأَى فِي بَعْضِ مَغَازِيهِ امْرَأَةً مَقْتُولَةً، فَأَنْكَرَ ذَلِكَ. «وَنَهَى عَنْ قَتْلِ النِّسَاءِ وَالصِّبْيَانِ»
Jadi, hadis ini tidak dilihat
pada umum lafaz, kerana wujud pertentangan. Ekoran itu, dilihat kepada sebab
yang khusus[14].
2. Seperti Firman Allah dalam
surah Al-Baqarah, ayat 195 – “Janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu
ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan
sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah
mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya”
وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ وَأَحْسِنُوا إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ
Jika dilihat pada umum lafaz
ayat ini, didapati sebarang tindakan yang membawa kepada kehancuran adalah
terlarang, termasuk berjihad, sedangkan sebab turun ayat ini adalah suruhan
berjihad; yang mana kalangan yang tidak berjihad itu dimaksudkan sebagai orang
yang melakukan kerosakan[15].
Jadi, ayat ini tidak boleh
dilihat pada keumuman lafaz, kerana wujud pertentangan. Makanya, dilihat pada
kekhususan sebab.
KESIMPULAN
Dari perbincangan ini,
disimpulkan adalah seperti berikut;
1.
Pendapat yang mengatakan bahawa “pengajaran itu diambil pada umum
lafaz, bukan pada kekhususan sebab” adalah pendapat yang tidak disepakati,
sebaliknya ia diterima dalam kalangan majority ulama sahaja.
2.
Di sana terdapat pandangan yang berbeda yang banyak, antaranya
adalah pendapat yang menyatakan “sebab
itu sebagai takhsis kepada umum lafaz” dan “sesuatu nas itu dilihat pada umum lafaz,
selama tiada pertentangan. Sekiranya ada pertentangan, maka dilihat pada sebab
yang khusus”
Wallahu ‘Alam.
[1] Al-Amidi,
Abu al-Hasan Syed al-Din ‘Ali bin Abi ‘Ali bin Muhammad bin Salim al-Sa’labi
(meninggal 631 Hijrah), al-Ihkam Fi Usul al-Ahkam, jld 2, hlmn 240, Maktab
al-Islami, Beirut. Damsyiq, lubnan. Tanpa tarikh.
[3] Ibn
Kathir, Abu Fida’ Ismail bin Umar bin Kathir al-Qurashi al-Bisri al-Dimasyqi
(meninggal 774 Hijrah), Tafsir al-Quran al-‘Azim (Tafsir Ibn Kathir), jld 1,
hlmn 483, Dar Taibah Li al-Nasyr wa al-Tawzi’. Tarikh : 1999.
[4] Fakr
al-Din al-Razi, Abu Abd Allah Muhammad Muhammad bin Umar bin al-Hasan al-Taimi,
al-razi (meninggal 606 Hijrah), Mafatih al-Ghaib (al-Tafsir al-Kabir), Jld 10,
hlmn 108, Dar Ihya’ al-Turath al-Arabi, Beirut. Tarikh : 1420.
[6] Fakr
al-Din al-Razi, Abu Abd Allah Muhammad bin Umar bin al-Hasan bin al-Husain
al-Taimi, al-Razi (meninggal 606 Hijrah), al-Mahsul, jld 3, hlmn 125,
al-Mahsul, Muassasah al-Risalah, tarikh : 1997.
[8] Ibn
Taimiyyah, Taqi al-Din Abu al-Abbas Ahmad bin Abd al-Halim (meninggal 728
Hijrah), Majmuk al-Fatawa, jld 21, hlmn 407, Mahmak al-Malik Fahd li al-Tabaah
al-Mashaf al-Syarif, al-Madinah al-Nabawiyyah, al-Mamlakah al-arabiyyah
al-Saudiyyah. Tarikh : 1995.
[9] Al-Bukhari, بَابُ
قَوْلِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِمَنْ ظُلِّلَ عَلَيْهِ
وَاشْتَدَّ الحَرُّ «لَيْسَ مِنَ البِرِّ الصَّوْمُ فِي السَّفَرِ»,
hadis no : 1946
[11] Al-Subki,
Taj al-Din Abd al-Wahab bin Taqi al-Din (meninggal 771 Hijrah), al-Asybah wa
al-nazair, jld 2, hlmn 136, Dar al-Kutub al-Ilmiyyah. Tarikh : 1991.
[13] Muwatta’
Malik, بَابُ
النَّهْيِ عَنْ قَتْلِ النِّسَاءِ وَالْوِلْدَانِ فِي الْغَزْوِ, hadis no : 9
[14] Al-Subki,
Taj al-Din Abd al-Wahab bin Taqi al-Din (meninggal 771 Hijrah), al-Asybah wa
al-nazair, jld 2, hlmn 136, Dar al-Kutub al-Ilmiyyah. Tarikh : 1991.
[15] Al-Qurtubi
Abu Abd Allah Muhammad bin Ahmad bin Abi Bakar bin FArh al-Ansari al-Khazraji
Syams al-Din al-Qurtubi (Meninggal 671 Hijrah), jld 2, hlmn 361, Dar al-Kutub
al-Misriyyah, kaherah. Tarikh : 1964.
No comments:
Post a Comment