Tuesday, 29 October 2013

BERGOLAK TAPI TIDAK GADUH (7)


Lama kelamaan, aku merasakan bahawa khilaf antara salafi dan khalaf adalah perkara yang tidak perlu diperbesarkan. Aku menilai bahawa sengaja al-Quran itu diturunkan Tuhan dalam bahasa yang sastera. Ia mahu menjadikan manusia itu menggunakan akal untuk berfikir dan mentafsirkan. Kalau sekiranya Tuhan tidak izinkan mentafsirkan al- Quran, sudah pasti semua ayat-ayat al-Quran itu bersifat muhkamat dan sareh, tetapi yang pasti mutasyabihat dan tidak sareh itu lebih banyak.

Kelahiran aliran salafi dan khalaf itu sendiri, berfaktorkan kepada tafsiran terhadap nas wahyu. Makanya dalam perbedaan itu,  tidak perlu digaduhkan, tetapi yang perlu dilakukan adalah usaha mewujudkan kondisi saling hormat menghormati.

Namun, perkara itu aku alpa selepas beberapa ketika. Setelah aku pulang ke Malaysia, aku sudah menjadi seorang yang dilihat ramai sebagai seorang salafi. Aku tidak tahu mengapa gambaran itu dipamerkan kepadaku. Mungkin kerana aku sudah agak kurang hadiri Majlis tahlil arwah dan talqin kematian walaupun aku tidak pernah menghalang orang lain dari melakukannya. Mungkin solat subuh, aku sudah tidak doa qunut walaupun aku akan lakukannya juga ketika solat jemaah di kala menjadi imam solat subuh.

Di kala itu, aku berjumpa dengan seorang guru yang merupakan anak murid kepada syaikh wahid Abd Salam Bali, seorang ulama mesir yang popular tentang ilmu rawatan jin. Anak murid Syaikh wahid Abd Salam itu berasal dari Thailand, tetapi mendapat pendidikan dari al-Azhar dalam bidang hadis. Namanya Syaikh Abd Rahim.

syaikh Abd Rahim adalah seorang guru di salah sebuah pondok di thailand, tetapi cenderung kepada aliran salafi. Aku telah bertalaqqi dengan beliau dalam banyak bidang terutama usul al-fiqh dan qawaed fiqhiyyah. Disamping itu juga, aku sempat khatamkan belajar ilmu rawatan jin dengan beliau dengan bersanadkan syaikh wahid Abd Salam Bali.

Menariknya aku bertalaqqi dengan syaikh Abd Rahim dalam bentuk yang berbeda dari orang lain. Aku hanya seorang diri sahaja belajar dengan beliau dan aku membaca matan kitab dan aku syarahkan kepada beliau, tetapi tugas beliau mendengar dan membenarkan kupasan aku yang betul dan perbetulkan jika ada kesalahan dalam pemahaman aku ketika aku syarahkan itu.

Aku rasa cara talaqqi itu cukup terkesan kepada diriku. Lebih-lebih lagi, aku merasakan aku mendapat kefahaman yang jitu disamping aku cepat khatam kitab. Dalam masa sebulan, aku sudah berjaya khatamkan kitab sebanyak 3 buah kitab.

Syaikh Abd Rahim banyak mendedahkan kepadaku tentang sudut faham Islam menurut aliran salafi. Menariknya, pendedahan beliau Tentang pandangan pro salafi itu dengan terus merujuk kepada rujukan ulama-ulama mazhab seperti syafie, hanafi, maliki dan hanbali, tanpa diabaikan fatwa-fatwa ulama di dalam mazhab, seperti nawawi, abu yusuf, syaibani dan sebagainya.

Juga didedahkan sudut faham pengajian aqidah dalam salafi. Walaupun aku suka dengan perbahasan asyairah kerana banyak berfikir, tetapi pendedahan aqidah mengikut aliran salafi turut menarik perhatian aku.

Aku menganggap, kekhilafan antara salafi dan khalaf hanya sedikit, tetapi elemen kesamaan cukup banyak. Kadangkala sesuatu itu dianggap khilaf, tetapi sebenarnya ia adalah sama apabila dilihat pada substansinya. Ini kerana, kekhilafan itu berlaku ekoran berbeda nama dan istilah yang digunakan sahaja.

contohnya seperti firman Allah yang bermaksud, "Tidaklah Dia (Allah) menyerupai sesuatu pun" (surah al-Syura, ayat 11)

Dalam pengajian khalaf aliran asyairah, ia menggunakan istilah atau nama "mukhalafatuhu taala lil hawadis" iaitu menyalahi atau tidak serupa Allah itu dari perkara-perkara baru.

Dengan itu, kecenderungan aku kepada salafi semakin kuat, disamping menghormati aliran khalaf cukup tinggi. Walaupun dari sudut fiqh ibadat, aku lebih cenderung kepada dalil naqli, tetapi aku tidak pernah abaikan kupasan aqli dalam perbincangan aqidah. Aku menilai, kedua-dua aliran ini tidak perlu digaduh-gaduhkan, tetapi perlu saling kukuh mengukuhkan.

Bersambung...

30 okt 2013 | 1:27 Tenghahari.

No comments:

Post a Comment